ARTIKEL RACHEL MOTTE
Apabila Rachel Motte menulis sebuah artikel bertajuk "The Reversal of Anwar Ibrahim" dalam laman The New Ledger, ia bukan suatu yang baru dalam siri bicara-bicara kita mengenai sikap Anwar Ibrahim yang berubah-ubah dengan imej-imej yang kontra antara satu sama lain dalam kisah 'perjuangan'nya yang panjang itu.
Kita pernah bicara mengenai hal itu ketika Anwar Ibrahim berpindah dari pemimpin ABIM yang lantang keras kepada kerajaan, menjadi seorang pemimpin UMNO yang setia dan menjunjung penuh dasar kerajaan. Kita pernah juga bicara mengenai Anwar Ibrahim yang punya warna pejuang islah dan tajdid kepada warna liberalisme dan pluralisme. Kita pernah bicara mengenai Anwar Ibrahim dari pencinta Mahathir Mohamad kepada pembenci Mahathir Mohamad.Kita pernah bicara mengenai Anwar Ibrahim dari pembela dan pelindung hak istimewa Melayu, kepada rupa penentang dan pejuang penghapus hak tersebut.
Kita pernah bicara mengenai Anwar Ibrahim yang sinis dan jelik dengan parti pembangkang, kepada ampu dan bodek parti pembangkang. Kita banyak sudah bicara tentang hal rupa-rupa sesumpah Anwar Ibrahim, maka kita tidak sedikit hairan pun dengan 'penemuan' baru Rachel Motte, bahawa Anwar Ibrahim sudah kembali berwarna pejuang anti-yahudi sesudah membina imej sebagai seorang liberal pro-yahudi, dalam artikelnya itu.
NAJIB SEKUTU STRATEGIK AMERIKA?
Kita simpan bicara mengenai Anwar dalam fokus Rachel Motte untuk hujung artikel ini, kepada subjek sampingannya iaitu memuji PM Najib sebagai seorang pro-Amerika dengan usaha Malaysia menghentikan pembekalan minyak kepada Iran.Tentulah hal ini sangat kontra dengan apa yang kita pernah baca dari laman Tun Mahathir yang memuji Najib atas kerana tidak menghentikan pembekalan minyak kepada Iran, supaya tidak tunduk kepada kemahuan dasar luar Amerika yang mendakwa Iran sedang membina senjata nuklear.
Rachel menyebut jelas dalam artikelnya,
The present Malaysian leadership is pro-business, pro-American and prepared to stand up and be counted in the Muslim world as a strategic U.S. ally. During the recent Nuclear Security Summit in Washington, Malaysian Prime Minister Najib Razak pledged to assist Washington on numerous fronts, and even shut off petroleum supplies to Iran within hours of returning home to Kuala Lumpur.
Benarkah Malaysia sedang berusaha menjadi sekutu Amerika (strategic U.S ally)? Bahawa kita pernah mendengar bagaimana Pakistan dahulu memilih bersekutu dengan Amerika dalam memerangi pejuang Taliban Afghanistan sehingga Afghanistan diceroboh musuh melalui jalan sempadan negara umat Islam sendiri. Kita juga mendengar bagaimana negara umat Islam di semenanjung Arab juga membenarkan tanah mereka dijadikan laluan untuk Amerika menceroboh dan memerangi Iraq atas alasan mahu mengguling Saddam Hussein.
Benarkah Malaysia sedang menjadi pro-Amerika dalam dasar politik negara, demi untuk mengukuhkan negara kembali menjadi pemain utama ekonomi di rantau ini? Adakah benar kata-kata kita dahulu mengenai 'Dasar Pandang ke Timur' Malaysia yang merujuk Jepun, akhirnya mahu mengadaptasi kejayaan dasar Jepun yang pro-Amerika dalam usaha membangunkan ekonomi Jepun sehingga menjadi kuasa ekonomi dunia?
Namun jika dilihat pada tarikh artikel Rachel Motte (29 April) dengan penafian yang dibuat oleh PM Najib dalam akhbar The Star (18 April) , apakah ini membuktikan tindakan menghentikan pembekalan minyak kepada Iran adalah tindakan terbaru Malaysia? Atau Rachel Motte tidak melanjutkan kajiannya mengenai isu minyak ini sehingga begitu laju untuk memuji Najib dengan begitu yakin Malaysia sedang bersiap untuk menjadi sekutu Amerika yang strategik? Atau sebenarnya keyakinan itu timbul sehingga tidak memerlukan Rachel Motte melanjutkan kajiannya atas kerana memang Malaysia sedang diketahui umum, sedang bersiap untuk menjadi sekutu Amerika?
ANWAR SEKUTU STRATEGIK AMERIKA?
Apa yang menarik dalam artikel Rachel Motte, Anwar Ibrahim dibayangkan seorang pejuang pro-Islam ala Ikhwanul Muslimin yang anti-Zionis, yang menyorokkan identiti sebenarnya itu ketika beliau digambarkan oleh ramai pemerhati Amerika sebagai seorang liberal pro-Amerika, ertinya juga pro Zionis. Malah terdapat sentimen dalam artikel itu membayangkan, Anwar memang asalnya diasuh pendiriannya terhadap Amerika dan Israel adalah sama seperti kelantangan mentornya Tun Mahathir yang sering digambarkan sebagai anti-semitisme dan anti-Amerika.
Malah seolah-olah Rachel Motte cuba membayangkan Anwar Ibrahim cuba menipu dalam kenyataannya apabila diwawancara akan perihal anti-semitisme (anti-Yahudi), yang membayangkan dirinya tidak bersetuju kepada sikap benci yahudi, anti-semitisme, yang difahami Rachel mestilah Anwar sepatutnya seorang pro-Israel (pro-Zionis). Mungkin penyokong-penyokong Anwar Ibrahim menganggap hal di sebaliknya, dan bertepatan pula dengan kenyataan Anwar sendiri dalam berbicara soal APCO di parlimen, bahawa beliau bukan anti-Yahudi tapi cuma anti-Zionis (yang membina Israel).
Soalnya, Anwar yang tidak anti-Yahudi tadi, selalu bersahabat baik dengan Yahudi-yahudi yang pro-Zionis dan Israel. Ini suatu yang sangat tidak boleh diterima akal, apabila suatu yang kita benci tidak menghalang kita bersahabat dengan pencinta-pencinta suatu yang kita benci tadi. Malah Allah s.w.t sendiri meletakkan larangan bersahabat dengan orang-orang yang memusuhi Islam di kalangan Yahudi dan Nasrani, dalam surah al Maidah ayat ke 51:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.
Melihat kepada nama-nama besar yahudi pro-Zionis pemimpin Amerika yang menjadi teman rapat dan pelindung Anwar Ibrahim seperti Al Gore, Madeline Albright,Martin Indynk,James Wolfenshon, atau Paul Wolfowitz, Anwar Ibrahim lebih dilihat sebagai individu yang boleh menjadi sekutu strategik Amerika, dan bukannya Najib Tun Razak. Malah dengan jawatan-jawatan penting yang pernah dan sedang disandang Anwar dalam organisasi strategik pro-Amerika seperti NED atau Foundation for the future, Anwar dilihat sekutu Amerika yang jelas.
ANTI-AMERIKA DAN PRO-AMERIKA
Dalam artikel itu juga, sangat jelas Rachel Motte memegang penuh yakin bahawa Mahathir adalah seorang yang anti-Amerika. Dengan kelantangan terhadap golongan Yahudi yang cuba memanipulasi dunia, Mahathir juga sering diletakkan label anti-semitisme. Soalnya, apakah definisi sebenar pro Amerika dan anti Amerika? Begitu juga, apakah pula definisi pro semitisme, anti semitisme, pro yahudi anti yahudi, pro israel anti israel, pro zionis anti zionis.
Kita mungkin sangat teliti soal definisi kerana persepsi kita begitu sensitif, berikutan kaitan Amerika-Yahudi-Israel-Zionis itu sangat sukar untuk dipisahkan, dalam masa yang sama kita ini terlalu lemah sehingga tidak dapat tidak, sangat bergantung baik kepada Amerika mahupun Yahudi. Apa yang kita tak fahami mereka sang politikus beria-ia mahu dilihat sebagai "paling anti-Amerika" dan takut sekali dipandang "pro-Amerika" supaya boleh memenangi jiwa kita umumnya masyarakat Melayu-Islam yang sudah maklum Amerika itu dikuasai oleh Yahudi-yahudi pro-Zionis, dan Zionis itu adalah yahudi-yahudi yang membantai saudara Palestin kita.
Walaupun artikel Rachel Motte memuji Najib atas kerana meyakini Najib adalah pro-Amerika, dan mempersoalkan Anwar kerana mula ragu-ragu kesetiaan Anwar sebagai liberal pro-Amerika, apa yang untung dalam artikel ini adalah Anwar sendiri. Seolah-olah artikel ini memberikan suntikan sokongan atas imej yang Anwar sedang bina di mata masyarakat Melayu berikutan isu APCO dan perisik Israel di Malaysia.Malah menggunakan istilah "reversal" seolah-olah Anwar sudah kembali kepada perjuangan asalnya sebagai pejuang Islam tulen dan bukannya agen Yahudi seperti dimomokkan oleh UMNO atau Ezam Md Nor.
Malah, artikel ini boleh membuatkan masyarakat Melayu-Islam meragui kerajaan atau khususnya UMNO yang kononnya cukup menentang pendudukan Israel ke atas bumi Palestin, tetapi sedang bersiap pula menjadi sekutu strategik Amerika, hingga akur atas isu Iran. Meyakinkan lagi bahawa kerajaan Malaysia memang punya kebarangkalian bersekutu dengan Zionis Israel.
Adakah Anwar merugi kerana bakal hilang sokongan teman-teman rapat yahudi pro-Zionisnya, berikutan mereka sedang mengalih sokongan kepada Najib atas kerana artikel Rachel Motte ini? Itu tidak akan berlaku kerana Rachel Motte adalah jurnalis yang memang mengulas isu politik untuk membina persepsi luaran sahaja. Melihatkan sokongan kuat yang Anwar ada, termasuk pujian melambung ke atas imejnya dalam banyak media yang dikuasai yahudi, satu artikel Rachel Motte belum boleh menggugat hubungan Anwar dengan yahudi-yahudi itu.
Malah, kita mungkin boleh melihat yahudi-yahudi itu sedang bermain talam dua muka juga baik kepada Anwar mahupun Najib, yang penting yahudi-yahudi itu mahu pimpinan umat di kalangan politikus Islam terus membodohkan diri untuk melobi, membina imej, dan bermesra-mesra dengan mereka bagi berebut untuk layak menjadi teman rapat Yahudi dan Nasrani yang memusuhi Islam itu. Selagi pimpinan umat ini tidak ada kekuatan untuk berdiri sendiri tanpa ada hubungan dengan Amerika dan Yahudi pro zionis itu, selagi itu kita akan lihat mereka sang politikus asyik berebut menjadi anti-Amerika di Malaysia, dan pro-Amerika di dunia luar.
1 komentar:
Dalam terjemahan tu Aulia' maksudnya teman rapat atau pemimpin?
Post a Comment