|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH


Apabila saya berbicara soal kebodohan kempen, tidak semestinya merujuk pencipta kempen mahupun penyokong kempen sebagai bodoh. Apa itu kebodohan kempen, soal itu perlu dijelas dahulu.

Kes merujuk kepada kempen Earth Hour 2009. Mari saya petikkan apa yang dimaksudkan seseorang itu sudah menyertai kempen ini atau tidak menerusi kata-kata yang dicatatkan dalam laman web kempen tersebut:

On March 28 you can VOTE EARTH by switching off your lights for one hour.
Or you can vote global warming by leaving your lights on.

terjemahan yang saya dapat faham akan kenyataan di atas:

Pada 28 Mac anda boleh untuk UNDI BUMI dengan memadamkan lampu anda untuk satu jam.
Atau, anda boleh undi pemanasan global dengan biarkan lampu anda terbuka.

Kempen ini tak ubah seperti kempen mengumpul tandatangan, satu percubaan WWF untuk mendapatkan sokongan seluruh manusia dunia agar dapat mendesak pemimpin dunia agar bertindak untuk menangani masalah pemanasan global di konferens Copenhagen 2009.

Saya pernah membaca akan kempen yang lebih kurang serupa berkenaan dengan krisis politik Malaysia dengan cadangan supaya masyarakat Malaysia membunyikan hon pada satu ketika tanda sokongan usaha membantah. Kalau di Jepun kempen membunyikan hon kereta akan diklasifikasikan sebagai kempen yang menyokong pencemaran bunyi. Ya, di Jepun bunyi juga suatu pencemaran jika berleluasa.

Ada orang menyebut kempen Earth Hour 2009 adalah kempen menjimatkan tenaga elektrik. Itu salah. Dalam kempen tersebut tidak disebutkan pun, seseorang yang mahu menyertai kempen tersebut boleh memilih untuk mengundi dengan memadamkan televisyen, komputer, sterika, peti ais, mesin basuh untuk mengganti undi dengan memadamkan lampu. Apa yang WWF mahu buktikan pada konferens di Copenhagen itu nanti adalah masyarakat dunia majoritinya bergelap selama satu jam pada tarikh tersebut maka desakan supaya pemimpin dunia tegas menangani isu pemanasan global mesti diambil serius kerana ia disokong majoriti masyarakat dunia.

Maka, apakah kebodohan kempen yang saya maksudkan? Kebodohan kempen itu meletakkan hukum , jika saya memasang lampu pada ketika itu, maka saya mengundi untuk pemanasan global dan menentang undi untuk bumi. Maka, orang Islam yang bijak tidak akan termakan dengan kebodohan kempen ini dengan iktikad bahawa menutup lampu 8.30 malam pada 28 mac nanti sehingga satu jam akan membuatkan dia menjadi manusia peduli.

Jika masjid-masjid mula bersolat Isyak pada jam 8.30 malam dan selepas itu dalam tempoh sejam ada pula sesi talaqqi ilmu, maka masjid-masjid memasang lampu, adakah orang-orang Islam yang duduk dalam masjid itu bukan orang peduli akan isu alam sekitar kerana disangkakan mengundi pemanasan global?

Orang Islam juga manusia yang peduli walaupun memasang lampu masjid pada pukul 8.30 malam itu. Orang Islam yang bijak akan tidak terpedaya dengan seruan kempen ini sehingga sanggup mencadangkan untuk solat dalam gelap seperti berikut:

tengah nak solat isyak tu,apa kata kita tunjukkan orang Islam pun tiada masalah untuk bersolat jemaah di dalam gelap?

Orang Islam yang bijak akan tahu menentang pemanasan global yang diakibatkan oleh peralatan elektrik memerlukan sikap berjimat cermat. Kempen berjimat cermat sudah disebut oleh Allah s.w.t sendiri dalam surah Al Isra ayat 27 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Maka, orang Islam yang bijak tidak obses untuk menutup lampu masjid semata-mata takut dilabel oleh WWF sebagai mengundi pemanasan global, tetapi orang islam yang bijak akan sentiasa menjimatkan penggunaan elektrik pada setiap masa dan menggunakan elektrik secara cukup untuk keperluan saja.bukan saja pada 28 mac tapi pada setiap masa dulu,kini dan selamanya.

Saya berharap orang Islam akan sentiasa bijak untuk memahami isu sebenar, dan tidak hanya terikut-ikut dengan arus yang kononnya sesiapa yang menentang arus itu adalah musuh dan pengkhianat dunia.

Saya juga mengambil kesempatan ini meminta maaf pada Ustaz Hasrizal secara terbuka, kerana membuatkan beliau beranggapan saya mengatakan beliau bodoh kerana 'termakan dengan kebodohan kempen' tersebut. Padahal saya sudah komen entrinya mengenai hal ini tanpa menyebutkan kebodohan sehinggalah muncul cadangan untuk solat jemaah dalam gelap itu. Yang mencadangkan itu bukan Ustaz Hasrizal kerana Ustaz Hasrizal menyokong kempen tersebut tanpa terkongkong dengan saranan kempen tersebut akan tetapi beliau menyebut:

"Saya menyeru para pembaca untuk menjayakan kempen EARTH HOUR 2009 dengan memadamkan semua alat elektrik sedaya mungkin selama satu jam pada 8:30 malam, Sabtu 28 Mac 2009. "

Maka, saya beranggapan Ustaz Hasrizal BIJAK kerana telah mengambil peluang akan nama kempen ini dengan mengubah terma partisipasi bukan saja pada lampu, tetapi semua alat elektrik.

Wallahua'lam.

nota:
untuk membaca tulisan ustaz Hasrizal akan kerisauan beliau mengenai alam sekitar boleh klik di link berikut:http://saifulislam.com/?p=5023



1 komentar:

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Maafkan saya jika kata-kata mengguris hati saudara tetapi saya berpendapat Earth Hour melibatkan penutupan suis barang elektrik jugak (wikepedia earth hour)w/pun tidak dinafikan kebanyakkan iklan menyuruh menutup lampu. Ada kajian menyatakan dengan pengurangan menggunakan barangan elektrik termasuk lampu dapat mengurangkan penggunaan elektrik dan sekaligus mengurangkan gas karbon dioksida. Bayangkan kalu ramai penduduk menunjukkan sokongan yang sama maka byklah gas karbon dioksida dapat dikurangkan. Mungkin masjid yang ingin terlibat dengan earth hour ini boleh mengurangkan penggunaan lampu semasa sembahyang tetapi boleh menutupnya semasa memberi tazkirah. Mungkin imam masjid boleh memberi tazkirah pasal alam kubur, hari akhirat dan lain. Dengan ketiadaan lampu mungkin dapat menambahkan keimanan dan keinsafan kerana kita juga keseorangan dalam kubur, misalnya. Itulah pandangan saya tentang earth hour yang saya rasa benda yang baik malah boleh berubah menjadi lebih baik jika kita yang arah kepada jalan yang betul. Tak salahkan kita peduli menyelamat dunia walau dalam masa sejam. Lagipun bersolat dalam terang bukan syarat sah sembahyang. Kita boleh bersembahyang dlm pelbagai keadaan asalkan mengikut syariatnya.