Bukan sekali ini slogan "dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat" dilaungkan oleh pemuka-pemuka demokrasi. Malah propaganda "kuasa rakyat" benar-benar memukau para pemuja ideologi itu di kalangan umat Islam hingga sanggup diri mereka lebih dikenali sebagai "pejuang demokrasi" atau "penyebar demokrasi" daripada dikenali sebagai "pejuang syariah" atau "penegak kalamAllah".
Umum tahu, etopia demokrasi tak pernah wujud selagi wujud manusia sejenis makhluk menciptanya dan menggerakkannya. Berfikir singkat akan etopia ideologi itu berteraskan hak dan kebebasan, manusia-manusia yang mendaulatkannya merasakan itulah damai dunia, itulah bahagia untuk mereka.Tidak, hatta dalam kondisi institusi keluarga pun mengetahui memberikan kebebasan tanpa batas (hudud) kepada anak-anak akan menghasilkan budaya liar.
Analogi cukup mudah jika kita merenung warga rimba menjalani hidup atas hak dan kebebasan.Setiap haiwan dalam rimba bebas untuk hidup atas keupayaan,hak dan kehendak mereka semahu-mahunya. Tiada penafian hak berlaku kerana tiada seekor haiwan menguasai hidup haiwan yang lain hingga boleh memerintah dan mengerah tenaga yang lain demi kepentingan satu-satu jenis haiwan.Walaupun singa digelar raja haiwan, namun singa tak mampu mengarahkan semua rusa beratur untuk dimakan oleh kaum singa.Rusa boleh berlari bebas jika dikejar singa, dan tidak pula gajah mengepung rusa supaya singa si raja dapat memenuhi perut mereka.Ini cermin sebenar apa itu etopia demokrasi atas laungan hak dan kebebasan tanpa sekatan dan batas (hudud).Etopia yang dikejar demokrasi adalah dunia rimba.
Pemuka-pemuka demokrasi menafikan hal ini. Mereka mendakwa sistem nilai yang mengongkong dan menyekat akan kebebasan dan hak itulah sistem rimba.Maka, mereka mendakwa mereka penentang sistem rimba. Dengan berhujahkan sistem komunis, diktator dan islami tidak mengizinkan rakyat atau orang kebanyakan bebas dari sistem yang berbatas (hudud) itu menghasilkan pemerintah yang sangat berkuasa sedangkan rakyat diperintah tak punya apa-apa kuasa. Pembahagian kuasa dari tangan pemerintah kepada rakyat yang diperintahlah yang mereka laung sebagai "dari rakyat,oleh rakyat,untuk rakyat" itu, atau disebut sebagai "kuasa rakyat". Menariknya, slogan demokrasi ini memang amat manis apatah lagi sistem ini memerlukan bakal pemerintah (parti politik) meraih undi rakyat dalam kempen pilihanraya. Rakyat mana yang tak suka untuk berkuasa ke atas pemerintah? Apatah lagi nafsu "ingin menjadi tuan ke atas orang lain" memang nafsu yang enak jika dilayan. Nafsu itu dipanggil sebagai "kuasa", rasa enaknya sama saja seperti nafsu ke atas "wanita" dan "harta".
Namun benarkah rakyat menjadi berkuasa selepas pemerintah dipilih atas sistem pilihanraya itu? Jika benar rakyat berkuasa, mengapa negara juara demokrasi Amerika Syarikat tidak pernah lekang dari bantahan dasarnya oleh rakyat jelata? Ini menunjukkan dasar dan halatuju kerajaan negara ditentukan oleh pemerintah, bukan rakyat. Oleh itu, siapa yang berkuasa dalam pemerintahan? Kuasa rakyat atau kuasa pemerintah? Jika kuasa pemerintah yang menguasai pemerintahan, maka apa yang merapu sang pemuka-pemuka demokrasi melaungkan perjuangan mereka adalah "mengembalikan kuasa rakyat"? Tuntasnya, slogan paling karut dalam sejarah ideologi politik manusia adalah slogan dan propaganda ideologi demokrasi.Memperjuangkan suatu yang tak mungkin boleh berlaku. Mana mungkin rakyat boleh berkuasa menentukan dasar dan hala tuju negara, sedangkan yang memerintah adalah sekumpulan manusia yang hanya berlabel "wakil rakyat".
Ada di kalangan mereka mendakwa "kuasa rakyat" bukanlah bererti rakyat yang memerintah, tetapi "kuasa rakyat" merujuk rakyat berkuasa memilih siapa yang mereka mahu memerintah. Dan kuasa itu adalah "kuasa mengundi" di hari pilihanraya menafsirkan kalimah "dari rakyat". Berbekalkan hujah, pemain-pemain politik atau politikus yang merayu undi rakyat adalah lahir di kalangan rakyat mendefinisikan kalimah "oleh rakyat". Dan segala pemerintahan dan usaha pembangunan negara oleh pemerintah selepas itu menafsirkan kalimah "untuk rakyat". Dan semua itu dikenali sebagai "demokrasi". Malangnya apa yang menjadi intipati demokrasi sebagai memperjuangkan kebebasan dan hak ke atas "kuasa rakyat" mencetuskan "tuntutan dan kehendak" yang mahu ditunaikan berdasarkan "kemahuan rakyat".
Di sini bermula caca merba ideologi ini sehingga ramailah pentafsir-pentafsir tidak berbayar cuba memberikan jalan putus untuk konflik antara "kehendak rakyat" dan "keperluan negara". Konflik ini cukup mudah difahami dengan mengambil contoh tuntutan perkahwinan sejenis oleh rakyat homoseksual di Amerika. Itu adalah salah satu "kuasa rakyat" yang perlu dipenuhi oleh pemerintah Amerika untuk menghalalkan perkahwinan sejenis. Jika pemerintah menafikan tuntutan itu, maka siapa yang berkuasa sekarang, pemerintah atau rakyat? Jika pemerintah memenuhi pula, adakah baik untuk negara?
Maka di sini pentafsir cuba mendefinisikan "demokrasi" dan "kuasa rakyat" adalah bergantung kepada keputusan "majoriti".Dan atas faktor ini Hamas di Palestin cuba membuktikan perjuangan menentang Israel yang menjadi kehendak majoriti rakyat Palestin direstui oleh sistem demokrasi. Namun, sekali lagi ideologi ini tak memberikan apa-apa manfaat atas restu dan penghormatan yang diharapkan, kerana jelas prinsip demokrasi atas faktor majoriti tak akan ke mana, jika majoriti itu kaum lemah yang berada di bawah penindasan.Faktor majoriti juga jelas tak terpampang pada dasar Bush menyerang Iraq yang keputusan terdesak yang tak menimbang pendapat ramai warga Amerika.
Jika demokrasi meletakkan "kuasa rakyat" melahirkan pemerintah yang pandai berjanji manis dan terpesong ketika memerintah, boleh 'dipulih' dengan "menukar pemerintah" dalam pilihanraya seterusnya, mungkin dapat dilihat dengan fenomena kemenangan Pakatan Rakyat di lima negeri di Malaysia atau kemenangan Obama. Namun, hakikat yang jelas adalah rakyat hanya berkuasa memilih, kemudiannya apabila pemerintah berkuasa, maka kuasa rakyat tak lagi wujud, kemudiannya rakyat cuba memilih yang lain, namun hal sama tetap berlaku, aspirasi rakyat tak dapat dipenuhi semuanya. Senang cerita, demokrasi adalah "kuasa rakyat" untuk dipermainkan oleh suatu kaum bernama "politikus". Jika benar sistem "kuasa rakyat" mahu diwujudkan pilihan rakyat mestilah datang tanpa calon menawarkan diri. Tapi rakyat sendiri , seorang demi seorang yang menamakan calon seterusnya mengundi. Dan undian terbanyak rakyat itulah boleh disebut sebagai "pilihan rakyat" atau "dari rakyat".
Jika hal itu berlaku dan dilaksanakan, maka apakah jaminan "pilihan rakyat" itu nilai "keupayaan" calon mengatasi nilai "popular" calon? Lihat, bukankah caca merba namanya. Dan hal itu sudah pun berlaku dalam sistem demokrasi, manusia yang popular atau di kalangan artis mampu menjadi "pemimpin pilihan rakyat".Lihat Joseph Estrada di Filipina dan Arnold Schwarzenegger di Amerika.
Itulah kunci politikus-politikus meraih kuasa dalam pilihanraya khususnya di Malaysia. Jadilah seorang yang popular, anda akan mendapat undi dari "kuasa rakyat", seterusnya berkuasalah anda.
Dan inilah harapan segelintir penggiat dalam politik Islam. Berbekalkan hujah, untuk laksanakan Islam perlukan kuasa, untuk dapat kuasa perlulah popular. Maka berbanding menegur rakyat dan mengajar rakyat untuk menjadi baik atas nama dakwah, mereka lebih suka menegur ahli kerajaan dahulu dan mengajar kerajaan dahulu dalam kempen pilihanraya. Padahal semasa kempen, kerajaan yang ada cuma kerajaan sementara yang hanya memiliki kuasa terhad.Walaupun semua orang tahu, jenayah rompak, bunuh, rogol, masalah dadah dan keruntuhan akhlak, berpuluh ribu rakyat terlibat. Jika parti politik yang kononnya dianggotai oleh para pemimpin rakyat mahu memimpin rakyat, semasa kempen dan ceramah yang dihurungi beratus rakyat itulah medan terbaik untuk menegur dan mengajak rakyat menjadi baik dan terpimpin.Apa yang berlaku berbeza, parti politik bergaduh sesama sendiri dengan mengemukakan bukti demi bukti salahlaku masing-masing sewaktu kempen. Nak jadi pemimpin rakyat atau nak jadi pemimpin 'politik'?
Sampai suatu masa dulu hebat benar kempen hudud (batas), hari ini atas sebab nak menjadi popular di dalam kempen politik, mendengar hudud (batas) oleh rakyat nanti rakyat tak suka terutama yang bukan islam dan islam liberal. Apatah lagi sudah bersepakat dengan parti yang memperjuangkan demokrasi dan liberal, kebebasan dan hak untuk bebas. Tentulah kontra antara bebas dan batas (hudud). Walaupun sudah disedari kontra pun, masih ada yang tak malu dengan menyebut "kami perjuangkan demokrasi, kami daulatkan demokrasi" dengan jubah dan serban jadi hiasan badan.Apabila ditanya mengapa sanggup menyebut "demokrasi" lebih daripada "syariah", mereka menyebut dalam demokrasi ada "keadilan", dan dalam syariah juga ada "keadilan". Hanya orang jahil sahaja yang menganggap "keadilan" demokrasi sama dengan "keadilan" islam sehingga tak mengapa memperjuangkan demokrasi kerana beranggapan demokrasi boleh datangkan "keadilan" dan islam sangat suka "keadilan".Tak samalah, mana boleh disamakan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz menulis,
" Sesungguhnya prinsip keadilan dan persamaan hak dalam Islam, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. melalui peristiwa al-Ahzab, tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan fahaman demokrasi barat. Walaupun demokrasi itu membawa makna kepada persamaan hak dan kebebasan individu dalam mendapatkan keadilan, sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan manusia hari ini.
Tidak seyogia menyamakan prinsip keadilan dan persamaan hak dalam Islam yang berasaskan sifat ubudiyyah kepada Allah SWT, dengan fahaman demokrasi ciptaan manusia itu.
Malah ditegah sama sekali menggunakan perkataan demokrasi terhadap kerja-kerja Nabi s.a.w. khususnya ketika melaksanakan tanggungjawab kepimpinan semasa membuat persiapan menghadapi perang al-Ahzab. Tiada sebarang kaitan antara prinsip keadilan dan persamaan hak yang diajar oleh Nabi s.a.w. kepada para sahabat, dengan fahaman demokrasi yang dilaungkan oleh barat."
PERSAMAAN HAK BERASASKAN SIFAT UBUDIYAH KEPADA ALLAH
Kembalilah mengenal Islam jika mahu jadi pejuang Islam. Kembalilah bangga sebagai muslim berbanding bangga menjadi pejuang demokrasi. Kembalilah promosi keindahan sistem Islam yang bertamadun berbatas (hudud). Sesungguhnya dengan batas-bataslah sawah padi tersusun kemas, dengan batas-bataslah manusia hidup berteras. Batas manakah lebih baik dari batas Allah?
"(Mereka itu ialah): Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian)." (At taubah:112)
0 komentar:
Post a Comment