|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Saya amat tertarik dengan pelbagai perkembangan yang berlaku kepada negara saya Malaysia.

Semuanya bermula dengan kes pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998 sehingga meledakkan Reformasi di Malaysia.Ramai pejuang Reformasi Anwar ketika itu mengidamkan kejayaan Reformasi yang berlaku di Indonesia dalam tempoh yang seiringan yang telah menjatuhkan Suharto dan parti Golkar. Dan ramai juga yang tidak tahu menahu terus terjun dalam gerakan Reformasi atas kehangatan isu yang memainkan banyak perasaan para penyokong Anwar Ibrahim terutamanya.Pada pihak-pihak seteru UMNO beranggapan itulah peluang keemasan yang patut digunakan sebaik mungkin bagi mengurangkan kekuatan Barisan Nasional. Tidak hairan Barisan Alternatif yang telah diwujudkan berjaya menemukan dua parti yang tidak punya dasar yang seiring iaitu DAP yang perjuangkan Malaysian Malaysia dan PAS yang perjuangkan Negara Islam Malaysia Berhudud.

Saya menganggap perkembangan yang berlaku itu sangat menarik kerana tokoh bernama Anwar Ibrahim itu merupakan antara kekuatan yang dimiliki UMNO bagi menghadapi tentangan PAS yang menganggap UMNO sebagai Parti Sekular. Kehadiran Anwar dalam UMNO membawa imej ABIM dalam angkatan Pemuda UMNO menangkis sedikit sebanyak bahawa UMNO sebagai Parti Sekular kerana ABIM yang diterajui semasa zaman Anwar bukanlah gerakan sekular malah merupakan antara gerakan dakwah yang banyak melahirkan tokoh berimej Islam termasuk arwahyarham Ustaz Fadzil Noor, Tuan Guru Haji Hadi dan beberapa pemimpin PAS sendiri. Malah suatu ketika ABIM pernah menjadi wadah buat PAS melatih barisan pelapis yang bakal menerajui kepimpinan PAS di masa depan.

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO bukanlah suatu yang tidak terduga kerana ketika Anwar memimpin ABIM dan banyak mengkritik dasar kerajaan, Anwar pernah bersama-sama Mahathir Mohamad menggunakan pentas PAS untuk mengkritik pemerintahan Tunku Abdul Rahman. Mahathir juga bukanlah ikon yang asing dalam era menongkah arus di Malaysia. Maka kemasukan Anwar dalam UMNO ketika Mahathir dilantik menjadi PM Malaysia boleh dilihat sebagai persediaan untuk menyatukan barisan menongkah arus.

Jalan buat Anwar memang lancar seakan-akan telah dirancang dari awal, sehingga berkali-kali Timbalan Perdana Menteri bertukar tangan di era Mahathir. Maka sampai satu tahap, Anwar menduduki tempat nombor 2 itu.

Anwar pernah diidamkan oleh PAS bagi menerajui barisan pemudanya, namun kemasukan Anwar ke dalam UMNO telah menyebabkan PAS tidak ada cara lain melainkan berseteru dengan Anwar. Maka tidak hairan beberapa penceramah popular dalam PAS tidak begitu segan untuk menggelar Anwar dengan bermacam gelaran bagi mengejek pendiriannya selama ini yang bermula dengan memimpin gerakan dakwah yang paling berpengaruh ketika zamannya itu. Anwar juga tidak segan untuk melabelkan PAS dengan bermacam nama dan gelaran sesuai dengan kecaman yang diterima padanya.

ABIM juga pernah mengkritik Anwar pada satu masa atas tindakannya itu, dan tidak kurang ada juga menyokong tindakan Anwar masuk UMNO dan disusuli dengan beberapa ahli ABIM lain setia mengikut jejak langkah Anwar sebagai menyahut seruan dan misi Anwar untuk mengubah UMNO dari dalam.

Dua ikon Mahathir dan Anwar telah berjaya meletakkan UMNO sedikit perkasa dengan kemajuan pembangunan dan islam berjalan seiring. Namun, PAS masih punya ruang buat mempertahankan dakwaannya bahawa UMNO adalah parti sekular atas kerana UMNO tidak menyokong hudud PAS, tidak mengubah perlembagaan UMNO dari parti nasionalis kepada parti islam berteraskan al quran dan sunnah, dan juga imej-imej ahli UMNO sendiri sebagai contoh barisan wanita yang tidak mengikut syariat secara terang terangan dengan berpakaian tidak menutup aurat. Juga isu-isu gejala sosial yang muncul dari perubahan kemodenan Malaysia juga menjadi hujah buat PAS membuktikan pembangunan islam UMNO adalah retorik dan juga beberapa kes rasuah yang banyak terjadi di kalangan ahli UMNO.

Namun, perancangan manusia sama ada di dalam UMNO atau PAS semuanya diatasi dengan perancangan Allah s.w.t. Sama ada insiden pemecatan Anwar itu satu konspirasi atau kerana kelemahan Anwar sendiri, secara tidak langsung telah mendedahkan beberapa perkara kepada khalayak umum termasuk diri saya yang ketika itu berusia 14 tahun dalam melihat sikap dan pendirian para pejuang politik di Malaysia.

Mahathir boleh terus mempertahankan Anwar dari sebarang tuduhan dan dakwaan apatah lagi Anwar sendiri telah mengakui akan terus menyokong kepimpinan Mahathir dan Anwar sebagai ikon dunia dakwah yang kuat dapat terus digunakan bagi memperkasakan UMNO khasnya dari seterunya PAS yang berimej Islam.Memangpun Mahathir menangkis banyak tuduhan terhadap Anwar sebelum itu,namun sehinggalah tahun 1998 iaitu tahun lanjutan kepada krisis ekonomi yang melanda Asia.

Krisis ekonomi itu pernah digunakan oleh PAS juga dalam memperkatakan tentang kewibawaan Mahathir dalam menguruskan ekonomi negara, dan isu rasuah, kronisme, nepotisme memang melanda dunia politik ketika itu apatah lagi hujah yang sama digunakan oleh Amerika dalam menghentam beberapa kepimpinan di Asia termasuk Mahathir yang dianggap antara diktator di Asia oleh Amerika.Mahathir menyalahkan George Soros dan Amerika dan telah bertindak di luar tabii ekonomi semasa dengan melaksanakan pengawalan mata wang ringgit. Dan di samping itu, Anwar telah dipecat.

Pemecatan Anwar lebih kepada tindakan disiplin oleh MT UMNO perihal akhlak dan moral dan kemudian barulah disusuli dengan dakwaan tambahan iaitu Anwar yang menduduki jawatan Menteri Kewangan sebelum itu sebagai antara punca kejatuhan ekonomi Malaysia. Di pihak Anwar pula berhujah bahawa pemecatannya adalah atas konspirasi yang telah lama dirancang oleh musuhnya dalam UMNO dan Anwar menuduh Mahathir turut terlibat dalam konspirasi itu atas mahu melindungi kepentingan diri.

Yang menarik ingin saya ketengahkan ialah PAS muncul menawarkan Anwar ruang buat berjuang bagi mendapatkan keadilan. Tapi, Anwar mungkin tidak lupa siapa dirinya di mata PAS, dan tidak hairan mengapa Anwar tidak menyertai PAS malah tidak mengiktiraf pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga ahli UMNO. Mungkin Anwar masih merasakan beliau ahli UMNO maka kerana itu tidak menyertai PAS,namun mahu atau tidak Anwar terpaksa menerima bahawa UMNO tidak mahu beliau lagi. Parti Keadilan Nasional telah ditubuhkan dengan Anwar menjadi penaung dan cuba untuk menerajui gerakan Reformasi iaitu gerakan menumbangkan kerajaan yang ada dan membersihkan pemerintahan negara dari segala bentuk penyelewengan,rasuah, dan ketidakadilan sistem kehakiman.Dan PAS telah menyokong gerakan reformasi Anwar. Mahu atau tidak, walaupun Parti Keadilan cuba mendominasi gerakan reformasi tetapi hasil perjuangan reformasi lebih didominasi oleh PAS.

Pada pilihanraya umum ke 10, Barisan Nasional menemui banyak kegagalan sehingga PAS berjaya mendapatkan negeri Terengganu. Dalam perjuangan Reformasi ikon bernama Mahathir telah dijadikan sasaran utama, malah ada yang menganggap sekiranya Mahathir letak jawatan maka segala bentuk penyelewengan akan tamat. Maka tidak hairan apabila Anwar mahupun PAS telah menganggap Mahathir tidak akan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri sampai bila-bila dan gelaran Mahathir sebagai Maha Firaun pun muncul.

Mahathir melepaskan jawatannya kepada Pak Lah pada tahun 2003. Ramai beranggapan proses pemindahan kuasa itu telah memberikan tamparan hebat buat barisan penceramah popular PAS yang ada sesetengahnya sanggup mengaku akan mengerat jari jika Mahathir turun takhta. Barisan penceramah popular PAS semasa era reformasi telah sedikit terlajak apabila mengangkat-angkat Anwar seakan-akan hero perubahan sehingga ada yang menganggap Anwar sebagai ketua barisan alternatif,kerana tindakan itu telah memperlihatkan pada khalayak umum seperti saya yang mengikuti perkembangan itu memahami akan asam garam politik UMNO dan PAS.

Serangan kepada Mahathir masih terus dijalankan walaupun Mahathir telah bertukar menjadi warganegara Malaysia yang biasa,dengan PAS mendakwa Pak Lah adalah boneka Mahathir. Pas mencanang-canangkan banyak tindakan Pak Lah yang meneruskan segala macam dasar dan projek Mahathir sebagai bukti Mahathir masih menjadi mastermind segala macam tindakan kerajaan dan dakwaan Pas bahawa Mahathir tidak akan melepaskan jawatannya sampai bila-bila terus mengukuh.

Pak Lah kemudiannya telah membatalkan projek jambatan bengkok di Johor. Mahathir mula bangkit mengkritik keputusan Pak Lah itu, dan perkembangan ini membuahkan satu situasi buat khalayak umum menjadi lebih memahami.

Kritikan Mahathir telah ditentang hebat oleh kepimpinan UMNO, dan perkembangan itu telah membuahkan satu lagi tindakan PAS yang sebenarnya boleh diagak oleh sesiapa jua yang sudah memahami asam garam politik, iaitu PAS menawarkan ruang buat Mahathir. Malah ada yang menawarkan Mahathir jawatan ketua pembangkang, sebagai mengiktiraf kritikan Mahathir yang dianggap bernas. Anwar muncul memberikan nasihat buat barisan pembangkang agar tidak terpesona dengan perkembangan Pak Lah-Mahathir itu dan menampakkan Anwar ingin menyatakan perkembangan Pak Lah-Mahathir itu adalah suatu drama yang direka-reka sahaja.

Apabila Mahathir menolak untuk menerima tawaran PAS maka dapatlah kita baca apakah pandangan orang-orang UMNO yang hilang kuasa terhadap parti islam itu selama ini. Sebelum Anwar, Tengku Razaleigh Hamzah pernah keluar UMNO dan menubuhkan Semangat 46 juga tidak berminat untuk menyertai PAS. Malah selepas gagal menyerlah dengan pakatan dengan PAS, Semangat 46 kembali kepada pangkuan UMNO.

Tawaran PAS kepada Mahathir itu sebagai tambahan kepada perkembangan PAS yang berkecamuk pada masa kini. Dalam PAS, pejuang-pejuang era reformasi yang dulunya ahli UMNO dan telah bertukar menjadi ahli PAS masih mengekalkan corak perjuangan mereka dengan mengangkat ikon bernama Anwar sebagai ikon teragung yang mengemudi gerakan menumbangkan kerajaan BN. Namun, segelintir ahli PAS yang membaca politik negara di bawah pemerintahan Pak Lah menemui peluang lebih besar jika ikon bernama Mahathir dijadikan teras perjuangan PAS era ini.

Walaupun apabila Mahathir menolak tawaran PAS, ada ahli PAS yang membalas bahawa tawaran itu bukannya suatu yang bersungguh-sungguh dari PAS,tetapi cuma sindiran buat Mahathir, namun apabila Presiden Pas Haji Hadi sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa Mahathir boleh dimaafkan maka, tertamparlah barisan penceramah popular yang selama ini telah mengerjakan brainwash ke atas ahli sehingga ke peringkat tadika supaya membenci Mahathir dan tidak memaafkan Mahathir sampai bila-bila.

Tidak hairan perkembangan Mahathir-Pak Lah yang semakin hangat ketika itu telah membuatkan pemerhati politik dalam PAS merencanakan gerakan untuk mengadakan hubungan dengan Mahathir mestilah bersungguh-sungguh. Ini telah memberikan tamparan buat ahli yang ingin menyindir Mahathir,dan akhirnya gerakan untuk menjalinkan hubungan telah digerakkan dan Pas sanggup menyediakan pentas dan poster juga promosi untuk Mahathir meneruskan agenda menghentam Pak Lah dan kerajaan. Ikon Mahathir akhirnya dimilki oleh PAS ketika itu dan Pas berasa amat senang menyokong segala kritikan Mahathir dan perkembangan dalam UMNO yang menentang Mahathir sehingga ada yang sanggup menyuruh Mahathir menyertai pembangkang telah mencerahkan segala-galanya.

Tapi saya tidak pasti para perencana dan pemain politik tempatan benar-benarkah memahami ikon bernama Mahathir dan ikon bernama Anwar ini? Mahathir terus mengkritik kerajaan dalam masa yang sama terus menyatakan rasa sayang dan khidmat bakti beliau pada UMNO. Perkara ini bukan suatu yang asing kerana Mahathir ketika dipecat oleh UMNO suatu ketika dulu pun masih sanggup menyertai semula UMNO (atau menubuhkan UMNO BARU) dan tidak terlintas mahu menyertai pembangkang atau PAS.Sehingga perkembangan ini direda apabila Mahathir diserang serangan jantung, dan kritikan ke atas kerajaan menjadi sunyi.

Pas terus merencanakan kritikan Mahathir membuktikan mereka menyokong kritikan Mahathir, maka PAS mesti mengambil dasar menyokong projek mahathir iaitu jambatan bengkok, Pas mesti mengambil dasar mempercayai bahawa Pak Lah, Khairy, dan Kamaluddin berkomplot dalam mencuri harta negara. Dalam masa yang sama ikon bernama Anwar mesti terus muncul untuk membawa barisan pembangkang termasuk PAS dalam lanjutan agenda reformasi beliau iaitu menubuhkan Malaysia Baru.

Apa yang menarik dalam kisah UMNO-PAS dan dua ikon Mahathir-Anwar ini,ikon bernama Pak lah ini juga pastinya membawa pengaruh kepada perkembangan Malaysia seterusnya.

Pak Lah pada awalnya dituduh boneka mahathir. Kemudian, beliau didakwa pembawa ajaran sesat Islam Hadhari. Islam Hadhari dikatakan sesat oleh barisan PAS khasnya atas sebab istilahnya yang bersalahan dan perkembangan negara yang meningkat gejala sosial serta jenayah dijadikan hujah bahawa pendekatan Islam hadhari adalah topeng Islam Liberal atau dengan kata lain sekular. Walaupun tuduhan sekular telah diadakan kepada kerajaan sebelum Anwar masuk UMNO, selepas masuk UMNO,dan setelah tiada lagi dalam UMNO, namun ikon bernama Pak Lah ini telah membawa tuduhan lebih berat mungkin dari sekular, kafir, munafik, atau sesat atas kapasiti pendekatan Islam hadhari kerajaan dilihat sebagai agen pemusnah agama Islam, dengan kata lain musuh Islam.

Pak Lah yang dikatakan pemusnah agama Islam dengan dakwaan terbaru iaitu boneka khairy, juga pelbagai cemuhan dan ejekan seperti kuat tidur, kuat nafsu (kerana pegang bahu artis), lembik dan lemah, penakut dan pengecut, dan lain-lain adalah bukti penting asam garam politik tanah air yang dapat dibaca oleh sesiapa sahaja yang memerhati khasnya khalayak umum seperti saya yang membesar dari umur 14 tahun pada era reformasi hingga sudah menjangkau usia 22 tahun pada tahun ini iaitu era berkecamuk dan pendedahan jelas dunia politik tanah air.

Pola yang dapat saya baca ialah, setiap kali pemimpin naik akan ada dakwaan rasuah dan salah guna kuasa (merujuk kepada kes Mahathir, Anwar, Pak Lah). Setiap kali pemimpin kalah dan tersisih pasti pembangkang menawarkan ruang dan pentas yang mulia walaupun pemimpin itu ikon yang dikutuk oleh pembangkang sebelumnya (merujuk kes Mahathir, Tengku razaleigh, Anwar). Setiap pemimpin yang ada di puncak kuasa mesti mendapat gelaran dan cemuhan buruk dari parti pembangkang.(merujuk kes Mahathir, Anwar, pak Lah). Setiap kali pemimpin yang tersisih dari kerajaan yang gagal menduduki puncak kuasa pasti tidak akan menyertai parti pembangkang yang sedia ada tapi menubuhkan parti baru (merujuk kes semangat 46 dan parti keadilan). dan seribu macam lagi pola tikam menikam, pura-pura, taktik dan strategi yang digunakan oleh kedua-dua barisan kepimpinan kerajaan mahupun pembangkang.

Di sudut yang lain yang menambah berkecamuknya kerajaan bernama UMNO dan pembangkang bernama PAS adalah perkembangan dunia dakwah.

Ikon bernama Anwar telah mengkecamukkan dunia dakwah apabila beliau terjun ke bidang politik dan memilih UMNO padahal PAS telah membuka seluas-luasnya tempat untuk beliau naik menjadi pemimpin PAS.

Ikon dakwah seterusnya walaupun tidak begitu sengit dalam dunia politik ialah Asaari Muhammad pengasas Al Arqam. Mahu atau tidak mengakuinya beberapa fenomena dakwah di Malaysia turut melibatkan Asaari. Asaari pernah berada di dalam ABIM sebagaimana Anwar dan Haji Hadi.Asaari juga pernah menyertai PAS lalu keluar menggerakkan dengan serius gerakan Al Arqam. Anwar pernah menyokong Al Arqam dan bergandinganlah ABIM dan Al Arqam dalam sesetengah sudut. Malah gerakan Al Arqam juga turut disertai oleh warga ABIM pada zaman awalnya sedikit demi sedikit, dan kemudiannya didekati oleh orang awam yang mencari jalan mendekatkan diri dengan agama, jalan mengubah diri yang telah hanyut dan bernoda, sehinggalah didekati juga oleh para pemimpin politik di kalangan UMNO.

Apa yang menarik PAS bukan menjadi wadah yang menarik buat Asaari. Walaupun dahulu beberapa ahli Arqam menyokong PAS kerana menganggap UMNO sebuah parti sekular, namun selepas Asaari membayangkan PAS juga tidak ubah seperti UMNO,maka ahli Arqam bertindak yakin dengan gerakan Arqam semata-mata.

Asaari berjaya memukau beberapa kelompok masyarakat dengan pendekatan, falsafah dan gaya peribadinya sehingga sampai satu tahap Asaari berjaya mengatasi populariti Mahathir juga Anwar Ibrahim.Cuma di Kelantan, pengaruh Nik Aziz kurang berjaya dihakis oleh Asaari, maka tidak hairan gerakan Arqam lebih kuat di sebelah pantai Barat semenanjung seperti Kedah, Perak,Negeri Sembilan,Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Arqam diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1994, dan sesetengah warga masyarakat yang tidak tahu kisah atau sering dipanggil sebagai simpati Arqam atau Arqam batik melihat langkah kerajaan itu hanya berlandaskan politik kerana bimbang dengan pengaruh Al Arqam. Jika benar dakwaan ini, maka PAS adalah parti yang ketinggalan dalam menghadapi fenomena Al Arqam.

Baru-baru ini apabila diminta mengulas akan Rufaqa atau bekas Al Arqam, Tuan Guru Nik Aziz satu lagi ikon dakwah dan politik telah mengulas rufaqa dan Arqam secara sambil lalu dan lebih memfokuskan hujahnya kepada UMNO.

Rufaqa yang merupakan wadah baru Asaari dan orang kanannya selepas pembubaran Arqam, meletakkan sokongan kepada kerajaan Pak Lah dan Islam Hadharinya dengan Asaari cuba membawa Islam Hadhari versinya sendiri untuk diterapkan dalam Islam Hadhari kerajaan. Perkembangan ini membuktikan bahawa turunnya Mahathir telah menaikkan dua ikon dakwah yang lama iaitu Anwar dan Asaari. Cumanya Anwar lebih menumpukan kepada soal-soal kejujuran kerajaan sekarang atas sebab beberapa isu yang dijadikan senjata parti keadilan pada era reformasi telahpun digerakkan oleh pemerintahan Pak Lah.

Pada era reformasi Anwar menuntut kebebasan suara yang juga merangkumi teguran ke atas kerajaan, kebebasan penghakiman di mahkamah, dan pandangan berbeza yang diraikan di parlimen. Namun, semua itu telah pun terjadi di era Pak Lah apabila beberapa suruhanjaya kira-kira ditubuhkan yang dianggotai oleh pemimpin pembangkang juga untuk menilai perbelanjaan dan guna wang oleh kerajaan turut bertindak menegur dan mengkritik, ditambah dengan suara-suara para wakil rakyat dari kalangan warga kerajaan sendiri sudah mula bangkit dengan isu dan suara menongkah arus yang jarang dilihat di era Mahathir, dan juga pembebasan Anwar sendiri dari tuduhan liwat di mahkamah.Namun Anwar dan parti keadilan terus mengemukakan rencana untuk mendapatkan kuasa dengan membangkitkan kejujuran beberapa langkah kerajaan dan skandal rasuah yang masih membelunggu kerajaan. Ulsan mengeai perkembangan terbaru yang dibawa oleh ikon bernama Pak lah ini yang memenuhi kehendak era reformasi dielak untuk diulas oleh parti keadilan dan isu-isu membabitkan tuduhan salah laku dan rasuah Pak lah sendiri terus dijadikan senjata.

PKR jenama baru parti keadilan dengan kebanjiran ahli parti rakyat yang berfahaman sosialis terus berjuang menegakkan agenda Malaysia Baru. DAP mungkin masih setia dengan Malaysian Malaysia. Dan tidak ada ragu PAS juga akan terus dengan agenda Negara Islam Malaysia Berhudud.

Rufaqa telah diminta diharamkan oleh Pak Lah, maka ini mengakibatkan ikon bernama Asaari mengigit jari,dan kini muncul kembali dengan dakwaan bahawa pengharaman Rufaqa berunsur politik dan sifat dengki kerajaan pimpinan UMNO. Yang menggelikan hati fenomena rufaqa berjaya mengelirukan sesetengah ahli pembangkang yang dahaga isu turut menyokong bahawa pengharaman rufaqa malah pengharaman al arqam adalah berunsur politik, dan menghujahkan bahawa UMNO sanggup bermain isu agama atas sebab mahu mengelakkan isu yang lain.

Dalam masa yang sama, sesetengah ahli UMNO yang sekular dan liberal yang memusuhi PAS lebih menyenangi Rufaqa atau Asaari kerana dasar berlembut yang ditunjukkan secara zahir dan atas sokongan Rufaqa yang berimejkan dakwah dan islam menyokong Islam hadhari sebagai perisai buat menangkis dakwaan sekular atas kerajaan.

Apabila Rufaqa diharamkan, maka pastinya puak yang mahu membelai Rufaqa tidak bersetuju, namun Pak Lah secara jelas telah mengeluarkan kenyataan bahawa Rufaqa haram.

Ikon dakwah yang meneruskan berkecamuknya barisan UMNO dan PAS ialah Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin @ Dr MAZA. Ikon Dr Asri disokong kuat oleh pergerakan wahabiyyah kerana dasar Dr Asri dalam dakwahnya banyak menyokong hujah fiqh mereka. Mungkin dalam berbicara dunia dakwah selain ABIM yang melalui jalan malap selepas ketiadaan Anwar, adalah wujudnya JIM yang dikatakan tidak selari dengan ABIM. Unsur-unsur wahabiyyah memang menular dalam JIM dan JIM kini sedang berkubu di dalam PAS dan sedikit dalam PKR.

Jangan hairan apabila sebenarnya ahli JIM juga ada di dalam UMNO.

Nik Aziz menaungi pertubuhan JIM dengan Husam Musa adalah antara hasil tarbiyyah dari benih yang sama dengan JIM iaitu gerakan IRC.

Lain-lain doktrin dan fahaman ala-ala salafiyyah wahabiyyah juga memang sudah lama kelihatan ada dalam PAS sejak kemasukan Nik Aziz dan Haji Hadi. Tidak hairan jika dulu ada amanat Haji Hadi yang mengkafirkan UMNO telah menimbulkan kegoncangan ukhuwah islamiyyah di kalangan rakyat jelata umat Islam. Tarbiyyah Haji Hadi menyusun pemikiran siasah ala-ala salafiyyah wahabiyyah dalam sesetengah sudut akhirnya membuatkan perkembangan fahaman ini pada generasi pelapis PAS dan kemunculan ikon bernama Dr Asri yang naik mendadak dianggap sebagai imam yang memberikan panduan kepada warga PAS yang memilih fahaman ini.

Namun ikon Dr Asri ini telah menyerang PAS dengan tuduhan bahawa parti itu diselebungi fahaman syiah, telah membuatkan sesetengah ahli PAS tidak suka kepada Dr Asri seterusnya menentang fahaman salafiyyah wahabiyyah.

Ini diperkuatkan lagi apabila Dr Asri memilih menerima tawaran Shahidan Kasim menteri besar Perlis untuk menjadi mufti perlis telah membayangkan pada pengikut PAS bahawa Dr Asri mesti dianggap seteru kerana dibayangkan sebagai tali barut UMNO. Ikon Dr Asri mengimbaukan saya kembali kepada suasana PAS ketika menghadapi berita kemasukan Anwar dalam UMNO. Ahli ABIM yang telah ditarbiyyah oleh Anwar dan kemudian terjun dalam PAs terpinga-pinga apabila imam mereka telah masuk UMNO. Kini anak didik yang mengkagumi Dr Asri terpinga-pinga pula apabila Dr Asri menyelar PAS dan bekerjasama dengan UMNO.

Di sudut yang lain para penyokong Dr Asri masih menaruh harapan agar Dr Asri menjadi penentang kerajaan. Berbekalkan teguran Dr Asri terhadap Islam Hadhari dan tentangan kepada Islam Liberal telah menyediakan impian buat para penyokong Dr Asri untuk menangkis sesetengah dakwaan PAS bahawa Dr Asri sudah gila kuasa dan dihanyut dengan tawaran kebendaan.Malah yang tidak suka kepada Anwar dahulu juga menyamakan Dr Asri dengan Anwar yang cuba mengubah UMNO dan kerajaan dari dalam pasti menemui kegagalan katanya.

Terbaru, Mahathir muncul kembali dengan isu permohonan agar saman Anwar ke atasnya dibatalkan. Kemunculan Mahathir untuk menimbukan episod baru dalam arena politik ini akan menemukan dua ikon yang tidak lagi punya harapan cerah dalam politik untuk kembali menyinar memainkan perasaan dan fikiran rakyat.Ikon Mahathir meneruskan episodnya dengan ikon-ikon yang sedia ada, kalau dulu dengan Pak lah kini Mahathir menuntut ikon Anwar melayannya. Ikon Anwar mungkin ikon yang sedikit menyedari hakikat permainan episod yang boleh merugikan dirinya.Sudahlah dahulu ikon Mahathir nyaris diambil menjadi ketua pembangkang dan menyisihkan pengaruhnya di barisan pembangkang, dan pernah juga mencuri tumpuan rakyat ke atas ikon mahathir dan pak lah dan terus melupai ikon bernama anwar. ikon bernama nik aziz pula muncul dengan isu terbaru perlaksanaan kod etika pakaian di bandaraya islam kota bharu. ikon haji hadi mungkin sedang berusaha mengembalikan keyakinan rakyat terengganu padanya. ada juga kadang kala muncul ikon salahuddin ayyub dan ikon khairy jamaluddin yang mewakili generasi baru UMNO-PAS yang menyambung tradisi tikam menikam dalam arena politik melayu. ikon asaari mungkin akan lenyap dalam sedikit masa lagi apabila ada bekas arqam yang sudah menganut fahaman salafiyyah menentang dengan keras akan kesesatannya. dan warga JIM dan ABIM terus mencari rentak dalam arena politik memperlihatkan JIM sedang mula naik.ikon Dr Asri mengecamukkan barisan salafiyyah dalam PAS sama ada menyokongnya atau tidak.Ikon bernama Pak Lah terus menghadapi tohmahan dan cemuhan menggantikan tempat Mahathir dahulu yang dicemuh dan ditohmah.

MAHU ATAU TIDAK, JIKA KITA BERIMAN KEPADA ALLAH S.W.T MESTILAH MENGAKUI APA YANG TELAH BERLAKU DAN BAKAL BERLAKU SEMUANYA ADALAH PERANCANGAN ALLAH S.W.T SEMATA-MATA. manusia boleh merancang , berkomplot, berkonspirasi, berpakatan, tapi PERANCANGAN ALLAH YANG TERBAIK.

Tugas kita sebagai khalayak umum adalah mengkaji dan menyelidiki segala petunjuk-petunjuk Allah yang terdapat dalam kitab suci Al Quran dan juga realiti yang ada di depan mata kita supaya kita tidak terjerat dan terperangkap dalam permainan orang-orang berkepentingan.



0 komentar: