Bahagian 1 boleh dibaca di sini:
1. BO-DOH
Saya mengulang pendirian saya tentang - "bodoh", sepertimana yang saya telah tulis dalam tulisan lebih setahun yang lalu.
1. Tidak salah menjadi bodoh, asal saja kita orang bodoh yang berusaha memperbaiki kebodohan kita.
2. Jangan jadi bodoh sombong, yang menganggap kita telah tahu keadaan dan situasi sebenar sesuatu hal sehingga mengundang rasa lucu dan ketawa kita.
3. Tidak bijak dan tidak adil kita memanggil, "bodohnya kamu" pada orang yang bodoh sombong.
Pada perkara no.2 saya terlupa menambah suatu hal. Sepatutnya ia juga boleh dipanjangkan seperti ini:
"Jangan jadi bodoh sombong, yang menganggap kita telah tahu keadaan dan situasi sebenar sesuatu hal sehingga mengundang rasa lucu, ketawa atau amarah pada suatu hal itu."
Dalam bahagian 1, saya menceritakan betapa ada golongan yang tersangat-sangat yakin tidak wujud 'AIDS' pada kucing sehingga mereka terasa geli hati sampai ada yang berhajat untuk berguling ketawa pada wanita yang tersedu sedan menangisi nasib kucingnya yang menghadapi penyakit yang boleh membawa pada maut itu.
Pertama, mereka bodoh dalam hal 'AIDS' kucing, keduanya mereka bodoh dalam perasaan belas kasihan pada haiwan yang disayangi. Kedua-dua kebodohan itu cuba di'halal'kan (dibenarkan haq) dengan mula menambah-nambah cerita mengenai wanita itu membayangkan pula sifat 'sedu-sedan'nya adalah melampaui batas dan wajar digeli-geli hatikan. Memang usaha 'cover' atas tindakan kebodohan mereka itu sangat pelik dan menjelikkan, bolehkah orang yang melampaui batas diketawakan pula? Namun, kita juga tak wajar berasa amarah pada mereka yang bodoh sombong ini.
2. MELEMPIAS MARAH
Kadang kala saya memang cepat marah. Bukan kadang mungkin, tapi selalunya saya cepat marah. Orang selalu merasakan saya sepatutnya tidak berasa marah, tapi bersifat kasih sayang dan berlembut-lembut dengan manusia-manusia zalim ini. Saya tidak bersetuju hal itu, perasaan marah itu datang dari rasa kasih juga, sebab itu orang tidak faham mengapa saya jenis yang marah pada orang tapi tak suka menjauhkan diri dari orang yang saya marah.
Pada mereka, jika saya marah sepatutnya saya tak jenguk mereka, tak bertandang ke rumah mereka, tak menegur dan memberi salam pada mereka.
Kita tentunya marah pada setiap perlakuan zalim dan bukan si pelaku zalim. Namun untuk memaklumkan akan perlakuan itu suatu yang zalim, tentunya kita akan membantah, protes, dan mengajak si pelaku zalim meninggalkan kezalimannya dan jika boleh, dia berhenti zalim serta merta.
Rasa marah di sini adalah rasa marah dari iman. Seorang yang beriman tentunya terganggu tersangat-sangat dirinya akan kemungkaran yang berlaku, sehingga dia tak dapat nak mendiamkan diri apatah lagi tersenyum bangga dengan hasil karya kezaliman itu lalu membantahlah dia, proteslah dia akan kezaliman tersebut. Memang kita selalu peringatkan bantahnya kita, protesnya kita akan suatu kezaliman, mestilah dengan modus operandi membawa kezaliman kepada keadilan, dan bukannya dengan kita bantah secara zalim pula.
Saya membawakan sebuah cerita kali ini tentang seorang wanita yang pergi menemui seorang doktor kerana tangannya berbintil. Lalu si doktor membelek tangan wanita tersebut dan kemudian membuka baju si wanita, kemudian menggesel kemaluan wanita itu sambil berkata, "sedap kalau kahwin". Wanita itu terkedu tapi tak bertindak apa-apa. Doktor itu kemudiannya memakaikan baju wanita itu kembali satu persatu dan wanita itu pulang dengan penuh kesedihan dan trauma.
Kisah ini dikongsikan bersama dengan seorang doktor wanita yang disegani umum. Namun, datang si suami doktor itu mendengar dia akan kisah si wanita ini, lalu berasa marahlah dia. Bukan sangat pada si doktor lelaki yang bangsat katanya, tapi marah dia pada si wanita tadi. Alasannya, wanita itu tersangat naif sehingga tidak tahu diri sedang dizalimi oleh si doktor lelaki bangsat tadi. (Baca kisah lelaki bangsat a.k.a si jantan yang bangsat DI SINI).
Lalu, si suami doktor tadi telah bercerita pula kepada para temannya yang beratus jumlahnya. Maka seperti juga kisah kucing AIDS dahulu, teman-teman si suami doktor ini pun sibuklah berasa geram dan marah jua kepada si wanita tadi dengan alasan si wanita langsung tak ada common sense untuk bertindak melawan kezaliman.Apa itu common sense? Jika saya marah, saya tak gunakan istilah 'common sense', tapi menggunakan istilah 'logik'. Contohnya saya akan berkata, "Tak logik betul tindakan kamu!" untuk menggambarkan saya tak dapat menerima hal itu sebagai lumrah.
3. SIAPA YANG TAK LOGIK?
Demi mengelakkan orang menuduh saya menyerang mana-mana individu, saya gunakan tema "logik" untuk berkomentar akan isu wanita, doktor bangsat, dan amarah di atas. (Melainkan ada orang mahu me 'hakcipta' kan pula isu ini, orang lain tak boleh ulas, hatta di blog sendiri. Apa tak logik sungguh! Tadak common sense kah? Isu pun boleh dihakcipta?)
Selalunya hal-hal tak logik akan membuahkan sebuah lagi taraf istilah iaitu "gila". Dan memang suatu yang kita merasakan adalah gila, akan mencetuskan rasa marah kita pada kegilaan itu. Sampai ada orang yang marah itu sendiri naik gila.
Berbalik kepada isu wanita, doktor bangsat dan amarah tadi, yang mana satukah anda rasakan GILA?
A. Wanita
B. Doktor Bangsat
C. Marah pada doktor bangsat
D. Marah pada wanita
Orang yang merasakan wanita tadi gila, berhujah bahawa wanita itu membiarkan doktor itu menzaliminya. Doktor Bangsat dirasakan gila, kerana doktor itu buat kerja gila.Berasa marah pada doktor bangsat susah untuk dirasakan gila, kerana suatu yang tak gila akan merasakan suatu yang gila itu gila, tapi suatu yang gila juga tentunya tak merasakan suatu yang gila itu gila. Berasa marah pada wanita itu juga sama kesnya jika wanita tadi sudah dirasakan gila.
Saya cuba untuk tak jadi gila dalam memahami isu ini, maka perlu menilai dengan cara adil. Bukankah saya katakan orang bodoh sombong adalah yang berreaksi pada suatu hal yang mereka tak teliti dahulu keadaan dan situasinya.Maka di sini saya mengajak para pembaca meneliti isu ini dari keadaan dan situasinya, berdasarkan potensi-potensi sangka baik yang mendatangkan logik untuk kita fikirkan.
4. POTENSI DARI KRONOLOGI ISU
Kronologi isu di atas boleh diringkaskan sebagai berikut:
Wanita ke hospital-Doktor B merawat-Baju wanita dibuka-Gesel kemaluan-Cakap lucah-Baju wanita dipakaikan semula-Wanita sedih dan trauma-Dikongsi cerita-Suami doktor marah wanita-teman marah wanita
Mengapa wanita ke hospital?
-bintil di tangan
-mahu dirawat
-tidak tahu punca penyakit
-mahu sihat
Mengapa Doktor B merawat?
-wanita datang ke hospital
-kerjanya sebagai doktor
-wanita adalah pesakitnya
-punya tauliah merawat
- bekas pelajar perubatan
Mengapa Doktor B tanggal baju wanita?
-untuk melihat bintil di kawasan lain
Mengapa Doktor B menggesel kemaluan wanita?
-tak logik
Mengapa Doktor B cakap lucah?
-tak logik
Mengapa baju wanita dipakaikan semula?
-sebab sesi rawatan tamat
-untuk melindungi kembali aurat wanita
Mengapa wanita sedih dan trauma?
-telah diperlakukan secara gila oleh seorang doktor
Mengapa wanita berkongsi cerita?
-untuk menghilangkan rasa trauma
-untuk berkongsi rasa sedih
-untuk dapatkan semangat kembali
-untuk diberikan bantuan keadilan
Mengapa suami doktor marah wanita?
-wanita bertanyakan soalan tak logik ketika berkongsi cerita
-wanita kelihatan tak ada common sense dalam ceritanya
-wanita menghapuskan bukti untuk mengheret doktor ke muka pengadilan
Mengapa teman lain marah wanita?
-sama seperti di atas.
Ini salah satu contoh kaedah untuk menyusun pemikiran kita dalam memahami isu ini secara adil, dan tak menjadi bodoh sombong.
5. ANALISA DARI POTENSI
Dalam potensi dari kronologi isu di atas, kita mendapati ada 2 hal yang sangat tak logik telah dilakukan si Doktor Bangsat iaitu menggesel kemaluan dan bercakap lucah. Walaupun pada hemat saya, membuka baju wanita tersebut juga suatu yang tak logik, namun memikirkan doktor itu belajar perubatan dari pendidikan berorientasikan peperiksaan, maka logiklah prosedur gila dibuat untuk memeriksa bintil di badan perempuan. Apatah lagi ada sudut kebenaran dalam islam perihal aurat pesakit dan doktor dari ijtihad-ijtihad kontemporari.
Apabila 2 kerja gila telah dilakukan berturut-turut dalam suatu situasi, mengesahkan dan tak dapat lagi disangkal si Doktor Bangsat adalah watak gila dalam isu ini. Dia yang tak ada common sense dan tak logik. Adalah suatu yang normal kita marahkan perlakuan gila watak ini.
Namun, wanita di atas tidak dilihat sebagai gila kerana semua tindakannya ada potensi logik. Memarahi wanita ini secara semberono mungkin menjerumus kita pada bodoh sombong yang tak mahu memahami keadaan dan situasi sebenar.Adapun dua watak lagi iaitu suami doktor dan ratusan temannya itu juga ada potensi logik dari tindakan mereka,namun apabila dipadankan dengan potensi yang ada pada wanita, dua golongan yang memarahi wanita tadi mungkin juga berpotensi bodoh sombong dan tak ada common sense kerana tak menimbangkan logik yang ada pada diri wanita itu.
6. WANITA KAUM YANG WAJIB DILINDUNGI LELAKI
Asasnya isu di sini bukan bermula dari perlakuan gila sang Doktor Bangsat, namun ia berkenaan dengan persekitaran yang tak melindungi sang wanita sejak melangkah ke hospital lagi. Kita mungkin boleh menghantar si Bangsat Doktor tadi ke medan penghakiman lalu dihukumnya atas kerana kegilaan itu, namun apakah langkah kita membendung mana-mana aksi gila menghinggapi wanita-wanita islam kita di masa hadapan?
Sebenarnya bukan rahsia lagi, wanita mudah dikuasai oleh lelaki bangsat yang punya pengaruh ke atasnya. Bukan sahaja Doktor dengan Pesakit, malah selalu sangat kita mendengar bagaimana eksploitasi kelemahan wanita digunakan untuk menjalankan kerja-kerja gila yang hampir sama kebangsatannya pada Cikgu-Murid, Majikan-Pekerja, Bomoh-Pesakit, malah Bapa-Anak sekalipun. Kita marah pada si mangsa kerana membiarkan dirinya dimangsakan, namun kita lupa wanita ini lemah ketika tiada teman mahram yang menemani dan melindunginya. Kelemahan wanita ini sudah diakui umum, walaupun ada yang mendakwa wanita boleh dibentuk untuk melawan seakan lelaki, namun psikologi manusia itu tetap tidak sama.
Malah lelaki juga boleh mempunyai kelemahan yang sama dan sudah kita maklum akan berita-berita bagaimana pengaruh pihak luar bertindak bangsat gila kepada kaum lelaki yang tak mampu untuk melawan dan membantah.
Kita boleh menjalankan usaha membendung masalah ini dari berlaku pada kaum-kaum yang lemah dari diambil kesempatan oleh pembangsat-pembangsat yang melata di bumi dengan kita mengadakan persekitaran yang melindungi mereka. Keluar bersama mahram, berubat dengan doktor sama jantina, sering ditemani dan diawasi pelindung peribadi (mahram atau suami), menyediakan pengawal keselamatan dan perlindungan bagi wanita di tempat awam berpotensi dan banyak lagi persekitaran yang boleh kita laksanakan sekarang tanpa berlengah lagi.
Penyelesaian bagi masalah ini bukannya dengan menyuruh semua manusia mempunyai common sense atau logik akal yang sama, dan berasa pening-pening lalat apabila menjumpai ramainya manusia tidak punya common sense atau logik akal yang sama dengan kita. Itu suatu yang bodoh juga kategorinya. Kita kena menerima adanya golongan lemah, sebagaimana kita ketahui adanya si jahil ketika adanya si alim, adanya penjahat ketika adanya hero yang baik, adanya musuh ketika adanya teman.Menafikan hal ini termasuklah juga antara manusia-manusia bodoh sombong yang mendegilkan diri untuk berusaha memahami keadaan dan situasi sebenar.Akhirnya mereka berasa bingung dan pening kepala.
Lebih malang jika manusia bodoh sombong ini pendakwah.
7. PENDAKWAH BODOH SOMBONG YANG MARAH-MARAH
"Ish apa la depa ni, setiap kali aku bagi ceramah, mesti dapat cenderahati jam tangan! Rumah aku dah banyak jam tangan, depa tak tau kah? Bagi la sardin ke, pampers bayi ke, susu anak ke, petrol minyak ke, ada juga gunanya! Tak ada common sense langsung!" kata seorang pendakwah membebel.
"Ish ingat aku tak ada kerja lainkah selain bagi ceramah? sikit-sikit jemput ceramah, macam aku ni kuli depa ja! Pergilah tengok jadual aku tu, kan padat nak mampus aku berdakwah! Aku dakwah ni sampingan je, sukarela je, aku banyak lagi kerja lainlah! Common senselah sikit" bebelnya lagi.
"Ish tak akan nak rasa lazat bayar tol setiap kali nak bagi kuliah di surau tanpa ditampung serba sedikit oleh orang yang dengar kuliah? Common senselah sikit, pendakwah pun nak pakai duit juga untuk hidup. Habislah duit pendakwah kalau asyik korban semasa nak berdakwah!" bebel si bebel.
"Apalah tak ada common sense langsung budak-budak ni suruh aku tidur kat stor tilam. Bagilah kemudahan tempat tidur yang selesa sikit. Aku kan dah sudi bagi dakwah pada depa tengah-tengah malam buta ini!" bebellah lagi dan lagi.
"Apa semua orang muda tak ada common sense ke? Dah kena raba pun tak nak bagitahu polis! Pelik betul aku! Lemah betul nak bertindak! Geram aku grrrr.."
8. USAHA AGAMA MENGATASI KEBODOHAN
Hari ini tuan-tuan rasa ada berapa ramai orang Islam di Malaysia? Hari ini tuan-tuan rasa ada berapa banyak masjid di Malaysia? Adakah buruk sangat masjid , sampai orang tak lalu nak datang? Rasa-rasanya apabila sebuah masjid yang besar dan indah dengan dikelilingi rumah-rumah orang Islam beratus jumlahnya hanya dapat 4 orang solat subuh berjemaah sahaja, boleh dikatakan ada common sense tak masyarakat Islamnya?
Tuan-tuan rasa, apabila seorang penerbit berniat nak buat drama Islam berdakwah di bulan Ramadhan, telah menjemput seorang peguam berjiwa dakwah menulis skrip dan melantik beberapa penasihat syariah untuk memantau isi kandungan dakwah, mengadaptasi pula idea seorang ustaz pendakwah boleh membenarkan pelakon muslimahnya berlakon seksi mendedah aurat dalam drama itu? Rasa-rasa tuan ada common sense tak? Peminat-peminat pula menonton di waktu sahur untuk ambil ibrah, ada common sense tak?
Tuan-tuan rasa ramai orang Islam membanjiri masjid di bulan Ramadhan tapi sunyi di bulan lain, padahal di bulan Ramadhan mereka bekerja sama sibuk di bulan bukan Ramadhan, ada common sense tak?
Tuan-tuan rasa semua orang Islam mengaku sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, tapi tak semua memilih menjadi daie (pendakwah) walaupun berdakwah adalah wajib bagi setiap muslim, tapi hanya menyerah pada so called ustaz untuk berdakwah malah membayar sang ustaz upah untuk tolong berdakwah pada diri mereka. Ada common sense?
Banyak lagi saya nak sebutkan betapa tak adanya common sense kita pada kewajipan dan tanggungjawab serta keperluan kita sebagai hamba Allah dan umat Nabi Muhammad s.a.w yang inginkan taqwa ini.Tak ada common sense, maknanya tak logik, dan tak logik maknanya gila. Banyak lagi kegilaan yang bertebaran di muka bumi, dalam komuniti muslim sendiri.
Dulu Nabi dan para sahabat sibuk berkorban diri, harta dan masa untuk menjayakan dakwah islamiyah hingga tersebar ke seluruh dunia. Tapi hari ini kita sangat cerewet dalam berkorban hingga kelazatan berkorban, membelanja harta untuk menjayakan dakwah pun sudah hilang manisnya. Sampai nak minta orang tahu apa yang sudah banyak di rumah kita supaya tak perlu lagi diberikan saguhati yang serupa.Meminta-minta dilengkapkan keperluan diri, sampai nak mujahadah tidur di stor tilam pun satu benda yang terseksa dan payah.
Biasa kita dengar para pendakwah bermusafir tanpa alatan tilam pun. Dapat stor tilam memang cukup bersyukur, kiralah berapa banyak tilam ada di stor tilam.Kerja dakwah ini kerja utama para pendakwah. Sudahlah menjadi pendakwah syarat utama khaira ummah di kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w ini. Selain kerja dakwah itulah kerja sampingan, hanya dibuat sama ada untuk memenuhi keperluan atau sebagai pembantu dakwah tersebar sahaja.
Berdakwah sangat memerlukan dua kunci utama, mujahadah dan korban. Hilang dua perkara ini, kita tak akan berletih-letih berdakwah, tak akan dapat hakikat berdakwah, dakwah tak beri manfaat pada diri dan iman diri. Makin berdakwah tanpa mujahadah dan korban, makin kosong iman, makin banyak sifat mazmumah terserap, makin hairan kita dengan banyaknya manusia hilang common sense.Tapi kalau kita yakin dengan kerja dakwah, kita akan merasakan medan banyaknya manusia hilang common sense adalah ujian buat orang yang ada common sense untuk memperbaiki keadaan. Kita tak bingung tapi kita bangun dan bangkit, berjuang, berdakwah, dan terus berletih-letih hingga mati. Ya, halatuju kematian kita adalah kerja dakwah.
Jangan hairan dengan banyaknya perkara tak logik yang bertebaran di muka bumi sekarang. Jangan hairan apabila melihat Yahudi yang sedikit menguasai penguasa Muslim yang kaya dari membantu sauadar di Palestin. Jangan hairan apabila rumah Allah makin banyak dibina tapi umat Islam makin tak mahu datang dan rindu padanya. Jangan hairan apabila pendakwah berasa bingung orang lain tak ada common sense seperti dirinya. Semua kita jangan hairan, kerana Allah menjadikannya mempunyai sebab yang tuntas. Kita perlu yakin Allah ingin menguji kita untuk kita berusaha menghadapinya. Ya, ini persoalan persekitaran iman yang luput. Kita baiki dengan hadirkan kembali persekitaran itu.
Allah nak kita dakwah banyak lagi, supaya Allah bagi hidayah pada kaum-kaum yang melampau seperti Doktor Bangsat tadi. Memang dakwah ini , kita sebar dan tanamkan fikir pada semua umat Islam agar berfikir kembali seperti fikir Nabi dan para sahabat. Dan ketahuilah fikir Nabi itulah common sense yang paling logik! Hamba mestilah berTuhan!Insha Allah, persekitaran iman wujud, suasana agama menjelma, biah solehah terbina, muslimat kita tak akan sedih dan trauma lagi.
6 komentar:
salam bro
mohon kebenaran pautan laman blog bro masuk fb sy....
Salam,
Wanita vs doctor – saya sgt bersetuju kalau wanita tersebut perlu dimarah krn kebodohannya. Kalau saya jumpa doc. Wanita cakap sakit kepala tapi suruh bukak seluar nak check, mau kena pelempang agaknya. Sbb Allah bagi kita akal utk bezakan baik buruk. Anak saya yg masih kecil pun tau malu bila demam tapi doc suruh bukak seluar nak bagi masukkan ubat dalam bontot. Saya juga tidak akan berkata wanita tersebut jahil atau lemah sbb kalau begitu kenapa dia boleh bercerita dgn orang lain.
Bagi saya ada benda yg kita boleh samakan dgn zaman nabi, dan ada yg tak boleh. Sebagai contoh seorg pendakwah siangnya bekerja sebagai guru KAFA dgn gaji RM1,500 di KL malamnya memberi kuliah diluar daerah. Amatlah wajar pendakwah tersebut marah kerana tidak disediakan upah kerana dia juga perlukan wang utk bergerak, makan anak isteri, bayar rumah, kereta. Kalau duit gaji habis tuang petrol utk berdakwah, nak makan apa. Maka yg senang akan senang yg susah akan bertambah susah. Ekonomi islam tak maju lah. Mohon diampunkan Allah jika terdapat kesilapn
Saya juga tertarik dgn komen saudara tentang penasihat syariah dalam terbitan drama bercorak dakwah tapi membuka aurat. Saya ada mendengar tentang tadarruj. Bagi saya maybe ustaz tersebut gunakan konsep tadarruj. Sbb ape yg saya lihat mmg terlalu banyak drama yg takde mesej keislaman seperti cerita seram dan hanya sekadar hiburan semata2. Tetapi ape yg saya tahu tadarruj ini tidaklah menghalalkan yg haram. Ada hujah2 yg lain utk tadarruj. Pendapat saya saudara tidaklah boleh terus 100% menyalahkan penerbitan tersebut sbb ada panel syariah yg memantau yakni orang yg berkelayakan. Mungkin saudara tidak tahu kaedah yg diguna pakai oleh panel tersebut. Dan mungkin juga saudara mesti berjumpa beliau nyatakan pendapat saudara utk penambahbaikan daripada ulas di rumah anda yg boleh mengelirukan pembaca yg lain.
Ini adalah sekadar pandangan drpd saya yg lemah. Tidak bermaksud utk membangkang Cuma berkongsi pendapat sahaja.
salam saudara anoni,
1.saudara bersetuju wanita itu dimarah kerana kebodohannya.saya biasa dengan orang yang marah pada orang bodoh.zaman nabi dulu, orang bodoh badwi kencing di masjid, para sahabat radiyallahuanhum pun berasa marah.tapi nabi ajar jangan marah orang bodoh.maknanya jika sahabat boleh timbul rasa marah, maka saya anggap "berasa marah" adalah suatu yang logik yang timbul.
sebab itu saya menulis:
"Adapun dua watak lagi iaitu suami doktor dan ratusan temannya itu juga ada potensi logik dari tindakan mereka.."
saya merasakan "timbulnya marah" tadi adalah normal, logik, dan suatu yang common (common sense).mengambil dari kisah para sahabat yang timbul rasa marah pada badwi juga bukanlah nafsu, tapi iman jua.
NAMUN,
saya menulis juga:
"wanita di atas tidak dilihat sebagai gila kerana semua tindakannya ada potensi logik. Memarahi wanita ini secara semberono mungkin menjerumus kita pada bodoh sombong yang tak mahu memahami keadaan dan situasi sebenar."
ini bersesuaian dengan tindakan nabi yang menegah para sahabat dari memarahi si badwi, kerana nabi tidak mahu rasa marah menghasilkan tindakan semberono yang menafikan si badwi mungkin logik seorang yang jahil.
saya menulis juga,
"dua golongan yang memarahi wanita tadi mungkin juga berpotensi bodoh sombong dan tak ada common sense kerana tak menimbangkan logik yang ada pada diri wanita itu."
saya kira sifat sahabat yang akur pada tegahan nabi untuk memarahi si jahil,menunjukkan mereka tidak bodoh sombong (malah sahabat bukan bersifat bodoh sombong).saya menganggap orang yang tak mahu mengambil kira keadaan dan situasi seseorang yang diMANGSAkan, malah menghukum MANGSA lebih dari PEMANGSA adalah bodoh sombong.itu yang saya ingin tekankan.
Apatah lagi bukti banyak menunjukkan kaum perempuan mudah terbelenggu dengan rasa serba salah untuk bertindak apabila menjadi MANGSA.Hal ini adalah fitrah wanita itu sendiri yang lemah apabila dilingkungi PENGARUH yang kuat. Sebab itulah banyak negara menguatkuasakan perlindungan sexual harassment yang dilakukan pada wanita.
anda fikir mengapa sexual harassment terjadi? itu bukti kebanyakan wanita mudah diMANGSAkan apabila situasi menekan mereka.akhirnya saluran-saluran aduan disediakan supaya memotivasi wanita yang lemah tadi untuk mengadu.maka semua orang maklum hal ini, kecuali golongan bodoh sombong. mereka menganggap semua wanita difitrahkan kuat dan berani walaupun berada dalam PENGARUH yang kuat.mereka cuba menafikan suatu yang "common" yang ber"potensi" berlaku pada wanita.
sila buat kajian lanjut berkenaan dakwaan saya ini.
2.Berkenaan dengan pendakwah yang mengambil upah,saya tak peduli alasan mereka kerana saya tidak langsung mengharamkan upah-upah yang mereka dapat.orang dah bagi, ambil je lah. makan dan hidup baik-baik.
namun saya tak setuju kenyataan anda jika anda bermaksud pendakwah tadi berdakwah untuk mencari rezeki.maka kononnya logik jika dia bising-bising tidak diberikan kemudahan selepas berkhidmat berdakwah untuk masyarakat.itu sifat yang sangat keji bagi seorang daie.
saya tak kenal anda, berapa lama anda sudah bergelut dengan jalan-jalan dakwah, saya tak tahu. anda berpotensi bukan orang yang faham mengenai kewajipan berdakwah.
saya bukan guru kafa, saya tak ambil upah berdakwah, adakah saya tak perlu berdakwah? sebab orang tak bagi saya upah ke atas masa yang saya korbankan dalam hidup saya sebagai pendakwah? zaman berubah macam mana pun, dakwah adalah wajib sebagaimana solat adalah wajib. kenapa tak diberi upah pada orang yang tinggal jauh dari masjid yang terpaksa guna petrol untuk menyertai sekurang-kurangnya solat subuh dan isha berjemaah? sila jawab. atau sudah ada yang terima upah sebab menunaikan solat dalam keadaan sebegitu?
jika solat tak diberi upah, adakah berdakwah patut diberi upah? tak patut, sebab itu adalah kewajipan. ada upah atau tidak, saya dan anda perlu korbankan rezeki yang Allah kurniakan sebahagiannya ke jalan Allah untuk berdakwah.
jika anda ambil upah sebab anda nak makan dan hidup, itu saya tak ada masalah dengannya dan langsung tak nak peduli hujahnya.tapi jika anda ambil upah kerana dakwah anda, itu saya sangat bermasalah dengan anda.
3.Berkenaan tadarruj sudah saya perkatakan lama dahulu:
TADARRUJ DALAM FILEM ISLAMIK (KLIK)
sekian pandangan saya yang lemah ini.
Salam ramadan, kalau ada masa bacalah artikel abu saif berkenaan dusta terhadap nabi,saya sangat ingin membaca kupasan MFR terhadap isu tersebut mesti menarik.
Post a Comment