|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Sudah lama sebahagian orang memanggil ilmu syariat itu ilmu hukum hakam, lalu mendakwa ahli syariat adalah ustaz-ustaz fiqh yang belajar fekah hukum halal haram makruh harus saja. Lalu dikatakan untuk beragama rasa diri berTuhan itu perlu jalan tariqat agar boleh capai ilmu kesempurnaan kepada syariat tadi iaitu ilmu hakikat dan makrifat.
Ada orang keliru ulama-ulama fiqh dan hadis hanya berbicara soal fiqh hukum hakam dan mengabaikan pentingnya hakikat dan makrifat, hingga akhirnya para pengikut fiqh ini tidak faham makna iman sebenar, penyucian jiwa, dan tidak membuahkan akhlak yang cantik dalam agama.

Sebenarnya, syariat itu bukan hukum fiqh semata-mata. SYARIAT secara umum terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu AKIDAH, AKHLAK dan HUKUM HAKAM (FIQH). Istilah FIQH itu sendiri tidak khusus kepada hukum hakam amal, seperti Imam Abu Hanifah mujtahid ilmu fiqh, menulis perihal TAUHID/AKIDAH dengan tajuk kitabnya, al-Fiqh al Akbar. Dan banyak sekali ulama Hadis seperti Imam Bukhari bukan sekadar menulis dan meriwayatkan hadis, tetapi juga ada memfokuskan berkaitan ADAB/AKHLAK seperti dalam kitab beliau, Adab al-Mufrad.

Sebahagian ulama mengkelaskan ilmu berkaitan HATI (IMAN) yang mengukuhkan AKIDAH dan AKHLAK lalu teguh taat menjaga HUKUM HAKAM (FIQH IBADAT, MUAMALAT, MUNAKAHAT, JENAYAH),sebagai ILMU TASAWUF. ILMU TASAWUF ini tak lain tak bukan, bersumber kepada ILMU AL QURAN dan HADIS juga.

Soal tawadhuk, zuhud, qanaah, akhlak yang baik, hati yang sentiasa bertaubat, sabar, hikmah, mujahadah, uzlah, ahli zikir, amal soleh, ikhlas, ihsan sehingga mencapai pertolongan Allah (maqam wali Allah) dan lain-lain dalam ILMU TASAWUF semuanya bagi memenuhi kesempurnaan AKIDAH, AKHLAK dan HUKUM HAKAM AMAL dan itulah keseluruhan SYARIAT ISLAM.

Para ulama mengkelas-kelaskan ilmu ini dengan nama-nama kerana mahu menyusun ilmu ini secara sistematik agar mudah dipelajari dan mendatangkan FAHAM dan FAQIH di kalangan umat yang menuntut ilmu. Jika HAKIKAT dan MAKRIFAT itu juga suatu ilmu Islam, maka sewajarnya HAKIKAT dan MAKRIFAT itu terkandung dalam TASAWUF, dan TASAWUF itu terkandung dalam SYARIAT. Dan semuanya itu asasnya AL QURAN dan HADIS.

NAK JADI AHLI SUFI, AHLI FIQH, MESTI JADI AHLI QURAN DAN AHLI HADIS.

Islam tak dipelajari dengan rasa-rasa, common sense ikut paradigma dogma dunia teras falsafah-falsafah kemanusiaan yang tak kehambaan, rasa macam baik, rasa macam kool, rasa indie, rasa aktivis, rasa cukup bagus, rasa macam lawan kezaliman, rasa reformis atau rasa revolusioner, rasa-rasa yang tak teras pada ilmu Quran dan Hadis, rasa-rasa yang buat diri lebih melulu membantah, marah-marah, takut hidup susah, takut mati, cinta dunia, tamak dan rasa nak berebut, tak puas hati sana sini, tak ada usaha bangun idea, tak ada usaha nak berbantu-bantu, hari-hari bising sebab perut belum cukup diisi buncit, rumah belum dibina megah, kenderaan belum cukup laju dan handal, nafsu belum puas-puas, saban waktu rasa tak cukup-cukup nak rakus-rakusan. Bukan begitu.

Oleh itu sebahagian ulama mewajibkan ILMU TASAWUF yang bercerita soal tawadhuk, zuhud, qanaah, akhlak yang baik, hati yang sentiasa bertaubat, sabar, hikmah, mujahadah, uzlah, ahli zikir, amal soleh, ikhlas, ihsan sehingga mencapai pertolongan Allah (maqam wali Allah) dan lain-lain, kerana semua itu MEMATIKAN NAFSU UNTUK RASA-RASA tadi.
Semua kerana kita mahu jadi orang Islam. Dan sesungguhnya jadi orang Islam yang faham SYARIAT adalah jadi orang yang baik.

Sebelum dapat kemahuan untuk jadi orang baik, kita semak diri adakah kita menangisi dosa-dosa kita hingga timbul penyesalan, timbul sebak di dada, mengalir berderai-derai air mata saat kita hadap diri pada Allah tiap kali SOLAT. Atau kita hanya mahu terus jadi umat islam yang begini, solat lapan, solat dua puluh, tetap pesta berbazar-bazar dosa?

mfr

0 komentar: