|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Mungkin zaman berubah tetapi dia mungkin belum berubah sepenuhnya. Zaman itu rakan-rakannya menggemarikan komik-komik dari Hong Kong. Ada saja cerita-cerita yang dibawa ke kelas untuk diperbincangkan sesama rakan. Dia ada jua membaca sikit-sikit komik Hong Kong. Ya, dia minatkan komik Raja Rimba dan Juara Wira. Namun komik itu tak pernah dia baca dari mula dan mengikuti terus jilid-jilid yang mendatang.

Tapi dia menggilaikan lukisan komik DragonBall dari Jepun. Tingkah Son Goku yang lurus bendul kononnya berhati suci namun sering melakukan tindak tanduk kurang asam ke atas Bulma tanpa rasa bersalah buat dia merasakan watak itu kelakar.
Dia mengikuti setiap jilid komik itu mulai dari nombor 1.

A
dakala dia berebut dengan adiknya jika berjaya meminjam dari rakan. Ya, dia tidak pernah membeli komik kerana keluarganya memandang pembelian komik adalah sia-sia.Apatah lagi minatnya melukis kartun juga sering diingatkan oleh ayahnya supaya jangan lalai dan meninggalkan pelajaran. Otaknya berpusing merancang cerita. Dia mengimpikan sebuah komik dari kerja tangannya.

Dia memang bukan orang yang sabar. Ada saja buku latihan yang kosong selepas tamat sesi penggal persekolahan,dia akan cantum-cantumkannya untuk dibuat komik. Dia lukis tanpa henti. Dari kehuduhan yang melampau lukisannya semakin difahami orang. Mangsa paksarela untuk dijadikan pembaca-pembaca komiknya tentu sekali adik-adiknya.

Perlahan-lahan dia racuni fikiran adik-adiknya untuk punya minat yang sama iaitu melukis dan membaca komik. Habis semua adik beradik lelakinya meminati bidang yang sama. Cuma dia lebih beria-ia dengan minatnya. Sekali lagi dia sukakan watak yang bukan utama atau kedua utama.Dia pilih yang ketiga mungkin. Pikor nama watak itu dalam komik DragonBall.

Asalnya Pikor adalah watak penjahat. Tetapi perkembangan watak itu buat dia jatuh hati pada sifatnya. Menjadi seorang yang berubah dari jahat kepada baik,dan punya semangat untuk membaiki diri untuk mengatasi kekuatan rakan-rakan lain.
Atau dia minat untuk menjadi orang ganjil,kerana Pikor berkulit hijau,botak serupa toyol saja lagaknya,dan bertelinga capang.

Dia ikuti komik itu hingga ke jilid terakhir. Dia mula berminat untuk mengkaji siapakah pelukis Akira Toriyama itu. Ya, pelukis yang sama telah melukis komik Dr Slump yang penuh dengan lawak jenaka tahap gaban yang meletakkan lawak-lawak hina dan keji terutamanya yang berkenaan dengan najis. Benar dia ketawa sepertimana dia ketawa membaca komik Sin Chan.

Dia terus ketawa sehinggalah dia sendiri sudah mula melukis berpuluh-puluh komik pendek dan berjilid untuk rakan-rakannya dan untuk simpanannya sendiri. Dia jadikan pertarungan,pembunuhan,keganasan sebagai tema komik-komiknya.

Ya, dia minatkan komik pertarungan sehinggalah dia sedar bahawa wujud pertarungan yang dahsyat di dunia luar yang dia sering lihat di kaca televisyen.
Dia mula menumpukan perhatiannya kepada agama. Ya, dia ingin hayati agamanya seperti yang sering dileterkan oleh ayahnya. Dia dulu dengar sahaja cerita-cerita kesedihan dan kepayahan umat masakini yang diserang oleh musuh-musuh islam. Tetapi di mana hatinya untuk mengabdikan diri buat Tuhan dan terjun ke lapangan perjuangan mempertahankan umat saudara seislamnya.

Dia mula perlahan-lahan cenderung untuk melukis kisah perjuangan.
Dia mula merencana sebuah cita-cita besar persis jalan cerita sebuah komik. Hari itu dia telah ditanamkan semangat perjuangan buat pertama kalinya membara dalam jiwa mudanya oleh seorang insan yang amat berjasa yang difikirkannya iaitu Tengku Asmadi.

Dia dikenalkan oleh Tengku dengan matlamat dan cita-cita. Matlamat yang menjadi igauan. Ya, dia pilih untuk menjadikan matlamat umat sebagai igauan sepanjang hidupnya
. Dulu impiannya melangit tinggi untuk punya syarikat besar sehingga dia punya matlamat yang lebih jelas,dia mahu berjuang menjadikan dirinya senjata terbaik buat umat. Dia ingin jadi benteng. Dia ingin jadi pedang. Dia ingin jadi kubu buat melindung umatnya.

Namun apalah sangat dirinya. Dia tidak punya banyak ilmu. Dia bukan dari keluarga yang kaya. Dia bukan seorang yang cergas dan kuat. Dia cuma seorang yang meminati membaca komik dan melukis komik.
Dia cuma insan lemah yang cuba untuk berani melakukan perkara yang dia tidak mampu. Dia mula bercakap mengenai agama padahal dia cuma baca kitab-kitab, mendengar kuliah, dan cuba menghafal beberapa potong ayat quran dan hadis.

Dia lakukan banyak kesilapan kerana dia gagal lagi mengawal emosinya,lantaran
itu ramai yang terluka dengan tindakan dakwahnya,ramai yang berasa tidak selesa,ramai yang merasakan ada yang tak kena.

Cuba cari hikmah...dia ingatkan dirinya...cuba cari hikmah...dia ingatkan lagi...


Dia cuba pelbagai cara namun dia memang sering tersilap,kadang dia masuk ke lubang silap yang sama berulang kali. Adakala dia putus asa. Ada kala dia lakukan perkara di luar perjuangannya. Adakala dia cuba cari ketenangan dengan cara yang salah. Dia cuma insan gagal yang wajar merenung kembali usahanya.

bersambung episod 3

2 komentar:

Dyat said...

Salam,

hoho... saya memang teruja dengan tulisan brother.

Ummu Yazid said...

pengalaman enta ke?