|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

TIDAK TAKSUB BAHASA

Orang mempertikaikan para pejuang bahasa yang begitu bersemangat untuk mendaulat perjuangan masing-masing. Baik golongan pejuang bahasa Melayu, bahasa Cina mahupun bahasa Tamil. Contoh paling jelas ketika PPSMI diumumkan, para pejuang bahasa yang menentang dasar PPSMI dari pelbagai bangsa itu bukannya ada perjuangan bahasa yang sama, mereka berjuang untuk menafikan Bahasa Inggeris menggantikan bahasa rasmi perantaraan di sekolah aliran masing-masing.

Buktinya sesudah PPSMI dimansuhkan nanti, apa yang berlaku bukannya keseragaman bahasa rasmi 1Malaysia, tetapi bahasa rasmi 3Malaysia iaitu setiap pejuang bahasa dari bangsa masing-masing mendapat semula bahasa perantaraan bangsa masing-masing di sekolah mereka.

Mereka tidak faham, soal bahasa ini perlu jelas untuk punya satu pendirian tegas. Adakah kita bersetuju untuk punya 1 bahasa rasmi yang menyeragamkan segala urusan baik komunikasi pelbagai kaum dalam urusan harian muamalat, perniagaan, urusan kerajaan, pengumuman rasmi dan sebagainya, atau kita mahu meraikan semua bahasa dengan mewakilkan 3 bahasa dalam setiap urusan rasmi dengan bahasa melayu, cina dan tamil atau bahasa inggeris sebagai bahasa yang difahami semua?

Perlu ada satu kaedah yang boleh buat "kefahaman" yang tidak boleh dipertikaikan. Saya pasti jika 3 bahasa diraikan secara bersama, maka setiap kaum akan memahami teks atau mesej berdasarkan "kefahaman" yang berbeza, lebih parah apabila percanggahan berlaku mereka akan bercanggah dengan peraturan bahasa masing-masing yang tidak akan membawa titik temu.

Saya tidak taksub bahasa, dengan menafikan kewujudan bahasa lain untuk meneruskan survival bahasa sendiri. Itu salah satu kebodohan yang wajar kita elakkan. Ya, kita ini orang Islam selalu berusaha keluar dari kejahilan , maka tak ada makna untuk menjerumuskan diri dalam kebodohan. Bahasa adalah salah satu ciptaan Allah buat kaum manusia mudah mengenali bahawa mereka itu punya perbezaan tersendiri dari puak-puak yang sengaja Allah jadikan tidak sama. Dan Allah telah letakkan perbezaan itu sebagai cara taaruf atau berkenal-kenal seperti yang difirmankanNya:



Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).(al hujurat:13)

Orang selalu berkata, "Bahasa Jiwa Bangsa" maka logiklah jika Allah ingin mencipta jiwa-jiwa yang berbeza untuk saling kenal mengenal maka bahasa-bahasanya juga Allah cipta berbeza. Bangsa Melayu yang dikatakan menggunakan bahasa melayu itupun belum tentu punya jiwa yang sama. Buktinya Bahasa Melayu juga ada bermacam versi sesuai dengan jiwa-jiwa melayu yang juga punya pelbagai versi. Melayu Kedah lain jiwanya lain gaya bahasa melayunya, Melayu Kelantan lain jiwanya lain gaya bahasa melayunya, Melayu Sabah lain jiwanya lain gaya bahasa melayunya. Apatah lagi bangsa yang lebih besar tanahnya dari wilayah bangsa Melayu ini seperti Negara China mahupun Negara India, mereka juga ada berpuluh versi jiwa dan berpuluh versi bahasa juga walaupun kategori bangsa yang sama.

BAHASA RASMI

Namun, baik negara China mahupun India, mereka juga ada satu bahasa rasmi yang boleh meletakkan titik temu pelbagai versi jiwa dan bahasa dalam wilayah mereka. Ya, orang berkata bangsa di negara mereka cuma berbeza dialek tidak kaum dan bahasa asalnya. Salah, di negara China dan India juga punya kaum berbeza yang punya bahasa asal yang berbeza jua.

Di China masih ada minoriti yang agak besar populasinya yang berbeza kaum dan bahasa ibundanya seperti bangsa Zhuang (Thai), Mongolia, Tibet, Uyghur (Turkic), Hmong dan Korea. Di India juga kaum benggali, punjabi dan hindi lain bahasanya dengan kaum telugu atau tamil, apatah lagi kaum tibet atau kaum berbahasa munda. Masih, di sana disepakati untuk ada bahasa rasmi yang meletakkan titiktemu buat wilayah mereka dengan China menggunakan Mandarin sebagai bahasa rasmi dan India dengan bahasa Hindi/Urdu sebagai bahasa rasmi.

Semasa zaman kegemilangan Melaka pun, para pedagang menggunakan Bahasa Melayu sebagai lingua franca, bukannya para pedagang menggunakan bahasa masing-masing dan penduduk asal pula perlu belajar bahasa mereka untuk berjualbeli. Perlu ada kesepakatan akan satu bahasa rasmi yang diangkat perlu dipatuhi untuk dijadikan medium titiktemu. Bukan boleh kita namakan satu bahasa sebagai "bahasa rasmi" kemudiannya bahasa lain pula dituntut untuk dijadikan medium. Mungkin itu bukan satu kebodohan, tetapi ia sebahagian kegilaan.

Di zaman kegemilangan khalifah Islam pun begitu jua. Boleh dikatakan bangsa arab bukanlah majoriti jika dikira keseluruhan populasi penduduk dalam wilayah empayar Islam. Namun, bahasa arab disepakati sebagai bahasa rasmi sehingga, para ulama Islam yang lahir di bumi atau kaum yang bukan arab pun masih menghasilkan karya dalam bahasa arab sebagai karya utama mereka. Mereka mengajar ilmu dalam bahasa arab, padahal anak murid mereka bukan dari kalangan bangsa arab pun. Orang-orang eropah dari zaman kegelapan yang datang menuntut ilmu pun sanggup belajar bahasa arab untuk menimba dan mengutip keilmuan dalam tamadun empayar Islam itu.

Soalnya perlu ada kesungguhan untuk kita jadikan titik temu yang telah kita sepakati yang kita panggilkan sebagai "bahasa rasmi" itu untuk diangkat sebagai medium titiktemu.

Saya tidak taksub bahasa dengan menafikan kepentingan dan keutamaan bahasa dari bangsa lain, malah saya berminat untuk mendalami bahasa mereka supaya kewajipan taaruf yang diperintah Allah s.w.t dalam surah al Hujurat itu dapat saya sempurnakan. Taaruf di sini bukan sekadar kenal bangsanya, tapi lebih dari itu kenal hati budi, jiwa, budaya, perasaan, sensitiviti, pemikiran, ilmu dan kemahiran. Barulah ia bawa kepada tidak menghukum suatu kaum yang dibenci dengan kebencian, tapi berhukum dengan keadilan dan sesungguhnya keadilan itu dekat dengan ketaqwaan. Bukankah yang lebih mulia di sisi Allah itu yang paling bertaqwa antara kita dalam surah dan ayat yang sama?

Namun, kita perlu sepakat akan kaedah untuk saling memahami itu, bolehkah kalian berkenalan dengan seorang bercakap bahasa itik , seorang bercakap bahasa ayam. Mustahil! Kita perlu ada kaedah untuk ada titik temu, dan itulah yang kita maksudkan sebagai titiktemu rasmi atau bahasa rasmi.

Ya, dengan kaedah perkenalan individu, satu pihak yang ada usaha untuk belajar bahasa satu pihak lagi boleh memungkinkan titik temu, juga jika dua-dua pihak memahami dan belajar kedua-dua bahasa pihak yang berlainan juga boleh jadi asbab titiktemu, namun bukanlah semua orang ada upaya untuk kuasai 10 bahasa apabila berurusan dengan 10 bangsa berbeza. Paling mudah adalah meletakkan hanya satu bahasa saja menjadi titik temu, maka jika ada 10 bangsa berbeza, mereka hanya perlu tambah satu saja bahasa untuk memungkinkan mereka bertitiktemu dengan 10 bangsa berbeza bahasa lainnya.

3MALAYSIA

Saya tertarik dengan situasi di Malaysia. Walaupun kita sebut Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, namun kita tetap ada bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Ya, situasi itu sama saja dengan di India , bahasa rasminya Hindi bahasa keduanya Inggeris. Mungkin kerana India punya nasib sejarah hampir sama dengan Malaysia kerana dijajah oleh British dan merdeka dari British juga dari jalan diplomasi dan perbincangan dan bukannya peperangan.

Namun, Malaysia menjadi menarik situasinya adalah kerana di Malaysia di samping bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan atau rasmi, bahasa Inggeris bahasa kedua, masih bahasa lain boleh hidup dengan subur tanpa terikat dengan kedua-dua bahasa itu. Bak kata Tun Mahathir, Malaysia satu-satunya negara dalam dunia yang punya 3 aliran bahasa untuk sekolah rasminya.

Apa yang lebih menarik, jika seorang Cina di Malaysia tidak tahu bahasa melayu atau inggeris pun, mereka masih boleh hidup malah berurusan dengan baik kerana mereka ada sekolah rendah dan menengah yang menggunakan bahasa pengantar bahasa Cina, boleh belajar bahasa Cina dan ada peperiksaan bahasa cina yang diiktiraf negara, ada perniagaan yang ditulis nama kedainya dengan tulisan Cina, ada terjemahan bahasa Cina pada nama jalan, nama kampung, mahupun lain-lain papan tanda amaran. Mereka juga boleh menikmati rancangan televisyen dalam bahasa Cina, ada berita mandarin dalam tv rasmi kerajaan, ada surat khabar cina yang tak kurang banyaknya, malah nak cari kerja pun senang kerana banyak syarikat meletakkan bahasa mandarin sebagai syarat kelayakan. Mereka boleh terus menjadi Cina tanpa terlibat langsung dengan bahasa rasmi Malaysia.Dan hal itu satu perkara realiti, masih ada orang Cina di Malaysia tidak tahu langsung berbahasa Melayu.

Kita tak cukup memahami mengapa di Amerika Syarikat yang ada orang cina juga, orang cinanya fasih berbahasa inggeris, begitu juga jika di Britain. Di Perancis pun ada orang cina, dan mereka juga fasih berbahasa perancis. Di Jepun pun ada orang cina, masih mereka fasih berbahasa Jepun. Di Indonesia lebih memeranjatkan, anda tak akan sedar dia seorang cina kerana kefasihannya berbahasa Indonesia malah nama sendiri pun nama Indonesia. Mengapa di Malaysia, kefasihan orang cina berbahasa melayu amat lemah berbanding kaum mereka yang bersungguh-sungguh berbahasa dengan bahasa bukan cina di negara lain? Apa jijiknya bahasa melayu yang telah disepakati bahasa rasmi ini?

Ya, orang cina yang fasih berbahasa melayu juga tak kurang ramai, malah menteri-menteri dari bangsa cina di Malaysia punya sebutan dan penggunaan bahasa melayu lebih tepat dari menteri dari bangsa melayu yang terkehel-kehel lidah nak sebut bahasa melayu kerana ber"lidah inggeris celup".

Saya tak faham apa maksud Datuk seri Anwar Ibrahim apabila beliau menyebut, "Sekarang (tahun 2009) tiada orang cina yang persoalkan kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.Kalau cina tak soal bahasa melayu sebagai bahasa rasmi, mengapa orang melayu harus pertikai hak orang cina belajar dan angkat kedudukan bahasa cina? Dan di sebalik itu yang saya nak tekankan bahasa cina dalam tahun 1950-an dengan bahasa cina tahun 2009 jauh berbeza. Bahasa cina sekarang, adalah bahasa yang penting untuk ekonomi dan ilmu dalam rantau ini dan dunia. Adalah penting orang cina belajar bahasa itu, dan orang melayu juga penting untuk belajar sama bahasa cina".

Soalannya:

1. apakah erti bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi di hati orang cina?
2. apakah maksud sebenar mengangkat kedudukan bahasa cina?
3. adakah kepentingan suatu bahasa bergantung kepada ekonomi dan ilmu?

Jika benar soal bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tidak dipersoalkan oleh mana-mana pejuang bahasa kaum lain, maka apakah kedudukan "perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan" di hati para pejuang bahasa cina dan tamil, berbanding perjuangan mengangkat kedudukan bahasa mereka?

Jika orang melayu tak pertikaikan usaha mengangkat kedudukan bahasa cina atau tamil, soalnya sejauh mana nak diangkat bahasa cina dan tamil itu? Jika melebihi kedudukan bahasa kebangsaan maka itu sudah bercanggah dengan kenyataan pertama yang tidak mempersoalkan kepentingan bahasa kebangsaan atau rasmi. Jika tidak melebihi bahasa kebangsaan, sejauh mana batas dan ruang perjuangannya? Jika situasi sekarang dilihatpun, perjuangan mengangkat bahasa cina dalam ekonomi dan ilmu benar-benar telah buat bahasa cina menjadi lebih penting dari bahasa kebangsaan. Maka jika sudah lebih penting, apakah relevan lagi bahasa melayu nak dijadikan bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi yang meletakkan titiktemu, padahal mereka bertitik dan bertemu dalam urusan ekonomi dan ilmu perlu ada kemahiran bahasa cina?

Tidak lain dan tidak bukan, jawapan bagi soalan satu itu jelas jika kepentingan suatu bahasa bergantung kepada ekonomi dan ilmu, maka perjuangan bahasa melayu tentulah lebih rendah di hati para pejuang kaum cina kerana umum memang mengetahui lebih besar pasaran ekonomi dan ruang keilmuan dalam bahasa cina berbanding bahasa melayu. Jadi walaupun penduduk Malaysia majoriti berbahasa melayu, namun keutamaan untuk bertitiktemu dalam ekonomi dan ilmu adalah bahasa Cina? sepertimana bahasa arab dahulu minoriti dalam empayar islam tetap diangkat tinggi kerana keutamaannya dalam urusan ekonomi mahupun ilmu?

Jika kes yang sama diletakkan pada hak kaum-kaum lain, pastinya kita tak boleh sekat juga kaum India di Malaysia untuk mengangkat bahasa tamil untuk diangkat kedudukannya. Maka jika semua melayu, cina dan india mahu mengangkat kedudukan bahasa masing-masing untuk menjadi utama dan penting, tidak mustahil Malaysia akan punya dasar 3 bahasa rasmi iaitu perlu ada 3 bahasa selalu beriringan lalu jadilah kita 3Malaysia.

Malah hal ini sudah pun berlaku dalam banyak papan tanda, notis, pengumuman, lebih-lebih lagi sangat terang ditekankan oleh parti politik baik kerajaan mahupun pembangkang dalam setiap banner atau kain pemidangnya.Pasti ada 3 bahasa beriringan. Adakah ini maksud sebenar perjuangan mengangkat kedudukan bahasa masing-masing itu?

BELAJAR BAHASA

Seperti yang saya tekankan, adalah satu kebodohan jika kita menafikan untuk belajar bahasa lain selain bahasa ibunda kita, malah hal ini merupakan saranan dari Allah s.w.t sendiri dan ditunjukkan sendiri oleh sahabat Nabi s.a.w,Zaid bin Tsabit disuruh Nabi s.a.w untuk belajar bahasa Ibrani (yahudi).

Sebagai umat Islam yang punya tanggungjawab dan kewajipan dakwah, mempelajari bahasa suatu kaum yang ingin kita dakwahkan itu penting. Keutamaan bahasa bukan sekadar bergantung kepada keutamaan dan kepentingannya di sisi ekonomi dan ilmu, malah atas keutamaan dan kepentingannya dalam usaha dakwah untuk menyebar Islam dan menguatkan umat.

Namun, dalam setiap perbezaan mestilah ada satu kaedah untuk meletakkan satu titiktemu yang disepakati semua, begitu jugalah dalam hal bahasa ini. Walaupun umat Islam datang dari pelbagai bangsa dan bahasa, semuanya punya kewajipan untuk memahami Bahasa Arab yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk menjadi bahasa rasmi wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Nah, wahyu untuk sekalian umat manusia pun ada prosedur bahasa rasmi. Memang satu kegilaan jika setiap bangsa di kalangan umat Islam mahu mengangkat kedudukan bahasa masing-masing dalam ajaran Islam, maka nantinya muncullah alquran melayu, alquran cina atau alquran tamil dengan kepercayaan alquran dalam bahasa arab adalah hanya untuk bangsa arab.

Memang ada kelonggaran dalam Islam jika suatu kaum itu tak menguasai Arab mereka boleh menggunakan bahasa sendiri dalam memahami alquran, boleh baca sendiri alfatihah dalam bahasa sendiri, atau bacaan zikir lain dalam solat mahupun berdoa dalam bahasa sendiri. Namun, setiap kaum itu tak terlepas dari wajib berusaha untuk menguasai bahasa arab supaya mereka keluar dari kejahilan bahasa arab dan mampu membaca alquran dalam bahasa arab, alfatihah dan zikir dalam bahasa arab dalam solat mahupun berdoa afdhal dalam bahasa arab.

Bahasa Arab yang menjadi bahasa rasmi wahyu ini bukan menjadikan semua jiwa-jiwa manusia yang bukan arab untuk menjadi arab, tetapi nur wahyu itu dapatlah menyatukan kesatuan umat, dengan setiap umat yang memahami bahasa quran dapat pula jiwa qurani.

Begitu jugalah kita lihat, bukanlah bahasa rasmi di amerika, british, perancis, jepun, jerman, indonesia dan lain-lain itu menghilangkan jiwa mereka sebagai bangsa mereka sendiri atau identiti sendiri yang berlainan bahasa ibunda dengan bahasa rasmi negara yang mereka tinggal, namun kesatuan itu akan tercetus dengan semangat pelbagai bangsa di amerika yang cintakan amerika, pelbagai bangsa di perancis yang cintakan perancis, atau pelbagai kaum di indonesia yang cintakan indonesia.

Benar, semangat nasionalisme (cinta negara) bukanlah disepakati oleh kita umat islam, kerana ada yang mengharamkannya walaupun para politikus islami yang mengharam itu ada yang tidak mengharamkan pula demokrasi .Namun soal cintakan wilayah atau negara untuk dipertahankan rukundamainya boleh tercetus apabila wujud kesatuan warganya, maka mengapa tidak kita angkat bahasa rasmi kita itu pada kedudukan yang boleh menyatukan kita dan bukan setakat atas kertas tapi tidak praktik realitinya.

Jika sekolah kebangsaan sudah ada kelas bahasa cina dan tamil, untuk apa lagi sekolah aliran cina atau tamil diwujudkan kalau sekadar mahu memastikan anak-anak keturunan cina atau india tidak lupa bahasa sendiri. Jika alasan bahawa kanak-kanak lebih memahami pelajaran dengan bahasa pengantar kaum masing-masing, maka kewujudan sekolah kebangsaan tidak wajar dibuka pada kanak-kanak bukan melayu kerana bahasa pengantarnya adalah bahasa melayu. Oleh itu, mengapa tak namakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah melayu saja? Atau kita boleh saja anggap Malaysia ini Tanah Melayu bagi orang melayu, China bagi orang cina dan India bagi orang india? Sekali lagi apa makna bahasa rasmi di hati kalian?

0 komentar: