babak akhir dalam Drama "Antara Garisan" - si syaitan mula menjelmakan identitinya
Antara perkara yang saya dapat dari drama "Antara Garisan" adalah "orang yang baik boleh menjadi jahat, orang yang jahat boleh menjadi baik, maka jangan menghukum orang".Kisahnya berkenaan seorang ustaz yang baru sampai ke sebuah kampung, telah terpedaya dengan semangat jihad untuk membanteras kemungkaran di kampung tersebut. Dalam waktu yang sama anak murid perempuan ustaz itu di sekolah punya seorang kakak bekerja sebagai GRO sehingga mengandung anak luar nikah.
Kemuncak kisah ini adalah setelah si kakak dibelasah oleh pejuang-pejuang jihad pengikut ustaz itu, telah diselamatkan oleh keluarga imam masjid. Si kakak itu mula dekat dengan masjid, dan si ustaz pula tergoda dengan si adik iaitu anak muridnya sendiri lalu ditangkap berzina oleh pengikutnya sendiri di akhir cerita.
Dengan kata lain, "Antara Garisan" membawa maksud garisan yang memisahkan antara baik dan jahat sangat nipis, bila-bila masa saja manusia boleh menyeberangi garisan itu dan terjadilah seperti penamat drama ini, si baik menjadi jahat, dan si jahat menjadi baik.
Suatu yang sangat menghairankan dalam drama ini adalah watak syaitan berserban dan si ustaz tidak berserban sehinggalah babak akhir cerita ketika dia ditangkap berzina, dia berzina bersama serban.Dan si imam yang digambarkan "hikmah" dalam berdakwah lakonan Zaibo pula mempunyai anak yang "free hair". Apa yang lebih mengasyikkan si imam sangat marah dengan perbuatan si ustaz dan para pejuang jihad kampung itu kerana "suka menghukum orang lain".
Ya, saya bukan mahu buat review drama ini yang saya kira sama saja jenisnya dengan drama dakwah lain dalam bulan ramadhan terbitan orang melayu yang degil, tapi saya ingin berbicara soal "jangan menghukum orang" itu.
ALASAN UNTUK KEMUNGKARAN TAK TERHUKUM
Dalam Islam, memang benar kita tak dibenarkan untuk menghukum orang sewenang-wenangnya. Kita perlu bawa saksi yang cukup jika terjadi perlakuan kemungkaran, kita disarankan menutup aib atau tidak berbicara soal mungkar saudara kita, berbicara soal saudara kita-baik mungkar atau tidak telah dikira ghibah, ketika menghukum pesalah mungkar kita tak dibenarkan mencaci dirinya, dan hak menentukan syurga atau neraka buat pesalah mungkar adalah hak Allah seperti dikisahkan bagaimana si pelacur yang memberi minum pada anjing juga dipilih Allah untuk memasuki syurga, malah kita tahu hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui isihati seseorang.
Namun, amat menyedihkan apabila seolah-olah ada suatu "gerakan" yang cuba mempropagandakan "jangan hukum orang" ini sebagai lesen untuk berkembangbiak dan lesen berleluasanya kemungkaran.
Sebenarnya Allah s.w.t telah mengingatkan kita dalam surah Hud ayat ke 29:
Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.(surah hud: 117)
Ya, kata kunci kita adalah "BAIKI". Benar, kita tidak boleh "hukum orang" sewenang-wenangnya. "Jangan hukum orang" hanya merujuk kepada perlakuan "sewenang-wenangnya" atau "melulu", tapi tidak dalam situasi untuk "membaiki".
Sebab itulah wujudnya hukum hudud sebagai hukuman kepada jenayah-jenayah berat dalam Islam, dan tidaklah semua ini diadakan melainkan untuk "memperbaiki" samada baiki kepada pesalah mahupun baiki masyarakat secara amnya. Kita juga memahami dalam negara manapun, samada yang mahukan syariat atau yang tolak syariat, usaha menghukum pesalah memang giat dilakukan samada proses siasatan, tangkapan, perbicaraan dan seterusnya hukuman. "Yang bersalah mesti dihukum", itu difahami sekalian manusia.
Walaupun hal "yang bersalah mesti dihukum" diakui semua orang, gerakan "jangan hukum orang" ini memfokuskan kepada "hukuman" berbentuk "persepsi", "pandangan", "anggapan" orang agama terhadap orang yang berdosa.Mereka mahu "orang agama" jangan berasa jijik dengan "orang berdosa". Benar, kita tak boleh berasa jijik dengan sesiapa kerana sebagai pendakwah kita wajib berpandangan setiap orang punya hak dan layak menerima hidayah dan menjadi ahli-ahli syurga Allah s.w.t. Namun, apa yang membimbangkan kita, gerakan "jangan hukum orang" ini juga tidak mahu "orang agama" berasa jijik dengan perlakuan dosa yang dilakukan oleh "orang berdosa". Inilah permulaan jarum "berasa tak apa pada mungkar", yang bersalahan konsepnya dengan konsep "selemah-lemah iman itu dengan hati (berasa benci pada mungkar)".
Jarum suntikan inilah yang buat para ustaz dan alim ulama yang muncul di kaca televisyen berasa serba salah seterusnya menjadi bisu kepada kemungkaran terang-terangan yang berlaku di depan mata. Jika anda menonton program bual bicara bertajuk "tudung" sedangkan pengacaranya muslimat kita yang "tak bertudung", anda jangan berasa hairan. Itu adalah salah satu cabang gerakan "jangan hukum orang" yang sedang dipropagandakan di kaca televisyen. Alasannya mudah, "jangan hukum orang tak bertudung itu tolak agama, mungkin dia lebih beragama dari orang yang bertudung". Konsepnya sekali pandang adalah betul, tapi jika diamati dan diperhati ada malapetaka besar sedang beroperasi.
Begitulah adanya, apabila rancangan Melodi Raya mempersembahkan lagu-lagu raya nyanyian para artis muslim seMalaysia berkampung di sunway lagoon yang kebanyakan lirik dipaparnya amat mengelirukan akan konsep sebenar aidilfitri bagi umat Islam. Seolah-olah kegembiraan aidilfitri yang ingin disambut oleh umat Islam adalah dengan acara bingung lagi membingungkan itu. Aidilfitri bukan soal hiburan, lalai dan makanan. Tapi soal syukur, khusyuk dan iman. Namun, mampukah seorang artis berdiri dan mengatakan bahawa apa yang mereka lakukan adalah bersalahan dari konsep aidilfitri sebenar dan bersalahan juga dengan amal islam? Tidak ada. Kerana apa? Kerana "jangan hukum orang".
CUBAAN MEMULIAKAN PENDOSA DAN MENGHINA PENGAMALSOLEH
Salah satu cabang gerakan "jangan hukum orang" adalah cubaan untuk memuliakan orang-orang yang berbuat dosa dan menghina para pengamalsoleh yang cuba membaiki suasana.
Anda akan lihat nanti, bagaimana apabila golongan yang cuba untuk membaiki suasana melakukan usaha, akan muncul golongan yang memburuk-burukkan usaha itu dan menghalang kemungkaran dari dibanteras. Persoalan kemungkaran akan dialihkan kepada keburukan usaha membaiki suasana.
Ya, mungkin benar ada beberapa usaha membaiki suasana itu memperlihatkan kelemahan, namun, adakah kemungkaran boleh terus dibiarkan tanpa dibaiki? Mereka beranggapan usaha membaiki adalah dengan menyuruh kelompok sedar beraktiviti sesama sendiri saja, dan jangan mencampuri urusan para pembuat dosa. Apa yang mereka mahu halang adalah percubaan pembaikan atas apa yang dilakukan oleh para pelaku mungkar tadi.
Dan sekiranya para pembaiki suasana mahu cuba membaiki mereka, mereka mahu para pembaiki suasana itu melakukan dulu etika "jangan hukum orang" dengan cara:
1. mendiamkan kemungkaran, jangan ditegur
2. meraikan dan menerima kemungkaran sebagai suatu yang realiti
3. menasihati pelaku mungkar dengan cara melayan mereka sebagai orang yang istimewa. (senyum, cakap lemah lembut sesekali bergurau, berkasih sayang)
Benar, semua perkara di atas adalah antara adab dakwah yang dianjurkan, iaitu:
1. menasihati secara persendirian , tidak terbuka
(adab nasihat pada pemimpin)
2. berhadapan dengan kemungkaran tanpa marah dan melenting
(kes badwi kencing masjid nabi)
3. berdakwah dengan bercakap lembut
(dakwah Nabi Musa kepada Firaun)
Namun, dalam masa yang sama apa yang diharapkan oleh gerakan "jangan hukum orang" adalah, dakwah menjadi lemah dan lembik sehingga kemungkaran menjadi arus perdana dan amal soleh menjadi gerakan subversif. Sindrom ini dapat dilihat dengan jelas apabila mempunyai tanda-tanda berikut:
1. Kemungkaran diulangi lagi tanpa ada rasa malu setelah diberi nasihat
2. Kemungkaran dilakukan secara terang dan penuh provokasi ke atas golongan agama
3. Golongan agama disindir selari dengan kemungkaran yang dibuat
4. Membiarkan golongan agama berputus asa dalam dakwah, dan berlapang dada saja kemungkaran sebagai salah satu asam garam kehidupan.
Apa yang diharapkan oleh "jangan hukum orang" adalah matinya "nasihat", "teguran", "mencegah mungkar", "menghukum mungkar", seterusnya matilah tulang belakang dakwah iaitu "menyampaikan". Fasa yang mereka mahu capai adalah situasi "DIAM" oleh golongan agama, dan situasi "BISING/TERANG NYATA" oleh golongan pelaku mungkar.
Sebab itu anak si imam dalam drama "Antara Garisan" itu "free hair" (mungkar) walaupun si ayahnya (imam) sedang kondem ustaz muda dan pejuang jihad yang "senang-senang" menghukum orang lain. Benar, aksi ustaz muda dan pejuang jihad yang membelasah si GRO adalah "melampaui batas", namun menjadi seorang "free hair" juga sudah melebihi batas-batas yang Allah adakan untuk hambaNya (aurat).
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.(surah hud:112)
TEGUH PADA JALAN IMAN, NASIHAT
Kita yang yakin dan iktikad akan jalan-jalan keimanan boleh terus jalankan usaha membaiki iaitu dengan menasihati. Benar, kita bukanlah penguasa atau hakim yang punya hak untuk menghukum pelaku-pelaku mungkar. Namun untuk membiarkan mungkar tanpa ditegur, dinasihati, dibaiki dan diubah, itu bukan kita, itu mungkin pendakwah-pendakwah lembik yang gembira dapat berasimilasi dengan aktiviti mungkar sebagai kejayaan dakwahnya "berhadapan dengan kemungkaran".
Kita berpegang kepada ayat ini:
Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman: Buatlah apa yang kamu sanggup melakukannya (dari perbuatan ingkar itu). Sesungguhnya kami juga tetap mengerjakan (nasihat pengajaran yang Tuhan berikan kepada kami).Dan tunggulah (akibat yang buruk yang akan menimpa kamu)! Sesungguhnya kami juga menunggu (akan kemenangan dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah kepada kami).(surah Hud 121-122)
1 komentar:
Aduss....malu rasenye kpd diri sendiri...
Post a Comment