|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
oleh: mfr studio


1. Saya telah mendengar hujah-hujah memperkasa Mahkamah Syariah dengan meningkatkan kadar hukuman sedia ada dan hujah-hujah memperkasa Mahkamah Syariah dengan meningkatkan kadar gaji, profesionalisme dan infra mahkamah sedia ada.


2. Saya percaya PAS dan UMNO tidak ada masalah untuk sama-sama turut serta memperkasa kadar gaji, profesionalisme, dan infra mahkamah sedia ada seperti dicadang oleh Pakatan Harapan kerana persoalan ini bukan soal baharu. Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) pada tahun 2010 ketika membahas Bajet 2011 pun telah menyentuh soal selaras gaji ini. Rujuk:http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_01.htm


3. Ada pihak tertentu yang tidak memberikan gambaran sebenar usaha memperkasa Mahkamah Syariah di Malaysia. Ia bukan bermula dari Jawatankuasa Hudud antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 2014. Apatah lagi nak mengatakan ia bermula dengan Usul Persendirian Ahli Parlimen Marang untuk meningkatkan kadar hukuman Mahkamah Syariah pada tahun 2016.


4. Lebih mengelirukan jika ada yang mengatakan usaha memperkasa Mahkamah Syariah adalah cubaan untuk mengalih isu rasuah di Malaysia. Teruskan basmi rasuah, tiada siapa halang. Jika ada bukti serah pada pihak berkuasa Malaysia. Jika tak percaya Malaysia, serah bukti pada DOJ Amerika Syarikat.Apabila kita berbicara soal jenayah seksual kanak-kanak, bukan bermakna kita mengabaikan rasuah. Apabila kita berbicara soal terorisme, bukan bermakna kita mengabaikan rasuah. Samalah juga apabila kita berbicara soal memperkasa Mahkamah Syariah, bukan bermakna kita mengabaikan rasuah. Nak bicara rasuah, teruskan.Jangan nafikan ada banyak lagi hal dan perkara kita perlu bicarakan.


5. Jadi bilakah usaha memperkasa Mahkamah Syariah mula diadakan? Ia telah bermula sejak mahkamah syariah mula ditubuhkan, dengan lulusnya Akta 355, Akta Mahkamah Syariah 1965 lagi para hakim, peguam, graduan undang-undang, jabatan-jabatan agama kesemuanya memantau dan mengkaji bagi memperbaiki undang-undang yang dijalankan.


6. Rekod paling jelas usaha memperkasa Mahkamah Syariah adalah apabila tertubuhnya Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil dipengerusikan oleh Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim pada tahun 1988.Antara kejayaan jawatankuasa ini adalah berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan, dengan memasukkan Klausa (1A) kepada Perkara 121 yang memisahkan secara jelas bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.


7. Namun tidak semua masalah bidangkuasa selesai. Seperti kata Tun Abdul Hamid mantan Ketua Hakim Negara, ada subject matter bidang kuasa Mahkamah Syariah tetapi pihak terlibat adalah seorang bukan islam sedangkan Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa terhadap bukan Islam. Sebab itu cadangan Tun Abdul Hamid pada tahun 2001, agar Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah disatukan dan rombakan sistem undang-undang negara yang perlu keluar dari common law British amat saya setujui. Isu ini kompleks tetapi idea radikal seperti ini harus difikirkan agar kekeliruan sistem dual undang-undang di negara kita dapat diselesaikan dan kita martabat terus Syariah sebagai undang-undang unggul di negara kita. Baca cadangan Tun Abdul Hamid: https://tunabdulhamid.me/2001/04/sistem-kehakiman-dan-perundangan-di-malaysia-satu-wawasan/


8. Tun Ahmad Fairuz yang juga mantan Ketua Hakim Negara juga baru-baru ini menjelaskan apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan Quran dan Sunnah adalah tidak sah berikutan Perkara 3 dan 4 yang dibaca bersama meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan perlembagaan termasuk bertentangan dengan Islam sebagai Agama Persekutuan tentulah tidak sah. Rujuk:http://www.nst.com.my/news/2017/03/224249/laws-contradiction-islamic-laws-are-void-says-former-chief-justice
Ini boleh menjamin semua undang-undang sivil yang dibentuk perlu patuh syariah dan ini boleh menjadi titik mula merealisasi idea Tun Abdul Hamid di atas.


9. Kita juga perlu ingat, sebelum Jawatankuasa Hudud di Kelantan diwujudkan pada tahun 2014, JAKIM telah terlebih dahulu menggerakkan usaha pembentangan Kertas Cadangan Menaik Taraf Kedudukan Mahkamah Syariah dan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah di Malaysia dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 22 Ogos 2011. Rujuk: http://www.sinarharian.com.my/nasional/kerajaan-usaha-naik-taraf-mahkamah-syariah-1.333594


10. Saya berasa hairan apabila ada pihak Pakatan Harapan yang memandang enteng aspek kadar hukuman yang terhad di Mahkamah Syariah. Apabila kita memperkatakan tentang usaha memperkasakan Mahkamah Syariah, termasuklah juga dalam menjatuhkan hukuman sebagaimana yang ditetapkan di dalam al Quran dan Sunnah. Menaikkan kadar sebatan kepada 100 sebat seperti yang dicadangkan Ahli Parlimen Marang boleh menyelesaikan sebahagian kekangan tersebut.


11. Aspek kadar hukuman penjara 30 tahun dan denda RM100 ribu itu boleh diperhalusi kerana kita harus mempertimbangkan apa yang dijelaskan oleh Ahli Parlimen Marang tentang kesalahan jenayah yang wajar dikenakan hukuman berat seperti menyebar ajaran sesat/pesong akidah dan penganiayaan ke atas nafkah isteri.


12. Memang terlalu banyak lagi hal Mahkamah Syariah yang perlu kita lakukan, dan ia bukan boleh diselesaikan oleh satu pindaan ke atas Akta 355 semata-mata. Pindaan kadar hukuman menyelesaikan satu aspek kekangan di Mahkamah Syariah, namun banyak lagi pindaan perlu dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan Syariah di Malaysia dijulang, kekeliruan bidang kuasa Sivil-Syariah diselesaikan, dan keluarnya kita dari kepompong Common Law British.Ada aspek bidang kuasa ke atas bukan islam pada subject matter syariah, keseragaman undang-undang negeri, kelewatan perlantikan hakim, Kes tertangguh dan tertunggak, isu kewangan islam dan lain-lain.

Baca: http://mahir-al-hujjah.blogspot.my/2009/04/masalah-kelemahan-mahkamah-syariah-yang.html

Baca juga: http://www.jksnpp.gov.my/jksnpphq/index.php/en/18-penerbitan-mahkamah/90-ke-arah-mahkamah-syariah-persekutuan

13. Sebab itu cadangan saya, agar kita HANYA UNDI MUSLIM BERWIBAWA pada PRU14 nanti untuk Parlimen dan DUN agar Muslim Berwibawa yang mampu untuk meminda peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan di Parlimen dan meluluskan enakmen-enakmen Syariah yang adil di DUN dan tidak menyerahkan beban dan amanah ini kepada mana-mana calon bukan islam dalam PRU14 nanti.


14.Bayangkan seorang bukan islam yang tak beriman pada syariah diberikan tugas untuk meminda perlembagaan bagi memartabatkan syariah, seorang bukan islam yang sekular untuk bicara soal Syariah jadi undang-undang unggul menggantikan common law British dan seorang bukan islam yang anti Malaysia jadi negara islam diharapkan untuk berjuang jadikan Malaysia negara islam? Jangan susahkan ahli politik bukan islam dengan tugas yang tak mampu mereka pikul. Biarkan mereka menang di kawasan majoriti yang menyokong mereka, tetapi kita sebagai Muslim harus belas ihsan pada kemampuan seorang ahli politik bukan islam dengan tidak memberikan mereka beban tanggungjawab dan pangkahlah calon Muslim Berwibawa sahaja.


15. Jika anda seorang ahli parti politik, desak kepimpinan parti anda mencalonkan Muslim Berwibawa sahaja dalam PRU14. Jika tiada parti politik bersetuju mencalonkan calon Muslim Berwibawa di kawasan anda, musyawarahlah sesama komuniti di peringkat DUN dan Parlimen, cari tokoh Muslim Berwibawa di kawasan anda, calonkan mereka sebagai calon bebas, dan menangkan mereka. Kita perlu MEMENUHKAN parlimen dan DUN dengan Muslim Berwibawa. Banyak pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan perlu kita laksanakan. Kita sudah cadangkan dalam PRU13, tapi ada saudara muslim kita menentang arus baharu ini pada kedua-dua blok BN dan PR.


16. Biar PRU14 kali ini, kita bangkit tegas dan tuntas. UNDI HANYA CALON MUSLIM BERWIBAWA ADALAH SOLUSI MEMPERKASA SYARIAH DI MALAYSIA.

TUNTAS.

mfr studio
12 April 2017


0 komentar: