KISAH REZEKI I
Saya lihat komen orang yang marah dengan harga barang naik ini banyak silapnya. Sampai suatu masa Ustaz Fathul Bari sebut tentang rezeki ketetapan Allah, orang jadi marah. Baru ini, Prof Muhaya sebut tentang syukur rezeki, orang marah juga. Orang marah ini sebab dia tak suka dengar selain dari apa yang diaorang marahkan. Orang marah ni marah pada Kerajaan, maka selain hujah marah pada kerajaan, semua jadi salah.
Nak marah Kerajaan sebab tak pandai tadbir ekonomi, silakan. Lebih elok, hantarkan cadangan perancangan ekonomi kita yang lebih baik pada Kerajaan. Jika Kerajaan tak endah, boleh publish cadangan kita di internet, ramai pakar ekonomi dan pelajar ekonomi nak baca perancangan ekonomi hebat kita untuk negara.
Asasnya Malaysia ini ekonomi agak terbuka walaupun Kerajaan masih mengawal di sana sini. Tapi kebanyakan struktur ekonomi dipacu oleh kerja keras rakyat Malaysia sendiri.
Lebih hebat, ada rakyat Malaysia yang tak bekerja hanya duduk depan PC boleh jana duit lima enam angka. Belum kira betapa banyak rakyat Malaysia yang ada ilmu jutawan, malah berbangga dengan kemewahan dari jualan produk MLM dengan ayat standard, "kami sudah merasa untung, anda bila lagi?". Tu dia.
Rezeki kita memang ketetapan Allah dan wajib disyukuri. Ini soal akidah. Ini soal iman. Jika kita marah dengan hakikat itu, maknanya kita marah Allah. Sebab Allah yang mencipta hakikat yang tak akan diubah itu.
Ada orang kata, memanglah rezeki dah tetap, tapi kita kena cari rezeki dan tak boleh tunggu saja. Ada silapnya jika tak hati-hati memahami. Sebenarnya, sebetulnya, kita WAJIB mencari rezeki tapi rezeki kita TETAP sepertimana KETETAPAN Allah.
Mari renung kisah-kisah rezeki yang selalu kita lihat terjadi di sekeliling kita atau pernah berlaku pada diri kita. Kita makan gaji, gaji memang tetap. Tapi ada bulan duit gaji cukup bayar itu ini, malah berlebih pula boleh simpan. Itu rezeki kita bulan itu. Ketetapan Allah, wajib syukur. Ada bulan pula, gaji masih sama, tapi nampaknya tak cukup pula. Tiba-tiba ada banyak pula benda kena bayar. Malah terpaksa kita berhutang. Pasai apa berbeza? Pasai itu rezeki yang telah diTETAPkan berbeza oleh Allah. Ketetapan Allah, wajib syukur.
Ada orang kaya, tiap-tiap bulan duit mesti habis, nak simpan RM1 pun tak dapat. Pasai apa? Rezeki dia dah diTETAPkan macam itu oleh Allah, wajib syukur. Ada orang miskin, anak ramai berderet, tiap-tiap bulan cukup je nak makan semua, siap ada simpanan RM20 setiap bulan. Hebat. Pasai apa? Allah dah TETAP untuk dia macam itu, wajib syukur.
Bila sebut WAJIB SYUKUR, maksudnya bukan setakat sebut alhamdulillah. Sebut alhamdulillah dan bersemangat untuk terus mencari rezeki DEMI melangsaikan TANGGUNGJAWAB di jalan Allah. Antara tanggungjawab di jalan Allah termasuklah nafkah pada keluarga, zakat pada asnaf, infaq pada jalan dakwah dan jihad. Tiap kali bersyukur, tiap kali itu kita gandakan usaha langsaikan tanggungjawab dengan lebih baik.
Jika Kapitalis atau Kerajaan tolong menolong cuba menzalimi ekonomi rakyat, rakyat masih ada pelindung. Siapa pelindung kita?
"Dan Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain, dan Allah adalah pelindung kepada orang-orang yang bertakwa." (Al-Jaasiyah: 19)
Allah pelindung kita. Syaratnya kita jadi rakyat bertaqwa.
Nak taqwa macam mana, hal rezeki, ketetapan Allah, bab syukur pun kita tak reti. Jadi berusaha saja langsai tanggungjawab kita masing-masing. Jika semua buat kerja dan amanah (termasuk semua politician, ahli parlimen, menteri, pakar ekonomi bla bla), Allah akan melindungi kita dari apa-apa kezaliman. Tak setuju juga? Susahlah macam tu, kena belajar akidah semula.
KISAH REZEKI II
Aku sudah menonton penjelasan Prof Muhaya setelah bertingkat-tingkat komen dihamburkan susulan wawancara Sinar Harian tempoh hari. Sebelum itu juga aku khatamkan lembaran Benz Ali buat Prof Muhaya. Sempat aku belek nota-nota makro ekonomi; inflasi, deflasi, devaluasi, revaluasi, apresiasi, depresiasi, sanering, bla bla.
Isu harga barang naik adalah isu ekonomi. Isu ekonomi adalah isu rezeki. Untung rugi perniagaan adalah rezeki kaum dagang. Mampu beli, tak mampu beli, cukup belanja, tak cukup belanja, adalah rezeki kaum pengguna. Rezeki adalah hak mutlak urusan Allah.
Baca apa Allah firmankan dalam Surah alJumu'ah ayat 11:
"Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar - berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad: "Pahala - balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki."
Semua makhluk, rezekinya ditanggung oleh Allah:
“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberinya rezeki“ (Surah Hud ayat 6)
Soal rezeki ini sangat rumit. Ia tak semudah siapa yang banyak berusaha akan dapat banyak, maka dia untung. Ia tak semudah siapa yang tak berusaha, tak dapat apa-apa, maka dia rugi. Ia tak semudah siapa kaya, dia senang. Ia tak semudah siapa miskin, dia susah seksa. Rezeki tak begitu. Memeranjatkan, ekonomi juga tak begitu. Kan dah kata, ekonomi itu rezeki.
Orang ingat, bila harga barang naik, maknanya ekonomi nak ranap. Orang ingat, bila harga barang turun, maknanya ekonomi sangat bagus. Orang ekonomi berbahas panjang tentang perkara ini, rupanya dalam semua keadaan tak dapat ditentukan manakah yang baik atau buruk seperti hitam dan putih. Perbahasan makro ekonomi berkenaan inflasi dan deflasi adalah contoh jelas. Kedua-duanya mungkin baik pada satu sudut, buruk pada sudut lain pula.
Contoh inflasi,pengilang naikkan harga barang nak kaut untung, pengguna tak mampu beli. Pekerja kilang minta naik gaji, sebab pekerja juga adalah pengguna. Pengilang naikkan gaji pekerja, maka kos pembuatan jadi lebih tinggi, harga barang pun jadi lebih tinggi, pengguna masih tak mampu beli. Dan berterusan begitu, ekonomi buruk.Itu berlaku di Malaysia mungkin.
Contoh deflasi pula, harga barang jadi murah, pengilang tak dapat untung, maka terpaksa buang pekerja. Pekerja kena buang kerja tak ada gaji, harga murah pun tak dapat beli. Bila barang makin orang tak beli, pengilang kena kurangkan produktiviti, kurangkan lagi pekerja, makin ramai pekerja tak ada kerja dan gaji. Perniagaan rugi, pelabur lari, ekonomi menguncup. Itulah yang berlaku pada Jepun sejak 2008.
Deflasi yang menyedihkan semua rakyat Jepun hingga terpaksa menukar semula kerajaan asal setelah tukar kerajaan baru-baru ini. Baru-baru ini juga PM Jepun Shinzo Abe umum deflasi dah makin pulih, dan harga barang dapat naik sikit. Harga barang naik pun gembira? Itu ekonomi. Itu rezeki.
Allah lah yang menetapkan rezeki kita. Orang marah sungguh kalau dengar ketetapan Allah ini. Tapi ini benar-benar hakikat yang disebut dalam hadis:
“Sesungguhnya tiap-tiap kalian dikumpulkan penciptaannya dalam rahim ibunya selama 40 hari berupa nutfah, kemudian menjadi ‘Alaqoh (segumpal darah) selama itu juga lalu menjadi Mudhghoh (segumpal daging) selama itu juga, kemudian diutuslah Malaikat untuk meniupkan ruh kepadanya lalu diperintahkan untuk menuliskan 4 kata :
REZEKI, Ajal, Amal dan Celaka/bahagianya.
....” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Orang marah sebab dia ingat bila kita yakin rezeki itu ketetapan Allah, maka kita suruh dia jadi malas berusaha. Dia tak faham, kita yakin REZEKI itu KETETAPAN ALLAH, dan ALLAH JUGA MENETAPKAN HUKUM WAJIB BERUSAHA BAGI KITA.
“Bersemangatlah dalam hal yang bermanfaat bagimu. Minta tolonglah pada Allah dan janganlah kamu malas! Apabila kamu tertimpa sesuatu, janganlah kamu mengatakan :’Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini atau begitu’, tetapi katakanlah : ‘Qoddarullahu wa maa sya’a fa’al" (Riwayat Muslim)
Apabila kita diuji dengan kekurangan harta (rezeki sedikit), ingat itu ujian dari Pencipta kita sendiri:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah ayat 155)
Bila kita rasa ekonomi kita dizalimi, kita lupa Allah pelindung kita jika kita bertaqwa:
"Dan Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain, dan Allah adalah pelindung kepada orang-orang yang bertakwa." (Surah Al-Jaasiyah ayat 19)
Menjadi seorang Muslim yang beriman yang memburu taqwa patutnya tak membebankan kita soal rezeki dan ekonomi ini. Pasti ada jalan keluar. Kita sangat yakin janji-janji Allah. Ini semua Allah terangkan dalam Quran, pegangan kita!
"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan jalan keluar baginya, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya, dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya... "(Surah At-Talaq ayat 2-3)
Jika kita syukur pula, Allah tambahkan lagi nikmat pada kita:
"Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim ayat 7)
Sebenarnya sifat-sifat orang beriman inilah yang akan menstabilkan ekonomi, tidak akan berlaku inflasi, tidak juga berlaku deflasi. Sifat merasa cukup dengan apa yang diberikan Allah (ketetapan Allah):
“Sungguh berjaya orang yang beragama Islam dan rezekinya cukup dan berasa cukup dengan segala yang diberikan oleh Allah kepadanya”. (HR Muslim)
Sifat qana'ah, merasa cukup dan hanya mencukupkan keperluan itulah yang menstabilkan antara penawaran dan permintaan dalam ekonomi.
Sebab itu, Rasulullah s.a.w enggan menetapkan harga barang walaupun diminta oleh para sahabat sebab harga dah jadi mahal,
“Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah s.a.w. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami”. Jawab Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta”. (Riwayat al Tirmizi)
Sebahagian ulama berpendapat, walaupun hukum asalnya pemerintah tidak menetapkan harga, tapi pemerintah harus campur tangan jika peniaga menaikkan harga sesuka hati (atas rasa tamak bukan kerana kos meningkat dan sebagainya). Supaya kezaliman peniaga ke atas pengguna tidak terjadi.
Namun jika peniaga bermuamalat dengan penuh taat patuh syariat, harga biar ikut pasaran. Dan pasaran akan stabil kerana ikut sikap pembeli/pengguna yang bersifat qana'ah dalam membeli barang.
Itulah solusi ekonomi untuk umat ini. Kembali pada sifat-sifat orang beriman, bertaqwa, bersabar, bersyukur, yakin kepada takdir, ujian, ketetapan rezeki dari Allah, terus bersemangat berusaha tanpa malas untuk jalankan tanggungjawab nafkah, zakat, infaq.
Sebenarnya apabila kita lihat ramai manusia resah gelisah dengan kehidupan sempit rezeki, dalam waktu yang sama ramai pula manusia-manusia kaya yang bakhil tak membantu orang miskin telah pun disebut oleh Allah:
"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah lagi bakhil kedekut. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah dan apabila ia beroleh kesenangan ia sangat bakhil kedekut.” (surah al ma'arij ayat 19-21)
Kalau kita rasa kedua-dua mereka yang resah gelisah bila susah dan yang kedekut bila senang itu sangat buruk tingkah laku mereka, maka marilah kita jadi sebaliknya. Dan itu sifat orang beriman.
"Sungguh menakjubkan perkara orang yang beriman, kerana segala perkaranya adalah baik. Jika ia mendapatkan kenikmatan, ia bersyukur kerana (ia mengatahui) bahawa hal tersebut adalah memang baik baginya. Dan jika ia tertimpa musibah atau kesulitan, ia bersabar kerana (ia mengetahui) bahawa hal tersebut adalah baik baginya." (Riwayat Muslim)
Maka, Islamlah solusi! Tuntas!
ULASAN PROF AGUS
Setakat ini ulasan Prof Agus saya kira paling merumuskan ketidakpuasan hati rakyat yang lebih rasional:
1. Prof Agus kata kenaikan harga barang itu perlu untuk ekonomi negara tapi biarlah naik gradually bukan radical (sama macam idea Tun M).
2. Prof Agus kata rakyat tak dapat penjelasan dan data yang meyakinkan dari kerajaan untuk menilai apakah kenaikan harga barang itu baik untuk ekonomi atau tidak. Kalau rakyat dapat penjelasan dan data yang meyakinkan, rakyat boleh terima untuk menanggung beban demi ekonomi negara.
3. Prof Agus kata kerajaan gagal urus persepsi rakyat dengan baik, sebab laksanakan dasar tak sama dengan manifesto, sikap berbelanja pemimpin tak selari dengan dakwaan bahawa ekonomi sekarang perlu berjimat cermat, dan masalah ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan (banyak bukti dalam audit negara).
4. Prof Agus kata rakyat tak dapat rasa dengan kejayaan ekonomi negara, sebab tiap tahun pun PM umum ekonomi naik sekian sekian peratus dan dapat pelaburan sekian sekian billion.
Maka, secara tak langsung provokasi sesetengah pihak bahawa rakyat patut marah seperti berikut tak wajar dibangkitkan:
1. Kenaikan harga barang tak pernah baik untuk ekonomi, hanya orang bodoh sahaja yang suka harga barang naik (menafikan semua ilmu ekonomi)
2. Hanya bila harga barang turun, baru ekonomi negara adalah bagus. (menafikan realiti deflasi yang melanda Jepun, ekonomi Jepun jadi lembab sebab harga barang turun).
Lebih teruk bila respon rakyat sendiri jika ada orang sebut tentang rezeki ketetapan Allah, pentingnya bersyukur dengan apa yang Allah beri,pentingnya bersabar bila diuji dengan kekurangan harta, peri penting yakin bahawa Allah akan melindungi, memberi jalan keluar, beri rezeki pada jalan yang tak disangka, menambah nikmat dan mencukupkan keperluan dicaci maki, dihina, disampahkan, ditolak dengan penuh amarah. Padahal itu semua ajaran Islam yang sahih, akidah dan akhlak seorang Muslim terhadap apa saja bersangkut rezeki dan ujiannya.
Prof Agus tak mengulas fenomena itu yang saya kira lebih bahaya dari masalah ekonomi. Sebab masalah tergelincir akidah, terpesong akhlak, menolak ajaran Allah dan Rasul oleh umat Islam sendiri akan bawa mala petaka di bumi Malaysia ini.
https://www.youtube.com/watch?v=WXVeHhSdPUw
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment