|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

“Di Malaysia, kita terlalu berorientasikan peperiksaan. Umumnya sepanjang 11 tahun murid masuk ke sekolah ada tiga peperiksaan awam. Ada pihak berpendapat ini menyebabkan cara pembelajaran lebih menjurus usaha mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan awam.

“Maka sebab itu di Malaysia selain di sekolah, ibu bapa hantar anak ke tuisyen sebab hendak keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM.

“Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti di peringkat SPM sahaja,”-Tan Sri Muhyiddin Yassin

MENGAJAR MATEMATIK PERCUMA

Semalam hari Ahad saya ke rumah kerani tempat saya bekerja. Dia menjemput saya mengajar anaknya subjek Matematik kerana bimbang sikap anaknya yang tiada minat pada pelajaran terutama Matematik dan selalu mendapat gred C dalam peperiksaan. Saya sampai sekitar jam 12 tengah hari dan ketika itu ayah dan ibu Ilman keluar ke pasar tapi telah sms saya lebih awal untuk masuk ke rumah mereka bertemu Ilman.

Saya bertemu Ilman, 12 tahun yang bermalu-malu dengan saya, dan terus saya bertanyakan kertas ujiannya yang lepas (yang dikatakan C itu). Saya bertanya satu persatu setiap soalan pada Ilman dengan soalan yang sama, "Soalan ini Ilman rasa susah?". Dia akan menjawab susah atau senang.Kemudiannya tiba ke sebuah soalan berbunyi begini:

"Sebuah pertandingan melukis bermula pada 14 haribulan September 2009 dan akan berakhir 25 hari kemudian. Bilakah tarikh pertandingan itu berakhir?"


Baik, saya minta pembaca membuat kiraan dan tuliskan jawapan anda sebelum meneruskan pembacaan kisah saya ini.

Kemudiannya saya pun bertanya pada Ilman adakah Ilman berasa susah dengan soalan itu? Ilman jawab susah. Saya bertanya, adakah Ilman tahu cara nak menjawab soalan itu? Ilman kata dia langsung tak tahu dan tak faham soalan itu. Rupanya Ilman memang ada sikap lemah untuk mula berfikir. Ya, salah satu impak dan kesan psikologi yang akan anak-anak hadapi setelah berasa susah dalam pelajaran berorientasikan peperiksaan adalah "lemah untuk mula berfikir".

Saya tahu Ilman boleh berfikir. Saya telah jalankan serba sedikit 'ujian' dengan bertanyakan dia soalan-soalan berbentuk mantik. Cikgu Ilman juga tidak salah kerana tak ambil berat soal berfikir. Pendidikan berorientasikan peperiksaan yang tak meraikan suasana berfikir. Kita tahu berfikir boleh tercetus jika ada perbincangan. Sedangkan perbincangan bukanlah metod yang diberi peluang dalam menghabiskan sillabus yang banyak untuk menghadapi apa? Menghadapi peperiksaan. Masih tak reti betapa jahatnya peperiksaan mengganggu keceriaan menuntut ilmu dan meraikan budaya berfikir?

Baik, kita kembali pada soalan di atas.

Saya mengajarkan Ilman untuk menjawab soalan itu. Saya lukiskan bulatan sebanyak 25 untuk mewakili hari. Di sebelah bulatan pertama saya tuliskan angka 14 September. Saya tanyakan Ilman, September ada berapa hari. Ilman cuba mengira, tapi akhirnya menggeleng sebab tak pasti antara 30 atau 31 hari. Rupanya selama ini Ilman tak tahu bagaimana hari-hari dalam bulan-bulan Gregorian itu.

Saya ajarkan Ilman mengira hari dalam bulan-bulan Gregorian dengan menggunakan dua penumbuk tangan. Di atas penumbuk itu kan ada tulang sendi jari yang terbonjol dan kemudian antara tulang jari itu ada lekuk ke bawah.Saya katakan pada Ilman, semua tulang yang terbonjol itu adalah 31 hari. Yang lekuk itu adalah 30 hari kecuali bulan Februari. Saya ceritakan Februari biasanya 28 hari tetapi pada tahun lompat ertinya 4 tahun sekali, harinya adalah 29. Bagaimana nak tahu tahun itu lompat atau tidak, bahagikan tahun itu dengan 4 , jika tidak dapat baki, maka itu tahun lompat.



Kemudian sekali lagi saya tanyakan Ilman, September ada berapa hari? Kali ini Ilman keluarkan dua penumbuk dan mengira tulang jari dan lekuk itu sehingga kiraan ke-9 terhenti kiraannya pada lekuk di penumbuk kedua. "30 hari!" kata Ilman. Lihat, kan senang mengajar jika ada budaya berfikir dicetuskan.Saya tahu Ilman anak yang bijak. Jika saya dibenarkan mendidiknya, saya yakin boleh buat dia berfikir hal yang lebih besar, mungkin menyelamatkan Palestin misalnya.

Alkisah diteruskan cerita, maka saya pun bersama Ilman mengisi bulatan yang saya sudah lukiskan tadi dengan bulatan pertama ditulis angka 15 September sebagai hari selepas 14 September tadi. Sehingga bulatan ke 17, Ilman sebutkan 31 September, tapi saya tanyakan kembali, betulkah ada 31 September, kan Ilman kata tadi September hanya 30 hari. Ya, Ilman terlupa bukan tak tahu.

Lihat, Ilman boleh tersilap dalam menjawab jika terlupa. Kita boleh perbetulkan dia untuk kembali ingat. Tapi dalam peperiksaan adakah kita boleh perbetulkan dia untuk kembali ingat? Tidak. Padahal "terlupa" itu sifat lemah manusia yang Allah s.w.t pun maafkan. Saya nak tanya kepada manusia-manusia yang berdoa supaya UPSR dan PMR dikekalkan seperti manusia yang saya petik sebuah forum berdoa,


Adakah mereka beriktikad orang terlupa wajar dihukum? Adakah mereka beriktikad orang terlupa wajar ditolak markah? Jika mereka beriktikad seperti itu, maka manusia yang pelupa ini akan penuhlah ke dalam neraka. Pendidikan patut melahirkan insan-insan yang pelupa untuk saling bergantungan bagi ingat mengingati. Latihan dan asuhan patut ditekankan bagaimana seorang murid boleh mengingatkan kawannya yang terlupa, dan kemudian kawan yang terlupa tadi boleh mengingatkan kembali pada kawan yang ingat itu jika dia pula terlupa. Adakah peperiksaan melatih perkara itu? Tidak, malah peperiksaan mengharamkan mana-mana peserta peperiksaan untuk saling ingat mengingati, tidakkah itu suatu yang tak normal?

Kembali semula kepada kisah saya dan Ilman.

Kemudiannya saya dan Ilman menyambung selepas bulatan 30 September, mengisi bulatan ke-17 dengan angka 1 Oktober. Sehingga ke bulatan ke-25, maka kami berakhir dengan 9 Oktober. Kemudiannya, saya bertanyakan pada Ilman, di mana jawapannya sama ada A, B, C, atau D. Ilman melihat kertas soalan itu:

A. 10 September 2009
B. 25 September 2009
C. 1 Oktober 2009
D. 8 Oktober 2009

Ilman, jawab, "Tak ada! Jawapan tak ada!"

Ya, memang betul kata Ilman. Bangang sungguh soalan ini. Lalu saya pun kata kepada Ilman, "Makanya, soalan inilah salah. Tapi Ilman betul. Jawapan Ilman tepat lagi sahih, sedangkan soalan ini dengan pembuat soalan ini yang tak pandai".

Lalu saya tuliskan sedikit nota di atas kertas soalan itu, "Soalan salah. Jawapan sebenar adalah 9 Oktober 2009, tapi tiada dalam pilihan jawapan". Lalu saya menyuruh Ilman minta cikgu Matematiknya membaca nota itu. Jika cikgu itu tak puas hati, boleh hubungi saya dengan saya meletakkan nombor telefon sekali di situ siap tanda tangan lagi.

Saya faham masalah pembuat soalan itu apa. Dia fikir hari bermulanya pertandingan melukis itu yakni 14 September 2009 dikira satu hari, sebab itu 25 hari selepas bermula pertandingan itu akan berakhir pada 8 Oktober 2009 yakni jawapan D , dan bukannya jawapan saya 9 Oktober.

Namun benarkah hari bermula 14 September boleh dikira satu hari? Mari kita berfikir wahai kaum peperiksaan sekalian. Satu hari adalah 24 jam. Jika 12 jam, kita akan panggil setengah hari. 23 jam pun kita akan kata menghampiri satu hari, tapi masih belum satu hari. Saya kata soalan salah sebab apa? Sebab soalan tidak menyatakan waktu jam pertandingan itu bermula.

Benar, 14 September boleh dikatakan satu hari,tapi hanya jika pertandingan itu bermula pada pukul 12 tengah malam 14 September. Jika pertandingan itu bermula 12.30 tengah malam 14 September pun, 24 jam berikutnya adalah pada pukul 12.30 malam 15 September! Bermakna akan tetap tarikh lengkap satu hari bukan jatuh pada tarikh sama 14 September , tapi tarikh hari berikutnya iaitu 15 September. Maka 8 Oktober hanya akan jadi 25 hari selepas 14 September jika pertandingan 14 September itu bermula pada pukul 12 tengah malam. Jika tidak semuanya akan berakhir pada 9 Oktober.

Logikkah pertandingan melukis dibuat pada pukul 12 tengah malam? Soalan itu salah kerana tak menyatakan waktu dan jam yang tepat, maka jawapan 8 Oktober tidak boleh dikatakan jawapan yang hakiki. Sekarang, di mana letaknya jawapan 9 Oktober? Adakah pelajar yang cuba menjawab 9 Oktober kerana telah menimbang logik segala akan dikira pelajar yang salah menjawab? padahal jawapan pelajar itu lebih logik dan tepat berbanding pilihan yang diberikan pembuat soalan.

Sekarang anda fahamkah apakah masalah peperiksaan? Adakah betul peperiksaan adalah sebuah penilaian? Saya tak akan menjadi pejuang anti exam jika tidak benar-benar mengkaji segala selok belok hiruk pikuk menatang peperiksaan ini. Sudah berapa ramai manusia-manusia kerdil bergelar pelajar sekolah dizalimi dengan masalah-masalah soalan peperiksaan yang didewa-dewa dan dijulang-julang oleh kaum pencinta peperiksaan. Saya tak ada masalah jika peperiksaan dijadikan hobi masa lapang kaum pencinta peperiksaan itu. Saya benar-benar anti apabila peperiksaan dijadikan PENILAIAN.

PEPERIKSAAN TAK LAYAK JADI PENILAIAN. MANSUH SEMUA PEPERIKSAAN. HUBUNGI SAYA UNTUK TAHU BAGAIMANA NAK MENILAI KECEMERLANGAN MANUSIA.

Anda mungkin tertunggu-tunggu apakah pendirian saya dalam tulisan ini berkenaan dengan pemansuhan UPSR dan PMR. Orang yang tak reti memang mereka sibuk berbincang pasal kononnya 'isu baru' dari Tan Sri Muhyiddin. Tidak, isu ini lama. Saya tulis dah tahun lepas [KLIK], cadangan memansuhkan UPSR dan PMR dah lama, dan orang yang menentang pemansuhan peperiksaan pun dah lama. Dah berapa tahun mengkaji, selalunya tak muktamad pun.

Bacalah balik apa kata Raja Nazrin dalam Utusan bertarikh 8 September 2004 ini, arkib Utusan Online pun dah membuangnya.

UTUSAN ONLINE 08/09/04

IPOH 7 Sept. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, format peperiksaan bercorak objektif yang digunakan pada masa ini sama ada di peringkat rendah mahupun pengajian tinggi telah melahirkan pelajar-pelajar kurang berdaya kreatif.

Titah baginda, melalui format berkenaan juga kebanyakan pelajar yang meninggalkan sekolah dan universiti kurang keaslian pemikiran, kekuatan analisis, daya imaginatif serta tidak inovatif.

Untuk itu baginda mencadangkan supaya sistem pendidikan negara memberi ruang kepada kreativiti dan kehendak generasi muda untuk melahirkan pelajar yang mampu bersaing dalam era globalisasi.

Menurut Raja Nazrin, program pendidikan yang gagal menghasilkan produk yang relevan dengan keperluan semasa boleh dianggap sebagai satu pembaziran sumber dan satu amalan yang sia-sia.

``Keupayaan memahami generasi muda amatlah penting. Fantasi generasi muda hari ini amat berlainan dengan fantasi generasi pendidik dan generasi yang merangka agenda pendidikan,'' titahnya.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Konvensyen Pendidikan Suluh Budiman di Dewan Bankuet di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali serta Pengerusi Konvensyen Perdana XIII yang juga Presiden Alumni Suluh Budiman Universiti Perguruan Sultan Idris, Datuk Seri Dr. Mohd. Hilmi Ismail.

Baginda juga bimbang dengan indikator kejayaan sesebuah sekolah yang disempitkan dengan ukuran berdasarkan bilangan pelajar yang memiliki gred terbaik.

Ini kerana, faktor tentang sahsiah diri, insan yang memiliki nilai kemanusiaan dan budi bahasa, memiliki karakter dan daya kepimpinan yang terpuji semakin kurang diberi perhatian.

``Tidakkah kegagalan menerima realiti ini secara tidak langsung menjadikan institusi sekolah gagal membantu perkembangan sumber manusia secara optimum,'' titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, menyediakan pelajar semata-mata untuk menghadapi peperiksaan bukanlah pendidikan dalam erti kata sebenar.

Ini kerana, titah baginda, sistem pendidikan yang berkesan tidak boleh mengetepikan perbezaan nyata yang terdapat dalam diri manusia.

Realiti ini menuntut kepada sistem pendidikan memberi kuasa yang tinggi kepada sekolah melalui pendekatan pengajaran yang lebih liberal.

``Mengamalkan satu sistem yang tegar bererti memaksa kaki yang berbeza ukuran menyarungkan sepatu bersaiz sama. Hasilnya, sama ada kaki yang menanggung sakit atau sepatu yang mungkin pecah,'' titah Raja Nazrin.

Baginda bertitah, Malaysia kini berada dalam keadaan ironi kerana terdapat hampir dua juta pekerja asing sedangkan banyak lepasan sekolah di negara ini memilih untuk menganggur.

Titah baginda, aspek ini menyentuh sistem nilai warga muda.

Baginda juga mencadangkan agar beberapa universiti awam daripada sejumlah 17 institusi pengajian tinggi awam di negara ini dijadikan universiti perdana yang mengutamakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

``Negara harus dibantu untuk mencari formula bagi mengubati keadaan tempang ini supaya komposisi sumber manusia untuk membangunkan sesebuah negara merangkumi pelbagai bidang.

``Oleh itu, agenda pendidikan tidak wajar disempitkan kepada diskusi yang menyentuh aspek peningkatan akademik semata-mata tetapi penguasaan kemahiran perlu diperluaskan,'' titah baginda.



0 komentar: