|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Jangan bimbang apabila saya letak gambar Asaari di atas, bukan untuk promosi Rufaqa atau Jadual Tuhan ciptaan Asaari. Penipuan Asaari akan terserlah apabila ajalnya sampai nanti tanpa dia sempat menjadi Perdana Menteri Malaysia sebagaimana yang dicanang-canangkannya lewat 90-an dulu. Daulah semakin hampir, itulah janji Asaari ketika itu. Lalu pengikut Arqam bersunguh-sungguh bersiap untuk menghadapi kedatangan Daulah.Walhal pada hari ini pula, janji itu berubah oleh isterinya Khatijah Aam yang menyebut peristiwa lenyapnya Darul Arqam dari muka bumi Malaysia adalah peristiwa penapisan pengikut, iaitu untuk membezakan pengikut yang setia dan pengikut yang curang. Kini, Rufaqa kembali mencanangkan Daulah semakin hampir.

Jika menyebut politik Islam tanpa menyebut Daulah, maka kita akan disebut tidak cakna politik. Melihat keghairahan pengikut muda partai islam yang melihat Daulah semakin hampir apabila aktiviti-aktiviti ceramah dan demonstrasi mendapat sambutan hangat, maka saya terkenangkan peristiwa Darul Arqam itu. Saya tahu pemuda pemudi sebaya saya tidak berasa hangat kenangan itu mengajar saya tentang dunia 'politik Islam' dan 'pelan tindakan' nya , kecualilah mereka punya latar belakang sama dengan saya yang sejak kanak-kanak botak berjubah serban dan dikelilingi ibu-ibu berpurdah.

Ketika suatu masa dulu Anwar Ibrahim memberi ceramah di depan warga Darul Arqam, beliau memuji Asaari akan usaha jamaahnya. Kelompok ABIM dan Arqam sehaluan ketika itu. Tatkala Anwar dijemput ke dalam UMNO, warga Arqam mula berdiri kukuh di belakang Asaari melihat ketokohan Asaari lebih tinggi dari Anwar, kerana Asaari konsisten berdiri atas manhaj dakwah dan bukan politik. Beberapa anggota Arqam yang dulunya memegang jawatan dalam ABIM mula keluar dan mengukuhkan jamaah Arqam.

Manhaj dakwah Darul Arqam mengukuh dari teori, praktikal dan spiritual. 3 unsur itu memang menjadi resepi mana-mana gerakan dakwah Islam khususnya Ikhwanul Muslimin di Mesir atau Hizbullah di Lubnan yang bukan sekadar menyebut Islam itu syumul, bahkan menonjolkan kesyumulan Islam. Arqam meninggalkan beberapa kelompok jamaah dakwah lain dari sudut usaha menonjolkan kesyumulan Islam itu walaupun tidak dinafikan semua gerakan dakwah termasuk barisan pemuda UMNO di bawah Anwar juga turut menuju ke arah itu. PAS konsisten untuk bertarung habis-habisan dalam kempen pilihanraya dengan memantapkan ceramah-ceramah. Penceramah PAS menghiasi ceramah dengan zikir, ayat quran, hadis diselang-seli sumpah seranah, celaan dan berita sangka-sangkaan supaya ceramah benar-benar nampak berinformasi dan menarik untuk berkongsi jenaka, ketawa, sedih, kecewa dan amarah.

PAS turut membuka beberapa buah kedai untuk menjana ekonomi, walaupun ada juga inisiatif kedai PAS bukan dari keputusan partai akan tetapi inisiatif individu ahli PAS yang telah berbai'ah untuk hidup dan mati dalam PAS. PAS juga ada pusat asuhan kanak-kanak yang dipanggil PASTI. Dan satu persatu sekolah pondok yang dipunyai tokoh-tokoh PAS juga mula dikenali sebagai markaz PAS melatih para pelapis partai. ABIM sesudah ditinggal Anwar tidak juga berhenti dari usrah-usrah mereka. ABIM juga ada pusat asuhan kanak-kanak seperti tadika ABIM nya.Dasar mencontohi Ikhwan di Mesir terus menunjangi perjuangan dakwah ABIM. Lalu seketika mereka bersama dengan haluan UMNO untuk dilihat sebagai sayap pemuda UMNO dalam dakwah.

Usaha-usaha Anwar dan warga ABIM banyak menjana idea-idea ke arah islamisasi. Bank Islam dan Universiti Islam antara jenama-jenama produk Islamisasi yang walaupun jalan islamisasi itu sejalan dengan islam nya PAS sebagai Parti Islam, namun di sinilah terlihat hakikat buat pemerhati dan pengkaji politik Islam apabila Anwar menjadi bahan celaan ceramah-ceramah PAS era itu dengan ratusan yang hadir gemuruh dengan tepukan apabila nama Anwar dicela. Anwar menggelar PAS sebagai parti maki wal hamun.

Kelompok pro ABIM dari luar negara memerhatikan kemelut dakwah yang tidak dapat mengharapkan PAS , apatah lagi ABIM sendiri yang berdiam dan lesu untuk menjana kesyumulan Islam apabila sejak Anwar naik berjawatan dalam UMNO dan kerajaan sekalipun, kemelut masyarakat yang jahil Islam terus melebar. IRC mula menjana pengikut dengan harapan untuk buka jalan baru dakwah iaitu ke tahap islah, dengan azam lebih kuat, dengan idea lebih segar meliputi segala lompong-lompong kosong yang ditinggalkan ABIM dan yang tak mampu dibuat PAS, mereka lah perintis penubuhan JIM hari ini.

Ketika era islamisasi Anwar berjalan untuk menuju masyarakat Madani nya, Dr Mahathir mengukuh juga program islamisasi itu dengan penubuhan IKIM. Dan beberapa NGO tajaan kerajaan mula terbentuk apatah lagi apabila PAS terus berkecamuk dalam arena dakwah jika tidak mengambil usaha bantuan jamaah dakwah yang sukarela mengurus usrah dan tamrin, khususnya apabila Nakhaie meninggalkan temannya Allahyarham Fadzil Noor, dan menubuhkan Yadim. Perkim, Yapeim, dan bermacam lagi NGO islami yang bertindak sebagai pro kerajaan bagi mengukuhkan dakwah dalam pelbagai lapisan masyarakat nampaknya tidaklah begitu berkesan. Kegagalan dakwah Islam untuk membendung hedonisme freemason dan kelompok liberal khususnya orang-orang UMNO berpendidikan barat membuatkan PAS melihat semua pro Mahathir termasuk perjuangan islamisasi cuma kekaburan syumulnya Islam dan naiknya Sekularisme.

PAS komited untuk perang ke atas UMNO, bukan lagi atas dasar persaingan politik meraih undi di medan pilihanraya sahaja, akan tetapi perjuangan jihad menjatuhkan kuffar yakni UMNO. Kebencian terhadap UMNO menjulap-julap hinggalah Anwar akhirnya ditendang keluar. Anwar yang sudah lama dalam dunia politik cukup faham untuk tidak sertai PAS walaupun PAS membuka pentas buatnya. Sepertimana Tengku Razaleigh pernah tubuhkan semangat 46 menentang Mahathir sambil disokong Tunku Abdul Rahman yang duduk atas kerusi roda ketika itu, begitulah Anwar mengambil tempat dalam proses permainan politik yang sama. Anwar tubuhkan parti baru tanpa tunggu lama, Parti Keadilan disokong oleh pelbagai NGO dan profesional termasuklah warga ABIM dan JIM. Harapan untuk lihat perjuangan Anwar kembali kepada asal menggunung tinggi. PAS juga turut mempelawa para pengikut setianya yang dulu hanya membanjiri ceramah-ceramah, kini mengambil jalan kempen Anwar persis zaman mahasiswanya dulu, ke jalan-jalanraya. reformasi mula tercetus.

Ghairah merasakan daulah sudah hampir, Anwar akan menjadi perdana menteri sambil tokoh-tokoh pejuang PAS akan menjadi barisan kabinetnya, sokongan melayu sahaja tidak cukup, untuk bersatu dengan DAP atau parti sosialis PRM pun tidak wajar jadi penghalang. Mendapat sokongan tokoh-tokoh Barat seperti Yahudi Amerika Al Gore, juga dianggap satu kemanisan. Daulah sudah hampir. PAS makin ghairah. Mahathir maha zalim mesti ditumbangkan. Reformasi tamat. 2003 Mahathir turun takhta dengan aman sambil melambai-lambai kepada rakyat.

Benarlah hal peristiwa Reformasi itu melanda lesu pada reformis dan peserta demo yang mula langkah lambat-lambat setelah kemenangan besar Pak Lah pada tahun 2004. Persis apa yang dirasakan oleh pengikut darul Arqam 10 tahun sebelum itu, keghairahan yang sama pernah tercetus.

Dakwah Arqam bukan sekadar ceramah, sekolah ,tadika mahupun usrah. Arqam terkehadapan dalam gerak kerja jamaah yang benar-benar menunjukkan erti 'jamaah' apabila sektor ekonomi produk makanan, hiburan alternatif, keupayaan teknologi audio visual, pencetakan buku-buku Asaari secara produktif, klinik-klinik kesihatan,malah makan,minum, pakaian,tempat tinggal warga jamaah Arqam juga secara bersama hingga terbinanya beberapa perkampungan Arqam membuatkan warga Arqam benar-benar ghairah apabila diumumkan Daulah sudah hampir. Bukti praktikalnya teori kenegaraan Asaari terbukti depan mata mereka. Ketika suasana negara hangat dengan penahanan warga Arqam, sambil Asaari masih di luar negara di'buru', ahli-ahli arqam benar-benar rasa kemanisan berjuang sebagaimana ahli-ahli peserta reformasi anwar rasa lazat ditahan ISA.

Namun apabila tertangkapnya Asaari di Thailand, dan pengakuan Asaari akan kesesatan ajarannya, menangis teresak-esak ahli arqam maka lesulah sudah pengharapan bahawa huru-hara negara itu akan menaikkan Asaari, akan tetapi Arqam terkubur senyap lenyap hingga buat orang awam terpinga-pinga tidak ketahuan cerita.

Apabila naiknya Pak Lah bersama Islam Hadhari, Asaari dengan team-work baru Rufaqa menjadi pro-Islam Hadhari. PAS kekal anti-UMNO maka automatik anti-Islam Hadhari. Dari menyokong Islam Hadhari, PAS lebih sanggup menjadi sekutu buat kelompok liberal.Ketika Anwar mula dibebaskan dengan tenaga kerja Parti Keadilan yang baru setelah pergabungan dengan PRM membentuk PKR, PAS mula sebaris dengan kalimah 'menegakkan demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan bersuara'. Kita tahu, Ustaz Fadzil Noor dulu pernah menyuarakan kata-kata yang cukup berkesan di Parlimen akan perihal gerakan 'kebebasan bersuara' ini. Tulisan Farish Noor yang menghina Rasulullah dikecam hebat oleh Ustaz Fadzil Noor. Setelah perginya Allahyarham juga, gerakan liberal dan pluralisme agama tidak pernah berhenti. SIS , Bar Council dan bermacam NGO agama lain turut berusaha menjaja liberal agama dengan cadangan IFC. Kisah Lina Joy yang didokong oleh gerakan-gerakan agama yang mahu supaya Melayu dibenarkan murtad, turut tersenarai dalam cubaan menggugat institusi syariah dan perlembagaan negara.

Usaha memandang Malaysia sebagai negara Islam dengan hanya berteraskan Islam sebagai agama persekutuan turut ditentang oleh kumpulan liberal ini yang tunjangnya ada dalam kerajaan, pembangkang mahupun NGO. Mereka mahu Malaysia benar-benar sekular untuk adil pada semua. PAS menyokong usaha ini cuma dari perspektif dan hujah berbeza. PAS tidak mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam kerana tafsiran 'negara Islam' yang tepat berada dalam parti mereka. Manakala kelompok liberal dan sekular anti kerajaan pula tidak mengiktiraf Malaysia negara Islam kerana tidak mahu Malaysia dijadikan negara Islam.

Dua perspektif berbeza ini tak menghalang PAS bersama bergerak dengan puak liberal dan sekular, begitu juga apabila PAS melolong menjerit 'kembalikan demokrasi', 'kembalikan hak asasi manusia', dan 'kembalikan kebebasan bersuara' tidak sama tafsirannya dengan puak liberal. Dua-dua menjerit kalimah yang sama tetapi matlamatnya nyata berbeza. 'Demokrasi' puak liberal dan plural mengkehendaki tiada halangan dan batas menyekat kemaraan apa-apa ideologi, fahaman dan anutan. 'Demokrasi' PAS supaya pilihanraya menang pada parti Islam. 'Hak asasi manusia' puak liberal mengkehendaki semua kebebasan diiktiraf termasuk kebebasan Melayu untuk murtad atau gay dan lesbian untuk berpesta seks. 'Hak asasi manusia' PAS adalah supaya pejuang islam tak ditahan ISA. 'Kebebasan bersuara' liberal supaya hedonisme lebih bebas tanpa dikecam mufti, atau penyebaran dakyah agama selain Islam dapat bergerak dalam arus perdana. 'Kebebasan bersuara' PAS adalah supaya ceramah PAS dapat masuk TV.

Sokongan Rufaqa kepada Islam Hadhari Pak lah tidak lama, apabila Rufaqa difatwa haram dan mereka mula diburu dan dipantau ketat, Rufaqa mula bercakap soal hak asasi manusia sama. Kelompok liberal tidak kisah akan sesat atau tidak fahaman seseorang, mana-mana kelompok yang marah pada kerajaan akan ditanang termasuk Rufaqa yang digambarkan innocent (tidak bersalah). Rufaqa juga berkehendakkan gerakan 'kuning' terjadi sepertimana kelompok liberal dan PAS menggerakkan gerakan BERSIH dengan tema-tema demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan bersuara. HINDRAF yang senada perjuangannya untuk menuntut kebebasan dan keadilan sama rata malaysian malaysia, sekularisme malaysia, tiada sekatan syariah , tiada hak keistimewaan melayu walaupun semua itu terkandung dalam perlembagaan dan kontrak sosial negara. PAS turut sama bersetuju dengan tema-tema yang umum mengenai demokrasi, hak untuk semua, kebebasan bersuara bersetuju supaya perhimpunan seperti HINDRAF dibenarkan diadakan.

Walaupun apabila diumumkan kerajaan bahawa WPI tidak memperuntukkan keistimewaan bumiputera supaya pelaburan dapat masuk sepenuhnya, pejuang-pejuang PAS yang menentang , marah dan mengejek. Akan tetapi apabila tuntutan penghapusan hak keistimewaan melayu oleh HINDRAF, pejuang PAS menyokong kerana itu terkandung dalam prinsip demokrasi, liberal dan terbuka. Benda yang sama kadang dipandang perspektif berbeza seperti memperjuangkan dmeokrasi, dan boleh juga berbeza pendirian dan prinsip dalam suatu isu yang sama seperti isu keistimewaan melayu.

Apabila hal ini bukan saja dilihat ketika ini seperti disuarakan mufti perlis tentang beza orang politik dan dakwah, malah itulah yang sudah dilihat oleh gerakan jamaah dakwah sejak dulu terhadap partai politik islam, betapa orang politik sanggup berasa suka pada setiap apa yang boleh buat mereka kalahkan musuh politik mereka, walaupun hakikatnya PAS sendiri tahu daulah Islam yang mereka canangkan itu tak akan munculpun selepas menang. Malahan, jika menanglah suara-suara demokrasi,hak asasi manusia, dan kebebasan bersuara ini, maka matlamat PAS lah yang terperangkap di dalamnya, kerana tafsiran demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan bersuara PAS tak akan menang ke atas tafsiran puak liberal dan sekular yang berjuang menumpang kekuatan tenaga kerja PAS. Lebih-lebih lagi PAS tetap menyokong perhimpunan HINDRAF tanpa perlu selidik matlamat dan tuntutan perhimpunan itu, maka jika suatu masa nanti ketika perhimpunan Melayu Murtad dan perhimpunan Gay Lesbian diadakan turut tak dapat dihalang PAS, kerana hak berhimpun tidak mempersoalkan matlamat berhimpun. Matlamat yang jahat tetap halal hak nya dalam prinsip demokrasi.

Benarlah apabila pemerhati politik indonesia mempersoalkan erti demokrasi dalam membangunkan negara. Hak berdemonstrasi dan kebebasan media maksimum yang diadakan tak pernah menyumbang kepada ketamadunan Indonesia.Rufaqa juga menumpang kebebasan Indonesia. Mereka subur di Indonesia padahal Asaari menyebut mengikut jadual Allah, Asaari akan menjadi Perdana Menteri Malaysia bukannya Presiden Indonesia. Tapi apa-apapun boleh berubah dalam pendirian Asaari bersama keluarganya, sepertimana PAS juga berubah dalam banyak pendirian. Inilah hakikat pelan tindakan politik Islam mereka semua.

Disember 2007

baca:PELAN TINDAKAN POLITIK ISLAM #1

0 komentar: