|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Politik Bernegara

Saya mengambil politik sebagai kepemimpinan. Jika politik yang menjadi fokus partai, hizbi,jamaah mahupun gerakan Islam ke arah politik bernegara, maka saya cadangkan politik bernegara itu dipandang sebagai kepemimpinan bernegara. Jika betullah tujuan berpolitik melalui partai, hizbi, jamaah atau gerakan itu terasnya dakwah, maka saya cadangkan politik bernegara dipandang sebagai medan dakwah kepemimpinan bernegara. Dakwah itu bukan sekadar tabligh, akan tetapi konsepnya amar makruf nahi mungkar. Tabligh itu sampaikan, dakwah bukan sekadar sampaikan, tetapi juga harus ke tahap seru, mengajak, mempelawa, amar akan hal makruf. Juga tidak dilupa mencegah, menjauhi, membendung hal-hal mungkar.

Namun, bagaimana pula seorang daie tidak punya kelengkapan cukup,dia hanya mampu tabligh atau sampaikan, adakah haram baginya dakwah?Tidak, jika kekuatannya hanya sampaikan, oleh itu tabligh lah. Maka lihatlah kekuatan imannya. Hal ini tidak susah untuk difahami. Jika betullah mereka yang berceramah, berdemonstrasi, mencela, membuka aib, berperang, merusuh, dan sebagainya demi memenuhi kesyumulan dakwah iaitu dengan 3 tahap iman sepertimana yang disebut jika ada kuasa maka ubah dengan tangan, jika tidak mampu gunakan lisan, jika tidak mampu juga cukup dengan membenci di dalam hati iaitu selemah-lemah iman, maka teras dakwah itu tentunya berteras kekuatan iman sebagai kayu ukur.Jika iman menentukan corak dakwah, dan dakwah matlamat politik, maka saya yakin itu konsep politik islam yang cukup baik.

Namun, jika iman paling tinggi adalah mengubah kemungkaran dengan kuasa dan tangan sebagai kayu ukur, adakah semua tindakan mengubah kemungkaran dengan kuasa dan tangan tanpa mempeduli caranya bagaimana itu, dijamin jalan lurus bagi orang beriman? Adakah memotong tangan pencuri boleh dilaksanakan oleh saya sebagai orang awam demi membuktikan pada Allah bahawa saya beriman tahap pertama? Bertindak tanpa ilmu dan cara hikmah adalah tindakan jahil lagi sesat. Bukankah untuk dapatkan dunia dengan ilmu, untuk dapatkan akhirat dengan ilmu, dan untuk dapatkan kedua-duanya juga dengan ilmu? Lalu bertindak dengan kuasa dan tangan tanpa ilmu juga belum mampu capai tahap iman pertama.

Bahkan, untuk bertindak secara lisan tanpa ilmu juga satu kebingungan. Bagaimana untuk mengubah kemungkaran dengan lisan, sedangkan yang disampaikan tidak berteraskan ilmu?

Ilmu tidak semestinya perlu dapatkan sarjana, sijil mahupun pengiktirafan sekolah atau universiti. Ilmu adalah pengetahuan. Apa yang kita perlu tahu dan patut tahu adalah ilmu. Sememangnya jika kita tidak tahu, bertanyalah kepada yang tahu. Golongan yang tahu itu golongan berilmu, ulama. Adapun bidang ilmu itu tersangat luas, maka jika ada ulama pakar suatu bidang tetapi tidak bidang yang lain, tidaklah pula si ulama itu menjadi rendah tarafnya. Manusia diberikan kekuatan berbeza-beza supaya akhirnya akan melengkapi antara satu sama lain. Manusia perlu bertemu, taaruf, berukhuwwah supaya dapat mencari pelengkap masing-masing. Hatta manusia jahil juga pelengkap bagi manusia berilmu, kerana tanpa si jahil manakan mungkin si berilmu dapat meninggalkan ilmu bermanfaat sebelum mati?

Jika beginilah kefahaman kita tentang dakwah, maka mengapa pula politik yang bermatlamat dakwah tidak mempertimbangkan hal-hal sebegini? Sekurang-kurangnya konsep dan fahaman inilah yang mendasari segala pendirian terhadap bermacam situasi.

Diulang kembali, jika politik islam dipandang sebagai kepemimpinan dan bermatlamat dakwah, iman sebagai kayu ukur corak tindakan, ilmu sebagai panduan tindakan, dan melengkapi sesama manusia atau peserta politik islam dengan kekuatan masing-masing tentulah akan menyumbang kepada pelan tindakan politik islam yang kukuh lagi tersusun.

Pengurusan hati sebagai asas

Disebut di atas, bahawa membenci di dalam hati adalah selemah-lemah iman, dan betapa ilmu wajar dijadikan teras dan dasar tindakan, maka tentulah mengurus kebencian di dalam hati juga perlukan ilmu. Ketahuilah di dalam hati kita ada nafsu. Membenci itu juga adalah elemen nafsu. Sebagaimana bertindak dengan kuasa dan tangan atau dengan lisan tadi perlukan ilmu supaya tindakan berhikmah, maka membenci di dalam hati juga bukan boleh semberono benci.

Sungguh, memandang kemungkaran dan berasa benci di dalam hati akan kemungkaran itu adalah iman, namun nafsu tak pernah berhenti merasuk hati dan menghalang iman. Jika tidak meletakkan ilmu untuk mengurus kebencian hati, maka kebencian hati akhirnya boleh menuju ke arah kezaliman. Sebagai contoh, disebabkan saudara kita pernah melakukan kemungkaran, dan kita benci akan kemungkaran itu kerana kita beriman, lalu akibat tidak mengurus kebencian itu akhirnya membuatkan nafsu benci menguasai hati mengatasi iman sehingga kita bukan sekadar benci kemungkaran akan tetapi benci juga saudara kita itu sehingga kita tidak berlaku adil padanya atau hatta selepas dia bertaubat. Maka kita gagal mengurus benci dengan ilmu supaya iman kekal teras kebencian bukannya nafsu.

Sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah dicaci dan dibaling najis oleh seorang tua, tentulah kemungkaran si tua itu dibenci oleh Rasulullah, akan tetapi tatkala si tua itu sakit dan Rasulullah datang menziarahinya membuktikan benci yang ada di dalam hati Rasulullah hanya tertakluk kepada kemungkaran perbuatan si tua, dan bukannya diri si tua. Rasulullah tetap teguh dengan amanah untuk membawa umat baginda menuju jalan yang lurus, maka baginda menziarahi si tua sebagai bukti kasih sayang kepada umatnya.

Apa pentingnya mengurus hati sedangkan itu hanya selemah-lemah iman? Ini soalan jahil yang tidak memahami tahap-tahap iman itu bukannya tahap berasingan tetapi berpadu. Jika membenci di dalam hati adalah selemah-lemah iman dan mengurus kebencian hati dengan ilmu sahaja dapat meletakkan iman yang betul, maka bertindak atas lisan atau bertindak dengan kuasa dan tangan tanpa pengurusan hati tentulah tidak capai iman sempurna. Bagaimana seorang yang beriman di tahap pertama tidak punya selemah-lemah iman iaitu pengurusan hati? Seakan-akan seorang yang mahir matematik tahap tertinggi tidak tahu menjawab soalan yang paling senang 1 campur 1 berapa. Tentulah itu tidak logik.

Bahkan, apabila dikatakan membenci kemungkaran di dalam hati itu selemah-lemah iman adalah bukti asas paling dasar dalam keimanan dan dakwah adalah pengurusan hati. Difahami bahawa teras iman itu yakin dan iktikad, dan sesungguhnya yakin dan iktikad itu terasnya di dalam hati.Malah, bukankah jika hati itu baik maka baiklah seluruh jasad, manakala jika buruk hati itu, maka buruklah seluruh jasad? Oleh itu bertindak dengan kuasa atau tangan dan dengan lisan tanpa hati yang baik, maka seluruh dakwah itu menjadilah buruk.

Begitulah juga dengan politik islam yang bermatlamat dakwah dengan keimanan itu tentu sekali tidak boleh lari dari pengurusan hati sebagai asas segala tindakan.

Situasi bercabang

Saya percaya seluruh isi jentera politik islam yang ada kini sedikit sebanyak bersetuju teori yang saya bentangkan di atas. Jika tidak bersetuju pun, ketidaksetujuan dari segi penghujahan dan bukannya konsep. Ini berdasarkan pengalaman dari banyaknya perbincangan saya dengan para pemuda pemudi yang menganggotai politik islam. Namun, persetujuan mereka tidak diperlihatkan oleh dasar dan tindakan rasmi mahupun tidak rasmi samada kepimpinan politik islam mahupun para penyokongnya.

Saya sebutkan tentang matlamat dakwah dalam politik islam. Sekalian pemuda yang berbincang dengan saya, menghujahkan teori dakwah yang selari dengan apa yang saya fahami seperti di atas. Namun, dalam situasi berbeza, saya menjumpai beberapa matlamat yang berlainan dari dakwah itu.

Mereka bercerita tentang kezaliman pemerintah. Tentunya kezaliman adalah kemungkaran. Mereka bercerita tentang betapa pendedahan kezaliman perlu dihebahkan. Di sinilah ternampak situasi yang saya maksudkan.Memang benar, pendedahan kezaliman patut dibuat, namun dibuat atas dasar apa? Jika benar dakwah matlamat politik islam, maka dakwah juga perlu menjadi teras pendedahan kezaliman itu. Islam tidak mengajar semata-mata haram, dosa dan azab. Islam mengajar sama halal, pahala dan ganjaran.Mendedahkan kezaliman bukan sekadar menuduh, tetapi memberikan kesaksian, bukti, penghakiman seterusnya ajakan untuk kembali kepada jalan lurus dengan taubat.

Adalah malang sama sekali, peserta-peserta politik islam mencari-cari isu untuk digemburkan. Walaupun isu itu atas sangka-sangkaan belaka, suatu yang belum pasti, malah kadangkala tuduhan yang melulu. Mereka beralasankan isu halal untuk dimanfaatkan demi kemenangan politik islam. Sekarang ini, kemenangan politik islam itu adakah kemenangan dakwah islam atau kemenangan kerusi pilihanraya?

Walaupun pada mulanya teori dakwah sebagai matlamat politik islam dipersetujui, namun bila bertindak kerusi pula jadi matlamat. Mereka sangkakan apa saja yang boleh memenangkan kerusi pada pihak partai islam, adalah halal dalam perjuangan dan dakwah.

Saya ambil satu sahaja contoh, walaupun saya sudah melihat beratus contoh yang lain dalam diskusi saya dengan peserta-peserta politik islam di alam maya yang penuh semangat itu. Seorang pejuang politik islam yang memanggil dirinya doktor fikrah (bermakna fikrahnya cukup sarjana) telah menganalisis dengan begitu ghairah bahawa peristiwa pencerobohan kuil di batu caves adalah dibuat oleh hantu-hantu (merujuk hantu di sini adalah ahli partai pemerintah). Padahal di kalangan yang ditangkap itu salah seorang pemimpin parti pembangkang. Dia menolak dan mengejek dengan berita yang dimainkan media kerajaan yang mendakwa pemimpin parti pembangkang terlibat, padahal terang-terang Lim Kit Siang memang hadir ketika pemimpin HINDRAF ditahan. Ketika tv3 memaparkan ahli jawatankuasa kuil bercerita tentang kejadian pencerobohan itu, seorang yang pastinya antara anti-kerajaan memberi respon bahawa ahli jawatankuasa kuil itu mungkin dibayar. Ini jelas membuktikan tiada langsung semangat dan matlamat dakwah! Mereka yakin dengan agak-agakan, dan menuduh tanpa bukti jelas bukan sikap yang adil.

Memang boleh di anggap contoh di atas cuma pendapat peribadi. Namun pendapat peribadi sebegini bukan terhad pada seorang dua. Sudah banyak kes memperlihatkan semangat peserta politik islam bukan ke arah matlamat dakwah, tetapi semangat untuk menangkan partai islam dalam pilihanraya semata-mata!

Contoh yang lain berkenaan dengan takfir. Di satu perbincangan mereka bersungguh-sungguh menerangkan tentang betapa kafirnya sistem yang tidak mengangkat al quran dan sunnah. Mereka bersungguh-sungguh mengatakan betapa perjuangan yang tidak menyebut islam sebagai teras adalah kafir. Maka menyokong kumpulan yang punya sistem dan ideologi kafir boleh jatuh kafir. Oleh itu, sifirnya mudah. Wajib menyokong partai islam dalam pilihanraya jika mahu terus islam. Namun, partai islam tidak bertanding di semua kawasan. Oleh itu di pihak mana pula nak mengundi? Maka dihukumkan halal mengundi sekutu partai islam. Kerana sekutu partai islam itu menyokong perjuangan islam. Jika DAP dan PKR yang menjadi sekutu PAS disebut sebagai sekutu yang menyokong perjuangan islam, maka PAS sebagai partai islam telah silap analisis.

Malah, PAS sudi untuk berjuang atas nama demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan bersuara, walaupun semua konsep itu boleh menikam konsep politik islam yang dibincangkan di awal tadi iaitu bermatlamatkan dakwah, bertindak dengan keimanan, berdasar ilmu, dan lengkap-melengkapi dalam perjuangan.

Pernah diskusi saya dengan beberapa peserta politik islam menerangkan pada saya akan teorinya terhadap pelan tindakan PAS hari ini. Bersekutu dengan DAP dan PKR adalah supaya jatuhnya BN sebagai partai pemerintah. Selepas jatuhnya BN, dan PAS menjadi kerajaan, maka dapatlah PAS membuktikan teori dan konsep pemerintahan islam itu bagaimana. Jikapun tidak dapat melaksana hudud dalam satu dua tahun pemerintahan, namun jalan ke arah hudud pasti dapat dijalankan. Selepas bukti kehebatan PAS memerintah dengan baik dan cemerlang pada penggal pertama, maka penggal kedua pastinya dapat melaksanakan lebih banyak undang-undang islam. Selepas Malaysia melaksanakan undang-undang islam, maka jadilah malaysia negara islam. Itu serba sedikit bentuk teorinya.

Saya simpulkan bersekutu dengan DAP dan PKR dan menyembunyikan matlamat dakwah, sanggup menyamar dengan slogan-slogan yang boleh menikam perjuangan islam, tidak lain tidak bukan adalah fesyen politik taqiyyah. Jika berjayapun PAS melaksanakan teori itu, tetap tentangan, kecaman, cacian akan dipalit ke atas perjuangan islam, malah membuka fitnah ke atas islam sehingga islam akan dituduh manipulator, penganiaya, penipu, penyamar, hipokrit, gila kuasa dan sebagainya.Apabila peserta-peserta demokrasi, hak asasi manusia,dan kebebasan bersuara yang liberal akan terasa dianiaya dan dipergunakan PAS kerana mana mungkin pemerintahan islam menghalalkan segala konsep liberal yang melawan batas agama itu, sudah tentu PAS tak akan melayan tuntutan para sekular dan liberal.

Jika PAS mengotakan janjinya pada slogan-slogan yang pada hari ini dilaungkan bersama peserta-peserta liberal, dengan halalnya demokrasi liberal merangkumi kebebasan yang pelbagai, hak asasi manusia yang membuka kebebasan individu, atau kebebasan bersuara , maka jangan sebut pada saya PAS mampu menyekat dakwah hindu dan kristian pada umat islam kerana menyekat dakwah agama adalah menafikan demokrasi liberal yang meletakkan kebebasan beragama salah satu unsurnya. Jangan kata pada saya yang PAS boleh menghalang seorang Melayu yang sudah terpengaruh dengan hindu untuk murtad kerana jelas menghalang seorang individu untuk menganut agama yang diyakininya adalah menafikan hak asasi manusia untuk beragama. Jangan kata pada saya yang PAS boleh menyekat dan menghalang perhimpunan Melayu Murtad yang mahu berjalan tour satu malaysia untuk menonjolkan pada seluruh rakyat dan bangsa Melayu bahawa Melayu Murtad satu komuniti yang besar dan kuat.

Orang yang mereka tentang dalam kes Lina Joy adalah orang yang sama melaungkan slogan bersama mereka dalam setiap demo menuntut demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan bersuara. Jika PAS memendam dakwah,ilmu, iman, dan ukhuwwah seterusnya sanggup menyamar sebagai pelaung-pelaung slogan untuk jadi sebagai pelan tindakan, maka PAS sudah pun termasuk golongan yang mengikut rentak orang-orang kafir yang memusuhi Islam.

Jangan malu dengan pelan tindakan politik Islam

Kita orang-orang muda tak perlu malu dengan Islam. Kita tak perlu malu untuk melaungkan tauhid pada Allah lebih banyak dari menuntut demokrasi yang boleh menikam perjuangan islam. Kita tak perlu malu untuk dakwah islam lebih banyak dari menuduh tanpa bukti dan sangka-sangkaan belaka. Kita tak perlu malu untuk menerangkan batas-batas Islam (hudud- had-had) lebih banyak dari menuntut kebebasan untuk menghalalkan segala perkara tanpa batas (tanpa had- liberal).

Kita jangan mengikut orang-orang tua itu yang perlukan sokongan kafir harbi yang memusuhi Islam untuk menang kerusi, akan tetapi selalulah yakin yang kita hanya perlukan sokongan Allah untuk menangkan dakwah Islam. Kumpulkanlah seberapa banyak manusia untuk menikam perjuangan Islam, jika Allah tidak izinkan maka tiada apa-apa dapat mudaratkan kita. Kumpullah sekalian manusia kafir harbi menyokong kita 100 000 perhimpunan sekalipun, jika Allah tidak restu dan izin perjuangan kita bersama kafir harbi, maka tetap tak akan datang manfaat pada kita. Allah sahaja satu-satunya sokongan terkuat kita. Jangan malu untuk memohon sokongan Allah dan menyokong agama Allah, manusia tak datang apa-apa mudarat mahupun manfaat.

Jangan segan untuk terang-terang berdakwah islam. Jangan segan untuk terangkan batas-batas Islam dan kesyumulan Islam. Kita tak perlukan demokrasi untuk menyamar akan konsep syumul Islam kerana konsep syumul Islam lebih agung dan teramat agung. Demokrasi itu cacat sedangkan Islam itu telah sempurna dan diredhai Allah menjadi panduan serta perjuangan hidup kita. Kita tak perlukan slogan hak asasi manusia, tetapi kita tegas dengan hak manusia dan hak Allah yang lebih terperinci dan tersusun di dalam Islam. Orang kafir itu ada hak sebagaimana orang Islam juga ada hak, namun dalam Islam hak orang kafir dan hak orang Islam tak pernah sama seperti hak asasi manusia slogan barat itu. Kita tak perlukan kebebasan bersuara sebagai slogan, tetapi kita promosikan kebebasan jiwa dari belenggu nafsu dan syaitan dan betapa dalam Islam itu ada batas-batas yang perlu dijaga, tidak wajar merobohkan batas untuk dapat bebas.

Jangan segan untuk berpolitik islam atas matlamat dakwah. Kita tak mahu kerusi, pangkat mahupun harta, cukup redha Allah yang kita harapkan. Bukan bermaksud haram menjadi pemimpin atau pemerintah, malah umat Islam memahami kita adalah khalifah Allah di muka bumi iaitu kita semuanya sudahpun memegang amanah pemimpin. Atas memahami perjuangan ini lengkap melengkapi seperti diulas di awal tadi, maka tentulah tidak lengkap jemaah tanpa imam dan makmum. Lantiklah yang terbaik antara kita dengan penuh keinsafan dan tawadhuk, bukan nak bersaing-saing, kerana persaingan dalam merebut keduniaan tak pernah ada keamanan. Jangan malu untuk ajarkan sekalian rakyat jelata bumi Malaysia akan keindahan syura Islam. Kita tak perlu malu untuk tinggalkan konsep pilihanraya berparti-parti yang tak pernah undang semangat syura dan perbincangan.

Saya tidak kata haram pilihanraya kepartian. Cuma manusia yang sertai pilihanraya tak pernah tahu erti malu di depan Allah. Mereka menabur janji seakan-akan mereka yang meletak takdir. Mereka kata "undilah aku, nescaya aku akan berikan sekian sekian". Padahal mereka tak memberi rezeki, bah kan Allah lah yang memberi rezeki. Mereka berkata, "parti lawan itu tak bagus, parti aku lah yang bagus", padahal mereka tak sedar dakwah Islam itu untuk membaguskan apa yang tak bagus. Jika sudah tahu tak bagus, kita terangkan apa yang bagus, kita ajar untuk bagus, kita tunjuk contoh yang bagus. Akan tetapi bila pihak lawan buat benda yang bagus, meniru kebagusan mereka, lalu mereka berkata, "lihatlah tuan-tuan, parti lawan pun tiru kami. Maka kamilah bagus, undilah kami". Padahal jika dakwah sudah berjaya dipraktikkan mad'u, kita patut sebut, "alhamdulillah, sesungguhnya hidayah itu datang dari Allah. Kami ini hanya hamba yang kerdil yang hanya menjalankan tugas menyebarkan dakwah supaya setiap insan menjadi bagus". Sepatutnya pejuang agama Allah berdiri atas pentas dengan perasaan takut pada Allah, bukan takbur apatah lagi tidak berakhlak dengan cela mencela, maki memaki, lalu ketawa sindir menyindir.

Saya mengaku saya berumur 22 tahun ketika saya menulis tulisan ini, dan saya tidak mendaftar sebagai pengundi pilihanraya. Ketika kawan saya bertanya mengapakah saya tidak mendaftar mengundi, saya katakan padanya saya boikot pilihanraya. Dia menempelak dengan berkata, "sesungguhnya kau orang yang kafir. kau melarikan diri untuk menyokong parti Allah untuk memerintah". Saya sebutkan padanya,"janganlah kau sebut boikot pilihanraya itu tindakan kafir, kerana PAS pun pernah merancang boikot pilihanraya umum jika SPR tidak berubah. Sesungguhnya aku dengar dari mulut pemimpin PAS sendiri bahawa SPR tidak akan berubah malah didakwa akan menipu pilihanraya. Adakah aku bertindak boikot pilihanraya itu bercanggah dengan aspirasi PAS? Jika begitu rancangan boikot pilihanraya PAS telah mengkafirkan perancang itu."

Dia berdiam diri apabila nama PAS muncul. Lalu dia bertanya, "jika begitu kalah lah PAS jika semua orang Islam buat apa yang kau buat ini". Aku kata padanya, "PAS sudah kalah apabila TG Haji Hadi menyebut hak HINDRAF untuk berhimpun diakui, cuma tuntutan mereka saja melampau. Kerana pendirian itu tak mungkin akan menghalang Persatuan Melayu Murtad untuk berhimpun, atau gay lesbian berdemo di jalanraya menuntut hak, mahupun kumpulan-kumpulan gigs untuk berhimpun dan memijak quran di atas pentas." Saya yakin jika semua umat Islam di malaysia berdakwah dan yakin dengan konsep politik islam sebagai kepemimpinan dakwah, umat Islam sebagai khalifah, konsep lengkap-melengkapi, dakwah dengan iman, atas dasar ilmu, dan mempromosi tauhid juga kesyumulan Islam, membuktikannya dengan contoh dan gerak kerja praktikal, Islam tak akan tewas di bumi Malaysia malah Allah lah akan melindungi perjuangan itu.


baca :

PELAN TINDAKAN POLITIK ISLAM #1

PELAN TINDAKAN POLITIK ISLAM #2



0 komentar: