|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Membaca satu persatu pandangan umum perihal lakonan islami, nampaknya ia bukanlah suatu yang diiktikadkan suatu yang betul oleh semua kaum orang beriman.

Di dunia hari ini, rata-rata orang beriman yang memberi respon kepada lakonan dakwah yang mendedahkan aurat dan melanggar syarak dengan membenarkan sentuhan bukan mahram, bukanlah bilangan yang sedikit, malah mungkin merekalah golongan beriman majoriti yang bersuara.

Manakala golongan kaum beriman yang minoriti yang sebahagian bersuara memilih untuk beriktikad menjalankan proses lakonan islami berdakwah dengan mengikut 100% syarak iaitu pegangan dan iktikad diri saya.Golongan beriman minoriti bersuara yang lain memilih untuk menolak 100% lakonan sebagai suatu yang diterima syarak sebagai medium dakwah.

Hari ini, golongan beriman majoriti itu memilih untuk beriktikad mendedahkan aurat dan bersentuhan bukan mahram dalam lakonan adalah keperluan dakwah. Memang bagi diri saya dan orang beriman minoriti lain tidak bersetuju kerana iktikad kami pada hadis Nabi s.a.w bahawa selemah-lemah iman adalah benci dalam hati akan semua perkara mungkar. Dan tentunya kami beriktikad mendedahkan aurat dan bersentuhan bukan mahram dalam lakonan adalah perkara mungkar.

Namun, berbeza dengan kaum beriman yang majoriti tadi, hampir semua dari mereka bersetuju dengan kami bahawa mendedahkan aurat dan bersentuhan bukan mahram adalah perkara mungkar.Namun bagi mereka, perkara mungkar itu diperlukan oleh mereka untuk menyampaikan risalah dakwah suci Nabi dalam lakonan dakwah. Mereka malah berterima kasih kepada muslimat-muslimat kita yang kurang pengetahuan agama untuk dieksploitasi berlakon melakukan kemungkaran itu dalam drama atau filem mereka.Walaupun mereka tidak menyatakan hukumnya perlakuan mereka itu, namun kita memahami mereka beranggapan ia adalah harus atau dimaafkan atau darurat.

Hari ini, dakwah memerlukan kemungkaran untuk menjadi medium kepada kebenaran oleh kaum beriman yang majoriti. Malah sebahagian mereka merasakan teori "lakonan islami" yang dipegang oleh kaum beriman minotiti yang berkehendakkan hukum syarak dipelihara 100% dalam lakonan itu, adalah satu kebodohan atau suatu yang tak boleh diterima akal.

Benar, hari ini yang boleh diterima akal dan hati mereka adalah dakwah dalam drama dan filem memerlukan kemungkaran kerana kemungkaran itu lebih dekat dengan realiti. Hari ini, perintah Allah dalam syarak tidak lagi relevan jika berada dalam situasi dunia lakonan. Perintah Allah dalam dunia bukan lakonan mungkin relevan bagi mereka, tapi suatu yang mendekati kemustahilan bahawa hukum syarak boleh dipelihara dalam dunia lakonan. Kaum beriman majoriti itu juga tak dapat menerima batas-batas yang diatur agama, kerana bagi mereka batas-batas itu akan menggagalkan misi drama dan filem mereka.

Apatah lagi mereka menganggap tugas dan kerja mereka adalah suci dalam menyampaikan mesej islam. Mesej mereka terbukti dipuji sekalian kaum mereka, malah mereka merasakan pelakon yang kurang pengetahuan agama yang telah dieksploitasi untuk buat kerja-kerja kotor mendedahkan aurat dan bersentuhan bukan mahram dalam karya mereka itu telah lakukan tugas yang sangat baik.

Hari ini, orang beriman majoriti tak lagi peduli soal benci kemungkaran. Mereka mungkin benci kemungkaran tetapi mereka sangat berterima kasih juga pada kemungkaran kerana telah berjaya membantu misi dakwah mereka. Malah dari tangan-tangan merekalah menggerakkan kemungkaran itu. Benar, jika isteri atau ibu, atau adik perempuan mereka atau anak perempuan mereka, mereka pasti tidak redha melakukan kemungkaran dalam drama dan filem tersebut.Namun apa yang perlu dipedulikan soal hukum, yang lakukan kemungkaran adalah pelakon yang sudah sedia berdosa. Maka apa yang mereka lakukan hanya menggunakan sifat pendosa pelakon itu untuk menjayakan lakonan yang diharap-harapkan mereka.

Saya tidak pasti siapakah yang akan diredhai oleh Allah s.w.t, adakah diri saya yang berkehendakkan "lakonan islami" mengikut aturan syarak 100% atau adakah mereka yang telah menggunakan orang yang kurang pengetahuan agama untuk lakukan dosa demi dosa dalam lakonan ditayang pula di bulan Ramadhan yang mulia. Saya tidak pasti, adakah Allah akan melipatgandakan pahala dan ganjaran buat mereka di bulan ramadhan ini berikutan penayangan hasil kerja kotor mereka mengeksploitasi kaum kurang pengetahuan agama untuk buat mungkar dalam filem dan drama, atau adakah Allah s.w.t akan melipatgandakan dosa-dosa mereka malah mempersiapkan azab yang pedih atas kerja mereka melanggar perintah Allah dengan sengaja malah menggunakan alasan agama untuk berbuat begitu.

Hari ini, golongan liberal dan munafik mungkin sukar nak cari perbezaan dengan golongan majoriti beriman itu.Tapi, ternyata majoriti tetap majoriti. Mereka menguasai arus dan berjaya mendiamkan para ulama untuk bersuara dan menegur. Bagi kita kaum minoriti beriman ini, kita teruskan menyatakan kebencian kita pada kemungkaran dan menghidangkan idea-idea alternatif buat mereka. Walaupun akhirnya nanti kita akan diejek-ejek sebagai orang yang perfectionist, idealist dan sebagainya. Saya tak tahu, adakah orang bertaqwa adalah orang yang sengaja berbuat dosa malah tak terfikir pun nak bertaubat walaupun mereka sedar apa yang mereka lakukan disepakati seluruh umat sebagai menghalalkan kemungkaran.

2 komentar:

Abu Abdillah said...

Assalamu'alaikum warahmatullah..

Saya rasa saudara patut tambah dalam frasa saudara "majoriti orang beriman" tu kepada "majoriti orang dakwah Malaysia" atau "majoriti orang yang mengaku beriman di Malaysia"
kerana bagaimana saudara kelaskan majoriti yang menyokong filem yang digembar-gemburkan sebagai 'Filem Dakwah' itu sebagai majoriti?
Saya sendiri tidak setuju dengan mereka namun saya memilih untuk menerangkan kepada yang saya kenal, dan sekililing saya kemungkaran ini. Kerana pihak TV memang kerja mereka satu: hedonisme. Mereka tayangkan 'rancangan Islamik' di waktu solat sedangkan seluruh yang beriman di seluruh dunia tahu waktu solat untuk solat, bukan tercongok depan TV, dan yang bernafsu untuk tengok rancangan Islamik kebanyakannya hanya orang yang solat tu, bukan orang lain.

Seluruh ulama besar dunia tak terima kalau mereka tengok filem dakwah stail Malaysia ni, apatah lagi al-Qardhawi yang disanjung-sanjung orang dakwah Malaysia itu sebagai yang tidak ekstrim, dalam bukunya fatwa kontemporari yang tak mungkin mereka tak baca. Lainlah kalau ada bilangan yang sangat kecil liberal yang digelar ulama seperti at-Turabi mereka nak gunapakai.

Tambahlah frasa saudara itu. Mohon maaf jika gaya terkasar bahasa. Agama itu nasihat, dan ukhuwah kita berkasih sayang.

Uhibbuka fillah. Istiqamah dalam perjuangan.
Assalamu'alaikum warahmatullah.

mfrstudio said...

waalaikummussalam warahmatullahi wabakatuh.

saya mengambil keputusan tidak menambah frasa itu, kerana kelemahan saya itu telah ditambahnilai (dibetulkan) oleh saudara.

itulah gunanya ruang komen, untuk menambah nilai isi entri, atau menegur kesilapan dan kelemahan entri saya.

dunia ini indah apabila ada penambaikan, pembaikan, usaha baiki membaiki.

dunia ini jelik apabila tak ada penambaikan, mengeji pembetulan, memadam teguran, atau mem ban kontra pandangan.

"Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf?"(surah hud:24)

"Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri."(surah hud:117)