|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
sumber

BELAH BAHAGI ORANG MUDA

Ada beberapa perkara yang menjadi rasa serba salah orang-orang muda apabila memandang "politik" khususnya di Malaysia. Asas perdebatan politik yang mendasar adalah pada teras dan matlamat politik itu sendiri. Percanggahan pada teras dan matlamat menjadikan perpecahan kumpulan dan perjuangan. Asas perjuangan sendiri adalah pada teras dan matlamat. Dan teras itu seringkali terikat matlamatnya pada ideologi yang dipegang.

Kita memahami sekurang-kurangnya ada tiga ideologi politik besar yang dipegang oleh kelompok muslim di Malaysia, iaitu demokrasi-liberal, sosialisme dan Islam. Walaupun jenis-jenis ideologi itu terpecah lagi pada pandangan mazhab atau manhaj politik yang pelbagai, namun bukan mudah untuk kita rungkaikan segala kompleksiti kepelbagaian itu dalam sebuah tulisan spontan ini. Ia tentunya memerlukan sebuah tulisan panjang dengan kajian terperinci.

Kadang kala tiga ideologi besar ini boleh berasimilasi dan kadang kala mereka dituntut untuk berasimilasi sehingga itulah yang menghasilkan kekeliruan, kecamukan dan belah bahagi untuk orang muda memahami struktur kompleksiti perjalanan politik muslim di Malaysia.

NASIONALISME DAN ISLAM

Kita memahami dan sering didendangkan Politik Islam di Malaysia digerakkan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS). Namun kita tidak boleh lupa bahawa setiap pejuang politik yang beragama Islam di Malaysia juga mendendangkan bahawa apa yang diperjuangkan oleh mereka adalah juga perjuangan Islam walaupun mereka bukan pejuang PAS.

Kita melihat sejarah, dan dikatakan PAS sebuah parti Islam itu berbeza dengan UMNO adalah pada dasar ideologi parti masing-masing. PAS membawa dasar Islam, UMNO membawa dasar nasionalisme. Soal nasionalisme iaitu perjuangan kebangsaan sebenarnya sangat umum. Nasionalisme gagal dikhususkan pada ideologi politik yang membawa kepada jenis pemerintahan, kerana nasionalisme sudah menjadi anutan setiap negara di dunia kerana negara di dunia bukan lagi diperintah berdasarkan empayar-taklukan tetapi sudah diterima menjadi negara-bangsa.

Walauapapun ideologi yang dipakai, sama ada demokrasi atau komunis, sama ada monarki atau republik, selagi ada "negara-bangsa" selagi itulah ada "nasionalisme". Selagi negara dan wilayah dipertahankan, selagi itulah ada "nasionalisme".Selagi ada semangat "ini negara kami" selagi itulah ada "nasionalisme". Semangat kebangsaan ini sudah dianuti oleh banyak semangat kenegaraan, malah gagal untuk dipisahkan dengan mengatakan "kami ada semangat kenegaraan, tapi kami menolak nasionalisme".

Selagi ada negara-bangsa iaitu sama ada bangsa menentukan pecahan negara, atau negara menentukan apa itu bangsa, mereka semuanya adalah penganut-penganut Nasionalisme.

Malah, selagi perjuangan politik menitik beratkan semangat Patriotisme (cintakan negara), semangat kedaulatan negara, semangat kenegaraan, semangat membangunkan satu bangsa, semuanya itu masih berunsur nasionalisme.

Jika dilihat pada perkembangan politik Melayu-Islam di Malaysia pun, kita tak melihat satu parti pun yang tidak memperjuangkan sebuah negara berdaulat, dan memperjuangkan atau mempertahankan "sebuah negara" berdaulat itu adalah terangkum segalanya dalam konteks Nasionalisme.

Namun, adakah nasionalisme itu adalah anjuran Islam? Saya percaya bagi pejuang parti islam khususnya PAS, nasionalisme adalah haram di sisi Islam. Menghadkan pemerintahan Islam itu terhenti pada satu-satu wilayah atau negara malah hanya cuba mempertahankannya untuk survival sendiri bukan dari ajaran Islam, malah bercanggah dengan apa yang diamalkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabatnya.

Nabi Muhammad s.a.w diutus menjadi rahmat sekalian alam, tuntutan dakwah untuk Islam disebarkan ke seluruh dunia dan memecahkan tembok-tembok asobiyah ,sempadan negara yang taksub pada pemimpin atau jajahan masing-masing, membawa manusia kepada Islam dan mensaudarakan mereka menjadi satu binaan yang kukuh mengukuhkan di bawah satu ketua yang bersatu yang dipanggil "khalifah" adalah apa yang diajar oleh Islam. Benar, ini persis perjuangan khilafah yang dicanang oleh Hizbut Tahrir yang dimusuhi oleh sesetengah individu dalam PAS. Namun tidak ada seorang ahli PAS berjaya menyangkal cita-cita khilafah ini sebagai idea teras mengapa Islam menolak Nasionalisme.

PAKATAN ISLAM-SOSIALISME-DEMOKRASI

Soal pertembungan sosialisme dan demokrasi mungkin cerita lama. Hari ini kita boleh melihat seorang sosialis boleh duduk dengan seorang demokrat untuk memperjuangkan nasionalisme.
Itu salah satu bukti nasionalisme adalah semangat umum yang boleh dianut oleh apa saja pejuang walaupun mereka bertentangan prinsip.

Soalnya sekarang mengapa Islam yang pada asasnya menolak nasionalisme boleh didakwa boleh diserap dalam sosialisme dan demokrasi yang bermatlamatkan nasionalisme sama. Di sini bermulanya kecamukan yang kita sebut sebagai teras membawa pada matlamat. Jika matlamat perjuangan itu akhirnya terhenti pada mengukuhkan institusi kenegaraan Nasionalisme, maka apa beza lagi teras-teras sosialisme, demokrasi dan Islam. Mereka boleh disekalikan menjadi satu pakatan untuk berkuasa. Maka terhasillah Pakatan Rakyat.

Jika kita berkata, PAS adalah parti politik yang menolak sekularisme dengan mengamalkan sekularisme, maka saya percaya hampir 99.99% ahli PAS tidak bersetuju malah mungkin akan mengisytiharkan perang ke atas diri saya. Namun, menolak nasionalisme sebagai alasan mengapa PAS-UMNO tak boleh bersatu, di samping menggunakan nasionalisme sebagai asas penyatuan PAS-PKR-DAP adalah mengarut.

Dari satu segi nasionalisme dianggap sebagai sekularisme yang bercanggah dengan Islam, dalam segi yang lain nasionalisme dianggap sekularisme yang boleh diterima oleh Islam. Mungkin ada yang tidak bersetuju jika nasionalisme disamakan dengan sekularisme, tapi jika asas nasionalisme yang memisahkan matlamat akhirat dengan semangat duniawi itu sudah ditolak Islam, jika nasionalisme bukan sekularisme , maka apa itu nasionalisme?

Tapi kita maklumi, ada teori strategi yang dipercayai oleh ahli PAS sedang diusahakan oleh para pemimpin mereka. Teori ini menjadi sebab mengapa mereka keras dengan UMNO tetapi lembut dengan DAP dan PKR. Teori itu tidak lain tidak bukan adalah kejayaan Ayatollah Khomeini dalam menggulingkan Shah Iran dalam Revolusi Iran 1979.

Kita tahu Revolusi Iran itu asasnya dicetuskan pada 1978 oleh kelompok liberal-sekular yang mahukan Shah Iran berpegang kembali kepada Perlembagaan 1906. Namun, kelompok komunis-marxism juga adalah antara pembangkang konsisten di Iran waktu itu. Kelompok Islam yang diterajui oleh para ulama samaada cenderung kepada kumpulan liberal atau komunis. Tapi tidak ramai yang cenderung pada Shah Iran atau pro-kerajaan kerana sikap Shah Iran yang diskriminasi ulama dan tidak islamik. Di sini kita akan fahami mengapa kelompok Islam sudi berpakat dengan puak yang tak islamik untuk menentang yang tak islamik. Akhirnya Ayatollah Khomeini menggabungkan semua pembangkang ini dalam satu pakatan untuk mengguling Shah Iran sehingga terjadilah yang dikatakan Revolusi Iran itu.

Setelah kejayaan revolusi, pakatan yang sebelumnya menggabungkan pelbagai kelompok ideologi liberal, komunis, islam mula bubar dan masing-masing berusaha menjayakan intrepetasi masing-masing bagaimana negara Iran wajar ditadbir. Khomeini melantik pemimpin puak sekular-liberal, Mehdi Bazargan sebagai Perdana Menteri namun dalam masa yang sama melantik para ulama yang menyokong beliau dalam majlis Revolusi yang punya kuasa lebih dari Perdana Menteri. Di sinilah bermulanya sedikit demi sedikit puak liberal dan komunis mula dinyahkan dari pakatan revolusi sehingga khomeini berjaya menubuhkan Republik Islam Iran dan menolak negara demokratik moden puak liberal atau negara komunis puak marxism.

Inilah teori bagaimana pihak PAS yakin pakatan dengan PKR dan DAP hanya sementara semata-mata untuk menggulingkan UMNO-BN sepertimana Khomeini berjaya berpakat dengan puak liberal dan komunis untuk mengguling Shah Iran. Kemudiannya nanti PAS akan menyahkan PKR dan DAP dari membuat keputusan bernegara, sepertimana Khomeini berjaya menyahkan puak liberal dan komunis yang telah membantu beliau dalam Revolusi Iran.

Persoalannya, adakah ini teori yang diakui dan diikrarkan benar oleh para pemimpin PAS? Tidak ada seorang pun pemimpin PAS yang berani membenarkan teori ini, malah semakin ramai yang terang-terang meyakinkan di khalayak awam PAS "ikhlas" dalam Pakatan Rakyat yang akan mengambil kira pandangan sekutu dalam pakatan iaitu PKR dan DAP dalam membuat keputusan.

Malah teori yang popular pernah diucapkan terang-terangan adalah PAS akan cuba meyakinkan PKR dan DAP akan penubuhan Negara Islam Malaysia, dan bagaimana akhirnya PKR dan DAP akan bersetuju untuk menubuhkan negara Islam dan mengangkat PAS sebagai teraju pakatan. Walaupun hal ini diketawakan oleh kelompok lawan mereka dari UMNO-BN mahupun rakan mereka sendiri dalam PKR dan DAP yang tidak percaya PAS mampu meletakkan perjuangan Islam sebagai perjuangan utama Pakatan Rakyat, namun teori ini dianggap dipercaya sungguh-sungguh oleh ahli PAS setelah teori yang PAS akan menyahkan PKR dan DAP dari pakatan selepas kejayaan menggulingkan UMNO-BN.

DEMOKRASI DAN SOSIALISME YANG DITERIMA ISLAM

Demokrasi dan Sosialisme yang dikatakan diterima oleh Islam itu adalah yang menepati apa yang disebut sebagai Maqasid Syariah. Nilai bersama yang sering ditekankan mengapa puak demokrasi dan sosialis boleh bersama Islam adalah kerana nilai "keadilan".

Demokrasi yang memperjuangkan asas hak kebebasan dan suara ramai dianggap satu jenis keadilan yang diterima islam. Sosialisme yang memperjuangkan hak golongan miskin dan bawahan yang diperjuangkan oleh nilai kesamarataan dianggap keadilan yang diterima Islam.

Soalnya adakah keadilan dalam Islam bermaksud hak kebebasan, suara ramai, kesamarataan?

Di sini definisi yang diambil mudah tanpa direnung sedalam mungkin menjadi satu alasan mengapa pihak politikus PAS melarang ahlinya menolak Demokrasi atau unsur Sosialisme yang menjadi pegangan kebanyakan muslim dalam PKR, supaya mereka boleh dilihatkan bersama dalam perjuangan nilai tersebut. Dalam masa yang sama, para pemimpin PAS menekankan bahawa mereka mustahil bersama dengan UMNO disebabkan Nasionalisme yang ada pada UMNO bercanggah dengan dasar Islam. Kesimpulannya PAS-UMNO mustahil bersama kerana nilai Nasionalisme-Islam bercanggah, dan PAS-PKR-DAP boleh bersama kerana nilai Demokrasi-Sosialisme-Islam tidak bercanggah.

Walaupun di awal tulisan ini saya sudah menyatakan bahawa tidak ada perjuangan politik bernegara-bangsa boleh melarikan diri dari Nasionalisme, buat masa ini kita buat tidak nampak dulu bahawa Demokrasi-Sosialisme-Islam yang ada itu adalah atas matlamat Nasionalisme (semangat satu bangsa Malaysia).

Kita tahu bahawa pengakhiran bagi Demokrasi dan Sosialisme sama ada dua perkara, Anarkisme atau Diktator.

Anarkisme jalan akhir kepada perjuangan kebebasan individu atau rakyat dari penguasaan atau akhirnya dipanggil sebagai anti-kerajaan.Unsur anarkisme banyak dimainkan untuk permulaan sama ada Demokrasi atau Sosialisme menggulingkan kerajaan yang sedia ada untuk berkuasa., supaya rakyat merusuh dan berasa marah kerana dikongkong dan tidak bebas. Walhal kita tahu sama ada demokrasi mahupun sosialisme, mereka ingin membina sistem yang juga mengongkong dalam konteks ideologi mereka dan mereka juga tidak akan membebaskan rakyat sebebasnya sehingga menjadi anarkis.

Diktator pula jalan akhir kepada perjuangan taat dalam sistem tanpa boleh melepasi batasnya. Sama ada Demokrasi mahupun Sosialisme, kedua-duanya akan meletakkan pemimpin menguasai rakyat dan bukannya rakyat menguasai pemimpin yang sebenarnya satu utopia yang benar-benar kartun dan fantasi. Tidak ada satu pun negara bersistem yang menganut demokrasi mahupun sosialisme yang meletakkan keputusan dibuat oleh rakyat terbanyak melainkan perbincangan dan keputusan dibuat oleh kelompok elit yang dipanggil sebagai politikus dan pemimpin. Benar, kita mengatakan pemimpin itu lahir dari rakyat, namun benarkah pemimpin atau politikus itu benar-benar lahir dari suara rakyat? Jika kita semua memahami dalam sistem politik kepartian, penetapan siapa menjadi calon pilihanraya bukan dibuat oleh rakyat tapi dibuat oleh parti atau politikus dalam kelompok parti bertanding.

Dalam Islam juga ada sistem dan peraturan yang perlu ditaati termasuk taat pada pemimpin. Malah dalam beberapa hadis perihal ketaatan pada pemimpin, jelas dalam Islam adalah haram memberontak pada pemerintah yang masih solat walaupun dia seorang fasik dan melakukan banyak maksiat. Cuma beza Islam dengan demokrasi dan sosialisme, sistem dan had mahupun batas yang ditetapkan bukanlah semata-mata ijtihad dari manusia tetapi juga hukum mutlak yang digariskan oleh Allah dan Rasul. Jika seorang pemimpin yang zalim naik dalam pemerintahan Islam, ada tuntutan supaya pemimpin itu diajak kembali kepada keadilan dan kecenderungan melantik pemimpin zalim adalah suatu yang dilarang dalam Islam. Soalnya apa itu zalim apa itu adil, semuanya digariskan oleh Allah dan Rasul yang tidak sama dengan Demokrasi dan Sosialisme.

Memberikan kebebasan sehingga batas syarak dilanggar atau suara ramai yang menentukan keputusan dibuat bukan atas petunjuk alQuran -sunnah, maka itu juga masih kategori zalim dalam Islam. Begitu juga menyamaratakan segala hal bukanlah erti keadilan oleh Islam, yang dimaksudkan keadilan dalam Islam adalah meletakkan suatu di tempat yang haq ini termasuk dalam meninggikan kalimah Allah berbanding manusia, kedudukan pemimpin dan rakyat, kedudukan ulama dan orang jahil, kedudukan lelaki dan perempuan, begitu juga tanggungjawab dan hak berbeza di kalangan miskin dan kaya, kuffar dan mukmin. Apatah lagi jika ada usaha untuk menyamaratakan Islam dan agama lain sehingga hanya menghadkan agama sebagai pegangan persendirian yang tak perlu dihebahkan atau diangkatkan.

POLITIK MENYATUKAN UMAT

Walaupun ini merupakan sebuah tulisan spontan, namun kita sangat memahami politik masa hadapan Malaysia tidak boleh diharapkan oleh parti-parti yang tidak memahami teras dan matlamat perjuangan Islam. Kita tahu ada usaha-usaha pembaikan, transformasi, atau strategi-strategi rahsia samada mahu bertaqiyah, bermuslihat, memperkuda dengan gaya lakonan, retorik, hipokrit, pendustaan, penyamaran atau segala jenis konspirasi yang diamalkan dalam tikam menikam, guling mengguling, tempur menempur dan segala macam buruk keji kotor hitamnya politik yng dimaklumi semua dengan alasan darurat.

Tapi perjuangan Islam itu terang, jelas, tegas dan tidak kompromi dalam soal prinsip. Benar, dalam Perjanjian Hudaibiyah ada unsur kompromi Nabi dengan kuffar, tapi adakah prinsip perjuangan dakwah ditopengkan selepas itu? Adakah usaha menerangkan teras dan matlamat perjuangan Islam diselindung di sebalik taqiyyah dan penyamaran? Itu satu pendustaan. Sesudah perjanjian Hudaibiyah dimeterai, usaha dakwah Islam dilakukan secara terang, jelas, tegas dan tidak berselindung sehingga kejujuran dan kebenaran Islam itu terpancar.

Kita boleh menganggap penubuhan negara Malaysia dan pilihanraya yang dipersetujui sebagai cara memilih kerajaan seumpama perjanjian Hudaibiyah. Jika suasana aman atau peraturan mahupun prosedur ini telah dimeterai, mengapa harus Islam tak diperjuangkan secara terang padahal pentas-pentas yang terbuka boleh digunakan untuk memahamkan masyarakat mengenai Islam dan keadilan pemerintahannya. Mengapa harus ditopengkan perjuangan ini dengan dipenuhkan syarahan pentas dengan retorik demokrasi, sosialisme, nasionalisme,ataupun berita-berita sangkaan dari teori-teori konspirasi populis mahupun spekulator-spekulator?

Politik masa hadapan bagi golongan muda harus diluruskan. Kita perlu bangkit bukan mengguling mahupun menghentam orang-orang tua ini, namun kita perlu bangkitkan suara-suara seruan ke arah memanggil manusia kembali pada Allah dan Rasul secara terang, jelas dan tegas dengan konsisten. Tempat manakah yang lebih baik untuk memanggil orang Islam bersatu jika bukan semuanya berkumpul di rumah Tuhan kita, MasjidNya.

Dan apakah mereka bingung sehingga tidak tahu panggilan azan itu waktu yang signifikan untuk manusia yang mahu dipanggil muslim dan mukmin untuk bersama dan berkumpul seterusnya bersatu dalam saf-saf lurus? Dan apakah bingung sangat mereka sehingga tidak memikirkan bahawa waktu berkumpul bukan terhad hanya sehingga salam setiap solat sahaja? Apakah mereka tidak tahu Masjid bukan saja tempat solat, zikir, dan quran tapi juga tempat bermesyuarat? Apakah bingung sekali mereka untuk tak memikirkan apakah yang perlu dimesyuaratkan melainkan hal-hal umat jua, hal-hal teras dan matlamat kita, hal perjuangan untuk pemerintahan Islam jua. Dan apakah bingung sekali mereka tak memikirkan melawat rumah-rumah orang islam, bertemu muka dengan orang Islam bagi memanggil orang Islam kepada Allah bukan hanya di waktu nak meraih undi dalam pilihanraya sahaja tetapi wajar dilakukan istiqamah setiap masa yang kita panggil sebagai dakwah? Dan apakah mereka bingung sekali jika Masjid tak dioperasi sesungguh mungkin dengan aktiviti ilmu dan membangkit iman, sehingga membiarkan masjid berkunci dan kosong?

Mengusahakan politik sebagai dakwah bukannya dengan cara tipu muslihat, dusta dan taqiyyah untuk dapatkan kuasa, tapi mengaktifkan seruan untuk semua kembali kepada Allah, mengoperasi sungguh-sungguh rumahNya, meletakkan kesatuan umat dalam saf solat dan mesyuarat, bertebaran bertemu manusia memanggil untuk bersama aktif istiqamah, dan inilah fasa awal politik masa hadapan yang boleh digerakkan kita orang muda malaysia. Benar, fasa berikutnya nanti adalah dalam mesyuarat itu ketika hati-hati kita duduk bersatu dibawah satu naungan dalam tempat paling mulia, Masjid Allah. Pertempuran politik umat dengan bertempias air liur atas pentas politik pilihanraya atau kepartian adalah mustahil menyatukan. Mesyuarat yang duduk beradab dalam rumah Allah dengan pasakkan teras dan matlamat sama itulah yang menyatukan. Politik menyatukan umat adalah mesyuarat di masjid yang diadakan sesudah kita tunduk bersama dalam saf solat.Teras kita iman, matlamat kita redhaNya. wallahua'lam.

2 komentar:

reveller guerilla said...

salam, akhi, mintak repost...

mfrstudio said...

salam.

setakat nak repost tak perlu meminta, ambil saja.

dekat footer blog ni ada tertulis:

No Copyright and Gratis 200 percent alhikmah diari. All rights belongs and depend to Allah SWT.