|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Jika para pengunjung blog saya yang tak seberapa ini meneliti beberapa tulisan saya dalam blog ini, pastinya akan menyedari saya sering mengungkapkan betapa penting bersatu dalam kesatuan ahlus sunnah wal jamaah dan mendekati serta memartabatkan golongan ulama.

Saya mengucapkan terima kasih kepada sesiapa yang memberi perhatian pada pendirian saya ini sehingga mendorong beberapa individu mengirim emel pada saya menegur saya akan beberapa perkara.

Antara perkara itu ialah:

1)Hentikan gelaran 'wahabi' pada pejuang sunnah salafiyyah,dan tidak sewenang-wenangnya merendahkan golongan ulama salafi (contoh SS Mufti Dr Asri Zainul Abidin).

Saya memang tidak mengambil pendekatan merendah-rendahkan sesiapa, mana-mana kumpulan, gerakan, puak dan sebagainya, malah saya mengambil lebih langkah berhati-hati apabila Dr Asri telah dilantik menjadi mufti perlis.

Jika kita memahami beberapa perintah Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w dalam sabdanya sememangnya pendekatan merendah-rendahkan, mengejek, mengutuk, mengata, mencaci, mengkeji terhadap individu atau kumpulan yang tidak memusuhi agama Allah secara terang-terangan dan jelas apatah lagi merupakan golongan saudara atau kumpulan sasaran dakwah adalah satu pendekatan yang tidak bijak langsung.

Mungkin kadang kala tulisan saya memperlihatkan saya merendah-rendahkan satu-satu kumpulan yang saya tidak senang seperti golongan 'wahabi','syiah' atau 'rufaqa' dalam beberapa siri tulisan saya sebelum ini di samping ada menyebut golongan 'sekular','liberal','neo khawarij', 'politik-centric' dalam beberapa parti politik dan menentang semua ideologi remaja underground,hedonis,dan modenis yang tidak selari dengan perjuangan ahlus sunnah wal jamaah.

Walaupun perjuangan beberapa individu dan kumpulan itu tidak saya senangi malah cenderung menentangnya, saya merasakan pendekatan merendah-rendahkan peribadi seseorang sehingga mengecop dengan gelaran yang berat seperti munafik, kafir, dajjal adalah satu perkara yang tidak hikmah bagi saya.

Bagi memudahkan memahami pendekatan yang hikmah, beberapa kes perlu direnung.

Ia bermula dengan serendah-rendah kes seperti mengejek nama ayah kawan kita.Apabila kita memulakan ejekan kepada nama ayah kawan kita, pastinya secara biasa kawan kita akan membalas mengejek nama ayah kita. Oleh itu, jika kita mengaku menyayangi dan memuliakan ayah kita maka perbuatan mengejek nama ayah orang lain adalah suatu yang tidak hikmah kerana perbuatan itu mendorong pihak lain mengejek dan merendahkan nama ayah kita yang tentu sekali hal yang amat kita benci.

Oleh itu, jika kita mengejek ulama aliran yang tidak selari dengan kita, besar kemungkinan ulama aliran kita yang kita mulia dan martabatkan akan diejek dan dikeji orang atas sebab perbuatan ejekan dan merendah-rendahkan seseorang itu satu provokasi yang hakiki yang menjadi kunci buat orang lain membalasnya dengan perkara serupa.

Maka, tidak hairan jika kita umat Islam dilarang untuk menghina agama atau 'tuhan' bagi agama lain kerana besar kemungkinan pihak itu akan menghina Allah s.w.t yang satu satunya Tuhan yang kita sembah. Maka jika kita memulakan langkah menghina 'tuhan' agama lain seolah-olah kita sudah merelai Allah s.w.t dihina.

Oleh itu Allah s.w.t sudah mengatur panduan buat kita menimbang langkah mana yang hikmah apabila di dalam al quran sendiri Allah s.w.t telah menyeru agar suatu kumpulan tidak merendah-rendahkan kumpulan yang satu lagi kerana mungkin kumpulan yang direndah-rendahkan itu lebih baik dari kumpulan yang menghina.

Itulah kunci kepada langkah hikmah yang perlu diambil apabila kita tidak menyenangi beberapa individu atau kumpulan.Iaitu tidak lain dan tidak bukan, kita perlu memastikan kita sudah lebih baik daripada kumpulan yang kita tidak senangi itu, dan bukannya terus-terusan menghina dan merendah-rendahkan dan kemudian mencetuskan perbalahan dan sengketa dengan masing-masing sudah kutuk mengutuk dan akhirnya meletakkan diri kita dan kumpulan kita sama sahaja dengan kumpulan yang kita tidak senang atau mungkin kita lebih teruk lagi.

Saya masih akan menggunakan istilah wahabi, atau mungkin kadang kala saya meletakkan tambahan salafiyyah wahhabiyyah atau salafi wahabi, bagi merujuk kepada pendekatan dan pemikiran muhammad ibn abdul wahab dan pengikutnya sama ada pada zaman awal dakwahnya mahupun generasi-generasi yang mendukung pemikiran beliau.

Bagi saya istilah itu satu-satunya istilah yang boleh difahami dan dapat mengelakkan dari kekeliruan kerana golongan itu sering mendakwa mereka adalah pengikut salafus soleh dengan istilah salafi atau salafiyyah seolah-olah menafikan kesatuan ulama ahlus sunnah wal jamaah sebagai pengikut salafus soleh. Padahal kita fahami bahawa kebanyakan imam mazhab hidup dalam 3 kurun pertama pengembangan islam di dunia yang 3 kurun itu juga disebut sebagai zaman salafus soleh.

Namun jika ada tulisan saya yang memperlihatkan saya merendah-rendahkan mana-mana golongan wahabi ini dengan nada mengejek maka tegurlah saya kerana saya mengakui ejekan bukan cara saya walaupun ada rakan saya atau sesiapa yang sealiran menentang fahaman wahabi bertindak mengejek dan saya yang sering berkata mahu mencari hikmah dalam berdakwah lebih-lebih lagi perlu mengelak dari perbuatan mengejek.

Saya memahami bahawa bukan semua orang yang la mazhabi atau yang mengaku salafi di malaysia adalah termasuk dalam kelompok yang saya gelarkan wahabi ini,dan mungkin dengan kata yang lebih mudah ada beberapa kriteria yang saya gariskan sebagai kriteria golongan wahabi mengikut pemahaman saya.

antaranya ialah:

1) golongan yang cenderung untuk mengatakan tafsiran fiqh mereka yang bertentangan dengan mazhab majoriti orang awam yang diajar oleh majoriti ulama ahlus sunnah di malaysia sebagai tafsiran yang tepat dan setepatnya dan mendekati sunnah Rasulullah s.a.w dalam erti kata lain menolak adanya konsep berlapang dada dengan ijtihad yang berlainan.

2) tindakan itu mampu mencetuskan polemik dan konflik sehingga membuatkan orang awam sibuk menghabiskan masa dan tenaga bagi memahami sedalam-dalamnya isu yang timbul padahal isu-isu itu adalah termasuk dalam hal khilaf yang tidak perlu dipanjangkan dan keutamaan perlu diberikan untuk orang awam melaksanakan secara jamaah dan kesepakatan atas apa yang telah majoriti ulama ahlus sunnah sepakat dan ajarkan sehingga mana kesepakatan itu tidak mendatangkan hal-hal bertentangan dengan syarak dan ukhuwah islamiyah.

3) golongan yang menolak konsep musyawarah dalam hal-hal yang diperselisihkan dan cenderung melihat kesepakatan dan ijmak yang diraih itu lemah selagi tidak selari dengan kehendak golongan mereka.

4) golongan yang cenderung mempopularkan akidah mujassimah,musyabihah dan cenderung menentang golongan asyariah.

5) golongan yang cenderung melihat golongan yang tidak sependapat dengan mereka atau selari dengan mereka dalam sesuatu isu yang boleh dibawa berbincang,musyawarah, kerjasama dan bersepakat sebagai munafik atau kafir padahal golongan yang dituduh munafik dan kafir itu secara jelas masih beriman kepada Allah s.w.t dan Rasul dan berusaha melaksanakan tuntutan islam.

6) golongan yang cenderung menganggap golongan 'ulama' adalah ulama aliran selari dengan mereka sahaja malah menganggap Ibn Taimiyyah, ibn qayyim atau muhammad ibn abd wahab adalah ulama salaf. (istilah salaf yang mengelirukan ramai pihak).Dan cenderung melihat ulama majoriti dalam kesatuan ahlus sunnah wal jamaah lemah dalam hujah dan pendapat.

6 kriteria di atas antara yang dapat saya gariskan dari pemikiran dan pendekatan Muhammad ibn abd wahab dalam pendekatan dakwahnya dalam fiqh,tauhid atau politik dan sering diperlihatkan oleh pengikutnya dan penyokongnya (muhammad ibn saud) atau orang yang sama ada sedar atau tidak sedar sudah terjun dalam situasi pemikiran yang sama dengan muhammad ibn abd wahab.Maka itulah golongan wahabi yang saya rujuk dalam banyak tulisan saya. Barangsiapa yang mengaku salafi tetapi tidak cenderung menjadi golongan berkriteria 6 di atas bukanlah wahabi yang saya rujuk. Mereka bebas dari gelaran itu.

Dalam kes SS Mufti Dr Asri ada beberapa hal dan pendapat serta tindakannya termasuk dalam 6 kriteria di atas walaupun dalam beberapa penjelasannya menafikan beliau sebagai salafi sepertimana salafi yang senang-senang mengkafirkan para ulama.Namun golongan salafiyyah yang benar-benar wahabi tidaklah mengangkat sungguh-sungguh Dr Asri sebagai tokoh atau ulama salafiyyah kerana ada beberapa individu yang lain lebih dilihat layak bergelar tokoh dan ulama salafiyyah. Cuma Dr Asri popular dan dikenali dengan lebih dekat oleh generasi baru berjinak-jinak dengan unsur-unsur wahabi dalam pemikiran islam mereka. Selepas ini mungkin saya kurang merujuk Dr Asri sebagai wahabi tetapi mungkin akan merujuk Dr Asri sebagai faktor proses pengembangan wahabi dalam pemikiran generasi muda sezaman dengan saya.

2) Hentikan merendah-rendahkan golongan ulama dalam PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS).

Saya tidak tahu bagaimana ada pihak memandang saya merendah-rendahkan golongan ulama PAS.

Mungkin istilah yang sering saya rujuk adalah kepimpinan PAS yang cenderung bermain politik daripada menegakkan dakwah dan ukhuwah islamiyah. Saya memperjuangkan golongan ulama ahlus sunnah wal jamaah dan ini tentu sekali merangkumi ulama dalam PAS dan UMNO atau mana-mana kumpulan lagi yang merasakan mereka adalah ulama ahlus sunnah wal jamaah.

Namun ada beberapa perkara yang saya gariskan sebagai kriteria untuk saya anggapkan golongan ulama itu ialah golongan ulama ahlus sunnah wal jamaah yang saya perjuangkan.

1) ulama yang mengaku ahlus sunnah wal jamaah. Mengiktiraf fiqh 4 mazhab utama ahlus sunnah iaitu maliki, hanafi, syafii,hambali dan golongan asyariah atau maturidiah dalam pegangan akidah ahlus sunnah wal jamaah.Cenderung untuk meraikan mazhab majoriti di suatu tempat. (cth: malaysia sebagai bermazhab syafii)

2) ulama yang cenderung bermuzakarah dalam hal-hal mengeluarkan fatwa dan hukum hakam secara berkumpulan dengan barisan ulama ahlus sunnah wal jamaah, dan cenderung pendapatnya dengan pendapat yang disepakati. Berlapang dada dalam hal perbezaan kecil. Cenderung menyeru untuk bermusyawarah sekiranya timbul hal-hal yang diperselisihkan oleh pemimpin atau rakyat dan masyarakat.

3) mengutamakan dakwah islamiyah untuk disebarkan dan bukan pemikiran atau ideologi luar samada dari barat atau mana-mana golongan yang bukan islam dan sedaya upaya mengajak pihak bersaudara dalam islam menghayati ukhuwah islamiyah,silaturrahim, persaudaraan islam lebih utama dari persengketaan, permusuhan,perbalahan atau pergaduhan.

4) cenderung menawar diri dalam memberi kerjasama dan memandu dalam hal-hal kebajikan khususnya pembangunan islam di negara, dan tidak melepaskan peluang serta ruang untuk membawa semua pihak melaksanakan sesuatu berlandaskan islam dan tidak bertentangan dengan tuntutan dan perintah Allah s.w.t.

4 kriteria di atas adalah antara kriteria ulama yang menjadi golongan yang saya perjuangkan untuk dimartabatkan dan dimuliakan yang merupakan antara agenda perjuangan saya dalam hidup ini yang telah saya rangka dan tidak akan berubah sehingga ajal saya.

sekiranya ulama PAS cenderung kepada 4 kriteria itu maka ulama PAS itu juga termasuk dalam golongan ulama yang saya perjuang untuk dimartabat dan dimuliakan. Begitu juga jika ada ulama UMNO yang cenderung kepada kriteria itu atau mana-mana ulama dari kumpulan lain. Cuma saya cenderung melihat kriteria itu dipunyai oleh ulama-ulama yang tidak berkepntingan dalam politik atau kumpulan sebagaimana sifat para ulama agung dalam sejarah ahlus sunnah wal jamaah seperti imam-imam mazhab, imam-imam tasawwuf dan sebagainya.

3) Hentikan melabel sesat kepada gerakan rufaqa atau asaari muhammad.

Saya tidak dapat berbuat atas permintaan di atas kerana kesesatan itu sudah jelas diperlihatkan di depan mata saya sendiri, dari tulisan-tulisan asaari dalam sajaknya, tulisan ummu jah, tulisan para penyokong dan pemimpin kanan rufaqa dan tindakan-tindakan mengelak serta bermuka-muka serta kelentong yang secara jelas diperbuat oleh mereka.

Namun saya masih mengharapkan akan ada sinar hidayah buat rufaqa yang rata-rata merupakan bekas-bekas al arqam yang tentu sekali berkongsi pengalaman yang rapat dengan diri dan keluarga saya.Memahami akan hiruk pikuk situasi pengalaman mereka membuatkan saya memandang para fanatik yang setia dengan rufaqa adalah golongan tertipu dan asaari pula individu yang telah tersesat jalan yang sebenarnya masih ada peluang untuk membetulkan jalan hidupnya begitu juga para pemimpin dan ahli keluarganya yang lain.

Sesat merupakan istilah paling sesuai dapat saya gambarkan atas doktrin kepercayaan dan iktikad asaari atau rufaqanya dalam hal imam mahdi dan pemuda bani tamim.Setelah menyemak segala macam bukti dan pengalaman, sememangnya keyakinan dan iktikad itu adalah suatu tindakan melampau yang tidak berasas kukuh.

Kesimpulan.

saya masih cenderung untuk mempopularkan perjuangan memartabatkan kedudukan para ulama ahlus sunnah wal jamaah dalam rangka perjuangan dakwah islamiyah,kerana saya memahami bahawa dakwah dan ulama tidak boleh dipisahkan. Para ulama mesti dimartabat dan dimuliakan dan diberi peluang serta ruang sehingga menjadi antara barisan penggerak dalam perjalanan pembangunan negara malaysia sekiranya kita mahu melihat keperkasaan dakwah islamiyah tertegak.

Selari dengan itu, saya akan konsisten menyeru agar golongan muda bersatu dalam kesatuan ahlus sunnah wal jamaah, kerana dengan cara bersatu dalam kesatuan ini sahaja mampu memperteguhkan barisan pemuda dan pemudi bagi menggerakkan agenda kebangkitan islam yang menjadi harapan dan impian umat yang terletak penuh di bahu generasi muda untuk menggalasnya.

Maka secara logik, saya akan menentang keras golongan muda yang cenderung memeluk fahaman sekularis,pluralis, modenis baratis, kapilatis keparatis, wahabis, hedonis, undergroundis, neo khawarijis, atau mana-mana fahaman yang cenderung untuk menghancurkan kesatuan umat ahlus sunnah wal jamaah dan segala agenda perjuangan dakwah dan ukhuwah. Penentangan keras ini ditujukan kepada fahaman itu semata-mata manakala golongan muda yang berjinak-jinak dengan fahaman itu atau sudah memeluk erat fahaman berkenaan sebagai agenda perjuangan mereka cuma akan saya anggap golongan muda yang mesti disedarkan sahaja dan bukannya musuh. Saya cenderung kepada usaha seruan damai dan kerjasama kepada hal-hal yang disepakati kita. Dan saya percaya golongan muda islam samada yang berjalan atas jalan lurus atau berjalan atas jalan songsang sepakat untuk HIDUP DAN MATI DALAM KEADAAN AMAN. maka kesepakatan itu akan menemukan kita pada satu titik yang perlu kita sama-sama tanamkan iaitu cenderung untuk bertumpu segala kekuatan kita kepada kejayaan meraih redha Allah atau saya panggil redha Allah centric.

MAKA TIDAK SYAK LAGI PERJUANGAN MEMARTABATKAN ULAMA antara kunci utama bagi membantu memperkemaskan perjuangan generasi muda untuk meraih redha Allah itu. Hanya ulama mampu membimbing generasi muda agar menjadi generasi yang berjuang atas jalan yang sambung sambungan dengan perjuangan para pejuang islam terdahulu.

2 komentar:

Anonymous said...

my fav ulama' Nik Aziz Nik Mat


dhuat

Tawel Sensei said...

Hukum itu bukan pada nama. Tapi pada apa yang dinamakan. You can change the name of your manhaj, but you can't hide the mechanism of your manhaj.

Yosh MFR. Mari meningkatkan taqwa kepada Allah. InsyaAllah.