|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH


Sekitar waktu kecilku Hari Raya adalah hari bertemu dengan saudara mara belah ayahku. Kami jarang bertemu dengan saudara belah ibuku. Bukan tak ada, mungkin janggal dengan persekitaran keluarga ibuku yang lebih berada, rumah mereka yang besar, dan cara bicara yang berbeza. Aku lebih senang dengan saudara mara belah ayahku yang berada di Kampung Bendang Selinsing Sauk Kuala Kangsar Perak itu. Mereka orang kampung yang sederhana, rumah kayu yang berlubang, ayam-ayam yang berlari-larian, pohon-pohon buah yang rimbun, mahupun sungai perak yang keruh itu menjadi panorama dan aroma Hari Rayaku.

Hari Raya juga hari untuk kami keluarga keturunan Wan Teh berkumpul. Hari itulah aku dapat bertemu buku dan ruas dengan sepupu sepapatku yang kadang kala perwatakan adik beradik mereka semacam cermin adik beradikku jua. Watak diri aku juga ada dalam anak-anak pakcik dan makcik aku itu. Apabila bertemu watak-watak fakhrul razi yang sama nakalnya, maka kami bergabung dan membuat onar di kampung.Bukan senang kami boleh bertemu sekali setahun.

Tapi apabila penghijrahan aku ke Selangor, jarang kami dapat balik ke kampung dan berkumpul seperti dulu. Jika sampai ke kampung pun, sepupu sepapat yang lain sudah pun pulang, atau mungkin tak balik pun ke kampung. Kami juga tidak selalu lama di kampung, sekadar satu malam bertemu dengan nenekku dan mana-mana saudara yang tinggal berdekatan saja.

Ya, masa berlalu begitu pantas. Sepupu sepapatku semua juga sudah besar panjang seperti aku juga. Aku pun sudah lama tak bertemu kebanyakan mereka. Pastilah ramai yang sudah tidak cam wajah aku lagi, apatah lagi wajah aku kerap bertukar-tukar setiap 4 musim di Jepun (gurau ja). Tapi aku memang sukar dikenali dengan gambar foto mahupun video. Apatah lagi orang nak kenal aku dengan tulisan atau lukisan. Itu tidak mungkin.

Sebenarnya Hari Raya bukan ada apa-apa istimewa dalam keluarga aku. Tidak ada budaya tukar langsir baru, tukar perabot baru, tukar baju baru, buat kuih raya, beli kuih raya, bagi duit raya, semua itu tak ada dalam keluarga aku sejak aku kecil. Bukan tak ada langsung, ada jugalah sesekali ayah aku belikan sarung kerusi kusyen yang baru, dan mungkin tahun berikutnya, adalah juga tukar langsir baru, tapi itu mungkin setiap 7 tahun sekali atau benar-benar dah teruk sangat atau buruk sangat yang lama. Ibuku pun adalah juga buat kuih raya sikit-sikit macam kuih gunting ke kuih tat ke, itupun kalau kakak aku yang dua itu ada masa menolong. Sekarang dua-dua pun dah nikah, mestilah ibuku tak larat lagi buat kuih raya.Tapi apa yang best setiap kali Hari Raya aidilfitri, pastilah ibuku buat nasi himpit, kuah kacang dan rendang ayam. Dah macam kemestian.

Aku tak menolak aku rindukan nasi himpit, kuah kacang, dan rendang ayam ibuku. Tapi sudah 5 tahun aku berhari raya tanpa masakan ibuku. Kalau 4 tahun sudah, ada jugalah sambutan hari raya dibuat oleh pelajar Malaysia di sini, dan mereka pastilah memasak lauk pauk yang enak lazat berkrim, rendang ayam, rendang daging, sate, soto, kuih muih, kek-kek, dan entah apa lagilah sehingga banyaklah periuk-periuk yang dipakai tak dibasuh semula, terpaksalah aku sukarela membasuhnya.

Namun tahun ini mungkin tahun akhir aku berhari raya di Jepun, dan merupakan kali pertama juga hari raya aku di Jepun tak ada lagi juadah-juadah yang enak lazat berkrim itu semua.

Semua pelajar Malaysia balik ke Malaysia dan ada juga yang berhari raya di Tokyo, Yamanashi atau di mana lagi tak tahu aku, tapi bukan di Toyama. Aku menjadi satu-satunya orang melayu Malaysia yang ada di Gofuku Mosalla ketika ini,atau mungkin di Toyama seluruhnya. Buat pertama kalinya Hari Raya aku disambut dengan juadah megi goreng kambing pedas resepi aku sendiri.

Tapi semua itu tak ada hal, dulu semasa aku kecil pernah juga berhari raya dengan makan nasi goreng saja, tapi aku lupa kenapa Hari Raya itu tak ada ibuku. Memori aku banyak yang hilang sebenarnya semenjak aku kemalangan 2 tahun sudah. Tapi aku tak ceritakan pada siapa-siapa sebab aku rasa memori itu tak hilang cuma ia terpendam sebab ia tak penting untuk diingati . Mungkin apabila ia penting, Allah akan beri aku semula memori yang lepas (macam Kang Jun Sang dalam Winter Sonata pulak dah).

Entah kenapa seronok pula mengarang blog dengan cerita-cerita ringan-ringan kehidupan seharian ini. Patutlah ramai pelajar-pelajar perempuan yang berblog suka cerita kehidupan seharian mereka di blog.

Aku bangun lewat hari ini bukanlah banyak sangat amalan malam di malam raya sangat. Aku menggodek-godek perisian TVP Animation semalaman, konon nak buat animasi berdurasi 2 minit, tapi baru nak lukis pun dah banyak tak faham fungsi-fungsi tools dalam tu. Nak cari tool "pemadam" pun tak reti guna. Geram juga, tapi kalau nak ikutkan geram, macam-macam geram pun ada dalam hati aku ni, lagi-lagi bila baca provokasi orang yang menyindir perihal drama islami itu. Kononnya orang yang mengkritik drama ini, tak reti buat drama, dan kononnya drama islami itu adalah mustahil.

Rasa hati nak pekik saja di telinga orang-orang yang sinis dengan konsep drama islami ini, "yang tak reti buat drama dan yang mustahil buat drama itu kau ke aku?!". Aku mengakulah aku tak pernah ada drama sendiri, tapi aku tak pernah fikir suatu yang mustahil untuk perjuangkan islam dengan mengikut 100% syarie. Kalau betullah suatu yang mustahil dan fantasi memperjuangkan islam dengan 100% syarie dengan buat drama dakwah 100% ikut syariat, maka Islam ni cara hidup yang mustahillah? Begitukah?

Ada pula pihak yang cuba menghalalkan perlakuan mereka dengan alasan, drama dakwah itu bukan untuk penonton yang faham islam saja, tapi untuk yang tak faham islam juga. Ada rasa nak tempeleng dan sepak terajang saja orang yang cakap macam ni. Tapi sebab syariat melarang kita membelasah orang sesuka hati, tak bolehlah buat. Adakah disebabkan drama kita akan ditonton oleh orang tak faham islam, maka kita PERLU LANGGAR SYARIAT dengan niat perlanggaran syariat itu akan menarik orang tak faham islam menonton drama kita? Maknanya KETAATAN kita pada syariat bergantung kepada MAD'U kita? Begitukah? Sebab mad'u kita itu kafir, maka kita kene jadi perempuan free hair supaya mad'u kita itu tertarik untuk dengar dakwah kita? Apa baranglah.

Tapi penat juga berleter soal drama filem ini. Umat islam bukan saja diperbodohi oleh industri hiburan dan hedonisme saja, banyak lagi umat islam dipenjara dan diperbudakkan macam pengemis hina, dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan sosial lainnya. Kalau asyik fokus pada perbincangan hedonisme hedonisme, maka mungkin kita terlepas pandang bahaya lain. Cukuplah pendirian kita sudah dijelaskan dalam bidang itu, bidang-bidang lain juga perlukan pendirian jelas dan tegas dari para pejuang kebangkitan islam ini.

Apa-apapun, di hari raya setiap tahun pun, rancangan televisyen di malaysia sempena hari raya memang mengelirukan akan cara hidup islam. Kalau dah bulan ramadhan yang mulia pun ditunjuk drama dakwah dengan memanipulasi bentuk badan pelakon muslimat kita yang cetek agama, saya kira lebih ramai lagi pelakon, penyanyi, para artis yang cetek agama akan dipergunakan dan diperkotakkatikkan kejahilan mereka oleh pihak-pihak kesyaitanan, untuk digunakan dalam rancangan so called "aidil fitrri (kembali kepada fitrah)" itu. Insha Allah, satu hari nanti kaum artis kita yang cetek agama akan saya usaha selamatkan dari terjerumus dalam genggaman para pengusaha kesyaitanan itu. Doakan kejayaan saya wahai seluruh artis cetek agama.

Aidilfitri bukan sekadar sambutan, tapi ia adalah hari untuk meraikan kemenangan kita TEGUH PADA IMAN DAN TOLAK PADA NAFSU, barulah kita benar-benar SUCI BERSIH KEMBALI PADA FITRAH. Fitrah seorang hamba yang merindui TUHANnya. Tazkirah buat diri saya sendiri.

Ish, tadi ingat tak nak bicara berat-berat dah. Ada juga terselit isi-isi semangat perjuangan.

Apa-apapun solat raya di mosalla seperti juga tahun lepas, semuanya lancar dengan takbir dan khutbah yang berkesan. Cuma bilangan jemaah sahaja yang sudah berkurang disebabkan ketiadaan pelajar Malaysia lain.



2 komentar:

EdAlia said...

salam mfr,

slamat hari raya, maaf zahir batin.
haih sabo jela, kalo x dek yang menentang x name perjuangan ye x?

saya antara yang menyokong.. truskan perjuangan saudara! chaiyok2!

analessahorra said...

(macam kang jun sang dalam winter sonata)

mmg best..mmg best..