Setiap tahun kita akan merayakan Aidil Adha atau Eidul Adha atau Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban.
Tahun ini ,erti korban pada hari raya besar ini membawa aku kepada kefahaman yang penting.
Allah s.wt berfirman dalam surah al- Hajj ayat ke 37:
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."
Cuba tanya balik setiap pengorbanan yang kita lakukan sepanjang hidup kita, baik atas niat kerana Allah, kerana diri sendiri atau kerana dunia yang fana ini, satu pun pengorbanan itu tak ada manfaat atau mudarat pada Allah.
Kita korban masa, tenaga, harta mahupun diri pun semuanya itu tak sampai kepada Allah,yang sampai adalah amal ikhlas itu dengan kualitinya berdasarkan taqwa kita pada Allah. Sikit taqwa, maka kualiti ikhlas mungkin sedikit, maka kualiti amal pun sedikit. Nak ada taqwa , kena ada iman. Orang iman tinggi, dekat dengan taqwa. Kalau puasa Ramadhan dulu untuk asuh hati kita menjadi orang bertaqwa, lalu Aidil Fitri datang sebagai kemenangan. Aidil Adha pula adalah hari persembahan taqwa tadi, buahnya, bunganya,matang pohon taqwa itu pada nilai Qurban kita.
Kita pergi haji, apa keduniaan yang kita dapat? Kalau kata dapat beli belah di Tanah Arab, apa sangatlah produk arab yang menjadi kegilaan dunia. Bukan macam negara Jepun yang ada banyak produk teknologi terbaru atau negara Barat yang punya baju fesyen yang moden. Ibadah Haji 100% ibadah berbentuk pengobanan. Semua bakal-bakal haji dan hajjah bertolak ke Mekah dengan hati mahu menunjukkan diri sanggup berkorban masa, tenaga, wang dan diri.
Anda tak akan dengar bakal haji mengeluh "tak akan nak rasa lazat korban duit minyak pergi haji?"
Anda juga tak akan dengar orang yang berkata, "jangan jadi idealistik, jadilah realistik. zaman sekarang perlukan duit, janganlah menyusahkan diri mengorbankan harta sampai diri jadi miskin"
Memang kita miskin, kita tak punya apa-apa di dunia ini melainkan semuanya adalah pemberian Allah Taala.Kita berpakaian ihram sehelai sepinggang. Ada yang mencukur keseluruhan kepala. Licin, tak ada satu pun kemegahan di badan. Kita sedar diri kita miskin dan hanya meminjam sahaja nikmat-nikmat yang Allah berikan pada kita atas sifat RahimNya. Kita Tawaf, Sa'i, Wukuf melempar Jamrah, semua itu tak ada nilai keduniaan pada diri tapi kita sanggup berkorban dan bersusah payah akannya. Sebab yang kita korbankan bukan untuk kita raih di dunia, tapi di akhirat sana melimpah ruah ganjaran dari Allah atas RahmatNya.
Apa itu ikhlas? Ikhlas adalah melakukan amal semata-mata kerana Allah. Semata-mata hanya Allah. Langsung tak ada niat lain. Maksudnya apa? Maksudnya persembahan ikhlas kita itu langsung tidak ada tujuan melainkan untuk Allah suka dengan kita, terima amal kita, meredhai kita, merahmati kita. Lantaklah apa nak jadi pada dunia, lantaklah apa yang dunia akan lemparkan pada kita, semua itu kita terima sebagai ujian dari Allah. Benar, baik kejayaan mahupun kegagalan yang menjadi akibat bagi usaha ikhlas kita semuanya adalah ujian. Ujian bukan semata-mata kesusahan, kesenangan juga satu ujian.
Mari renung kisah Nabi Ibrahim a.s yang diperintahkan Allah s.w.t untuk menyembelih Nabi Ismail a.s yang sering didendangkan saban tahun ketika aidil adha.
Mengapa ujian yang diuji oleh Allah ke atas Nabi Ibrahim ini menjadi titik tolak ibadah Qurban yang diperintahkan ke atas kita untuk direnungi saban tahun?
Ayah yang mana tak sayangkan anak dari benihnya sendiri? Namun kasih sayang kita itu kadang kala buat kita lupa satu apa pun yang ada pada kita itu bukanlah milik kita, semuanya pinjaman dari Allah. Ertinya Allah lah pemilik sebenar, kita cuma pinjam menggunakan sahaja, nanti akan kembali semula pada Allah. Termasuklah anak kita. Itu bukan milik kita. Kan kita biasa dengar bila seorang lelaki mencintai seorang wanita, dia berhajat memiliki wanita itu. Cinta dan rasa nak memiliki memang fitrah. Tapi sungguh, hakikat cinta adalah milik Allah, maka kita perlu sanggup korbankan apa saja demi buktikan cinta pada Allah sepertimana Nabi Ibrahim dikehendaki buktikan cinta pada Allah s.w.t dengan menyembelih Nabi Ismail a.s.
Allah s.w.t berfirman,
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (surah ali imran ayat 92)
Allah yang tahu ikhlas atau tidak kita. Tapi kita tahu kita derma suatu yang kita sayang atau memang kita tak memerlukannya. Nabi Ibrahim diuji untuk buktikan ikhlasnya cinta baginda pada Allah s.w.t. Anaknya Ismail adalah yang baginda sangat sayang. Tapi perintah Allah itu ditaati oleh Nabi Ibrahim malah diberikan semangat oleh anaknya sendiri yang bakal disembelih.
Kalau ada seorang pendakwah berkata, "tak akan nak rasa lazat korbankan duit tol nak pergi ceramah?"
Memang pelik soalannya, apatah lagi diluahkan oleh seorang pendakwah, malah terkenal pula. Duit tol bukan persoalannya, tapi persoalannya mengapa kelazatan berkorban untuk manfaat dakwah dan umat harus dipersoalkan hanya dengan alasan wang yang dibelanjakan untuk tol? Jika berdakwah dengan melalui jalan bertol bukanlah kemampuan kita, Islam tak memaksa pun kita buat juga suatu yang di luar kemampuan kita. Pergilah berdakwah di tempat yang tidak melalui tol, atau jika memang kita ini serba daif tapi ada kemahuan berdakwah, berdakwah pada ahli keluarga dan jiran tetangga pun dah cukup baik malah itulah asas medan dakwah yang utama.
Korban bukanlah perkara yang dikatakan give and take. Kamu korban, dan kamu dapat semula apa yang kamu korban, malah nak dapat lebih pula (maksudnya di dunia). Tak adalah nama korban jika kita menuntut mendapat semula kos-kos korban tersebut. Untuk mengetahui adakah pengorbanan kita itu berbaloi atau tidak, kayu ukurnya bukan manfaat keduniaan yang akan tertimpa pada kita selepas pengorbanan, tapi manfaat yang besar untuk umat di dunia ini dekat dengan Allah dapat berlaku.
Jika asbab korban bayar tol untuk ke satu tempat ceramah, umat dapat manfaat pada dakwah, dan menjadi dekat pada agama dan Allah, mengapa tak rasa lazat? Bukankah kelazatan iman itu pada kesungguhan kita menunjukkan cinta pada Allah dan Rasul paling tinggi melebihi segala cinta kasih kita pada nikmat duniawi yang bukan pun milik kita cuma pinjaman sementara saja.
Orang bertanya kepada saya, "bolehkah kita melukis komik dakwah dan menjual komik tersebut untuk dapatkan kembali kos cetak?"
Persoalannya bukan pada boleh atau tidak boleh, tapi persoalannya adakah melukis komik dakwah kita itu satu pengorbanan kita untuk agama Allah atau hanya untuk tugasan di masa lapang, atau hobi, atau jalan untuk kita buat untung.
Jika niat kita untuk sebarkan komik kita pada siapa saja, kerana yakin komik itu boleh datangkan dakwah, maka mengapa dicaj? Jika diletakkan caj, bukanlah namanya "untuk siapa saja". Kalau komik itu cajnya RM2, maka niat kita mestilah , "untuk sebarkan pada siapa saja yang mampu bayar RM2". Tak betulkah? Kalau tak betul, ada berani letak RM0? Kalau berani, maka tak ada lagi isu caj mengecaj ini.
Sama saja kalau kita nak berdakwah dalam kem dakwah, memanglah kita propaganda "siapa saja marilah bersama-sama kami mengikuti dakwah". Tapi kalau kita sudah letak yuran pendaftaran adalah RM200, maka itu bukanlah bermakna siapa saja. Itu maknanya "siapa saja yang ada RM200 marilah bersama-sama kami mengikuti dakwah".
Saya tak adalah nak mengatakan haram mengambil kembali kos dakwah, atau mencari rezeki dalam lapangan dakwah. Tapi di situ anda pasti tersepit di antara berdakwah kerana Allah dengan berdakwah untuk dapatkan balik modal, atau rezeki lebih. Anda pasti tersepit punya. Malah tidak mustahil akhirnya anda akan mencantumkan niat anda sebagai, "sahaja aku berdakwah kerana Allah dan untuk dapatkan balik modal / dapatkan rezeki lebih". Memanglah di situ anda boleh pusingkan balik niat dengan berkata, "aku nak dapatkan balik modal kerana aku nak dakwah lagi kerana Allah dengan modal itu/ aku nak rezeki lebih kerana aku nak terus hidup untuk boleh terus berdakwah kerana Allah". Tapi mahu atau tidak mahu, ikhlas kerana Allah itu tidak ada kepentingan lainnya, keutamaan lainnya selainnya hanya penting dan utama untuk dapat redha Allah semata-mata.
Konsep dakwah adalah melakukan usaha menyeru manusia kepada Allah, menyeru yang makruf, mencegah yang mungkar, semata-mata kerana Allah. Di zaman Nabi, usaha-usaha dakwah ini mengkehendaki sahabat berkorban harta dan diri dari mereka sendiri. Kita tak pernah dengar para sahabat Nabi berdakwah pada musyrikin dengan letak bayaran, kita tak pernah dengar sahabat Nabi melawat siapa saja di pasar, jalan raya, rumah-rumah dan sampaikan dari Nabi dengan meletakkan caj kos dakwah mereka. Dakwah adalah pengorbanan.
Memang dibenarkan para alim ulama yang mengajar agama untuk dapat upah disebabkan kerja-kerja mengajar agama mereka tak membolehkan mereka mencari rezeki di jalan lain. Namun, nama pun alim ulama, maka mereka bukanlah bodoh sangat tak reti nak bahagi masa untuk mencukupkan keperluan diri, sebab itu ramai para alim ulama di zaman dulu-dulu di Tanah Melayu ini selain mengajar di pondok-pondok, mereka juga mengusahakan tanaman dan ternakan untuk keperluan hidup. Tapi alim ulama ini golongan yang Allah kasih, malah merekalah golongan-golongan bertaqwa yang memiliki iman yang tinggi pada Allah. Allah tak pernah abaikan rezeki untuk hamba-hambaNya yang soleh. Memang Allah akan datangkan pada mereka rezeki yang tak disangka-sangka.Hatta mudah bagi Allah membuka hati siapa saja untuk menanggung rezeki para alim ini tanpa diminta pun.
Soal rezeki jangan dibising sangat. Soal yang perlu dibising adalah adakah kita ini orang yang mensyukuri rezekiNya? Siapa itu yang mensyukuri rezekiNya? Itulah orang-orang yang menggunakan setiap satu nikmat yang Allah berikan pada mereka mengikut apa yang diperintahkan Allah.Sebahagian rezeki dibelanjakan di jalan Allah, sebahagian yang lain untuk keperluan diri. Dunia hanya sementara, harta yang nak dikumpul adalah harta akhirat berupa ganjaran-ganjaran besar dari Allah atas setiap pengorbanan kita ke jalan Allah. Harta dunia ini hanya penting untuk keperluan terus hidup dan supaya ibadah tidak terhalang sahaja.
4 komentar:
Terima kasih adik utk artikel yg baik ini .. menaikkan semangat akak untuk sama2 berdakwah ...menyertai jemaah , memperbaiki diri dan sempurnakan agama ...
Mudah2an Allah sentiasa bersama adik .. hehe all da best ok!! :-)
orang itu niatnya bertanya soalan itu sebenarnya kerana dlm hatinya ingin mengetahui, "bolehkah sy beli komik dakwah yg org itu jual? harganya tidak mahal, isinya sgt bagus. sy amat rindu komik sbegitu tiada jln lain kecuali mbelinya. sy harap sy tidak salah".
bila difikir, ya mungkin kerana org itu ada duit bolehlah dia membelinya. kalau dia xde duit, mungkin die akan cari komik gratis di internet shj. itu pun kalau dia ada duit buat bayar kos internet atau menunggu seseorang yang baik hati cetakkan komik itu utk dia.
bolehkah konsep gratis berjaya mendakwahi setiap orang?
Allah Maha Tahu. Insyaallah xkan mati kelaparan seorang hamba Allah yg buat kerja dakwah free of charge. cuma die kena tanggung sikit2 sakit, sikit2 miskin dan sikit2 penat. Ya mmg sikit2 shj berbanding segala bagai nikmat yang Allah beri pinjam ini.
Fuhh bercakap byk hrp dpt buat juga. Bersedia utk miskin, sakit, penat dan kurus. Tp tidak terlampau sehingga xlarat nk solat. Mengorbankan sst yg amat yg kita sayangi sikit py besar jihadnye!
p/s: trimekasih atas perkongsian ini mfr
Ada seorang ulamak yg akak kagumi berkata .. orang Islam jgn biarkan hidup dikelilingi kemiskinan dan kesusahan ... perlu ada perubahan untuk maju demi membantu saudara yg lain..
Dakwah secara percuma itu juga perlu bagi membantu mana yg tidak berkemampuan ... teringat semasa akak sesak (duit cukup2 makan), tapi sebab jiwa ni meronta2 nak pengisian..Alhamdulillah, Allah beri akak attend satu kuliah agama secara percuma .. betapa bersyukurnya ..hanya Allah yg mengetahui ...
Berlapang dada lah .. jika ia benar di jalan Allah .. nampak susah tapi Allah pasti ada untuk membantu ...
Berdakwah secara percuma itu perlu ada tapi realiti kehidupan kadang2 tak dpt menolak kenyataan .. :-D
Just my 2 cents.. hehehe
nice article for everybody...
they realize dakwah is important
Post a Comment