|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH



SIFAT DAKWAH


Saya diajar tentang 3 sifat dakwah Rasulullah s.a.w iaitu:

1) Dakwah baginda mengajak manusia kepada membesarkan Allah s.w.t
2) Dakwah baginda mendatangi manusia, bukan menunggu manusia mendatangi baginda
3) Dakwah baginda digerakkan dengan korban dari diri sendiri, bukan mengharap orang berkorban untuk baginda

Saya mendapati berdakwah melalui blog punya 3 kelemahan sekurang-kurangnya iaitu:

1) Dakwah hanya dari tulisan maya yang lahir dari jari jemari, belum cukup mencabar lahir dari hati,lidah dan anggota yang beriman.

Buktinya, saya pernah bertemu dengan sang pelayar maya, yang berbicara sopan dan warak di satu forum maya, tapi berbicara lucah, keji dan biadab terhadap Allah s.w.t dan Rasul di forum yang lain.

Malah, ada juga daie maya yang menulis perihal sabar dan tawaduk dalam entri blognya, tetapi bersifat celaka dan keparat apabila mudah prejudis, termakan fitnah penyokong taksub blognya yang membatu api, sombong angkuh dan tak segan silu menghina pengomen blognya sebagai "sakit mental", "sick", "biadab", "kencing" atau menyindir-nyindir peribadi pengomen dan sebagainya hanya kerana pengomennya ada pendapat sendiri atau kurang memahami entri blognya.

2) Tulisan yang terpapar hanya terhidang menunggu pelayar maya membacanya, belum tentu dapat mendatangi manusia.

Walaupun ada manusia-manusia yang sudi berkhidmat dan sukarela untuk copy paste dan menyebarkan tulisannya dengan cara "forward" kepada orang lain, namun daie-daie maya tetap meminta agar sebarang sebaran disertakan sumber blognya, maka usaha penyebaran akhirnya mengharap orang mendatangi dirinya juga bukan mendatangi orang.

Kebanyakan orang yang mendatangi selalunya memang orang yang mencari agama atau yang sudah ingat kepada agama. Maka daie tetap tidak mendatangi orang yang lalai dan sesat yang jauh dari agama dari mengingati agama. Khususnya orang muda sesat yang malas membaca yang wajar diselamatkan kerana memang tidak terlintas untuk berfikir tentang agama.

3) Bukan semua orang ada internet atau depan monitor, apatah lagi manusia yang lalai dengan dunia.

Internet mungkin akses yang semakin global, tapi belum semua punya internet. Jikapun ada internet, belum semua duduk dalam ruang lingkup yang boleh diakses oleh tulisan dakwah. Jika seseorang itu hanya duduk dalam pelayaran internet dengan kata-kata kunci yang tak mungkin membawanya kepada tulisan dakwah. Apatah lagi jika seseorang itu menggunakan internet untuk chatting dan berhubung mesej dan kebetulan manusia yang dihubungi semuanya kepala-kepala syaitan.

Orang-orang yang sibuk dengan urusan dunia juga, ramai yang tak berminat dengan dunia maya kerana mereka sudah lazat dengan dunia realiti yang lebih mengasyikkan dan nyata jelas kelazatan kesyaitanannya. Kita juga boleh bayangkan pemuda pemudi yang menghisap dadah, seks bebas dan mabuk sentiasa tak akan ada kemahuan untuk duduk bertenang melayari internet yang hanya menggunakan otot jari menaip dan mengklik. Bukan semua juga manusia yang ada masa panjang untuk duduk depan monitor, malah bukan sifat manusia normal yang hanya hidup dengan monitor. Apatah lagi manusia normal perlukan mandi, makan, tidur, tandas dan keluarga.

SHARING IS CARING

Benar, tulisan di blog boleh dianggap perkongsian. Kita hanya berkongsi sesuatu yang kita ada untuk manfaat diri dan orang lain. Ada orang yang ada ilmu, maka mereka berkongsi ilmu mereka. Ada orang yang ada bakat, maka mereka kongsi bakat mereka. Ada orang yang ada pengalaman, maka mereka kongsi pengalaman mereka. Ada orang dapat kegembiraan, mereka kongsi kegembiraan mereka. Ada orang mendapat kesedihan, mereka kongsi kesedihan mereka. Ada orang mendapat pengajaran dan tauladan, mereka kongsi pengajaran dan tauladan itu. Ada orang mendapat hidayah, mereka kongsi hidayah itu.

Saya tak menafikan ada orang yang ada harta dan kemahuan,ada pula yang ada barang dan tawaran maka mereka kongsikan harta dan kemahuan mereka dengan berurusniaga bersama peniaga-peniaga maya. Saya tak menolak perniagaan internet sebagai suatu jalan yang menguntungkan, jimat, malah memudahkan. Saya juga membeli stok-stok barang halal untuk Halal Shop Gofuku Musolla dengan berurusniaga dalam internet. Apatah lagi jualan yang dilakukan adalah barang-barang keperluan umat dan ada pula barang dakwah seperti kitab agama mahupun bahan-bahan dakwah.

Saya lebih tertarik untuk menonjolkan internet sebagai zon perkongsian. Manusia berkongsi apa yang mereka ada, apatah lagi apabila perkongsian itu percuma. Benar, strategi menghapuskan kapitalis dunia adalah apabila dunia mula bergerak kepada zon perkongsian percuma. Kapitalis akan hancur, di mana dunia tidak lagi berurusan berteraskan wang ringgit tetapi berteraskan kasih sayang untuk berkongsi. Saya lihat kitab-kitab agama yang dulunya perlu dibeli dengan suatu harga kini hanya boleh didapati dengan mendownload. Apa yang mengujakan ialah perkongsian ini tak pernah mengurangkan 'stok' yang ada. Ia boleh tersebar dan ia boleh berganda jumlahnya tanpa kos yang mahal, hanya klik dan klik. Saya fikir medium internet peluang terbesar untuk cita-cita sejak kecil saya menghapuskan kapitalis suatu hari nanti.

Saya tertarik dengan laman Ireans yang diusahakan oleh sahabat saya. Walaupun laman itu bukanlah suatu laman yang tepat untuk mengingati Allah kerana laman web itu mengumpul lagu-lagu yang banyak boleh melalaikan jiwa, tetapi slogan Ireans "Sharing Is Caring" itu benar-benar menerjemahkan prinsipnya hanya untuk berkongsi apabila saya lihat tiada iklan internet atau permintaan derma yang diutarakan. Tidak tahulah jika di masa hadapan mereka juga terdesak dan memerlukan wang. Tapi saya terfikir kenapa sahabat saya dan gengnya sudi untuk berbelanja besar untuk server hanya untuk berkongsi lagu-lagu khususnya lagu melayu dan indonesia di situ. Jumlah ahli mereka meningkat mendadak, dan saya merasakan Ireans telah memenangi tempat teratas dalam mengumpul ahli teramai mengatasi laman Jiwang, Malaysiakini, Tranungkite, mahupun mana-mana laman malaysia lain.

Kisah Ireans yang low profile tapi masyhur mendadak itu akhirnya berhenti seketika operasi mereka disebabkan amaran saman oleh pemilik server dan amaran dari pengusaha industri hiburan Malaysia. Baguslah jika operasi mereka terhentipun, tak ada ruginya tak dapat lagu percuma. Tapi bagus juga adanya Ireans kerana industri hedonisme dah mula nak lingkup.

KORBAN

Sifat korbanlah ditekankan kepada saya apabila saya bermusafir dalam jemaah dakwah.

"Hanya apabila kita berkorban, barulah kita menghargai"

Saya tak akan lupa kebenaran kata-kata itu kerana saya merasainya dan melihat bukti nyata dan jelas di hadapan saya. Setiap manusia yang berkorban ke arah sesuatu akhirnya dia akan menghargai dan tahu menilai apa yang diusahakannya.

Seorang manusia yang berkorban untuk tidak makan dan pakai mewah untuk menyimpan wang demi membeli rumah atau kereta akan menghargai rumah dan keretanya apabila berjaya mendapatkannya. Dia tahu nilai rumah dan kereta itu bukan sekadar wang ringgit yang dia belanjakan tetapi usaha penat dan lelah dia menyimpan wang.

Seorang manusia yang berkorban apa sahaja untuk mengahwini kekasih hatinya, pastilah akan menghargai kekasihnya itu kerana dia tahu untuk mendapatkan kekasihnya itu bukan semudah petik jari dan kata-kata manis sahaja. Wang ringgit dan masa yang dia korbankan sahaja sudah begitu banyak, apatah lagi susah payah dalam menghadapi cabaran-cabaran memikat hati kekasihnya.

Tapi demi hidayah dan redha Allah, apalah sangat wang ringgit, masa, dan diri yang tak berharga ini untuk dikorbankan. Sebab itu sahabat-sahabat Nabi tak berkira untuk dihiris, ditoreh, dilibas dengan pedang dan panah musuh ketika berperang. Apalah sangat kulit yang terhiris dan luka perit untuk dapat kecintaan Allah, apatah lagi jika melayang nyawa di jalan Allah dijanjikan ganjaran besar tak terhingga oleh Allah sebagai syuhada.

Saya menghargai agama Islam yang saya anuti dan terasa kelazatan hidayah Allah apabila saya telah berkorban harta, masa dan diri saya untuk berdakwah di jalan Allah. Berdakwah di sini saya rujukkan kepada 3 sifat dakwah Nabi yang diajarkan kepada saya, mengajak manusia membesarkan Allah s.w.t, mendatangi manusia, dan berkorban dari diri sendiri bukan meminta orang korbankan untuk saya. Saya tak hairan bagaimana nabi yang bernikah dengan Khadijah yang kaya raya boleh wafat dalam keadaan tidak berharta kerana baginda telah korbankan semuanya untuk agama Allah. Benar, manusia tak sedar harta tak bawa mati, tapi iman dan amallah pendamping hingga mati dan ketika bertemu Allah di hari penghisaban.

Apa yang saya hairan, ada daie-daie blog yang sanggup berdakwah sambil mengumpul harta. Makin lama berdakwah, makin besar rumah. Makin lama berdakwah, makin besar perut. Makin lama berdakwah, makin kaya raya. Makin lama berdakwah, makin kurang ajar sikap angkuh sombong. Makin lama berdakwah, makin hilang seri wajah, makin komersial dan sial dakwah, makin kapitalis sifatnya. Sharing Is Caring bukan lagi tema untuk diri berkorban untuk orang, tapi meminta orang menanggung korban kerjanya. Hasilnya dia tak lagi berdakwah untuk kasih sayang, tapi untuk menunjukkan dirinya yang betul dan sempurna, memberi tetapi menghina. Saya tak akan lupa sifat terkutuk ini yang terjadi pada diri saya sendiri. Saya tak akan lupa bagaimana kejinya manusia yang kononnya memberi tapi mengherdik sesudah memberi. Malah yang paling keji, dia juga penerima kerana setiap yang klik webnya telah memberinya ongkos untuk dakwahnya secara tak langsung. Siapakah yang paling keji dari orang yang mengherdik sesudah menerima.

KASIH SAYANG

Saya tak akan lupa sifat-sifat orang yang menjual kasih sayang hanya dalam tulisan bukan peribadi dan jiwanya. Saya anggap mereka pendusta nyata dan kewujudan mereka dalam internet begitu berleluasa.

Mereka sebut mereka cinta Sunnah, tapi kejian dan makian mereka tak menunjukkan mereka cintakan Sunnah. Mereka dakwa diri saya ini memang sesuai untuk dikeji dan dimaki, padahal alasan mereka hanya kerana tidak bersetuju dengan idea dan pandangan diri saya. Padahal ada saja orang yang membenarkan pandangan dan idea saya di sudut yang lain. Jikapun memang hakikat pandangan dan idea saya sesat melarat, boleh sahaja mereka tunjukkan jalan sebenar. Bukankah sunnah Nabi itu mengajak dan mengajar , bukan mengeji dan memaki. Kecualilah saya ini musuh Islam yang menentang Allah dan Rasul.

Jiwa Rasulullah mencintai umatnya adalah pakej yang perlu ada pada daie. Saya tahu diri saya juga suka membenci manusia lain, terutama manusia yang menghina maruah dan peribadi saya. Tapi saya tak mahu sifat membenci itu menular dan memakan jiwa saya akhirnya kerana Nabi lebih banyak dihina dan dicerca peribadi baginda, tapi jelas baginda tetap berkelakuan baik pada umat yang mencerca dan menghina peribadi baginda.

Saya rasa pengalaman dakwah Toif sangat signifikan. Dulu saya berasa hairan kenapa mesti Nabi ke Toif untuk berdakwah, rupanya Allah menyusun pengajaran dan tauladan yang sangat berguna yang ditunjukkan Nabi untuk umat akhir zaman mewarisi kerja dakwah baginda. Penduduk Toif bukan saja mencerca, tapi menyakiti Nabi. Nabi ditawarkan untuk diberi balasan azab pada penduduk Toif, tapi Nabi menolak. Apa yang Nabi lakukan adalah doa memohon kekuatan. Nabi doa, mengadu perihal kelemahan diri bukan mengadudomba kejahatan orang. Nabi memohon ampun disebabkan kelemahan berdakwah, bukan memohon azab dan seksa buat kejahatan penduduk Toif. Saya tak akan lupa suritauladan Nabi yang terbaik ini untuk diserapkan dalam diri untuk benar-benar menjadi daie. Benar, saya tahu betapa seksanya dihina.

Tapi manusia yang menghina tak pernah tahu perkara ini. Mereka rasa diri mulia, hingga tak segan silu menghina peribadi orang dan menjatuh serta memalukan maruah diri orang. Apalagi jika daie blog yang menghina itu punya 3 sifat yang bertentangan dengan dakwah Nabi:

1) Dakwahnya membesarkan dirinya dengan suka bercerita hal pengalaman diri dan keluarganya yang maha sempurna yang langsung tak ada cacat cela hingga ramai akhirnya memilih memujanya selepas habis membaca dakwah blognya.

2) Dakwahnya menunggu orang mendatanginya samada menunggu orang ke blognya, dan bukan main lagi memberi amaran pada sesiapa yang menyebarkan tulisannya tanpa meletakkan link blognya kerana mahu kredit diberikan kepadanya. Sedang daie sebenar sering mengajak memberikan kredit kepada Allah dengan berkata "semua yang baik datang dari Allah". Walaupun daie blog juga kadangkala terlibat dengan aktiviti realiti seperti sesi ceramah, kuliah atau kem dakwah, tetapi dia meletakkan borang untuk diisi oleh orang. Dakwahnya meminta orang mengajaknya mendatangi tetap juga bukan mendatangi orang dalam erti kata sebenar.

3) Dakwahnya meminta derma dari orang. Ongkosnya berdakwah samada duit minyaknya, duit perjalanannya, duit tolnya kadangkala dibising-bisingkan dan meminta orang prihatin untuk meringankan bebannya berdakwah. Lalu dia bukan lagi berdakwah kerana dia perlukan dakwah untuk tunjuk pengorbanan, tetapi dia perlukan orang untuk tunjukkan pengorbanan untuk memerlukan dia berdakwah. Jika orang beri hadiah itu cerita lain, tapi jika dirinya pernah bising pasal ongkos malah mempersoalkan kelazatan berkorban duit minyak di jalan dakwah, bukanlah jiwa berdakwah namanya.

PENGALAMAN BERSAMA USTAZ KAMARUDIN KASSIM & PROF DR SIDEK BABA

Saya tak akan lupakan dua tokoh ini yang sangat-sangat meresap jiwa saya akan peribadi dan jiwa daie dan murabbi yang ada pada mereka. Mereka adalah antara dua orang dari enam tokoh yang saya datangi tahun 2008 untuk mengutip sedikit pengalaman dan ilmu mereka. Ya, daie itu mendatangi, penuntut ilmu juga wajar mendatangi guru.

Ustaz Kamarudin menawarkan saya pengalaman "Dakwah Lapangan" yang tidak ada bezanya dengan 3 sifat dakwah nabi yang diajarkan ketika saya mengikuti Safar bersama Jamaah Dakwah.

Malah Dakwah Lapangan Ustaz Kamarudin berjaya buat hati saya teresak akan tidak perihatinnya saya selama ini kepada adik-adik dan generasi muda yang terjebak dalam kancah gelap dan tak mampu keluar dari kawah dosa melaung-laung meminta diselamatkan walau tiada yang kisah.

kredit pada RausyanFikir

Ustaz Kamarudin mendatangi remaja-remaja seawal umur 13 tahun yang terbiar hidup dengan gam, dadah, seks dan arak di lorong-lorong kusam belakang bangunan yang langsung tidak dihiraukan masyarakat apatah lagi pemimpin politik kepartian yang gila. Bilangan remaja ini bertambah, tapi langsung tidak ada sesiapa untuk menyelamatkan mereka, bukan saja selamatkan untuk mereka hidup bersih dari kancah gelap itu, tapi aqidah dan aset umat yang berharga ini telah terkorban begitu saja. Ustaz Kamarudin mengajak kepada agama dan Allah, perjalanan dakwah lapangannya tak meminta derma dari orang tapi beliau mengorbankan hartanya sendiri walaupun hakikatnya beliau ada isteri dan anak-anak yang perlu diberi makan juga.

Saya tak nampak betapa perlu umat mencari harta yang banyak, bukan untuk dikumpul untuk tembolok isteri dan anak-anak yang besar mana sangat nak diisi tetapi harta yang banyak dapat menggerakkan kerja dakwah yang lebih kuat dan berterusan. Ustaz Kamarudin kelihatan di wajahnya betapa beliau punya kemahuan yang tinggi untuk berkorban lebih lagi, tetapi rezeki beliau tak banyak mana. Ertinya, harapan beliau agar lebih ramai lagi sedar betapa perlu berkorban harta dan diri untuk dakwah di jalan Allah ini. Beliau tak mahu wang jika hanya beliau saja yang bergerak, sedangkan di Malaysia ada ramai so called daie, mengapa tak turun ke lapangan. Apatah lagi daie yang mahu keselesaan saja, dakwah dengan pelajar-pelajar celik ilmu,dakwah ke oversea, naik kapal terbang dan duduk macam VIP sedangkan anak-anak muda di tanah sendiri di belakang-belakang bangunan minta diselamatkan tak dihirau.

Saya juga tak lupa pada sifat kasih sayang murabbi sejati yang ditunjukkan oleh Prof Dr Sidek Baba yang selesa dipanggil Cikgu Sidek saja. Bukan saja beliau tawaduk merendah diri ilmunya yang tinggi hanya suka dipanggil cikgu, malah beliau merendahkan dirinya di depan saya yang muda dari beliau berpuluh tahun, dan saya yang hingusan ilmunya, disambut dengan penuh kemesraan padahal baru bertemu saya buat kali pertama.
Cikgu Sidek(berdiri 2 dari kanan) ketika menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul tahun ini

Ketika saya ke rumah beliau, beliau hanya berbaju sederhana, cakapnya cukup sopan dan mesra buat saya jatuh hati pada peribadi beliau. Bukan saja ayat-ayat tulisannya menggugah jiwa, malah percakapannya juga konsisten seperti yang ditulisnya, maka saya tahu beliau menulis memang dari hati. Beliau melayan saya seperti saya ini tetamu besar, seperti setaraf dengan beliau padahal saya yang hina dan hingusan hanya seorang budak muda berdosa yang menagih ilmu dan jalan kebenaran.

Ketika saya memberi pandangan atau pendapat, beliau mendengar dan menghargai idea saya malah cukup santun hingga saya seolah-olah dilayan seperti pemikir besar, padahal saya sendiri tahu idea dan pendapat saya picisan yang boleh dikutip di tepi jalan saja. Hal itu buat saya rasa terharu dan rasa ingin menangis keinsafan, hanya layanan itu saja buat saya rasa betapa saya sudah didakwah beliau akan akhlak islam sebenar. Saya tak hairan bagaimana di zaman Rasulullah s.a.w boleh ada orang yang mengucap kalimah syahadah hanya apabila melihat wajah nabi atau dilayan nabi. Benar, akhlak islam dakwah paling agung. Saya benar-benar mahu mencontohi sifat Cikgu Sidek untuk belajar sifat Nabi s.a.w. Tapi saya tahu perjalanan saya jauh kerana hati saya kotor, keras dan hitam.

PENUTUP

Ustaz Kamarudin dan Cikgu Sidek dua tokoh yang mengajar saya erti sebenar korban dan cinta. Dua pakej yang ada dalam dakwah Nabi s.a.w. Kita perlu sedar umat akhir zaman ini wajib berdakwah. Kewajipannya sama seperti kewajipan solat 5 waktu. Haram ditinggalkan, dan mesti dilaksanakan semampu daya hingga mati. JIka solat 5 waktu wajib dilaksanakan juga walau hanya mampu berbaring atau mengelip mata, maka dakwah juga wajib dilaksanakan walau sesusah mana kita, walau sebodoh mana kita, sekurang-kurangnya kita ingatkan kepada Allah dengan menyebut kalimah La ilaha illAllah, atau dengan akhlak yang baik.

Nabi sudah tiada, nabi tak akan lagi diutuskan lagi selepas ini, kitalah mewarisi amanah dakwah untuk manusia. Jika semua berhenti kerja dakwah, apakah anda fikir manusia akan ingat pada Allah? Kalau dulu semasa Allah mengutuskan nabi berkali-kalipun, manusia mudah kembali lupa dan lupa. Sebab itu selalulah beri peringatan kerana kita akan selalu lupa, dan sesungguhnya peringatan itu benar-benar bermanfaat untuk orang beriman. Sebab orang beriman takut jadi orang lupa, maka ingatkanlah saya ini.

Wallahua'lam.

10 komentar:

pali said...

salams.

SETUJU!!

satu pandangan peribadi yang sangat baik. Terima kasih atas perkongsian. memang menginsafkan.

Menulis blog juga ibarat memuhasabah diri. Pembinaan blog juga mesti seiring dengan pembinaan hati, dan praktikaliti.

Jika hanya jari jemari yang rancak menari di pentas keyboard tanpa keikhlasan dari hati, @ sekadar menunjuk bahawa diri ini ingin "mengajar" tapi tak sedia "di ajar". Itu menunjukkan ada penyakit hati.

Jika jari jemari ini sahaja bijak berbicara, sememangnya ia akan di pertanggungjawabkan oleh Allah di Akhirat kelak. Allah telah beri amaran dalam surah As Soff, ayat 2.
(anta lagi maklum:D)

Berbincanglah, dengan saudara seagama dengan cara yang paling baik. Nabi Muhammad SAW juga jika melihat sati kesalahan, saya yakin saudara lebih maklum bagaimana tindakan baginda. Di perjelas satu persatu di belakang orang, kerana kita manusia, setiap satu ada maruahnya.

Berakhlaklah dengan saudara seagama sebagaimana kita ingin berakhlak dengan kita.

Saya setuju dengan penulisan saudara. Memang, ada orang yang sebegitu. Dulu pun pernah begitu. Saya anggap ini muhasabah bersama. :D

ps: biar yang membaca itu tahu yang menulis itu manusia, bukan malaikat.

-anak murid tumpang belajar-

salam persahabatan dari saya. :D

Anonymous said...

assalamualaikum..

menarik entri ni..tp pada pendapat sy xada salahnya berdakwah melalui blog.apa yg saudara buat ini juga adalah satu dakwah bukan?menulis dlm blog supaya semua org dpt baca.mmg btl dakwah melalui blog ni mungkin xdpt mencapai anak2 muda yg sedang hanyut dlm syurga dunia..mmg btl ada ramai daie yg dakwahnya pada pelajar oversea, pd pelajar yg celik ilmu, seolah2 mengabaikan anak2 muda di negara sendiri..tp bukankah dakwah itu perlukan strategi?memberi sedar mereka yg celik ilmu itu adalah satu strategi bukan?supaya mereka2 ini apabila pulang berkhidmat dlm negara dpt mengaplikasikan islam itu dlm sistem negara-ekonomi, perubatan dll..anak2 di malaysia bukan diabaikan, tp menunggu giliran utk ditarbiyah..andai dakwah itu tiada strategi, mungkinkah tercapai cita2 kita? cuba singkap kembali sejarah Nabi Muhammad SAW..selama 13thn baginda hanya berdakwah di mekah sedangkan pd zaman itu juga wujudnya empayar2 rom & parsi.tp baginda tidak pernah menyebarkan islam ke sana.adakah baginda mengabaikan mrk?tidak bukan?itulah strategi baginda, mengumpulkan dan mentarbiyah para sahabat supaya mereka inilah yg akan menyebarkan islam slps kewafatannya..dan strategi itu berjaya kan?
hmmm...rsnye xperlu sy panjang2kan lg..maaf kalu sy tersalah..itu cuma pendapat sy yg br setahun jagung.apa yg penting adalah kita yg sama2 mahu berdakwah ini tidak menuding jari kepada mana2 pihak-kau salah aku betul.yg penting kita semua bergerak utk mencapai matlamat yg satu-mengembalikan islam ke dlm hati2 manusia yg semakin lalai & semakin jauh drNya..matlamat dakwah itu satu tetapi wasilahya pelbagai bukan?kalaupun wasilah yg mrk gunakan itu nmpak pincang di mata kita tp sekurang2nya mrk tdk bergoyang kaki xbergerak menyebarkan ad deen ini..

mfrstudio said...

waalaikummussalam buat yang mengomen.

saya harap saudara-saudara semua tahu cara mengomen di blog-blog saya samada blog puisi, blog lukisan, blog cerpen atau blog tulisan saya.

mungkin sudah lama ingatan ini saya berikan, tapi saya ulang semula kerana sudah bertahun,saya percaya rata-rata yang mengomen blog saya bukan pembaca lama, tetapi baru.

1.apabila anda bersetuju dengan saya, anda seharusnya senyap. anda angguk, ambil manfaat,amalkan dan pergi sebarkan supaya ia menjadi ilmu bermanfaat dan amal jariah yang boleh dibawa mati.jangan beri apa-apa kredit pada saya atau menyebut nama saya pada orang lain, cuma doakan saja saya.

2.anda sewajarnya hanya menambah poin yang anda rasa perlu ditekankan kembali atau poin tambahan dari pandangan saudara sahaja terutama yang anda tidak setuju. hanya dengan cara itu komen akan buat tulisan ini berkembang dan luas.

3.kurangkan pujian seperti "tulisan yang baik", "pandangan yang baik",dan sebagainya, ia tak membantu saya malah merosakkan saya.

4.banyakkan kutukan dan kejian jika anda rasa saya perlu dikeji dan dikutuk.semoga kejian dan kutukan anda buat saya lebih tabah dan akan menakutkan orang lain bersifat keji kerana akan dikutuk sama.

5.banyakkan mengingatkan diri saya dan mengajar saya, bayangkan saya ini budak berumur 5 tahun yang hingusnya meleleh dan nakalnya bukan sebarang.

saya harap siapa-siapa yang nak mengomen entri-entri saya di blog diari ini dapat mengambil pot apa yang saya sebutkan di atas. InsyaAllah dengan itu, saya akan approvekan komen anda tanpa saya mereply apa yang anda sebutkan. prinsip saya, apa yang anda kata adalah 200% benar terhadap saya, sedangkan apa yang saya kata semuanya adalah sangkaan saya yang 200% meleset sama sekali.

terima kasih buat yang mengomen.

alprazolam said...

assalamualaikum wbt.

saya tertarik dengan entri saudara.

saya percaya banyak point yang saudara mahu utarakan. walaubagaimanapun,pada pandangan saya isi yang berlapis-lapis dan melompat-lompat dan ada ketika tidak significant dengan tajuk bisa mengundang kekaburan akan FOKUS sebenar entri saudara.

Di samping itu, ada beberapa ayat yang saya rasakan agak keras digunapakai walaupun saudara setuju akan KONSEP DAKWAH SECARA BERHIKMAH.

mohon pencerahan untuk menyuluh kekaburan.

SATU QUOTE dari tulisan saudara

Apa yang saya hairan, ada daie-daie blog yang sanggup berdakwah sambil mengumpul harta. Makin lama berdakwah, makin besar rumah. Makin lama berdakwah, makin besar perut. Makin lama berdakwah, makin kaya raya. Makin lama berdakwah, makin kurang ajar sikap angkuh sombong. Makin lama berdakwah, makin hilang seri wajah, makin komersial dan sial dakwah, makin kapitalis sifatnya.

sedikit sebanyak ia mengganggu mood untuk meneruskan pembacaaan lantaran ayat2 ini lebih bersikap buruk sangka terhadap orang yang berdakwah.walaupun ia mungkin ditujukan untuk segelintir yang individu. namun kesan penulisan sebegini kepada pembaca membuatkan input sebenar tidak sampai.

dan menambah kekeliruan akan ke mana sebenarnya FOKUS artikel ini.


*kalau tidak salah kefahaman saya,, saudara tidak mahu blog saudara dikatakan zon dakwah, sebaliknya sekadar zon pengkongsian.Benar?

mfrstudio said...

waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, alprazolam.

1) ayat mengganggu mood

terima kasih atas luahan saudara berkenaan ayat entri saya. benar sekali apa yang saudara sebutkan, ayat yang saudara quote kan itu sememangnya ditaip untuk mengganggu. ini dinamakan seni provokatif sarkastik, yang saya belajar kaedah seni ini dari Faisal Tehrani.

Ya, saya peminat Faisal Tehrani, A.Samad Said dan Shahnon Ahmad.

memang orang yang tak biasa dengan tulisan provokatif sarkastik akan terkejut atau terganggu. Tapi mahu atau tidak, seni tulisan ini adalah sebahagian seni penulisan yang diiktiraf oleh sastera melayu, bahkan dibuktikan dengan karya-karya provokatif sarkastik yang mengganggu yang ditunjukkan oleh sasterawan negara dan para penggiat sastera, pejuang bahasa negara kita.

benar, penulisan saya di internet adalah sebuah karya peribadi saya dalam mengaplikasi ilmu sastera yang saya timba dan cuba bereksperimen.sebab, penulisan saya bukan diniatkan untuk orang lain baca atau buat orang suka pada saya, tapi untuk bacaan diri saya yang utamanya. sesiapa datang nak lihat, saya pamerkan dengan murah hati.

2)zon dakwah atau perkongsian.

saya merasakan level dakwah itu pelbagai.Jika ada manfaat dari tulisan ini ke arah amar makruf nahi mungkar, maka mungkin ia boleh dikira zon dakwah.

Cuma, pada pandangan diri saya, saya lebih cenderung untuk berpegang kepada 3 sifat dakwah Nabi yang diajarkan pada saya untuk benar-benar mendapat hakikat dakwah. seperti yang saya nyatakan dakwah menggunakan metod tulisan, lukisan, mahupun nasyid ada kelemahannya kerana sukar mendapat hakikat 3 sifat dakwah tersebut.

sebab itu kita dapat lihat banyak kes kegagalan seorang penulis dakwah, seorang pelukis dakwah, mahupun kegagalan penasyid dakwah untuk menghayati nilai dakwah nabi.

dakwah seperti solat juga, makin buat dakwah, makin bersih hati, makin berkat hidup.itu hakikat yang saya kejar. saya bimbang menulis blog belum tentu menjaminkan saya hakikat tersebut.

Saya cuba usahakan diri saya mencapai 3 sifat itu tanpa saya menolak lain-lain metod juga mampu menyumbang kepada dakwah.

Kesimpulannya, biarlah saya menganggap bahawa internet ini zon perkongsian, dengan itu saya tak terjebak bersubahat dalam agenda mengikat manusia kepada monitor, sebaliknya saya suka untuk terjebak pada usaha mengikat manusia pada masjid.

"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."(at taubah:18)

Hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah (di Padang Mahsyar) pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya iaitu imam yang adil, pemuda yang membesar dalam keadaan sentiasa beribadah kepada tuhannya, pemuda yang hatinya sentiasa terikat dan terpaut kepada masjid, dua orang pemuda yang berkasih sayang kerana Allah bertemu dan berpisah kerana-Nya, pemuda yang diajak berbuat maksiat oleh wanita cantik dan punya kedudukan tetapi menolak pelawaan itu dengan berkata ‘aku lebih takutkan Allah’, pemuda yang bersedekah secara rahsia sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya dan pemuda yang sentiasa berzikir kepada Allah di tempat sunyi hingga menitis air matanya."

Anonymous said...

bukan urusan kita untuk menilai seseorang itu menulis dari hati atau tidak.

apa yg baik daripada tulisannya kita ambil dan apa yg tidak baik kita jauhi.

kita bukannya penghukum manusia,hanya Allah s.w.t sahaja yang layak menghukum hati manusia.

Anonymous said...

1. Saya hampir2 mahu memuji saudara atas tulisan ini, tetapi peringatan yang saudara berikan tentang adab memberi komen itu telah mengentikan saya. Dan lebih bagus sekiranya saudara letak peringatan itu secara ringkas pada pengakhir setiap tulisan, supaya itu jadi adab untuk memberi komen.

2. Saya adalah dari golongan yang datang dari keluarga dan kelompok yang bermusafir untuk berdakwah dengan penekanan kepada 3 cara dakwah yang Rasulullah tunjukkan. Tetapi kerana saya banyak menghabiskan masa di alam maya kerana tuntutan tugas, jadi saya telah meneroka banyak tulisan/blog oleh 'celebrities' agama yang menunjukkan bahawa berdakwah melalui blog dan cara2 lain (nasyid, etc) adalah dikira bagus dan sangat perlu dalam keadaan sekarang. Lunak dengan tulisan2 mereka dan juga 'green light' dari 'well-known figures' seperti itu menyebabkan saya sering berselisih faham dengan keluarga saya. Cara dakwah yang selari dengan nafsu lebih mudah dikerjakan dari cara dakwah yang Rasulullah tunjukkan. All praise to Allah for making me realize my mistake and may He guide me to the right Path.

3) I need to read more critical writings seperti yang saudara tulis. Dahulu saya selalu skeptikal kepada komen2 saudara, rasa macam saudara ada 'penyakit hati' (maafkan saya), alhamdulillah sekarang saya nampak the alternative persepctive you're looking from. Dan tulisan provokatif sarkastik mungkin sukar diterima oleh budaya masyarakat kita yang lebih suka berhadapan dengan cara lembut. Tidak mengapa, kita sentiasa mancari cara yang terbaik untuk menyampaikan. Semoga Allah menerima dan membaiki cara saudara.

Anonymous said...

MFR,
I feel that this post in contradictary to your much earlier posting: http://alhikmah-diari.blogspot.com/2007/07/muhasabah-dakwah.html

In that post, you were bashing those person who bashed 'dakwah through blog'. You were acknowledging the effor of people who do dakwah through nasheed, cartoons/comics, etc since you said the effort of going door to door, person to person is not sufficient to reach out to different types of people in our community. In your comment in that post, you were full of praise for ustaz saifulislam for his approach, flying worldwide for meetings students/participants in during his ceramah.

Yet, in this posting, you degraded that effort with this saying:
"Apatah lagi daie yang mahu keselesaan saja, dakwah dengan pelajar-pelajar celik ilmu,dakwah ke oversea, naik kapal terbang dan duduk macam VIP sedangkan anak-anak muda di tanah sendiri di belakang-belakang bangunan minta diselamatkan tak dihirau"

What is you actual stand in dakwah? Was your earlier posting done when you were not fully matured, and now you've evolved and have a different principles and understanding in dakwah?

I'm saying this, since this is quite a normal process. We as human learns though our experience. We picks up input and information as well as experience as we became more and more involved with many dakwah efforts (hopefully resulting with better understanding of the dakwah). "Belajar melalu pengalaman".

Just confused

mfrstudio said...

salam anoni confused.

rata-rata pendirian saya masih tak berubah.

apa yang berubah mungkin saya lebih kenal rupa-rupanya bukan semua orang yang buat usaha ketuk pintu ke pintu menafikan usaha dakwah yang bukan pintu ke pintu.

dan saya juga menjadi lebih kenal bahawa tak semua yang terbang ke luar negara itu memang bersemangat dakwah, ada juga yang mereka memilih-milih mad'u yang mereka selesa dan bukannya memilih mad'u yang memerlukan mereka.

apa-apa pun saya juga menjadi lebih kenal bahawa orang yang berdakwah dari pintu ke pintu juga banyak yang terbang dari satu negara ke satu negara. dan saya juga menjadi lebih kenal orang yang tak dakwah dari pintu ke pintu juga banyak turun bertemu manusia terutama manusia yang sudah terkapai-kapai yang berupa remaja belasan tahun di belakang-belakang bangunan.

apa-apa pun dalam konteks dakwah dalam blog, saya masih lagi mengiktiraf bonus-bonus manfaat yang boleh dapat dari blog. tapi nak difokuskan usaha dengan blog SEMATA-MATA maka akan boroilah sekalian daie kita.

saya pun membaca kembali tulisan saya, rata-rata saya masih berpegang hal yang sama dalam entri tahun 2007 itu, khususnya ayat ini:

"Ertinya berdakwah dalam blog, adalah berdakwah untuk dirinya sendiri. kalau ada pun sedikit manfaat yang dinikmati oleh orang lain, maka itu bonus untuknya. Tetapi jelas, tulisan di blog adalah cermin kepada kefahaman, jiwa, naluri, sikap,perasaan, dan semangat si blogger atau si tukang tulis blog itu sahaja. Sebab itu, aku suka taip panjang-panjang, dan kadang kala ada juga aku berikan link artikel yang aku tulis dalam blog kepada orang lain, namun, siapakah yang paling faham artikel itu melainkan si blogger itu sendiri? "

"aku tak peduli orang yang baca artikel aku ni faham atau tidak, tapi aku faham mesej yang aku nak sampaikan ini. aku boleh baca bila-bila aku free atau bila aku rasa terkilan mahupun terluka bila mana-mana orang tabligh dok ngata aku buat bidaah, ejek aku hampeh atau apa saja. samada aku menulis, aku melukis, aku bersajak, aku berpuisi, itu adalah dakwah bagi aku. mungkin bukan orang lain, tapi untuk diri aku sendiri! "

"sebab aku suka baca artikel,aku suka baca sajak, aku suka baca komik. dari aku baca artikel yang mengejek aku bidaah, dari aku baca sajak-sajak yang berbelit yang aku tak faham, dari aku baca komik-komik tahyul bleach, naruto mahupun one piece lebih baik aku tulis artikel aku sendiri, baca sajak aku sendiri, dan baca komik aku sendiri. kalau ada yang suka juga baca hasil kerja aku, maka itu bonus. tapi yang betul-betul dapat manfaat dari hasil kerja aku itu adalah diri aku sendiri. bukan saja aku memperbaiki diri menjadi lebih baik dari semalam, malah inilah dakwah paling sesuai dengan psikologi dan pemikiran aku untuk aku MUHASABAH DIRI."

benar, ketika saya tulis ayat di atas, saya belum diajar akan 3 sifat dakwah Nabi.Setelah saya belajar juga, saya tak menafikan manfaat metod lain kepada dakwah. cuma saya lebih suka menyebutnya sebagai perkongsian sekarang. Apatah lagi dakwah melalui blog ini juga sebenarnya bukannya panggilan saya pada orang lain, tapi MUHASABAH saya saja. Maksudnya perkongsian dakwah saya pada diri saya (muhasabah) untuk dikongsi.

"Saya cuba usahakan diri saya mencapai 3 sifat itu tanpa saya menolak lain-lain metod juga mampu menyumbang kepada dakwah."

Anonymous said...

Salam.

Sekadar memberi pendapat.

Saya rasa, tiada salahnya memberikan pujian jika sesuatu hasil kerja itu memang bagus. Kita semua kan manusia biasa, memang memerlukan galakan untuk menghasilkan hasil kerja yang lebih baik di masa hadapan. Cumanya...janganlah puji-pujian itu berlebih-lebihan.

Manakala kalau tidak setuju dengan hasil kerja seseorang, tegurlah dengan berhikmah. Janganlah dikutuk keterlaluan. Islam kan lembut dam bersistem. Tegur dengan niat supaya beliau berubah. Berdakwah ni kan dengan kasih sayang, supaya dapat menyentuh hati. Walaupun anda sendiri, mengatakan mampu menerima teguran yang keras-keras, orang lain belum tentu begitu. Kalau pun mampu, sekarang ia...masa akan datang? Eloklah rasanya kalau kita berhati-hati. Kan...

Kalau yang ditegur itu, ramai orang, memang patut digembar-gemburkan. Agar dapat mencapai matlamat, iaitu yang ditegur itu mendapat mesej kita.

Andai yang ditegur itu, individu yang kita kenal, ataupun individu yang boleh dan mampu kita hubungi, tegurlah secara peribadi.

Dengan ikhlas, memang itu yang cuba saya lakukan bila mahu menegur. Bukan sahaja dengan niat ingin membetulkan, tetapi saya tidak rela kalau orang lain memandang serong kepada sahabat saya. Saya harap, orang lain tidak akan melihat cacat-celanya dia...

"Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaibannya di akhirat nanti".

WALLAHu a'lam.