|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Saya cuba karang seringkas mungkin apa yang ingin disampaikan dalam tulisan ini. Namun, memang kelemahan saya untuk memberikan penjelasan yang padat dan tepat dalam satu kata yang ringkas. Jika saya bercakap panjang, maka orang menjadi letih dengan pengulangan poin, padahal pengulangan saya memberi maksud penekanan. Apabila saya bercakap ringkas, orang mudah salah sangka, mesej saya samar dan menjadi misteri, orang merenung jauh dan memikir dalam-dalam dengan kata ringkas saya itu, membuang masa mereka pula untuk mencari jawapan yang tak pasti.

Saya sangat serius dalam soal pendidikan. Apabila khusus pula dalam soal pendidikan anak-anak, saya menjadi lebih serius. Saya mahu mewarnakan sendiri corak pada anak-anak yang laksana kain putih itu jika dikurniakan oleh Allah s.w.t.Yang jadikan si anak Yahudi, Nasrani atau Islam adalah saya sebagai penjaganya. Saya ingin membawa anak-anak kepada realiti hidup, bukan menipu mereka dengan fantasi, atau tidak juga berselindung dan menipu mereka dengan hijab yang direka-reka.

LENTUR

Saya ingin lentur mereka sepertimana yang saya harap mereka mampu melentur yang lain pula apabila tiba masanya. Sebab itu pada saya, jangan biar anak-anak main pondok-pondok dengan masak tipu-tipu batu atau daun. Tapi biar anak-anak tolong ibu mereka di dapur, dan memasak dengan sebenar-benarnya. Jangan sampai dah besar,apabila menuntut di luar negara baru nak tanak nasi, siang ikan, potong ayam hatta kupas bawang pun tak reti.

Saya tak mahu menjadi bapa yang gembira anak-anak kecil mereka bermain, dengan selalu berkata, "biarlah budak-budak itu bermain"; tapi apabila anak-anak mereka semakin besar dan suka sekali bermain dan kurang belajar, maka mereka marah pula,"apa ini selalu sangat bermain, pergi belajar sana!"; padahal yang melentur mereka jadi suka bermain adalah si bapa sendiri. Biar berpegang pada pepatah 'melentur buluh dari rebung' itu dengan sebenar-benarnya. Mencurahkan rasa suka si anak pada sesuatu biar dari kecil.

Jika mahu si anak menjadi manusia yang suka menolong orang, suka solat, suka al quran, suka belajar, suka bermain untuk sihat supaya sihat boleh tingkat amal, suka dakwah, suka Islam, suka Allah dan Rasul, itu semua perlu digalakkan dari kecil, didedahkan dari kecil. Itu yang saya pegang dan percaya.Itu prinsip pendidikan anak-anak yang saya selalu pegang.Sebab itu setiap kali saya bercakap dengan anak-anak kecil, kanak-kanak sekolah, saya suka bercakap dengan mereka seperti orang dewasa. Sebab kedewasaan dan kematangan adalah arah tuju yang ingin ditatih pada kanak-kanak.

STEREOTAIP

Saya teringat kisah junior saya yang masih di tahun dua di universiti meminta izin pada ibubapanya untuk bernikah. Tapi alasan si bapa tidak mengizinkannya untuk bernikah adalah dengan kata-kata, "kamu itu masih muda, berseronoklah dulu". Fikir si bapa , orang muda kena bersikap seperti orang muda iaitu berseronok. Maka sebab itu, tak menghairankan jika anda terserempak dengan ibubapa yang tersenyum lebar anak gadis atau anak lelaki mereka sudah berpakwe-makwe. Jangan terkejut juga jika ada si pakwe datang ke rumah orang tua makwenya untuk diangkat keluar berdating.

Ini semua masalah mentaliti. Ada golongan ibubapa memandang tumbesaran anak-anak ini memang stereotaip. Mereka memandang kanak-kanak itu perlu bersikap seperti kanak-kanak stereotaip, remaja itu bersikap remaja stereotaip, dewasa itu bersikap dewasa stereotaip. Padahal realiti menunjukkan bukti jelas, ramai sahaja kanak-kanak boleh bersikap seperti remaja yang stereotaip, dan remaja bersikap seperti dewasa stereotaip, malah jangan terkejut ada sahaja orang dewasa bersikap kanak-kanak stereotaip atau remaja stereotaip. Hakikatnya tidak ada stereotaip. Stereotaip itu adalah bongkah kotak sempit yang belenggu mentaliti ibubapa.

Apabila ada sahaja kanak-kanak menunjukkan IQ tinggi, mula mereka berasa takjub dan ajaib. Padahal IQ itu sendiri koordinat subjektif. Semua kanak-kanak berIQ tinggi sebenarnya. Cuma kerana IQ tinggi kanak-kanak lain tidak dapat dikesan menggunakan unit IQ yang digunapakai oleh pengkaji IQ stereotaip. Ya, sekali lagi stereotaip menjadi punca mengapa perubahan tak dapat dilakukan, tajdid tak dapat dijalankan, anjakan paradigma susah sekali nak digembleng. Anda dah berapa lama dengar isu 'Orang Melayu Malas' misalnya, tapi adakah ada perubahan besar isu ini? Bukan masalah genetik Melayu itu malas, tapi suasana yang dididik dan diasuh dalam kotak mentaliti orang kita itu yang stereotaip.

Saya berikan bukti mudah sebenarnya asuhan dan didikan sejak kecil mempengaruhi kedewasaan manusia. Kita biasa dengar "budak-budak sukakan kartun". Kononnya apabila sudah dewasa, maka dia tidak lagi sukakan kartun.Tapi berapa ramai orang dewasa yang sudah disumbat dengan pemikiran ini zaman berzaman hanya cuba berpura-pura tidak sukakan kartun. Mereka mungkin sudah tak gemar kartun kerana akibat berpura-pura mahu bersikap menjadi dewasa stereotaip yang tak sukakan kartun, maka mereka tidak lagi menonton kartun begitu lama hingga rasa suka tadi hilang.Tapi hakikat itu terbukti di zaman ini. Apabila kepura-puraan mula dihapuskan, lihatlah berapa ramai orang dewasa masih sukakan kartun walaupun dah berjanggut!

PERSEKITARAN

Soalnya, rasa suka di alam dewasa memang boleh tersuntik dengan pengalaman baru apabila mereka melangkah ke alam dewasa. Persoalan seks, agama, politik, atau muzik itu tersuntik kerana persekitaran mereka menenggelamkan mereka. Kita boleh lihat bukti orang dewasa yang tidak ada persekitaran seks, tidak ada rasa minat pada seks. Orang dewasa yang tidak ada persekitaran agama, tidak ada rasa minat pada agama. Orang dewasa yang tidak ada persekitaran politik, tidak ada rasa minat pada politik. Begitulah juga orang dewasa yang tidak ada persekitaran muzik tidak ada rasa minat pada muzik.

Hal yang sama berlaku pada kanak-kanak. Kita boleh lihat apa yang terjadi pada anak yang ayahnya suka menonton video lucah di rumah. Kes oral seks sesama kanak-kanak di bawah meja sekolah pernah berlaku di Malaysia.Begitulah juga biasa kita dengar kanak-kanak berjaya hafal al Quran yang ramai orang dewasa muslim masih tak berjaya,sama juga kes kanak-kanak yang menconteng gambar Tun Dr Mahathir dengan ungkapan "mahafiraun" , atau kes kanak-kanak yang boleh meniru aksi menyanyi dan menari artis yang boleh ditonton di youtube. Semua ini bukti bahawa pembentukan manusia itu berteraskan faktor yang sama iaitu persekitaran, walau di mana pun peringkat tumbesarannya.

Saya ingin anak-anak saya kenal akan Penciptanya, dan kenal dengan tujuan kehidupan, begitu juga kenal akan arahtuju kematian mereka. Semua manusia yang beragama atau tak beragama tetap percaya 3 perkara mengenai mati: semua manusia pasti akan mati; semua manusia tidak tahu bila mereka akan mati; dan yang sudah mati tak akan kembali hidup di dunia. Tapi sebagai orang beriman, anak saya perlu juga tahu, kematiannya menuju negeri akhirat. Itulah destinasi kekal kita. Destinasi yang akan saya ceritakan pada anak-anak saya sejak mereka buka mata di dunia ini.

Biar dunia ini jadi pentas mereka rencanakan persembahan cemerlang untuk Allah. Biar anak-anak cinta menjadi pejuang agama sejak kecil lagi, bukan cinta aiskrim atau coklat. Latih mereka hidup sebagaimana manusia perlu hidup di dunia. Itulah pendidikan untuk anak-anak.

p/s-baca kecuaian ibubapa, anak-anak bermain tali telah mati tergantung: klik

0 komentar: