Di mana-mana pun, terutamanya di Barat, manusia kelihatan mencari agama. Sejak Renaissance lagi, manusia perlahan-lahan mula mencari agama yang benar-benar segar dan hidup yang memenuhi segala persoalan kehidupan khususnya tujuan manusia itu sendiri tercipta dan hidup di dunia. Cuma sama ada mereka khususnya para tokoh renaissance itu berjumpa dengan agama atau mencipta “agama” sendiri untuk memuaskan pencarian mereka. Dalam kalangan Muslim sendiri, usaha mencari agama ini terjadi, dari seorang skeptik agama berhijrah menjadi hamba Allah yang lebih taat.
Manusia mencari agama yang segar dan hidup bukan sekadar agama yang mengisi dogma percaya buta tuli atau terikat dengan ritual tanpa ada apa-apa dalil yang menunjukkan Tuhan sendiri mahu ritual itu diamalkan. Kepercayaan dan hukum hakam yang terbentuk perlu ada hikmah tinggi yang benar-benar rujukannya terus datang dari Tuhan bukan diada-adakan secara sendiri tanpa ada taakulan terhadap dalil Tuhan.
Manusia yang mencari agama ini pada mulanya cenderung untuk mencari agama yang mengajarkan ketenangan yang berpanjangan dan cuba membayangkan agama itu segalanya damai dan tenang-tenang sahaja. Tiada pergaduhan, tiada perbalahan.
Namun hal itu sangat aneh. Agama yang mengajar hidup di dunia penuh dengan ujian dan cabaran secara realiti, dengan keadaan diri hanya bertenang-tenang sendiri adalah sebuah escapism. Islam sendiri ada waktu escapism (baca: uzlah) tetapi tidak dianjur berterusan. Islam mengajar umatnya berhadapan dengan ujian penuh hiruk pikuk kerana mahu umatnya membuktikan iman sebenar mereka dengan realiti yang Allah wujudkan.
Hal ini cukup mengusutkan fikiran para pencari agama. Mereka berhadapan dengan pelbagai bentuk dogma agama yang diangkat sebagai agama yang benar dan membawa ketenangan tetapi dihadapkan dengan pelbagai polemik oleh para penganut agama sesama penganut itu sendiri atau antara penganut agama dengan penganut agama yang lain yang tidak membayangkan realiti anutan agama yang benar dan tenang itu dari imej para penganutnya sendiri. Situasi ini terjadi kerana para pencari agama melihat manusia yang menganut agama itu sebagai agama. Ini sangat menghairankan kerana tidakkah mereka sedar di dunia ini ada sebuah kelompok manusia yang beragama tetapi masih mencari agama seperti mereka juga (baca:jahil) dan sebuah kelompok yang beragama tetapi lebih terikut apa yang dimahukan diri (baca: nafsu) dan bukan kehendak agama itu sendiri?
Soalnya agama itu apa sebenarnya? Sebahagian orang mendefinisikan dogma kepercayaan pada Tuhan dan usaha menyembah Tuhan itu sahaja agama, kelompok yang tidak percaya pada Tuhan itu tidak beragama. Tetapi bukankah kepercayaan Tuhan tidak wujud juga suatu bentuk kepercayaan (faith)?
Pada saya, agama adalah apa-apa sahaja kepercayaan yang menggerakkan kehidupan manusia. Jika seorang manusia berfalsafah sendiri bagaimana mahu hidup, itu akan menjadi agamanya. Jika manusia memilih tidak mahu dikaitkan dengan apa-apa agama atau tak mahu percaya Tuhan itu wujud, dan mahu hidup mengikut nafsunya saja, maka itu menjadi agamanya. Jika mahu agama hanya sebuah nilai dan politik mesti sekular dari agama, maka itu agamanya. Jika agama menjadi asas mengapa dan bagaimana berpolitik, maka itu agamanya. Jika mahu ambil agama sekadar mengisi dunia sekular, itu agamanya. Jika mahu agama memimpin dunia sekular, itu agamanya. Jika mahu tegakkan agama di atas dunia sekular, itu agamanya. Apa-apa yang kamu percaya dan yang menggerakkan kehidupanmu, itulah agamamu.
Tetapi apakah agama sebenar yang diredhai oleh Tuhan yang menciptakan manusia ini?
Allah s.w.t berfirman: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.” (Ali Imran: 19)
Bagi orang yang tidak mempercayai Islam, mereka akan menolak ayat dan dalil ini. Tetapi mereka akan gagal menjumpai suatu dalil lain dari mana-mana rujukan agama lain yang menyebut secara jelas pengisytiharan (declaration) dari Tuhan sendiri seperti yang ada di dalam al Quran. Malah Allah s.w.t beberapa kali dalam ayat lain mengesahkan al Quran ini benar (baca: benar-benar kalam Allah sendiri) dan Islam itu yang paling benar.
Malah dalam Surah Al Fath:28, As Saf:9 dan At Taubah: 33 , Allah s.w.t sendiri berfirman akan tujuan diutuskan Rasulullah s.a.w untuk membawa petunjuk Tuhan supaya manusia beragama dengan agama yang benar yang dimenangkan dan ditinggikan atas agama yang lain. Ini menunjukkan Allah s.w.t mahu agama yang benar ini diusahakan menang dan tinggi oleh penganutnya. Adakah semudah itu Allah s.w.t akan memenangkan Islam atas agama lain? Tidak, kerana sesiapa yang beriman dengan Islam wajib menunjukkan kesungguhan usahanya untuk memenangkan dan meninggikan islam DAN ALLAH S.W.T AKAN MENURUNKAN MUSUH-MUSUH YANG MENENTANG, MENGHALANG DAN MAHU MENGHAPUSKANNYA.
Di sinilah kunci para pencari agama selalu abaikan. Jika wujud kebenaran agama, adakah semudah itu kebenaran itu dimuliakan oleh semua, atau akan ada pertentangan dari permusuhan atas kebenaran? Maka bagaimanakah pertentangan dan permusuhan ke atas kebenaran itu ditadbirurus oleh dogma agama tersebut? Pencari agama pada awal fasa pencarian tentunya mengimpikan sebuah agama yang dapat memberi ketenangan hidup berpanjangan, tetapi apabila telah berpegang pada sebuah agama sebagai kebenaran, mereka pasti diuji dengan permusuhan ke atas pegangan mereka, lalu ketenangan tanpa pertentangan dan ujian itu hampir mustahil. Maka mulalah para pencari agama sedar, sebuah kebenaran itu akan diuji dan ketenangan abadi adalah hadiah kemenangan atas ujian.
Hidup di dunia tidak abadi, maka pastinya wujud hidup abadi selepas hidup ini. Hadiah kemenangan itu adalah ketenangan hidup selepas hidup di dunia ini, selepas kematian kita. Ini menjawab mengapa pertentangan ke atas kebenaran akan terjadi di dunia ini tanpa mampu dielak.
Agama yang segar dan hidup adalah agama yang dapat mengurus realiti ujian pertentangan ke atas kebenaran dalam usaha memenangkan kebenaran dan meninggikannya supaya terbukti benar-benar penganut agama kebenaran itu berpegang pada agamanya dan layak mendapat hadiah kemenangan dengan sebuah kehidupan abadi yang tenang.
Memenangkan kebenaran dan meninggikannya, di sinilah terdapat banyak kekusutan (complexity) yang mencabar. Hanya sebuah agama tersusun dan benar (baca: datang dari Tuhan) yang metodologi segala hukum hakamnya sah ditaakul dari dalil Tuhan sahaja mampu mentadbir kekusutan ini kerana tidak mungkin sebuah agama yang benar sekadar mengajar fantasi yang tidak dapat direalitikan.
Tidak mungkin agama yang mendakwa semua agama adalah benar, boleh mendakwa agamanya benar kerana mendakwa kebenaran milik semua agama sebenarnya menunjukkan tiada wujud langsung kebenaran di dunia ini. Tidak mungkin agama yang mengajar keamanan tanpa perang boleh mendatangkan keamanan tanpa memerangi musuh yang mencetuskan perang di tanah airnya.
Tidak mungkin agama yang mengajar Tuhan tidak penting untuk amalkan nilai murni, boleh menjustifikasikan nilai siapa yang murni dan nilai siapa pula tidak murni tanpa ada Tuhan yang muktamadkan. Hanya jika dia merasakan dirinya Tuhan tapi dalam saat dia katakan Tuhan tidak penting dan dirinya Tuhan itu tidak penting pula? Tidak konsisten, tak berprinsip, penuh haru biru.
Agama yang konsisten dalam metodologi dan prinsip, yang boleh mengurus dalam pelbagai ujian kekusutan realiti, itulah yang patut menjadi permulaan para pencari agama. Mahu atau tidak, elemen Tuhan perlu wujud. Kerana tanpa Tuhan tiada apa lagi yang boleh dimuktamadkan dalam melerai kekusutan melainkan merasakan diri sendiri adalah Tuhan yang memuktamadkan, nah wujud juga Tuhan.
Adakah benar Rasulullah s.a.w ke gua hira hanya kerana mencari agama yang dapat menghapuskan kejahilan bangsanya dan bukan mencari Tuhan? Padahal kejahilan itu sendiri perlu definisi jelas. Bagaimana dapat menentukan kejahilan jika kebenaran belum dijumpai?
Hakikatnya Rasulullah s.a.w mengasingkan diri ke gua Hira’ sebelum diturunkan wahyu kerana mahu bertahannus (menyendiri bagi mendekatkan diri kepada Tuhan). Kebenaran bahawa Tuhan itu wujud telah ada dalam diri baginda sebelum ke gua Hira’ lagi. Ibn Hajar menyebut Rasulullah s.a.w telah diberikan mimpi yang benar selama 6 bulan sebelum kenabian baginda, lihat Fath al-Bary, jil I, hlm. 27.
Rujuk kisah asal usaha tahannus Rasulullah s.a.w ini dalam sahih al-Bukhari, hlm 3. Ibnu Hisyam 1/235, 236. Serta rujukan kitab tafsir hadis dan sirah selain daripada mereka berdua. Dikatakan Abdul Mutallib adalah orang yang pertama bertahannus di gua Hira’. Apabila tiba bulan Ramadhan, beliau akan memanjat (Jabal Nur) serta menjamu orang miskin sepanjang bulan berkenaan. Rujuk al-Kamil oleh Ibnu al-Asīr, 1/553.
Maka Rasulullah s.a.w memang mencari Tuhan di gua Hira’. Kerana apabila ada Tuhan, baru suatu kebenaran agama dapat dimuktamadkan, baru perasaan gundah kita tentang kehidupan ini ada solusinya. Agama yang memberikan solusi kehidupan, itu agama sebenar yang patut dicari oleh para pencari agama segar dan hidup. Maka idea sekularisme mengasingkan agama (baca: solusi kehidupan) dari mentadbir agak canggung apatah lagi usaha memenangkan dan meninggikan agama (baca: agama yang benar) tiada dalam usaha dunia sekular.
Dan inilah komentar saya terhadap artikel Zamir Mohyedin yang boleh dibaca di sini: https://www.facebook.com/khalifah.p... atau di sini: https://www.thukulcetak.com/single-...
Pandangan saya:
1. Di mana-mana manusia menolak agama-Tidak setuju.
Penyataan terlalu generalization.
Malah hakikatnya, jika agama itu adalah apa saja kepercayaan yang menggerakkan hidup manusia itu, sebenarnya semua manusia mencari agama. Sama ada jumpa agama sedia ada atau mencipta "agama"nya sendiri.
2. Tidak menyalahkan orang yang benci dan skeptik agama kerana terdapat kelemahan pada agamawan atau orang beragama sendiri- Tidak setuju.
Andai dilihat orang yang benci dan skeptik pada islam, ancamannya datang dari Allah sendiri. Salah utama orang yang benci dan skeptik islam kerana dirinya jahil untuk menilai islam dari kelemahan manusiawi.
3. apabila orang sudah tak mahu percaya, hal agama terhenti di situ.- Setuju
Memang begitulah peraturan Allah, jika kita berakhlak mulia tetapi tidak percaya pada Allah, kita tidak lagi beragama Islam dan akhlak amal baik kita semua hangus di akhirat.Islam terbina dari aqidah, syariat dan akhlak, tergelincir salah satu memang agamanya tidak sempurna.
4. Muhammad tidak pernah mencari sesuatu untuk disembah, tidak pernah mencari siapakah Tuhan sebenar.-Tidak setuju
Rasulullah s.a.w ke gua hira' untuk bertahannus (menyendiri untuk dekatkan diri pada Allah) walaupun sebelum menjadi Nabi. Ibnu al Asir dalam Al Kamil pernah nyatakan Abdul Mutallib sendiri bertahannus di gua hira'.Hakikatnya, Nabi telah diberi petunjuk akan wujud Tuhan sebelum menjadi Nabi lagi, cuma belum mendapat wahyu langsung dalam keadaan jaga saja. Ibn Hajar dalam Fathul Bari menyatakan Nabi diberikan mimpi yang benar (salah satu bentuk wahyu) selama 6 bulan sebelum kenabian.
5.Munculnya islam untuk bantu orang miskin,hormat org tua etc- Tidak setuju sepenuhnya
Ini kerana berdasarkan firman Allah dalam Al Fath:28, As Saf:9 dan At Taubah:33, Islam diturunkan kepada Nabi yang diutuskan untuk bawa petunjuk (iman, syariat, akhlak) malah untuk dimenangkan dan ditinggikan atas agama lain (buktikan islam paling benar).
6. Manusia perlukan agama kerana mahu sekian sekian- Setuju.
Hakikatnya manusia perlukan agama, kerana manusia diciptakan untuk beragama (menyembah Allah, ikut syariat, berakhlak dengan akhlak dicontohkan Nabi).
7.Imam al Ghazali kritik ulama-Setuju.
Memang ada orang berbahas agama ini macam teori akademik. Padahal agama terbina atas aqidah, syariat dan akhlak yang akhirnya menjadikan diri manusia ini hamba yang membesarkan Allah bukan dirinya sendiri.
8. Cabaran bukan memilih sekular dan agama.-Tidak setuju.
Sekular dan agama(baca:islam) adalah bertentangan. Tidak mungkin kita boleh isi agama dalam dunia sekular tanpa kita tukar dunia sekular berubah menjadi beragama. Bagaimana mungkin pentadbiran mahkamah sekular tak membenarkan hukum yang ditetapkan Allah dilaksanakan, dan mengambil cara sendiri yang dirasakan sesuai. bagaimana keadaan islam mengharamkan riba dapat dihidupkan dengan dunia yang menghalalkan riba. Kita kena pilih sama ada bergerak menuju agama dan meninggalkan sekular atau teruskan hidup secara sekular dan agama disekularkan (baca: dimandulkan dari mentadbir ikut syariat).
Wallahu a’lam.
mfr studio
0 komentar:
Post a Comment