|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

tulisan ini dirancang pada mulanya ditulis pada akhir siri 'persoalan politik melayu-islam malaysia'. Namun, memandangkan beberapa hari saja lagi tahun 2006 bakal berakhir, maka saya karangkan entri ini dahulu supaya andai diri ini tidak lagi hidup pada esok hari atau menjelang tahun 2007,tidaklah begitu menyesal nanti kerana telah diluahkan apa yang tersirat di hati sepanjang tahun 2006 ditempuh diri.

saya bukan pejuang sehebat pejuang-pejuang yang ada pada zaman kini,atau zaman sebelumnya atau zaman akan datang. Saya hanya pejuang yang mengimpikan mahu menjadi pejuang. Atas kerangka pemerhatian,kajian dan jalan perjuangan yang telah dirancang dan dijalankan, saya ingin luahkan suatu kesimpulan buat diri ini memahami dan menimbulkan seruan yang bakal didengar dan dibaca oleh sesiapa saja sekiranya ada manfaat,ada iktibar, ada kesedaran yang boleh diwujudkan.

saya sedar,saya bukan lagi seorang yang muda. Diri ini sudah melewati umur 2 dekad, namun kejayaan yang ditempa tidak sehebat mana yang boleh dibangga. Ya, diri ini masih lagi membaiki tapi ketahuilah masa yang ada bukan lagi panjang seperti yang sering disangka-sangka.

memang ada yang masih fikir masa yang ada panjang. Memang ada yang berfikir bahawa masa yang ada seakan-akan masa yang dijanjikan Allah pada mereka. Namun, mereka kadang lupa, kita kadang leka, saya sering saja alpa, bahawa Allah s.w.t juga berjanji masa yang ada buat seorang manusia itu hidup di dunia telah ditetapkan sejak azali lagi. Manusia akan mati. Kita semua akan mati pada penghujung hidup kita. Tahukah kalian bila kalian akan mati? Jangan kata kalian tahu. Kalian tidak tahu melainkan bersangka-sangka, berkira-kira semata-mata. Yang tahu akan ajal kita hanyalah Allah s.w.t.

Untuk apa kita berjuang andai di hujung riwayat kita adalah maut? Untuk apa kita merancang,berstrategi, menyusun perjuangan, andai kita semuanya bakal tercampak ke dalam liang lahad sebagai jasad tidak ber roh, sebagai jasad yang tidak mampu bergerak, sebagai jasad kaku yang telah mati bernama mayat? Jawapannya telah dinyatakan Allah s.w.t bahawa tidak diciptakan kita sebagai manusia ini melainkan untuk beribadat kepadaNya. Maka sudahkah perjuangan yang kita rangka menjadi ibadat buat kita?

Sudahkah menteri-menteri 'Islam' pada hari ini bersiap sedia dengan amal jariah dan sempurnakan amanah untuk menjadi bekal ketika mati nanti? Sudahkah ahli-ahli politik yang tidak menjadi menteri bersiap-siapkan perjuangan yang boleh dipanggil sebagai ibadah untuk menjadi bekal buat kehidupan di akhirat kelak? Sudahkah para penyokong,pembawa bendera parti-parti politik 'islam' bersiap-siap beribadah untuk menjadi bekal hari ajal nanti?Sudahkah para ulama, para umara, para mujahidin, para belia,para remaja 'islam' hari ini bersiap-siap membekalkan diri dengan amal ibadat untuk dibawa bersama ketika menjadi mayat nanti?

Beribadat dan hidup tidak boleh dipisahkan dalam diri seorang muslim sejati. Selagi ada kehidupan maka seorang muslim mesti beribadat. Tidak boleh lari daripadanya. Kerana hidup itu sendiri suatu ibadat buat seorang muslim. Beribadat kita untuk apa? Tidak lain dan tidak bukan adalah bagi menurut perintah Allah s.w.t yang termaktub di dalam al quran bahawa tujuan kita diciptakan ke dunia ini adalah untuk beribadat kepada Allah. Untuk apa kita menurut perintah Allah? Tidakkah boleh kita abaikan sahaja perintah Allah itu? Jangan kalian bertanya seperti itu kerana tidakkah kita sedar bahawa dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali. Maka kita menurut perintah Allah disebabkan kita beriman bahawa kita diciptakan oleh Allah,maka kita adalah hamba Allah, dan kita beribadat kepadaNya agar nanti bila kita kembali padaNya,kita akan diredhaiNya dan tidak dimurkaiNya,kerana murka Allah itu membawa kepada azab,dan azab Allah itu amatlah pedih!

Maka memahami susur galur tujuan kehidupan, kewajipan kehidupan,dan persiapan menuju kematian adalah suatu PERJUANGAN SEBENAR SEORANG MUSLIM,dan diakhir perjuangan ini bukanlah suatu kematian semata-mata,tetapi adalah kemuncak perjuangan iaitu mendapat REDHA ALLAH atau MURKA ALLAH.

Bagi pejuang-pejuang yang memahami akan perjuangan sebenar seorang muslim ini, maka mereka tidak akan pertikaikan lagi bahawa kemuncak kejayaan perjuangan ini adalah REDHA ALLAH. Dan MURKA ALLAH adalah kegagalan yang amat mengaib,dan menakutkan,dan diharap benar supaya dijauhkan dari jalan perjuangan kita,kerana MURKA ALLAH akan membawa kita kepada AZAB ALLAH yang paling dahsyat dan menjadi tempat balasan segala kejahatan iaitu NERAKA!

Hari ini, kita menyaksikan ramai pejuang Islam yang ada. Sepertimana pejuang Islam di zaman dulu,bilangan pejuang Islam di zaman kini juga ramainya boleh dibangga. Jika di perang Badar,Uhud, Tabuk, dan beberapa perang lain, bilangan pejuang Islam mungkin tak capai bilangan 1000,2000,atau 3000,namun hari ini pejuang Islam yang menjadi tentera di negara Islam sahaja sudah melebihi bilangan itu.Kita mungkin ada 100 000, 200 000 ,300 000,atau lebih lagi tentera Islam di negara-negara umat Islam di dunia pada masa kini. Itu baru sahaja pejuang Islam bergelar tentera. Belum lagi dicampur pejuang Islam di bidang politik,ekonomi, pendidikan dan sebagainya, bilangan kita mungkin 1 juta, 2 juta, 3 juta mungkin lebih lagi hingga capai 1 billion.

Hebatnya umat Islam pada hari ini. Bilangan kita amatlah ramai.

Namun apa yang menyedihkan, di manakah kesedaran pejuang-pejuang kita di dunia pada masa kini bahawa mereka itu adalah PEJUANG ISLAM? Berapa ramai pejuang yang sedar mereka adalah pejuang? Bukankah hidup ini adalah untuk beribadat? Bukankah ibadat itu untuk persiapan menjelang maut? bukankah matlamat persiapan maut itu meraih redha Allah? Bukankah hidup untuk beribadat untuk persiapan maut untuk capai redha Allah itu satu PERJUANGAN? Bukankah KITA umat Islam semuanya adalah pejuang-pejuang agama Allah yang dipanggil sebagai khalifah Allah di dunia ini? Bukankah PERJUANGAN SEORANG KHALIFAH itu adalah satu AMANAH yang amat AGUNG bagi seorang PEJUANG? Bukankah KITA SEMUANYA ADALAH PEJUANG?

Ya, pastinya ada di antara kita mengakuinya. Lalu mereka kata mereka pejuang, perjuangan mereka untuk beribadat, dan beribadat mereka mahu meraih redha Allah, namun hari ini pejuang-pejuang itu membunuh antara satu sama lain! Dan pembunuhan itu DIKIRAKAH SEBAGAI SATU IBADAT BUAT MEREKA? Jika salah satu pihak yang terbunuh mengatakan mereka hanya mempertahankan diri, maka tentu sekali yang menyerang itu yang bersalah. Namun yang menyerang pula mengatakan mereka hanya menurut perintah Allah agar dihapuskan segala macam kemungkaran,dan kini pihak yang mereka bunuh itu dianggap telah berlaku mungkar.

Maka yang terbunuh pula berkata, mereka tidak melakukan mungkar melainkan telah dianiayai oleh yang menyerang,dan pihak yang menyerang itulah yang melakukan kemungkaran kerana bertindak menyerang! Dan kedua-dua pihak yang bunuh membunuh itu setiap dari mereka mengucapkan bahawa mereka mahu meraih redha Allah, maka siapakah yang mendapat redha Allah nanti?

Kita tidak menolak di dalam masyarakat Islam yang mahu meraih redha Allah itu ada munafik iaitu kaum yang berpura-pura beriman. Kaum munafik memang musuh kita. Memang musuh bagi setiap pejuang yang mahu beribadat dan meraih redha Allah. Namun, sudahkah kita mempastikan kaum yang kita panggil munafik itu adalah benar-benar munafik? janganlah kita panggil suatu kaum sebagai munafik atas dasar bersangka-sangka sahaja. Dan ketahuilah kebanyakan prasangka itu adalah dosa.

Adakah kerana suatu pihak berselisih dengan kita maka atas dasar itu kita menganggap mereka munafik? Sudahkah kita ber MUSYAWARAH akan hal yang diperselisihkan kita itu? Sudahkah kita duduk semeja berlapang dada dan berbincang, mengapa tidak nampak kesepakatan yang boleh diraih? SIAPA BILANG TIADA LANGSUNG KESEPAKATAN BUAT KAUM-KAUM YANG MAHU MERAIH REDHA ALLAH? Bukankah REDHA ALLAH itu satu titik yang disepakati sekalian umat Islam dari kelompok mana pun? MAKA TIDAK SILAP LAGI, bukan sahaja hidup kita untuk mendapat redha Allah,malah perjuangan kita dapat disatukan atas sebab mahu meraih redha Allah sama, dan bolehlah disimpulkan setiap perkara, setiap tindakan, setiap perjuangan, adalah menuju pada titik yang sama juga iaitu REDHA ALLAH. Maka centric lah kita pada REDHA ALLAH, tatkala itu akan kita nampak pelbagai jalan buat membangkitkan pejuang-pejuang yang tidak sedar diri mereka pejuang, dapat menggabungkan tenaga pejuang-pejuang yang bersemangat pejuang, dan dapat memunculkan kembali suatu gelombang DAKWAH yang telah dimulakan oleh Rasulullah s.a.w dahulu,dan mulialah kaum-kaum manusia yang berjuang itu.

REDHA ALLAH CENTRIC adalah kunci bagi merapatkan barisan pejuang-pejuang Islam yang ramai tadi agar dapat mengembangkan agama Allah dan dapat mempertahan akidah yang telah tersemai di sanubari iman para pejuang sekalian.

Nanti akan muncul pejuang-pejuang munafik bersuara, bahawa mereka mengaku mahu redha Allah, tapi mereka juga teruja untuk dapatkan kekuasaan politik, mereka juga teruja untuk jadi kaya raya, mereka juga teruja untuk hidup bergaya. Mereka ada di kelompok yang memerintah atau pun yang mahu mendapat kuasa memerintah di pihak pembangkang. Sifat-sifat munafik sudah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Tidakkah kalian menyedari ada orang-orang yang suka berpura-pura? Ada sesetengah mereka duduk menghadap satu kaum,lalu dipuji-pujinya mereka akan kaum yang dihadapnya itu, pujinya bukan lagi tinggi melangit, puji hingga berjanji konon tak kan berpaling bertukar puji kepada keji. Di hari mereka hilang segala, janji mereka tak kan lagi ditepati, maka dikatanya mereka bahawa sewaktu mereka memuji itu hanya TAKTIK BERPURA-PURA dan mereka tidak pernah mahu memuji tapi menyimpan sahaja untuk mengeji.

Sama jugalah ketika mereka di satu pihak mereka memanggil satu kaum lawan sebagai kaum yang keji, kaum maki wal hamun, lalu di satu ketika apabila mereka sudah berada di pihak kaum lawan yang mereka keji itu, maka dipuji-puji pula pihak lawan dan dikeji pula kaum yang tidak mahukan mereka lagi.

Ada juga sesetengah orang ketika seorang yang mereka benci berkuasa, maka mereka mengeji orang yang berkuasa itu. Tatkala orang berkuasa telah bertukar tangan. Mereka sanggup mencium tangan orang yang mereka keji sepanjang dia berkuasa dan diberikan pentas untuk orang yang mereka keji itu mengeji pula orang yang baru berkuasa tadi.

Ada juga pihak ketika satu orang berkuasa maka mereka puji hingga taksubnya bukan sebarang. ketika orang yang berkuasa sudah bertukar tangan, mereka taksub pula kepada yang baru dan tidak malu-malu pula mereka mengeji orang yang pernah mereka taksubkan dulu.

Ini hanya sedikit lampiran kisah-kisah pelbagai pihak berebut kuasa. Ada di kalangan mereka mengaku mahu meraih redha Allah, namun apa yang mereka tonjolkan tidak lain dan tidak bukan adalah sifat munafik yang mahu meraih kuasa semata-mata.

Dengan sistem demokrasi berpilihanraya yang dicipta oleh musuh, golongan rakyat perlahan-lahan bertukar menjadi 'raja' dan 'tuhan'. Pilihanraya tidak salah, namun atas jalan itu kita nampak para pejuang telah tidak ketentuan arah. Maka jangan dihairankan apabila para remaja kita telah terjebak dalam pelbagai kancah dan jenayah, maka akan ada pihak yang tidak suka menyalah rakyat kerana meninggalkan agama Allah, tapi lebih suka musuh politik mereka disalah. Sebab kenapa tidak suka menyalahkan rakyat dan cuba mengislah mereka? Jawapannya kerana rakyatlah yang akan beri mereka kuasa. Maka jika para penyokong mereka merusuh dan melakukan kerosakan yang dibenci Allah, mereka berlemah lembut dengan kemungkaran penyokong mereka dan disalahkanlah para penguasa yang bertindak provokasi sedangkan merusuh itu satu bentuk provokasi juga. Mungkar rakyat,mungkar penyokong, semuanya dianggap tercetus atas dasar mungkarnya musuh mereka. Tatkala mereka menganggap begitu,maka kemungkaran terus terjadi di pihak mereka sendiri. Jika benar musuh telah berbuat mungkar,maka mereka juga berbuat mungkar sebagai membalas kemungkaran.

kemungkaran berbalas kemungkaran adalah satu rencana syaitan bagi menimbulkan sengketa berpanjangan.

Hari ini mereka yang berjuang lama kelamaan tenggelam dalam arus nafsu mengejar matlamat mereka yang berubah arah tanpa mereka sedari. Dahulu mereka kata mahu redha Allah, lalu diadakan jalan mengejar kuasa kerana mereka fikir mengejar kuasa akan dapat mencapai redha Allah. Apabila saban hari saban tahun saban waktu mereka mengejar kuasa mereka mula tidak lagi bercakap soal redha Allah. Maka lupalah mereka akan redha Allah. Tidaklah lagi mereka centric kepada redha Allah. Maka kuasalah jadi igauan mimpi samaada tidur atau jaga. Kuasa. Kerusi. Pilihanraya. menjadi zikir perjuangan setiap hari. Syaitan mula masuk sedikit demi sedikit, lalu bermulalah kemungkaran berbalas kemungkaran. Kutukan berbalas kutukan. Fitnah berbalas fitnah. Penghinaan berbalas penghinaan. Adakah mereka fikir kaedah itulah menjadi jalan redha Allah? Lupakah mereka ada satu kaedah yang dinamakan MUSYAWARAH?

Contoh kisah di atas berlaku di mana-mana. Di pihak kerajaan yang memerintah tersebar luas fahaman di atas. Dulunya bapa-bapa mereka berkumpul mahu menentang penjajah. Namun, di waktu penjajah sudi berlembut dan beri mereka sedikit kuasa memerintah, ada di kalangan mereka yang mula hilang arah. Tatkala mereka mendapat kemerdekaan dari penjajah, mereka mula mahu kuasa lebih memerintah. Tatkala, mereka mendapat kuasa memerintah tanpa pernah kalah, sudah muncul jiwa-jiwa yang mahu untung dari rakyat yang beri amanah. Maka berlakulah rasuah. rasuah. rasuah.

Dunia kapitalis yang mengajar hanya yang untung mampu berkuasa. Maka masing-masing mengejar keuntungan. Di mana ada lagi agungnya matlamat mengejar redha Allah? Semua mahu untung harta, kuasa, wanita, dambaan nafsu amarah!

Tenggelamlah para pejuang. Tenggelamlah para pejuang yang ramai tadi.

Maka ada yang memberontak. Dipakainya fahaman semua para pejuang telah sesat melarat. Golongan mereka saja yang Islam.Yang lain kafir dan bunuh saja beri mati semua. Pukul rata yang mereka lakukan terkena kepada KESATUAN UMAT ISLAM yang telah dilupakan iaitu kesatuan ahlus sunnah wal jamaah.

Kita mendengar tentang redha Allah centric tadi. Kita mendengar tentang musyawarah agar terikat ukhuwah tadi. Kita dengar bahawa tujuan hidup adalah ibadah tadi. Dan hasil musyawarah para ulama sedunia mengiktiraf kesatuan majoriti umat Islam adalah pada jalan ahlus sunnah wal jamaah. Jalan ini mengajar kita bahawa hidup adalah untuk beribadah. Jalan ini mengajar ibadah untuk meraih redha Allah. Jalan ini mengajar jika berselisih, bermusywarah dan berukhuwahlah. Jalan ini jalan dakwah Rasulullah, para sahabat, para tabiin,para ulama salafus soleh, para ulama yang menjadi murid salafus soleh, jalan yang bersanad, jalan yang sambung sambungan, jalan majoriti ulama yang masyhur, jalan majoriti ulama yang diiktiraf soleh dan warak, dan inilah jalan yang perlu disambung generasi pejuang kini.

Para pejuang yang kecundang dengan nafsu dan tertipu dengan strategi musuh,patut dibawa kembali kepada kesatuan ini. Apatah lagi kebanyakan mereka mengaku ahlus sunnah wal jamaah, namun apa yang mereka amalkan adalah liberalis, pluralis, sekularis, kapitalis dan hedonis.

Semua pengikut ahlus sunnah wal jamaah mesti dihidupkan kembali dari lamunan dunia,mesti dibangkitkan kembali dari igauan mengejar kuasa,harta,wanita dan sebagainya.

Selepas itu bekerjasamalah kita akan kekuatan yang kita ada. Bukankah berkongsi dan bekerjasama itu lebih baik dari konfrantasi dan bermusuhan? Melainkan pihak musuh tidak mahu diplomasi,yang mereka mahu adalah perang dan berbunuhan. Maka pasukan dan barisan kita mesti teguh meneguh, mempertahankan akidah dan wilayah kita dari diceroboh.

Adakah dunia hari ini yang bergolak tidak menunjukkan pada kita lagi pentingnya KESATUAN padahal sudah terang-terangan musuh mempergunakan segala kuasa buat menghancurkan kita? TIADA KESATUAN YANG TEGUH MELAINKAN KESATUAN DALAM AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH.

Adakah kita fikir dengan jatuh menjatuh, tikam menikam antara kita semua, mampu memperkasakan kita buat menghadapi musuh? Padahal syaitan juga gembira melihat anak-anak Adam bergaduh sesama sendiri. Sudah lupakah kita kisah habil dan qabil?

Jika kesedaran ini tidak lagi boleh menusuk kalbu para pejuang yang ada, maka tiadalah cara lain melainkan kembali kita semua berharap akan lahir generasi muda baru yang bangkit menyambung perjuangan sebenar KESATUAN kita.

WAHAI PARA PEJUANG MUDA, ADAKAH KAMU FIKIR MENERUSKAN KEBODOHAN YANG TELAH ADA SUATU PERKARA YANG HARUS DIBANGGA? ATAU KITA MEMPERSIAPKAN DIRI MENYAHUT HARAPAN DAN IMPIAN UMAT,AGAR KEBODOHAN YANG ADA KINI DITUKAR MENJADI PERJUANGAN HIKMAH, PERJUANGAN YANG BERUKHUWAH DAN BERDAKWAH, PERJUANGAN YANG BERMUSYAWARAH, PERJUANGAN BERMATLAMATKAN DAN CENTRIC PADA REDHA ALLAH!

Adakah kalian pejuang muda merasakan ia suatu kemustahilan?Untuk kita bersatu dan mencipta kegemilangan perjuangan? padahal kita masih muda, yang mampu mencorak perjuangan yang ada dengan iman dan kesedaran yang masih segar. Ketahuilah generasi muda kali ini tidak akan tertipu sebagaimana bapa-bapa kita tertipu dengan tipu daya syaitan. Kita berjuang bukan untuk terus hidup, tapi mati sebagai syuhada! Tiada kematian yang mulia melainkan mati dengan mendapat kasih sayang Allah dan redha Allah. Ayuh orang muda! Mari berjuang dalam hidup menuju mati yang gemilang!

Bersatulah kita.Berpeganglah pada Kesatuan Umat Ahlus Sunnah wal Jamaah. Rencanakan strategi terindah dengan salutan HIKMAH yang berteraskan ILMU,IMAN,TAQWA.

0 komentar: