|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
http://www.youtube.com/watch?v=3EQGdjoTFTk

Tajuk entri blog ini sangat hampir dengan tulisan ustaz hasrizal di web nya : http://saifulislam.com/?p=1359
itu tidak bererti saya perlu mengulas mahupun kopi & pasta idea ustaz Hasrizal semata-mata. Kenapa perlu begitu sedangkan arena perbincangan dan diskusi mengenai pilihanraya dan kemusykilan yang lebih penting dan mustahak terbentang luas dari 4 kemusykilan dan muhasabah di laman saifulislam itu. Mari saya tunjukkan contoh komen pengunjung saifulislam yang menjadi musykil sesudah membaca kemusykilan ustaz hasrizal terhadap orang muda:

Kak mas:

Confuse, confuse, kepada orang biasa2 cam kak ni yang tak belajar kat Jordan, Mesir ke, UM ke, UKM ke dll. Termasuk orang kampung2, pekerja2 kilang dll yg akedemik tak tinggi. Pengetahuan agama la ni pun kami dapat dari kelas2 di surau, masjid, tV, ceramah & sikit2 baca buku. Jgn la kutuk kami. Sebaliknya kesihankan kami. Dlm negara kita ni, ada pati pemerintah dan pembangkang. Meneliti dari tulisan ustaz, pemimpin dari pati pemerintah ada yang OK & tak OK, & ada juga dari pembangkang yang OK & tak OK.

Tapi bila mengundi kena pilih salah satu saja. Kalau kami pilih drp ke2 parti nanti rosak undi pula, Kalau tak mengundi lansung nanti termasuk golongan pertama.

Cuba ustaz & pembaca2 yang bijak bistari beri panduan kat kak ni secara terus terang, bole kak sampaikan pada yang masih confuse:
Contoh: antara PAS & UMNO nak undi mana, DAP & MCA undi mana, PKR & MIC nak undi mana, dan sebagainya. Seperkara lagi, nak pilih atas nama parti ke atau pilih wakil (tak kira parti apa?). Kerana kadang2 kita berkenan kat wakilnya, tapi parti kita kurang berkenan dan sebaliknya.

Kasihan atau tidak? Majoriti pengundi berdaftar pilihanraya bukan orang muda (merujuk yang pertama kali mengundi) akan tetapi adalah pengundi dewasa yang berkerjaya dan awam kebanyakan. Merekalah lebih punya kemusykilan yang patut diselesaikan dan direnung oleh pendokong-pendokong mana-mana parti politik. Asas utama mengapa timbulnya pengundi awam dari umat islam yang jadi musykil lalu keliru ini adalah telah saya jelaskan kecelaruannya dalam entri sebelum ini: PERLU ADA PARTI ISLAM YANG BENAR-BENAR ISLAM.

Sudah ghaib parti yang istiqamah dan jelas jalan tujunya untuk memberi kepastian umat Islam bahawa mereka adalah golongan terbaik untuk mengangkat daulah Islam di bumi Malaysia. Mungkin dulu kita boleh mempertembungkan UMNO-PAS sebagai perbandingan perjuangan mengangkat daulah. Ketika Anwar berada dalam umno dalam kepimpinan Tun mahathir, bertembung dengan kepimpinan Tuan guru Nik Aziz dan Allahyarham Ust Fadzil Noor adalah berkisar mengenai Islamisasi umno berlawan dengan Daulah berhudud pas.

Islamisasi UMNO ketika itu lemah dan samar kerana perjuangan meletak asas islamisasi seperti bank islam dan universiti islam itu beriringan dengan perletakan asas sekular dan liberal yang tersebar dalam masyarakat dengan berdirinya disko-disko halal beroperasi mahupun maksiat yang diiktiraf di kalangan artis untuk jadi idola anak muda. Maka kita lihat istiqamahnya Daulah Islam berhudud yang dibawa Pas itu lebih tegas, namun kecacatannya terpalit apabila hudud itu gagal diberi imej indah dan mesra.

Memanglah pemimpin Pas salahkan Umno dan media kerana merekalah yang memburuk-burukkan imej hudud dengan kata-kata seperti "hudud itu adalah potong tangan". Padahal hudud itu adalah batas untuk harmoni. Namun bukan budaya pendakwah untuk terus menyalahkan musuh bila imej dakwah terpalit atau gagal. Iktibar seperti Rasulullah s.a.w dibaling batu oleh penduduk Thoif adalah iktibar yang sangat signifikan direnung berulang kali apabila dilihat Rasulullah s.a.w tidak menadah tangan mengadu pada Allah akan kejahatan penduduk thoif terhadap baginda, akan tetapi menadah tangan mohon Allah bantu lancarkan lagi dakwah, perkuatkan lagi diri baginda untuk terus istiqamah berdakwah. Rujuk: http://www.youtube.com/watch?v=iqdPTWMu_Zk

Tapi adalah suatu yang dikesali, apabila para pemimpin PAS baru yang naik selepas pemergian Ustaz Fadzil Noor , menadah tangan lalu berdoa, akhirnya mengambil jalan untuk tidak bertegas dengan jalan yang telah terbina sebelumnya. Kita lihat masalah Daulah Islam berhudud PAS itu dilihat gagal apabila tidak ada imej baik dan mesra, akibat usaha memburuk-burukkannya dari pihak BN. Oleh itu, untuk membaikinya adalah dengan memperkemaskan promosi imej yang memang ditekankan oleh dakwah Islam dalam setiap syiar Islam. Membina masjid dengan ukiran yang indah, memakai pakaian yang baik-baik ketika berjemaah di masjid, atau berzuhud dengan pakaian ihram yang putih ketika haji di mekah, semua itu bukan saja persembahan pada Allah, malah juga persembahan pada orang bukan Islam untuk melihat dan menghayati imej umat Islam lalu terbina keinginan untuk ambil tahu tentang Islam.

Begitulah strategi memperkemaskan imej Daulah Islam berhudud, perlulah mengambilkira budaya berceramah yang lebih sayu dan insaf. Mengajak dengan lembut dengan bermanis muka akan Daulah islam berhudud ketika kempen sebagai penghayatan kepada firman Allah:
Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.(al-Nahl, ayat 125).

Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma`afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya,” (Ali ‘Imran : 159).

Ibnu Katsir mengutip perkataan Ibnu Umar ra dalam kitab “Tafsir Ibnu Katsir”,beliau berkata, “Aku menjumpai sifat Rasulullah dalam kitab-kitab terdahulu bahwa beliau tidak berkata kasar, kotor, dan tidak pula berteriak-teriak di pasar, dan tidak membalas perbuatan jelek dengan kejelekan tetapi beliau sangat pemaaf.

Oleh itu misi memperkemaskan misi imej matlamat Daulah Islam berhudud adalah pembaikan akhlak para penceramah dan pendokong PAS dalam berkempen. Ini bukan suatu yang baru atau susah, kerana PAS mempunyai sistem usrah dan tamrin, perkaderan pemuda pemudi PAS berbeza dengan UMNO yang tidak punya sistem tarbiyah parti melainkan kursus kelolaan biro tatanegara. UMNO sukar untuk memperkemaskan matlamat islamisasi Malaysia kerana pertubuhan itu menghimpun para strategis politikus yang lebih ramai , yang berupaya tikam menikam sepak terajang politik (politiking) secara halus, konpirasi, sulit hingga buat ahli mereka habiskan masa dengan strategi-strategi survival karier politik sahaja.

Itu sebab Islam Hadhari yang dicetus Paklah walaupun dibantu kekuatannya oleh YADIM dan JAKIM dengan tokoh-tokoh pejuang Islami yang kecewa dengan PAS kerana tiada hijrah pembaikan imej seperti Ustaz Nakhaie, Dr Sidek Baba, atau tokoh bebas seperti Ustaz Uthman el Muhammady atau Dr Syed Ali Tawfik al attas (anak Syed Naquib yang menentang sekularisme), masih belum mampu menjadi agenda besar penghayatan seluruh isi UMNO.

Malangnya kalau dulu zaman Islamisasi lawan Daulah Islam Berhudud, kini seakan perjalanan politik Islam undur ke belakang semula dengan Islam Hadhari lawan Malaysia Baru. Islam Hadhari itu mungkin tiada beza besar dengan masalah Islamisasi dulu kerana usahanya masih nampak sama, dengan banyaknya usaha perkampungan hadhari beriringan dengan banyaknya karnival maksiat dan konsert. Namun apa kejadah Malaysia Baru perlu menggantikan Daulah Islam berhudud?

Malaysia Baru tajaan PKR pimpinan Anwar yang dulunya menggerakkan Islamisasi UMNO, kini diakui malah diiktiraf oleh DAP sebagai dekat dengan matlamat parti mereka untuk membina Malaysian Malaysia, Malaysia sekular, demokratik dan liberal mirip Singapura. Malah, bukan saja PAS bersegan-segan untuk angkat Daulah Islam berhudud dengan hanya menyebut Negara Kebajikan dengan mendiamkan hudud, malah tidak membantah bila Anwar sebagai sekutu dalam BA menolak mentah-mentah "Daulah Islam". Berakhlak dan berimej baik itu suatu yang baik dalam pembaikan imej, tetapi kendur, diam dan tidak bertegas dengan matlamat itu adalah meruntuhkan terus imej istiqamah dan keseriusan berjuang.

lihat cadangan (Angkatan Mahasiswa Melayu Nasional) AMMN mewakili mahasiswa melayu nasional ini:

Formula yang kedua, BA yang kini hanya terdiri daripada PAS dan PKR, mungkin perlu bertolakansur dimana hanya satu lambang daripada dua parti ini sahaja akan digunakan untuk mewakili BA dalam pilihanraya akan datang atau dengan kata lain, salahsatu parti perlu berkorban lambang untuk sementara waktu semata-mata dalam pilihanraya akan datang. Berikutan sifat PKR yang agak "Malaysia". Saya mencadangkan lambang PKR digunakan untuk mewakili BA. Ini bermakna semua calon BA sama ada daripada PAS, PKR mahupun proksi-proksi BA yang gagal mendapat kelulusan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), iaitu Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Reformasi Insan Malaysia (PRIM) perlu menggunakan lambang PKR dalam pilihanraya akan datang bagi membuktikan kesatuan dan perpaduan dalam BA itu sendiri.

Ini masalah tidak yakin bahawa mempromosi Islam itu suatu yang indah, lazat malah matlamat sebenar perjuangan. Rasulullah s.a.w semasa menandatangani gencatan senjata dengan musyrikin Mekah dalam Perjanjian Hudaibiyah memang bertolak ansur menggugurkan gelaran "Rasulullah" yang dibantah oleh Saidina Umar kemudiannya memahami bahawa bertolak-ansur perlu demi damai. Damai itu merujuk pada berpeluangnya umat Islam menambahgandakan lagi usaha ibadah dan dakwah. Sirah ini bukan merujuk pengguguran matlamat demi damai, yang cuba dihalalkan oleh sesetengah pejuang PAS pada saya berkenaan relanya PAS membisu bila sekutunya menolak Daulah islam mentah-mentah.

Gencatan senjata itu sehingga 10 tahun, namun dalam 10 tahun itulah Rasulullah dan para sahabat menggandakan dakwah. Dakwah ertinya mempromosi Islam. Jika dulu ramai pejuang PAS berulangkali menegaskan usaha berpolitik mereka suatu dakwah kerana mereka mempromosi apa yang Islam boleh sumbang termasuk dalam bidang jenayah dengan hudud, hari ini bila mereka membiarkan pakatan mereka membuatkan mereka bisu dan tunduk bolehlah ertinya menghentikan dakwah untuk tersebar. Jika PKR berasa bangga menolak tuntutan Daulah Islam, bermakna bangga juga promosi ke atas apa yang Islam boleh sumbang yang diperjuangkan dalam Daulah Islam berhudud PAs dulu dihentikan. Bangga hudud tak dipromosikan. Ini seperti gencatan dakwah bertentangan dengan sirah dalam perjanjian Hudaibiyah dan apa yang Rasulullah tunjukkan tauladan dengannya.

Sebenarnya bertegas dengan prinsip dan matlamat Islam adalah intipati kejayaan gerakan Islam dulu termasuk Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Hamas di Palestin.

Bila cadangan AMMN seperti di atas terpacul mewakili mahasiswa melayu nasional, bermakna ada kemusykilan yang lebih teruk dan bahaya melanda pejuang muda iaitu tidak yakin Islam itu indah dan wajar menjadi teras dan peneraju. Mereka bukan golongan pertama kemusykilan Ustaz Hasrizal sebagai golongan muda tidakpedulisme, bukan golongan kedua yang ghairah mengharamkan demokrasi dan pilihanraya , bukan golongan ketiga kaum muda salafi yang menyeru taat setia pada pemerintah dan pembangkang sebagai khawarij, malah bukan juga kemusykilan ke empat sebagai golongan yang memaafkan kesilapan dan kesalahan , akan tetapi adalah kemusykilan yang lebih berat iaitu mereka yang sudah tak yakin dengan promosi Islam malah rela parti islami tunduk pada seruan liberal demokratik yang menolak Daulah Islam mentah-mentah.

Jadi jika muncul golongan dewasa yang pening kepala dan musykil seperti salah seorang pengunjung saifulislam itu, adalah petanda awal dan jawapan sebab musabab munculnya 4 golongan muda yang disebut ustaz hasrizal sendiri walaupun perinciannya adalah berbeza dan tidak difahami oleh kebanyakan orang tua mahupun ustaz hasrizal sendiri yang masih muda iaitu:

KEMUSYKILAN 1:

Tidakpedulisme orang muda yang lahir akibat Tidakdipedulisme oleh orang tua mahupun penggerak politik dan pilihanraya negara. Nasihat , harapan dan anjuran orang muda untuk orang tua membudayakan politik sihat, berakhlak dan aman tidak dipedulikan orang tua. Jika orang muda semasa pemilihan ketua kelas di sekolah diajar supaya calon-calon ketua kelas kekal mesra dan berkawan baik, hanya berkempen dengan akhlak dan suri tauladan, tapi orang tua berkempen dengan bermusuh dan menghentam hingga mentelanjangkan peribadi, mengaib dan memalukan orang dengan poster-poster sindiran dan tak berakhlak, memburuk-burukkan orang lain tanpa diri membuktikan lebih baik. Itu tidak sihat. Tidak bolehkah kalau hanya berbuat baik , bertegas dengan dasar dan matlamat, dan bersikap tawadhuk merendah diri serta mengajak orang lain sama membesarkan Allah bukan membesarkan diri dengan kempen "undilah aku, kerana aku boleh buat itu dan ini".

sebab itu harapan untuk orang melayu-islam umno dan pas berdamai selalu saja meniti di bibir siapa saja yang merenung politik tanahair. Tapi siapa yang berkeras mahu kekal bermusuh? Jika bukan golongan tua muda pendokong parti sedangkan majoriti golongan muda dan tua yang tidakpedulisme ini jika ditanya, "mahukah anda melihat umno-pas tidak lagi bermusuh?" mereka akan sahut " Tentu sekali mahu!". Malah mereka sanggup jadi pedulisme jika boleh menyatukan dua parti melayu-islam itu. Tidak hairan jika Parti Mahasiswa Negara yakin jika bertanding boleh beri alternatif buat awam yang kecewa dengan kedua-dua BN dan BA:
http://www.youtube.com/watch?v=Zx7feBzQdh0
dengan kata-kata mereka "BN dan BA sudah tidak relevan". Namun masalah PMN ini di mana letaknya idea baru dan dasar mereka yang berbeza dengan BA dan BN, sekurang-kurangnya nyatakanlah seperti saya yang non partisan ini sudah nyatakan.

malah majoriti sahabat-sahabat saya yang tidak mendaftar mengundi iaitu mewakili berjuta bilangannya (bukan saya seorang saja tidak mendaftar) bukan kerana mereka tak peduli politik, malah sebahagian mereka ada pendirian politik yang jelas, akan tetapi semua pendirian mereka tidak dipedulikan oleh sesiapa, membuatkan mereka ambil keputusan untuk peduli pada bidang fokus mereka saja.

KEMUSYKILAN 2

Golongan yang menganggap demokrasi dan pilihanraya itu haram dan tidak islamik juga berkembang kerana pengamalnya tidak langsung menunjukkan ada daya islamik. Bolehkah idea bahawa demokrasi dan pilihanraya ini haram, berkembang jika semua pendukung demokrasi liberal mengangkat daulah Islam dan tidak menolaknya mentah-mentah seperti dibuat Anwar? atau aksi-aksi kempen pilihanraya mengekalkan daya upaya islamik dengan mengekalkan akhlak, budi pekerti, malah mengajak orang banyak membesarkan Allah berbanding kempen menaikkan diri sendiri yang langsung tak sunnah? Idea golongan ini takkan berkembang jika semua pengamal demokrasi tidak merujuk barat untuk memegang definisinya.

Apa jadi bila perhimpunan rakyat seperti HINDRAF disokong untuk berhimpun kerana akur bahawa demokrasi menghalalkannya keluar dari mulut pimpinan parti islami? bolehkah perhimpunan yang bermatlamat jahat diberikan hak untuk berhimpun dalam Daulah Islam berhudud? Jika pimpinan parti islami merujuk demokrasi islam (walaupun tak tahu nak rujuk negara mana) dalam setiap huraian demokrasi, maka boleh juga kita bersangka baik bahawa demokrasi itu tak merujuk barat. Tapi jika definisi demokrasi akhirnya merujuk kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan beragama yang dituding ke arah Amerika untuk tahu sudah cukup demokratik atau tidak kebebasan kita, maka jelaslah pendokong demokrasi tak ada pilihan lain selain merujuk barat.

Memang ada usaha mengaitkan unsur demokrasi juga suatu yang islamik, dengan erti kata lain demokrasi islamik adalah merujuk maqasid syariah. Jika begitu, untuk jadi pejuang demokrasi yang islamik yang bukan menuding jari ke arah Amerika untuk menilai demokratiknya sesebuah polisi, maka mahu tak mahu kena jadi pejuang maqasid syariah. Oleh itu, nak tapis-tapis apa lagi tong najis untuk dibuat minum supaya jadi gelas, jika gelas sudah ada untuk dibuat minum. Kita mungkin perlukan sesuatu dari Barat jika Islam tidak mengkhususkannya, kita boleh pakai kereta barat, internet barat, mahupun telefon barat kerana Islam tak mestikan supaya guna unta, surat dengan utusan berkuda, supaya jadi pejuang sunnah.

Jika demokrasi dan pilihanraya menjadi islamik tidak mungkin golongan kemusykilan ini akan muncul.

KEMUSYKILAN 3

Begitu jugalah dengan fahaman bahawa pembangkang itu khawarij, tak akan muncul jika semua pembangkang jadi pencadang yang mengajak pada hubungan bersaudara dan tidak bermusuh.

bagaimana mungkin kita mahu menuding muka pembangkang sebagai khawarij jika muka yang kita tuding itu orang yang senyum dengan kita, ziarah kita ketika sakit dengan bawa buah tangan, bila mengkritik mereka bukan sekadar kritik tetapi berikan jalan penyelesaian , dengan akhlak, dengan lembut, dengan sopan gentlemen, tunduk merendah diri dengan penuh keinsafan. Orang pun takkan termakan dengan dakwa dakwi khawarij yang kita buat.

Satu perkara lagi yang cukup penting untuk tampil sebagai pencadang lebih dari gelaran "pembangkang yang suka bangkang", adalah bersyukur bila cadangan yang dibuat dipraktik oleh musuh politik kita. Kita cadangkan "bantu orang susah", musuh kita bantu orang susah. Kita cadangkan "bagi orang miskin makan" musuh kita bagi orang miskin makan. Kita cadang "laksana hudud" musuh kita laksana hudud. Yang kita panjatkan adalah syukur kerana musuh kita laksanakan cadangan kita, bukannya kita kempen "itulah musuh kita asyik tiru saja cadangan kita". lepas itu sanggup pula berkata,"kami tak mahu kemukakan cadangan dengan terbuka, nanti kena tiru, undi kami dulu, bila menang baru kami tunjuk cadangan kami". Apa hal?

masalah untuk mengenalpasti imej pembangkang yang mana patut diambil supaya sesuai dengan perjuangan islami dan dakwah mengikut sunnah adalah punca kemusykilan golongan muda yang jadi ultra salafi lalu menuduh semua pembangkang adalah khawarij. Jika hijrah pada identiti pembangkang menjadi pencadang yang bertaqwa , seruan ultra salafi tak akan mendapat sambutan malah ultra salafi itu yang akan jadi khawarij.

KEMUSYKILAN 4

Sebab itu golongan muda yang duduk dalam kemusykilan 4 seperti yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal jangan jadi golongan selesa dengan mendakwa "aku adalah golongan 4" jika satu haram idea dan pemikiran tak dibentangkan. Jika mengikut saja mana-mana pemikir muda bentangkan apa-apa idea lalu disambut dengan "wah, syabas" , "hebatnya", "bagus, terkesima aku", "keep it up, salam ziarah" yang bertebaran dalam mana-mana ruang komen laman-laman web hanyalah menjadi golongan musykil yang menginsafi tetapi tidak ada hala tuju mahupun idea yang tegas.

Lebih malang jika jadi golongan pengampu yang bila datang orang memberikan idea kontra pada pemikir yang mereka puja, langsung menghambat dengan "apa ni kurang ajar datang rumah orang cakap kasar-kasar". Padahal mereka pun tetamu juga, bukan tuan rumah pun.Tetamu yang cuba untuk menghambat tetamu lain selayak seperti dia tuan rumah, adalah kurang ajar yang nyata.Jika betul kasar ayatnya , memang layak dihambur sebagai kurang ajar. Tapi jika ayatnya cuma tegas dengan baris ayat cukup sastera dan tidak mengandungi perkataan caci maki, itu bukan kurang ajar malah cukup terpelajar, kerana ada juga yang cuba diajarnya, dari jadi orang yang mengampu semata-mata.Idea pun cuma ulang kopi pasta dari tulisan pemikir yang mereka ampukan itu saja.

Bukan saya mewajibkan semua orang jadi pemikir. Tapi berusaha berfikirlah, dan seruan mengajak pada berfikir ini adalah selari dengan aspirasi qurani dengan akhiran kalamNya menyebut "tidakkah kamu berfikir".

Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah, walaupun pilihanraya bersama parti politik yang ada kini sangat memusykilkan kita atas kecelaruan mereka, semua itu boleh diseimbangkan jika:

1- Pimpinan parti politik meletakkan semua kesamaran menjadi jelas
2- pendokong dan penyokong parti politik mengubah suasana politik menjadi islamik
3- bangkitnya pemikir dan idea-idea bernas untuk menenggelamkan gosip politik murahan dan pergaduhan taraf kanak-kanak tadika di kalangan pelepak-pelepak warung politik.



5 komentar:

Anonymous said...

cadangan kedua tentang lambang supaya pas berkorban lambang dan guna lambang pkr yang didakwa lebih "malaysia" yang terpacul dari minda mahasiswa melayu nasional menunjukkan ramai orang muda jahil daulah islam.

dalam semua orang dah faham pendirian anwar dan pendokong reformis dan pendokong demokratik liberal dalam pkr, boleh pula orang muda melayu terfikir duduk bawak ketiak pemikiran dan ideologi yang dianggap "malaysia" ini dicadangkan pada laman pro-pas.

tengah harakah tak mengulas kenyataan anwar menolak negara islam, ini memberi signal sudah ramai pejuang politik tak yakin sangat keindahan perjuangan mengangkat daulah islam.

adakah ketidakyakinan pada keindahan islam iaitu merujuk apa yang boleh ditawar oleh islam dari sudut ekonomi, sosial dan politik termasuk undang-undang jenayah sebagai tanda kejahilan tentang aspirasi imam hassan al banna dan syed qutb mula mengikis?

satu kebodohan orang muda yang ghairah nak jadi pejuang islami tapi segan-segan nak bangga dengan apa yang boleh islam sumbang bukan setakat optional (pilihan alternatif) tapi teras dan teraju. patutnya cadangan pkr guna lambang pas, dan biar pkr yang jadi segan-segan nak angkat liberal, dan biar tian chua terpaksa berucap menyokong daulah islam dan hudud pas. itu baru dzimmi yang tunduk pada islam. jangan islam tunduk pada harbi.

patut jangan kalah pada umno atau paklah yang berjaya buat mic, mca dan gerakan segan-segan lalu terpaksa sokong islam hadhari sebagai agenda BN. padahal depa bukan paham pun pasal iman dan taqwa prinsip pertama islam hadhari paklah. majoriti umno pun tak faham iman dan taqwa sebab tu ramai orang umno sendiri terpinga-pinga segan pasal islam hadhari. mungkin sebab paklah gagal terjemah prinsip itu pada dirinya sendiri.

Anonymous said...

Jangan nilai PAS melalai kacamata politik... tapi nalailah PAS sbg satu jamaah atau gerakan Islam..

Unknown said...

,,kaji,,dalami islam dulu..
sejarah islam...

baru boleh cakap pasal gerakan islam bro...

ini tau2 nak condemn sana..condemn sini..
ko kalu bab fiqh daulah karya imam mawardi pun takleh hurai..takya la nak gebang bab daulah islam..

entah2 al quran pun tak abis kaji lagi..

ko tau apa kalau nak banding ngan ilmu tok guru ulama nun..

kail panjang sejengkal jgn lautan hendak diduga...

org mcm ko la musuh dlm selimut..baik ko insaf dowhh..balik ke pjg jln..

Aku doakan ko diberi petunjuk sebenar,,,ameen

mfrstudio said...

aku musuh dalam selimut?

maka kau adalah hero islam, begitu?

nah, buktikan dengan tindakan. mari selamatkan umat.

masjid berdekatan dah imarah? anak muda dah selamatkan? dah berjaya martabat ekonomi islam (tanpa riba dan penindasan?)

alhamdulillah, kau adalah hero islam. semoga dapat bertemu kau.

banyak dah jasa kau dalam perjuangan islam.

Anonymous said...

blog je nama al-hikmah.. isinya, hampeh.. tak berhikmah langsung.. memecah belah, tahu koncem saja.. macam habis perfect saja.. huhu.. lucu laa lu mat..