|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Saya menunggu bilakah respon saya akan tersiar di ruang komen entri Faisal Tehrani yang bertajuk, "Bulan Maulud Memang Lebih Besar Dari Bulan Ramadhan".Harapan saya agar Faisal Tehrani boleh memberikan jawapan balas dari apa yang saya responkan.Namun apabila terlihatkan ruang komen itu bertambah dengan balas membalas dari Faisal Tehrani terhadap satu dua pembaca yang sama berulang-ulang, maka saya seakan yakin, komen saya yang sudah dihantar sebelum balas-membalas itu tak akan disiarkan nampaknya. Maka secara automatik, menjawab entri orang yang menyekat pandangan saya di ruang beliau haruslah ditulis kembali di blog ini seperti lazim prinsip alhikmah-diari diwujudkan sejak awal.

PERTAMA: KENYATAAN TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ

Entri itu pada asasnya dilihat jelas ditulis untuk membidas apa yang dilaporkan media sebagai kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan merangkap mursyidul am PAS.

Faisal Tehrani menulis,

Khabarnya, Datuk Nik Abdul Aziz mengeluarkan satu kenyataan berbau wahabi yang amat "bahaya" iaitu: “Boleh jadi, orang negeri lain sambut Maulud besar-besaran. Bulan Maulud sendiri tidak ada sebarang fadilat tidak sebagaimana bulan Ramadan. Bulan Ramadan memang ada fadilat dan kelebihannya. Bulan Maulud tidak ada apa.” Demikian menurut laporan (di sini)

Datuk Nik Aziz dilaporkan menambah: "Kita jangan sekali-kali terpengaruh dengan keadaan semasa. Kadang-kadang benda yang berlaku semasa ini tidak serupa dengan kehendak agama. Tetapi dengan sebab benda itu berlaku semasa bercanggah dengan agama, kadang-kadang menjadi masalah. Contohnya, Maulud Nabi." (Baca: Maulid ini konon bid'ah).


KEDUA: HUJAH FAISAL TEHRANI BAHAWA BULAN MAULUD LEBIH BESAR DARIPADA BULAN RAMADHAN

Faisal Tehrani cuba membuktikan bahawa Bulan Maulud lebih besar daripada bulan Ramadhan dengan menghujahkan:

1. Rasulullah diturunkan untuk rahmat ke seluruh alam. Maka kelahiran baginda menjadi besar untuk seluruh alam. Faisal Tehrani menulis,

Sila baca ayat 107 surah al-Anbiya: Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam. Oleh kerana itu (rahmat) baginda adalah bukan untuk orang tertentu sahaja, bukan untuk sahabat sahaja tetapi untuk setiap manusia dan makhluk (apa sahaja). Bahkan untuk seluruh alam semesta, gunung ganang, dan sekian petala bumi dan langit. Melangkaui zaman dan batas sempadan. Untuk manusia dengan apa jua warna kulit dan agama. Ia merentasi setiap entiti yang tidak terfikirkan dek akal.

2.Kelahiran Rasulullah s.a.w lebih besar dari turunnya para malaikat dan pengampunan yang diberikan pada malam Lailatul Qadr. Malah, syafaat Nabi mengatasi pengampunan seribu lebih bulan.Faisal Tehrani menulis,

Lailatul Qadr pada bulan Ramadhan adalah malam turunnya malaikat, dan pemberian pengampunan yang besar tetapi tuan-tuan, kelahiran Rasulullah saw, kekasih Allah adalah jauh lebih besar daripada peristiwa tersebut. Kehadiran Nabi Muhammad jauh lebih penting daripada kejadian turunnya para malaikat. Bulan maulid adalah bulan anugerah Allah yang mempersembahkan Rasulullah untuk seluruh alam. Syafaat baginda mengatasi keampunan seribu lebih bulan. Ia valid dan relevan melebihi batas waktu.


3.Bulan Ramadhan adalah bulan turunnya Al Quran untuk umat manusia, tetapi bulan Maulud lebih besar kerana lahirnya Nabi Muhammad s.a.w untuk seluruh alam semesta.Faisal Tehrani menulis,

Bulan Ramadhan adalah bulan turunnya al-Quran, pewahyuan al-Quran amat bermakna buat umat Islam tetapi maulid adalah bermakna untuk seluruh alam semesta.


4.Beramal di bulan Ramadhan diganjari banyak pahala berlipatganda, namun mencintai Rasulullah yang ditunjukkan di bulan Maulud lebih besar kerana cinta Allah (mendapat ganjaran dari Allah) tidak akan dapat diraih tanpa cinta Rasul.Faisal Tehrani menulis,

Memang beramal ibadat di bulan Ramadhan berlipat ganda pahalanya, tetapi mencintai Rasulullah saw (walau sekecil-kecil cara) terpandang di sisi Allah kerana baginda adalah kekasih-Nya. Kalau ada orang menyangka boleh meraih cinta Allah tanpa cinta Rasul maka ini pandangan batil.


KETIGA:RESPON SAYA KE ATAS HUJAH FAISAL TEHRANI


Kesilapan saya ketika menghantar respon ke atas entri Faisal Tehrani itu adalah tidak menyimpannya (save as document) kerana pengalaman saya yang lepas-lepas ketika menghantar komen ke atas entri Faisal Tehrani, sama ada pro atau kontra, tetap dilulus oleh pihak pengurusan blog tersebut.

Tapi mungkin situasi sudah berbeza kini. Saya mungkin perlu meletakkan Faisal Tehrani sebaris dengan laman seperti web Ustaz Hasrizal, yang menyaring komen untuk membina imej cantik dan kemas pada webnya (yang didakwa demi kebahagiaan anak-anak beliau yang akan membacanya di masa hadapan).Walaupun saya berasa hairan juga, apabila komen-komen yang kontra dengan entri Faisal yang diluluskan itu, bukanlah hujah kontra yang kemas sangat pun. Jika tidak lebih baik pun, komen saya masih selayak komen yang diluluskan itu.

Berikut adalah beberapa hujah saya yang dapat saya ingati ditambah dengan apa yang saya terfikir selepasnya:

1. Tajuk entri Faisal Tehrani sahaja sudah bercanggah dengan apa yang difirmankan oleh Allah s.w.t.

Pertama,Faisal Tehrani mendakwa bulan Maulud lebih besar daripada bulan Ramadhan dengan menulis tajuk, "Bulan Maulud Memang Lebih Besar Dari Bulan Ramadhan!". Padahal malam mulia di bulan Ramadhan yang dipanggil Lailatul Qadr itu sahaja sudah lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini difirmankan oleh Allah s.w.t sendiri:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. "(al Qadr: 1-3)


Kedua, Nabi s.a.w sendiri, ahlul bayt baginda,serta para sahabat semuanya berkejar-kejar mencari Laylatul Qadr di bulan Ramadhan, malah pemergian bulan Ramadhan ditangisi para sahabat kerana bimbang tidak dapat bertemu lagi Ramadhan seterusnya. Itu sahaja sudah cukup membuktikan bulan Ramadhan begitu besar berbanding bulan-bulan lain malah, tak pernah Nabi, ahlul bayt baginda, para sahabat membesar-besarkan bulan Maulud.

Apatah lagi, bulan Maulud itu sendiri khilaf akan tarikh dan bulannya. Jika benar wujud bulan Maulud yang memang punya kebesaran, tentu Nabi sendiri tak akan biarkan peluang membesarkan bulan maulud terlepas dari pengetahuan umatnya.

2. Hujah Faisal Tehrani hanya membuktikan utusan Nabi Muhammad s.a.w ke dunia lebih utama daripada bulan Ramadhan bukannya membuktikan bulan Maulud itu lebih besar.

Memang benar, segala kebesaran bulan Ramadhan, kurnia Laylatul Qadr, turunnya al Quran, pengampunan atau ganjaran Allah di bulan Ramadhan tidak akan dapat dikecapi fadilatnya jika kecintaan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w tidak wujud dalam diri. Sebab itulah 2 kalimah syahadah itu bukan sahaja mengandungi pengakuan keyakinan kita bahawa hanya Allah itu sebenar-benar Tuhan dan layak disembah, malah kita juga mengaku Nabi Muhammad s.a.w itu rasulNya.

Pertama, kita perlu faham apa makna Rasul dan apakah keutamaan Rasul itu. Kedua, kita kena tahu apa makna mencintai Nabi Muhammad s.a.w. Selesaikan dua perkara itu, maka kita tidak akan nampak apa perlunya menegakkan hujah bahawa bulan kelahiran Nabi (bulan Maulud) itu lebih besar daripada bulan Ramadhan.

Rasul itu hanyalah utusan Allah untuk membawa khabar dari Allah, kemudiannya dia dijadikan contoh tauladan untuk diikuti. Dia Rasul, manusia biasa yang diangkat darjat oleh Allah dengan diberikan taraf maksum.Tugasnya yang utama supaya manusia kembali membesarkan Allah dan menyembah Allah dengan selayak-layak sembah. Membesarkan makhluk hingga memberikan kedudukan hampir sama tuhan, atau taraf tuhan adalah dosa paling berat dan jijik iaitu syirik. Meluruskan akidah manusia untuk mengesakan Allah adalah bagi menghapus dosa syirik ini.

Lalu, mencintai Nabi Muhammad itu memang syarat penting untuk sama-sama masuk ke syurga bersama baginda. Tapi bagaimanakah rasa cinta itu diterjemahkan? Sabda Nabi kepada Anas bin Malik,

"Wahai anakku, jika kamu mampu pada waktu pagi dan petang tidak berdendam dengan sesiapa, lakukanlah. Wahai anakku, itu merupakan sunnahku. Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, sesungguhnya dia mencintaiku. Sesiapa yang mencintaiku sesungguhnya dia akan bersamaku di syurga. Wahai anakku, jika kamu pulang bertemu keluargamu, berikanlah salam kepada mereka. Kerana ia akan membawa keberkatan kepadamu juga keluargamu.

Jelas di sini, mencintai baginda adalah obses untuk menghidupkan sunnah baginda. Membesarkan bulan Ramadhan adalah contoh sunnah baginda yang qat'ie. Sedangkan membesarkan bulan Maulud tidak dipastikan sebagai sunnah Nabi s.a.w.

Buka pelbagai kitab dan bacalah mengenai sunnah baginda, dari doa-doa dan zikir-zikir baginda, dari amalan solat sunat baginda, dari peribadi baginda dengan akhlak sempurna, dari perjuangan baginda untuk dakwah tanpa rasa penat dan lelah, sudahkah kita benar-benar mencontohinya? Nak benar-benar hidupkan sunnah baginda sahaja baru terkedek-kedek, bagaimana boleh kita katakan cintakan baginda dengan hanya meneriak rasa cinta semata-mata? Patutkah kita menjadi seorang teman lelaki yang mengucapkan kata-kata manis kasih dan sayang cuma, atau menjadi suami dan bapa yang sungguh-sungguh melindungi serta memimpin keluarganya ke jalan yang benar? Yang mana satu cinta seorang lelaki yang jadi pilihan hatimu?

3.Nabi Muhammad dimuliakan kerana agungnya Al Quran, bukannya Al Quran menjadi agung kerana mulianya Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad s.a.w diturunkan untuk Al Quran atau Al Quran diturunkan untuk Nabi Muhammad s.a.w?

Sekali pandang kita nampak soalan ini seperti isu "yang mana ada dulu, ayam atau telur?". Turunnya Nabi Muhammad s.a.w memang sudah dijadualkan oleh Allah sejak azali lagi, begitu juga kalam Allah itu milik Allah yang tidak ada mula dan akhirnya.Sebab itu Al Quran menceritakan kisah manusia sejak di alam roh, hingga kejadian-kejadian yang berlaku di dunia dari zaman Nabi Adam hingga kiamat, seterusnya kisah di alam Mahsyar dan di dalam syurga dan neraka yang merupakan alam kekal untuk manusia yang pada kiraan akal manusia adalah kisah-kisah masa hadapan.

Pada pandangan alim ulama, Laylatul Qadr bukanlah malam turunnya Al Quran pada Nabi Muhammad s.a.w, tetapi turunnya Al Quran dari Lauh Mahfudz ke Baitul Izzah.

"Allah menurunkan al-Quran sekaligus dari Lauh Mahfudz ke Baitul Izzah (rumah kemuliaan) di langit dunia kemudian Allah menurunkannya secara beransur-ansur sesuai dengan pelbagai peristiwa selama 23 tahun kepada Rasulullah s.a.w.” (Tafsir Ibnu Katsir 8/441)

Ini menunjukkan Laylatul Qadr dan turunnya Al Quran pada malam itu bukanlah atas sebab adanya kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., atau disebut oleh Faisal Tehrani sebagai, "Oleh kerana alQuran adalah mukjizat Rasulullah saw maka Rasulullah saw datang dahulu baru ada Quran. Tak ada nabi tak ada mukjizat itu. Kerana itulah meraikan nabi sangat penting dan besar."

Al Quran ada dulu sebelum lahirnya Nabi Muhammad s.a.w, itu yang saya yakin.Malah Nabi Muhammad s.a.w itu yang diutuskan khas ke dunia untuk menyebarkan Al Quran yang merupakan panduan untuk manusia sehingga hari kiamat. Benar, Al Quran itu mukjizat Nabi Muhammad s.a.w. Tapi bukanlah bermakna Nabi Muhammad s.a.w lebih agung daripada Al Quran. Itu salah. Al Quran itu yang lebih agung dari sekalian makhluk kerana Al Quran itu Kalam Allah Yang Maha Agung. Nabi Muhammad s.a.w tak pernah mengajar untuk mengagungkan baginda. Suruhan berselawat ke atas baginda adalah kemuliaan baginda yang diberikan oleh Allah s.w.t, selayak Nabi terakhir dan nabi untuk seluruh umat manusia dan jin hingga kiamat.

Istimewanya Nabi Muhammad s.a.w di sisi Allah s.w.t tak dapat disangkalkan, tapi jangan dilupa, Allah s.w.t memberikan keistimewaan pada umat Nabi Muhammad s.a.w bukanlah kerana semata-mata lahir sebagai umat akhir zaman, tapi kerana tugas Nabi s.a.w dipikul kewajipannya kepada mereka seluruhnya untuk disambung setelah kewafatan Nabi.Firman Allah s.w.t,

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."(ali imran:110)

Diri Nabi Muhammad s.a.w dimuliakan kerana wahyu Allah. Dirinya sebagai penjelas wahyu untuk manusia dan jin. Baginda adalah Al Quran bergerak. Mencintai baginda bukan boleh terasing dengan mencintai Al Quran.Mencintai Al Quran memerlukan untuk mencintai tafsiran ajaran Al Quran , iaitu sunnah baginda, diri baginda yang menjadi suri tauladan terbaik.Semua menjelaskan keagungan wahyu dan Al Quran itu penyebab kemuliaan para nabi dan Rasul. Ertinya keagungan Allah maka perintah agar manusia memuliakan Nabi wajib dipatuhi.Bukannya sebab kemuliaan nabi dan Rasul, maka wahyu menjadi agung, maka Kalam Allah menjadi agung (?). Itu salah.

KESIMPULAN

Maka jelas, apa yang cuba dibidas oleh Faisal Tehrani berkenaan kenyataan "Bulan Ramadhan lebih besar daripada bulan Maulud" perlu difahami daripada empat kesimpulan berikut:

1. Jika Faisal Tehrani mahu menegakkan hujah bahawa maulud (kelahiran Nabi) itu sangat besar untuk seluruh alam ini mengatasi kebesaran yang ada pada bulan Ramadhan, atas sebab segala fadilat, ganjaran serta pengampunan Allah hanya akan dikurniakan kepada sesiapa yang mencintai Nabi dengan bersungguh-sungguh mengikut ajaran dan sunnah Nabi s.a.w, maka itu dipersetujui.

2. Jika Faisal Tehrani cuba menegakkan bahawa maulud (kelahiran Nabi) itu sangat besar untuk seluruh alam ini mengatasi segala kebesaran yang ada termasuk kebesaran bulan Ramadhan, kebesaran Laylatul Qadr, kebesaran turunnya Al Quran, merujuk kepada status kebesaran yang diberikan Allah, maka itu tidak dipersetujui kerana Nabi Muhammad s.a.w yang mulia juga bersungguh-sungguh membesarkan bulan Ramadhan, malam laylatul Qadr malah turunnya Al Quran. Tercatat semuanya dalam kitab-kitab hadis.

3. Jika Faisal Tehrani cuba menegakkan bahawa bulan Maulud yang dimaksudkan itu adalah bulan yang dirayakan oleh banyaknya umat Islam sebagai Maulidurrasul sebagai bulan yang lebih besar fadilatnya daripada bulan Ramadhan atau malam Laylatul Qadr, disebabkan pada bulan Maulud itu umat Islam menunjukkan rasa cinta pada Nabi dan ahlul baytnya, maka hujah itu juga tak dipersetujui. Disebabkan, rasa cinta kita pada Nabi dan ahlul baytnya adalah dengan mencontohi apa yang dianjurkan Nabi sebagai sunnah baginda yang patut dihidupkan. Bukannya menghidupkan suatu yang Nabi tak anjurkan, malah meremehkan pula apa yang dianjur Nabi (dengan meletakkan amalan menyambut maulud lebih besar fadilat daripada bulan Ramadhan).

4. Saya sangat suka umat Islam mengingati Nabi dan perjuangannya, saya sokong semua program ke arah itu.Apabila mereka diingatkan akan Nabi dan perjuangannya, maka mereka wajib mengingati kewajipan berdakwah mengajak manusia membesarkan Allah dan mengimarahkan rumahNya (masjid). Malah kami di Gofuku Mosalla berusaha mengadakan program dakwah mingguan yang aturcara pertamanya adalah mengingatkan "Kepentingan dan Kewajipan Dakwah oleh Umat Nabi Muhammad s.a.w" dan aturcara akhirnya adalah tasykil atau "Mencetuskan Rasa Mahu Menjadi Daie dan Keluar Berdakwah (Khuruj)" dengan mengumpul nama orang-orang yang berazam dan berniat untuk keluar belajar berdakwah.

Faisal Tehrani menulis,
"Saya bukan pertahankan perarakan. yang saya tegaskan, fadhilat 'meraikan Rasulullah saw' jangan ditidakkan. Kalau ada orang nak potong pulut kuning semasa maulidurrasul nanti mengapa nak halang, itu cara orang tersebut mencintai dan mengenang nabi Muhammad saw."


Sekian.

0 komentar: