|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Saya sering mendambakan ada tokoh-tokoh yang boleh diharapkan untuk bawa apa yang saya panggil sebagai Renassaince Hikmah.Saya menggariskan beberapa bidang, umumnya bidang politik, ekonomi, pendidikan, sosial, bahasa dan sastera serta hiburan sebagai bidang-bidang kritikal yang perlu digerakkan ke arah revolusi dan reformasi bentuk baru ke arah matlamat meninggikan Islam setinggi-tinggi yang boleh.

YB Zulkifli Noordin, bukanlah tokoh yang digemari saya kerana saya meletakkan beliau sebagai pemuja Anwar Ibrahim sejak zaman Reformasi 1998, iaitu ketika saya masih di Tingkatan Satu, zaman saya memerhati dan meneliti politik negara.'Pemuja' yang saya maksudkan adalah kesanggupan beliau melakukan apa saja pengorbanan demi melindungi dan mempertahankan Anwar Ibrahim.Hal ini diakui sendiri oleh Zulkifli Noordin bahawa beliau adalah orang yang banyak melakukan pengorbanan untuk diri Anwar Ibrahim dan keluarga secara peribadi dan perjuangan Reformasi setelah Anwar dipecat dari UMNO.[klik]

Namun semua itu tak menghairankan bagi sebahagian besar pengikut parti PKR ini yang berasal dari Reformasi 1998. Hampir kesemua mereka itu boleh dikatakan mengagungkan sosok bernama Anwar Ibrahim ini, dan bukanlah ada prinsip bersama yang padu sebagai idealisme yang disepakati. Saya kira ramai boleh bersetuju dengan hakikat itu, apabila pilihanraya umum 1999 yang memperlihatkan Parti Keadilan Nasional bertanding buat pertama kalinya tidak boleh lari dari dilihat orang sebagai parti para peminat dan pemuja Anwar Ibrahim (Anwar Fan Club) yang berjuang untuk membebaskan Anwar dan mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri semata-mata.

Kecelaruan inilah yang nampak jelas apabila pemuja dan peminat Anwar ini punya harapan berbeza-beza terhadap diri Anwar, atas kerana Anwar sendiri menjalankan propaganda berbeza apabila berhadapan dengan golongan pemuja yang berbeza. Bagi para islamis mengharapkan janji Anwar yang dilihat sebagai pejuang Islamisasi yang pernah popular dengan slogan "masyarakat madani"nya.Bagi para sosialis mengharapkan janji Anwar yang dilihat sebagai pejuang marhaen dan masyarakat bawah serta miskin yang Anwar pernah popular semasa zaman mahasiswanya.Bagi para liberalis pula, keakraban Anwar kepada wacana-wacana liberalis dari Amerika dan Indonesia mengharapkan Anwar meneruskan usaha mengangkat perjuangan demokrasi liberal itu. Malah tak kurang juga peminat dari para pro-melayu atau bekas-bekas umno yang pernah memandang Anwar sebagai pembela kuat orang Melayu sejak 1969 yang pernah bekerjasama dengan Mahathir menentang Tunku Abdul Rahman.

Ironinya, semua itu diletakkan oleh para penjunjung idealisme yang variasi dengan harapan yang berbeza tadi ke atas sosok Anwar untuk dijayakan apabila beliau memacu ke Putrajaya selepas dibebaskan pada tahun 2004.Namun Anwar tidak boleh menjayakan semua idealisme. Perlahan-lahan apabila penggabungan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan Parti Keadilan Nasional berlangsung, dan membentuk PKR, Anwar mesti memilih jalan idealisme tunggal buat jalan partinya.Maka Demokrasi Liberal dipilih.

Salah satu idealisme yang nampak tidak menguntungkan konsep majmuk bangsa dan agama dalam PKR, adalah idealisme Islam. Pemecatan Zulkifli Noordin dari PKR kerana mengangkat isu Islam hanya membuktikan Demokrasi Liberal dan Islam memang tidak boleh bertemu matlamat dan perjuangannya. Ini diakui sendiri oleh Zulkifli Noordin sejurus selepas diumumkan pemecatannya,

Keputusan ini juga membuktikan dengan jelas kepada saya bahawa agenda perjuangan Islam tidak diterima oleh PKR. Malahan terbukti kepada saya deklarasi Dasar PR pada 19.12.2009 yang kononnya mendaulatkan Islam dan menghormati kedudukan umat dan institusi Islam didalam Perlembagaan Persekutuan adalah sekadar mainan politik picisan dan retorik murahan untuk mengelabukan mata umat Islam, dan suatu pembohongan jelas kepada rakyat.[sumber]

Jika mengikut teori asal pakatan 3 parti utama pembangkang PKR-DAP-PAS, memang meletakkan resepi bahawa para islamis tempatnya adalah di dalam PAS bukan PKR. Jika dinilai secara kasar segala mesej perjuangan Zulkifli Noordin, beliau lebih mirip kepada suara-suara PAS yang suatu masa dulu lantang dalam isu-isu Islam semasa Anwar ada di dalam UMNO. Namun, jika situasi ini nak dibetulkan, meletakkan Zulkifli Noordin dalam PAS adalah jalan penyelesaian untuk pakatan tidak hilang satu lagi kerusi parlimen dan masih meletakkan tokoh politik yang bersih seperti Zulkifli Noordin dalam kem Pakatan Rakyat.

Namun, persoalannya adakah PAS benar-benar boleh menjadi platform para Islamis bersuara selantang Zulkifli Noordin? Saya sudah mengulas perihal PAS bukan lagi parti islam harapan umat dalam entri bertajuk "PERLU ADA PARTI ISLAM YANG BENAR-BENAR ISLAM".Ada para islamis berpendapat apa yang PAS cuba lakukan adalah mengumpul kekuatan untuk menjatuhkan UMNO dan BN terlebih dahulu yang tidak mampu dilakukan bersendirian, sebelum akhirnya akan menjinakkan PKR dan DAP untuk menerima konsep negara Islam yang diperjuangkan. Benar, Anwar tidak pernah menentang semangat perjuangan Islam PAS, dalam masa yang sama adakah Anwar tidak menentang semangat itu diperjuangkan untuk diangkat tinggi dan utama dalam Pakatan Rakyat?Pemecatan Zulkifli Noordin adalah jawapan kepada persoalan itu untuk para islamis yang menafikan entri saya tersebut.

Malah ketika ada suara untuk menjemput semula Zulkifli Noordin menyertai PAS kedengaran, pimpinan kanan PAS seperti Mahfuz Omar menjawab,

"Pas ada etika dalam perhubungan kerjasama persefahaman rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Apa jua keputusan disiplin yang dibuat oleh parti-parti rakan kita, kita tetap menghormati keputusan tersebut.

"Tidak wajar kita terima, tiada pertimbangan langsung... saya tidak melihat apa-apa yang boleh membantu meninggikan imej Pas dengan kehadiran Zulkifli ke dalam Pas... ini akan memberi keburukan dan mencalarkan nama baik parti,”[sumber]
Jika dulu para islamis menganggap PAS akan menjinakkan prinsip dan idealisme PKR kepada memperjuangkan Islam, namun kini jelas, keputusan PKR yang tak bersetuju dengan perjuangan Islam Zulkifli Noordin yang bertentangan dengan demokrasi liberal parti, menjinakkan pula prinsip dan idealisme PAS sehingga PAS berpegang pada etika menghormati pula pertentangan yang menolak martabat perjuangan Islam itu.

Malah kecaman demi kecaman yang diterima Zulkifli Noordin dari pimpinan PAS dengan gelaran "pengacau parti" memperlihatkan bahawa konsep politik kepartian Islam sudah jatuh martabat demi martabat, dari meletakkan kepentingan Islam dan Dakwah yang paling tinggi setingginya , menjadikan martabat dan imej parti, rakan sepakatan,serta etika kerjasama politik yang tertinggi hingga isu martabat islam yang dibawa oleh Zulkifli Noordin tak difikir secara serius pun.Kalau dulu kita biasa dengar bahawa PAS itu ditubuh hanya sebagai alat atau wadah sahaja namun matlamatnya adalah meninggikan Islam. Sekarang ini, kita masih tak percayakah Islam itu dijadikan alat atau wadah sahaja untuk meninggikan Parti?

Saya meletakkan Zulkifli Noordin sebagai contoh politikus muslim yang menonjolkan terang-terang prinsip yang selama ini hanya didendang-dendangkan saja oleh para Islamis dalam PAS tapi kecut nak ditonjol dengan terang dan tegas.Parti Hanya Wadah. Saya nampak PAS gagal membuktikan seruan itu. Jika benar Parti Hanya Wadah ada dalam hati pimpinan PAS seperti Mahfuz Omar, apa takut untuk imej parti tercalar menerima seorang ahli politik yang sayangkan agama dan mahu agamanya dibela itu? Mana satu mahu dipilih, Imej Parti Tercalar atau Imej Islam Tercalar? Imej Islam sudah tercalar banyak calarnya dengan hanya membiarkan Zulkifli Noordin sahaja bersuara.Malah dikecam pula dirinya.

Mari kita lihat apa yang Zulkifli Noordin sudah lama suarakan di parlimen secara terang-terangan membuktikan beliau tidak takut imej partinya tercalar demi untuk mempertahankan Islam di bumi Malaysia sejak November 2008 lagi,

"Dan kita sebagai rakyat malaysia tidak boleh nafikan bahwa dalam negara ini Islamlah yang menjadi tonggak kepada kestabilan dan kerharmonian tersebut.

Pertamanya, orang Melayu perlu faham bahawa kekuatan dia, kemuliaan dia, kehebatan dia letak pada Islam.

Dan ini merupakan tonggak kepada keharmonian, kestabilan politik dan keharmonian rakyat negara ini, seperti yang disebut oleh titah Raja-raja Melayu pada Syawal lepas.

Tetapi hari ini, tonggak ini yang menjadi sasaran diserang oleh pelbagai pihak.

Kiri, kanan, atas, bawah, depan, belakang.

Sama ada di kalangan pemerintah ataupun di kalangan 'sebelah' sini.

Menyerang Islam seolah-olah Islam tak wujud langsung.

Mereka mempertikaikan azan, syiar agama Islam. Mereka mempertikaikan tulisan jawi, hantar memorandum supaya tulisan jawi tak dilaksanakan lagi dalam negara ini.Mereka menuntut contohnya,soal ketuanan melayu -ketuanan Islam dipertikaikan. Di kalangan NGO-NGO,Majlis Peguam yang tanpa segan silu biadab mempertikaikan agama Islam, mencabar orang Islam, contohnya menghantar wakil dalam kes Azlina Jailani melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, yang menuntut hak supaya dia dibenarkan murtad mengikut artikel 11.
Majlis Peguam hantar peguam.Bukan sahaja sebagai pemerhati tetapi terlibat secara langsung dalam kes tersebut.Tanpa mengambilkira bahawa 40% lebih daripada ahli majlis peguam adalah orang yang beragama Islam.Tetapi mereka mengambil sikap bahawa Azlina Jailani perlu dibenarkan murtad mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Sampai ke peringkat dalam negara ini,ada kumpulan yang sudah berani cabar perkataan Allah itu sendiri.Mengheret kita ke mahkamah. Menuntut supaya dia juga boleh menggunakan perkataan Allah.Sehingga ke peringkat ada kumpulan yang tak menghormati perayaan agama Islam. Mencemar perayaan-perayaan agama Islam dengan tuntutan-tuntutan yang tak ada kena mengena dengan agama Islam. Perayaan Aidilfitri baru ini dicemar.

Saya diberitahu tadi bahawa ucapan saya ini tak bunyi macam yang sepatutnya.Saya berucap ini seolah-olah menyokong orang lain.Saya nak beritahu dan saya dah sebut banyak kali bahawa bagi saya yang penting agama saya, Islam.Saya tak peduli pada pandangan orang lain.Saya tak peduli bahawa saya mesti , orang kata through the line (ikut arus). Sebab saya nanti akan jawab di hadapan Allah. Saya perlu bertanggungjawab kepada Tuhan saya.Sebab itu saya pernah buat kenyataan, pada saya Islam itu dulu. I am Muslim first.Saya berani kata, saya bukan muslim yang terbaik, tapi saya akan beri yang terbaik untuk Islam. Kalau saya perlu perkatakan tentang Islam dalam dewan ini, saya akan perkatakan walaupun ianya tak senang didengari oleh pihak-pihak tertentu." [rujuk]
Saya mengharapkan Zulkifli Noordin terus berpegang dengan apa yang disebutnya terutamanya ayat terakhir dalam petikan di atas. Saya tidak menolak akan bekerjasama dengan Zulkifli Noordin kerana idealismenya adalah apa yang saya pegang selama ini, (yang sepatutnya menjadi idealisme semua muslim) iaitu meletakkan Islam sebagai yang pertama, utama dan selama-lama sebagai jalan perjuangan kita.Bukannya sayangkan imej parti dan rakan sekutu lebih dari Islam.

Insha Allah, pulang nanti saya akan segera bertemu Zulkifli Noordin untuk bincang pelan tindakan politik saya yang sudah lama berhabuk menanti masa begitu lama, menunggu muncul ahli politik muslim yang boleh diharapkan, setelah suara PAS tunduk pada Anwar Ibrahim yang tak mahu negara Islam.



3 komentar:

samad said...

cuba saudara dengar temuramah ini:

http://www.youtube.com/watch?v=jgbw6n7De2k

Anonymous said...

idealisma itu satu mata, bukannya 2,3 mata. zul nordin buat keputusan yang tepat. I am muslim first.

tapi adakah dia berseorangan dalam idealisme nya? bolehkah dia bergerak berseorangan (ala-ala dr Maza)?

Anonymous said...

mfr cepat tubuh parti islam yang benar benar islam... sy nak joint