Entri ini adalah komen saya kepada entri Eyna-Chan yang bertajuk "Tukar Bidang?". Blogger.com tak kasi komen lebih-lebih pula di ruang komen blog.
Bismillah.
Sebenarnya isu matlamat hidup dan mengenal potensi dan bakat diri ini patut selesai paling lewat umur 12 tahun. Dan setiap muslim jangan pernah ada matlamat hidupnya itu diletakkan apa yang nak dicapai di DUNIA. Jauhkan matlamat itu hingga mencapai motif dan tujuan manusia itu dijadikan Allah. Matlamat hidup semua muslim adalah mencapai redha Allah di AKHIRAT dengan memenuhkan hidup di dunia dengan IBADAH NON STOP. Benda ni dah kena selesai dah waktu 12 tahun.
Kemudiannya BERTERASKAN matlamat itulah maka berbeza-bezalah semua muslim mengenalpasti potensi dan bakat diri. Dan pastikan potensi dan bakat diri itu akhirnya menjadikan kita bermanfaat untuk umat manusia lainnya. Sebab itu sajalah yang mampu buat kita BERIBADAH NON STOP. Start bangun hingga tidur hingga bangun semula, semuanya jadi IBADAH.
Saya dah kenalpasti matlamat ini semasa umur 10 tahun dan dah buat keputusan yang seluruh hidup saya adalah mencapai matlamat akhirat. Saya kena buat keputusan awal, sebab saya taknak nanti bila dah akil baligh, dah ada buku amalan sendiri, baru nak fikir apa nak dibuat di dunia, padahal patutnya bila dah ada buku amalan, terus BERAMAL bukan baru nak fikir nak AMAL apa. Itu yang menghantui setiap fikiran saya semasa umur 10 tahun.
Walaupun saya akui, zaman kanak-kanak saya habis dengan usaha saya keluarkan potensi diri semaksimum mungkin dan tak ada ramai kawan-kawan, tak ada kenangan bermain dan bergembira berfoya-foya buang masa, tak ada kenangan terpengaruh dan dipengaruhi budaya sosial remaja. Tapi semua itu menyelamatkan saya dari kemelut dan dilema seperti kawan-kawan lain yang baru nak rangka dan fikir tujuan dan matlamat hidup sebenar selepas keluar univ.
Saya minat melukis bagai nak gila sejak umur 3 tahun lagi dan berjaya hasilkan senaskhah komik 24 halaman mukasurat waktu umur 6 tahun, tapi masa umur 7 tahun lepas diwajibkan solat oleh ibubapa, saya sedar semata-mata melukis tidak akan manfaatkan potensi diri saya sepenuhnya, maka saya cuba fahamkan apa yang diperlukan oleh tamadun manusia waktu itu. Zaman 90 an itu dunia sibuk bercakap tentang teknologi, dan perang teknologi senjata canggih dan pemusnah hangat dibualkan. Saya rasa itu adalah apa yang dunia perlukan dari saya. Bagaimana saya boleh gunakan potensi diri lain selain melukis, adalah saya kena jadi pembangun teknologi. Nak bangun teknologi dua bidang penting saya kena kuasai adalah matematik dan sains, lalu saya bersemangat belajar matematik dan sains yang akhirnya menemukan saya bahawa ilmu teknologi itu bukan berkenaan matematik dan sains saja, malah seluruh ilmu di dunia terlibat.
Belajar dan belajar bukan untuk periksa, zaman belajar adalah zaman saya kumpulkan ilmu, taktik, rancangan, pelan untuk ubah seluruh dunia, baiki seluruh sistem politik, ekonomi dan sosial. Semangat membuak-buak kerana sudah dikuasai jiwa yang nak sangat raih redha Allah, biar Allah pandang kita pejuang yang beri manfaat untuk tamadun dunia. Habis univ, tak kisah kerja apa, apa yang diberi oleh Allah, saya grab, dan teruskan. Sebabnya matlamat saya bukan dunia ni, nak jadi apa pun kat dunia, jadilah asalkan Allah redha, sebab saya nak kumpul seluruh ilmu dan gunakan seluruh nikmat untuk jadi pejuang. Perjuangan bukan sehari, tapi sampai mati. Cinta kasih benci, bukan pada jenama bidang, jenama kerjaya, tapi pada apa yang saya dah sumbangkan setiap saat dari bangun hingga tidur hingga bangun semula.
Sedar akan hakikat takdir dan alam hidup ini seluruhnya dipegang Allah, maka hadapi apa saja yang Allah beri, usahakan terus untuk jadi penyumbang dan penyumbang non stop. Di dunia ini bukan tempat nak rasa bahagia, nak rasa seronok, nak rasa puas sebab dapat buat apa yang kita MAHUKAN, tapi di dunia ini adalah tempat untuk nak rasa semangat, nak rasa kuat, nak rasa tabah dan sabar untuk terus-terus menyumbang apa yang tamadun dunia PERLUKAN.
Hebatnya Allah bila niat dan jiwa kita adalah semangat untuk menyumbang, dibukakan peluang besar di zaman ini kita boleh lakukan banyak hal tanpa banyak sekatan. Hari ini saya berkerjaya sebagai jurutera, tapi saya juga boleh melukis komik dakwah, boleh belajar pelbagai ilmu dari banyak ilmuwan, buku, internet secara global.
Orang berkata, buat apa paksa buat benda yang kita tak suka setiap hari. Mana ada benda yang kita boleh tak suka, hatta diberikan ujian pedih oleh Allah di dunia ini pun kita kena suka, dengan maksud suka bererti redha. Hidup ini memang bukan tempat bersuka-suka. Orang berkata, dah tu takkanlah kita langsung tak boleh nak cari bahagia, rasa suka, dan enjoy? Kita kata bila masa pulak langsung tak boleh, bila dah selesai menyumbang non stop di dunia, maka bahagia, rasa suka dan enjoy secara NON STOP adalah selepas kita mati dan dikurniakan JANNAH di akhirat nanti! Kan boleh macam tu!
JOURNEY TO JANNAH, itu misi kita!
sekian.
mfr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment