|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Ada seorang budak kulitnya gelap sedikit dari kawan-kawannya di satu sudut bilik darjah yang suka mengoyakkan kertas dari bahagian tengah buku latihan garis satunya,lalu dia menconteng-conteng kertas itu dengan lukisan-lukisan huduh yang amat tanpa sebarang sebab.

Hatinya membayangkan dirinya bagai seorang pengarah filem yang mahukan beberapa ciri karakter buat menjadi watak jalan cerita yang dibentuknya sendiri.Tidak,dia bukan mencipta watak itu sebenarnya,tetapi rakus dia benarkan dirinya dipengaruhi karakter-karakter dari watak "Street Fighter" yang merupakan sebuah permainan video yang amat popular di kalangan rakan sebayanya yang lain.

Apa yang membezakannya cuma dia tidak pernah memegang konsol game itu yang cuma dilihatnya dari luar tingkap sebuah pusat hiburan yang menempatkan berpuluh mesin permainan video yang kebanyakannya menawarkan permainan dari siri "Street Fighter".



Dia menggemari Guile yang bertatukan bendera Amerika di bahu kiri dan kanannya kerana sifat karakter itu muncul di tengah-tengah dua karakter utama yang bersaing. Apa yang pasti dia tidak mahu jadi watak utama,Ryu walaupun Ryu lebih kacak dan mampu memuntahkan Hadouken(fireball) dari tangan ataupun watak pesaing Ryu,iaitu Ken yang juga berpewatakan menarik daripada Guile malah gerakan jurus tangannya yang dipanggil Syouryuken( Dragon Punch) juga amat menguja sekali.

Dia tetap memilih Guile mewakili dirinya mungkin kerana dia sedar dirinya bukan yang utama mahupun yang kedua yang mampu menggantikan yang utama.Dia rasa cukup dengan menjadi yang ketiga walaupun kemampuan yang ketiga itu adalah kemampuan yang tidak mampu menjadi yang utama.

Dia amat berminat untuk mengaturkan jalan cerita bagi watak-watak dari permainan video itu walaupun syarikat pengeluar permainan,CAPCOM itu telah pun siap mewujudkan jalan ceritanya. Dia tidak peduli akan hak cipta mahupun jalan cerita dari CAPCOM,apa yang pasti dia punya jalan cerita sendiri. Lalu dia mewujudkan kisah persahabatan dari karakter "Street Fighter" itu. Kisahnya amat mudah namun punya pengajaran.

4 sahabat baik Ryu,Ken,Guile dan Chun Li berjalan-jalan di suatu petang sehingga mereka diganggu oleh samseng bertopeng yang mempunyai cakar di tangan bernama Vega.Mereka pun berlawan dengan Vega dan Vega telah pun kalah. Lalu mereka meneruskan perjalanan sehinggalah mereka bertemu seorang demi seorang karakter dari permainan video itu yang semuanya dijadikan watak penjahat.Kesudahannya yang baik menang ke atas yang jahat.

Dia mengukirkan senyuman apabila komik pertamanya siap dengan bukan lagi sehelai atau dua helai kertas dari buku latihannya yang dikoyaknya. Tetapi lengkap 36 muka surat semuanya. Dia berlenggang berjalan berseorang diri menuju ke perhentian bas dengan wajah yang sungguh ceria. Hari ini dia telah pun berjaya mencipta sejarah dalam dirinya iaitu berjaya melukis komik.
Tidak sabar bagi dirinya untuk berkongsi dengan rakan-rakan di kelasnya.

Itu adalah harapannya,namun rakan-rakannya mentertawakan lukisannya yang huduh dan buruk.Sehingga sampai ke tangan seorang rakan,lalu rakan itu terdiam dan mula membaca setiap patah perkataan di dalam dialog komik itu.Sehelai demi sehelai si rakan menyelak helaian mukasurat komik.Dia cuma memandang. Seperti yang diduga,si rakan tidak mampu habiskan bacaan maka dia menemani si rakan membaca pada waktu rehat pula,dan akhirnya si rakan meminjam komik itu untuk dibawa balik ke rumah.

Dia memang seorang pelupa. Dia lupa akan komik itu. Dan dia lupa komik itu dipinjam rakannya. Itu adalah komiknya yang pertama yang dihasilkan dan itu juga merupakan komik pertama yang lesap dari tangannya buat selama-lamanya.



bersambung episod 2

0 komentar: