|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
saya yang teruk dan buruk sedang merenung

Misi Damai

Bagi melegakan manusia-manusia yang rupanya masih tak faham apa itu damai, dan apa pula misi damai hendak lakukan maka saya karangkan entri ini dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang dan harapan semoga damai tercetus dan terhapuslah benci dan huru hara.

Memang itu hanya istilah bodoh yang saya tonjolkan kerana memang ada segelintir orang yang berbahasa melayu tak faham apa itu ISLAM tapi faham apa itu DAMAI. Jika saudara-saudara muslim di Amerika berusaha mencanangkan "ISLAM is PEACE" bagi menghapuskan Islamphobia, maka saya sukacita mencanangkan "MISI DAMAI" yang sebenarnya hanya terjemahan "PEACE MISSION", atau sebenarnya nak dibawa adalah "ISLAM".

Islam diketahui sama ambilan istilahnya dari salam yang bererti sejahtera. Tapi bukanlah erti islam itu sejahtera. Namun sejahtera itu terkandung dalam Islam. Sejahtera, aman, damai, cinta, kasih sayang semuanya adalah gambaran-gambaran suasana yang terhasil dari "RAHMAH".

Bukankah Rasulullah s.a.w membawa rahmah ke seluruh alam? Bukankah umat baginda diminta mengambil suri tauladan yang baik dari baginda? Bukankah rahmah yang tersebar itu adalah merujuk pada tersebarnya Islam dengan usaha dakwah? Bukankah dakwah itu tugasan yang diwariskan nabi pada umat baginda? Bukankah dakwah itu dikerjakan dengan hikmah? Maka dakwah ISLAM disebar dengan hikmah akan membawa rahmah, seterusnya menghasilkan sejahtera, aman, damai, cinta dan kasih sayang.

Mudah sahaja, siapa yang memusuhi MISI DAMAI, adalah mereka yang tak mahu sejahtera, aman, damai, cinta dan kasih sayang tergambar dalam dunia ini.

Manual Surat

Sebenarnya sudah tak perlu dihurai lagi bagaimana bawaan damai itu oleh saya, kerana setiap pendirian saya telah saya tulis semuanya ke dalam satu surat yang sudah menyebut segala gerak kerja dan pendirian saya termasuk dalam bawaan MISI DAMAI ini.

lihat satu persatu untuk memahami. Benar, saya sekarang sedang mengajar manual memahami surat saya yang ditulis januari lalu.
http://alhikmah-diari.blogspot.com/2008/01/surat-terbuka-buat-penyinggah-blog-ini.html

Oleh itu sesiapa yang mahu entri padat, maka surat itu jawapannya. Tapi barangsiapa yang tak faham surat saya, maka entri ini manualnya.

Kita mula dengan point nombor 5 :

"5.Saya menyeru dan menawarkan damai"

Mari lihat pengisiannya:

"Saya menyeru dan menawarkan damai. Atas keyakinan islam ini agama yang mempromosi kedamaian, maka saya dengan bersungguh-sungguh mempromosikan damai sebagai matlamat dan jalan."

mari lihat point seterusnya,

"Kita menuju damai. Kita bertindak damai."

Baik, mari lihat contohnya pula dalam ayat seterusnya:

"Adakah suatu yang rancu fikiran saya bila menawarkan damai buat kelompok yang saya iktikad sebagai sesat? Bukan sekadar syiah, malah saya beriktikad kristian itu sesat, agama buddha dan hindu itu sesat. Saya juga menawarkan damai buat penganut kristian, buddha dan hindu. Apakah saya bersalah kerana menawarkan damai buat penganut syiah?"

Baik, mari saya huraikan sedikit.

Dalam al-ahkam.net ada sebuah thread:
http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=MDForum&file=viewtopic&t=35946

Dalam thread itu ada yang mengkafirkan syiah.

seperti ini:

"Ana masih ingat lg ms pergi seminar pemikiran syiah yg dianjurkan oleh Jab.mufti wilayah...resolusi yg dicapai...syiah tidak kafir...cuma salah akidah je.punyalah terkejut beruk kami semua.... Mengarut betul malaysia ni"-sheikh al jawhar

"mengaji dulu syeikh.. enta tak kaji syiah apa enta tau....
sudah berpuluh tahun org duk kaji syiah.
walaubagaimanapun, syiah yg dikafirkan itu merujuk kepada
syiah majoriti, jika tidak dikafirkan kita akan sebut syiah _ _ _ _ "-tanpanamax

"setiap orang yang mengaku dirinya sebagai syiah bermakna dia mempunya dan berpegang kepada akidah2 tersebut.
lalu apakah kita akan mengatakan orang yang berpegang dengan akidah tersebut yang jelas bercanggah dengan al-quran sebagai seorang Islam..??
jadi bagi saya setiap orang yang mengaku dirinya adalah syiah maka ia terkeluar dari islam."-abu naaielah

Nah, apabila saya melihat saja perbuatan takfir itu, saya teringatkan wawancara Dr Yusuf alQaradawi tentang perjuangan Hizbullah menentang Israel pada tahun 2006.
http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/2006/08/wawancara-syeikh-yusuf-al-qaradawi.html

Dr alqaradawi menyebut:
"Saya tidak membezakan antara Syiah dan Sunnah, meskipun Syiah berbeza dengan kita dalam beberapa perkara cabang. Mereka tetap terdiri daripada ahli La ilaha illallah.

Mereka mempunyai persamaan dengan kita dalam banyak perkara-perkara prinsip. Mereka bersama-sama dengan kita dalam lingkungan umat Islam, sebahagian yang tidak terpisah daripadanya."

Walaupun Dr Yusuf alQardawi bukan tokoh yang sama manhaj seperti yang saya sebutkan dalam point nombor 2:

"2.Saya sunni syafiiyun.

Saya seorang sunni. Saya mengiktiraf mazhab asyairah dan maturidiah untuk diajarkan pada saya untuk diiktikad dalam hati demi memahami akidah Islam seorang sunni. Saya mengiktiraf mazhab syafie untuk diajarkan pada saya untuk dijadikan panduan beribadat dalam Islam seorang sunni."

Namun, Dr Yusuf alQardawi adalah rujukan utama dalam perselisihan salafiyyah di al-ahkam.net.Seperti tentang takfir Asyairah, al-ahkam.net dengan otaknya sifoo zain-ys mengambil pendirian sama dengan Dr Yusuf alQardawi yang menganggap pentafsiran akidah Asyairah dan Salafiyyah hanya berbeza dari kaedah takwil sahaja. Ia termasuk khilafiyyah yang tidak mengkafirkan mana-mana pihak.

Oleh itu, saya menganggap ketika saya masuk ke dalam thread yang ada takfir syiah itu, saya sudah tertanam niat damai sunni-syiah yang dibawa sama oleh Dr Yusuf alQardawi. Jika damai sunni-syiah yang dibawa oleh Dr Yusuf alQardawi ini dibenci oleh kelompok salafiyyah al-ahkam.net maka ketahuilah point nombor 6 dalam surat saya akan berjalan:

"6.Saya berperang dengan musuh tapi tidak melampaui batas

Saya berperang dengan siapa yang memerangi saya. Saya berperang dengan siapa yang memerangi agama saya. Saya berperang dengan siapa yang memerangi negara saya. Namun saya berperang untuk mempertahankan "damai". Supaya "huru-hara" dan "kacau-bilau" tidak mengganti "damai" yang ada, maka saya memerangi mereka yang berniat mencetuskannya. Saya tidak melampaui batas supaya nanti akan jelas kelihatan saya mahukan damai, sedang yang memerangi saya mengkehendaki huru hara dan kacau bilau. Jika mereka mendakwa mereka juga pejuang "damai", lalu "damai" dan "kasih sayang" yang saya tawarkan ditolak, mereka memilih juga "perang", maka sesungguhnya mereka memang mahukan "perang" dan bukan "damai".

Dr Yusuf alQardawi juga walaupun menegaskan syiah adalah sebahagian umat Islam, namun beliau tidak teragak-agak memberikan nasihat pada syiah yang melampaui batas sehingga merosakkan "damai" yang cuba dicetuskan beliau antara sunni-syiah itu, merujuk syiah di Iraq, beliau berkata:

"Namun saya mempunyai kata-kata nasihat yang ingin saya sampaikan kepada mereka. Saya tidak bersetuju dan mengutuk sikap fanatik yang ditunjukkan oleh Syiah di Iraq. Saya menyeru agar mereka meninggalkan tindakan keganasan yang mereka lakukan terhadap saudara-saudara mereka dari kalangan ahlis sunnah. Mereka hendaklah menghalang daripada berlaku penyembelihan yang sedang berlaku, kerana ia hanya akan memberikan keuntungan kepada penjajah Amerika dan regim Zionis."

Ketahuilah syiah di Iraq tidak akan sampai hati jika mereka juga adalah pembawa misi damai, iaitu salah satu cirinya tidak mengkafirkan sesiapa yang telah memiliki kalimah syahadah. Syiah di Iraq tak akan sampai hati menyembelih Sunni jika syiah itu memahami Sunni adalah saudara seislam mereka.

Konsep persaudaraan sebagai teras misi damai ini telah saya sebutkan dalam point nombor 7:

"7.Saya menyambut baik siapa yang mahu bersaudara dengan saya.

Saya menyambut baik sesiapa yang menganggap saya saudara mereka. Pastilah saya akan menganggap mereka saudara buat siapa yang menganggap saya saudara mereka. Saya akan menganggap orang yang mengaku Islam itu Islam. Saya akan menganggap orang yang mengaku beriman itu beriman. Saya akan menganggap orang yang mengaku sunni itu sunni. Saya akan menganggap setiap yang mengaku Allah itu Tuhan Yang Esa dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah itu haram dikafirkan. Tidak rugi saya beranggapan sedemikian, kerana sesungguhnya memang manusia itu tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia lain, maka menyerah kepada Allah itu jalan yang baik."

Baik, bagaimana pula jika Sunni pula tidak menganggap Syiah sebagai saudara seislam mereka?

Nah, maka sunni itu pulalah yang akan mengambil tempat orang-orang syiah di Iraq, yang telah mengganggu proses damai sunni-syiah yang ingin dicetuskan oleh Dr Yusuf alQaradawi.

Jika ada syiah yang disembelih oleh sunni ketika itu, maka sunni yang benci "MISI DAMAI" akan bertepuk tangan dan sebut "padan muka". Oleh itu, bagaimana kita yang membawa misi damai boleh menjadi sunni yang sebegitu? Oleh sebab itulah Dr Yusuf alQaradawi tidak memilih menjadi sunni yang bencikan "misi damai", maka beliau tidak mengkafirkan syiah walaupun menyedari syiah yang fanatik di Iraq telah pun mengkafirkan sunni.

Perbuatan kafir-mengkafir memang akan mengganggu DAMAI. Tak perlu nak pergi jauh, cukup kita meninjau suasana politik di Malaysia, apa yang telah jadi apabila perbezaan politik akhirnya berakhir dengan kafir-mengkafir? Kesannya cukup parah, apabila masing-masing merasakan PERMUSUHAN. Ya, itu adalah sebaris dengan istilah lain yang anti-damai, huru-hara, benci, bermusuh.

Adakah umat Islam bermusuh dengan semua kafir? Tidak, umat Islam tidak bermusuh dengan semua kafir. Kafir zimmi diberikan hak mereka, sakitkan kafir zimmi bermakna sakitkan Rasulullah s.a.w. Namun, adakah pengkafiran sesama Islam akan berakhir seperti layanan baik pada kafir zimmi? Tidak. Kerana pengkafiran umat islam akan menyebabkan umat islam yang dikafirkan itu dianggap munafik dan musuh dalam selimut. Maka anda faham kenapa PAS boleh bekerjasama dengan DAP tapi tidak UMNO, bukan? Maka anda juga pasti faham mengapa ada Sunni yang mengkafirkan Syiah akan berkata, "Syiah lebih bahaya dari Yahudi". Ya, itu kesannya.Ada Damai? Tiada.

Bagaimana berhadapan dengan orang benci MISI DAMAI?

Mari lihat point nombor 6 saya bahagian akhir:

"Saya tidak melampaui batas supaya nanti akan jelas kelihatan saya mahukan damai, sedang yang memerangi saya mengkehendaki huru hara dan kacau bilau. Jika mereka mendakwa mereka juga pejuang "damai", lalu "damai" dan "kasih sayang" yang saya tawarkan ditolak, mereka memilih juga "perang", maka sesungguhnya mereka memang mahukan "perang" dan bukan "damai"."

Jika sekadar mereka menyatakan "syiah akan kafir jika.." maka kita boleh berhusnuzon bahawa pihak tersebut mengingatkan akan "perkara-perkara yang membatalkan akidah islam" menurut manhaj atau mazhab masing-masing. Kita sunni juga boleh jatuh kafir jika sekadar meninggalkan solat dengan sengaja. Walaupun sebahagian pendapat tidak jatuh kafir namun berdosa besar.

Tetapi apabila ada pihak dengan yakin menyatakan "syiah adalah kafir" atau memang beriktikad "syiah bukan islam", maka tentulah pendapat-pendapat sebegini adalah pendapat yang memusuhi syiah. Atas kerana beriktikad kafir antara satu sama lain, maka sunni dan syiah berperang di Iraq.Jika Dr Yusuf alQaradawi menyebut syiah yang mengkafirkan sunni adalah syiah fanatik,maka tidak mustahil sunni yang mengkafirkan syiah adalah sunni fanatik.

Jika saya tawarkan damai, seperti Dr Yusuf alQaradawi menawarkan damai untuk sunni dan syiah merasakan mereka adalah saudara seislam telah ditolak dengan kenyataan yang menentang persaudaraan damai itu, maka tentulah pihak ini tidak sukakan damai, tapi mahukan perang.

Apa yang kita perlu pastikan adakah pendirian-pendirian yang mengatakan syiah kafir atau takfir syiah ini dibuat dengan keyakinan bahawa syiah sememangnya wajib dianggap kafir non muslim, atau mereka hanya berpendirian begitu namun menyokong akan MISI DAMAI ini.walaupun hal itu amat pelik dan aneh dari segi prinsip.

Sebab itu, apabila saya memasuki thread mengenai takfir syiah di al-ahkam.net , saya ingin mengenalpasti pendirian manusia-manusia yang beriktikad syiah itu kafir. Adakah mereka menganggap syiah kafir, tapi tak memusuhi syiah ertinya sanggup mencapai DAMAI? atau mereka sedang menjana kebencian terhadap syiah supaya nanti akan berlaku PERANG? ketahuilah "PEACE MISSION" adalah untuk mengelak "WAR". "NO WAR BUT PEACE" itu cogan kata misi damai untuk menenteramkan dunia dari perang.

Saya tahu ada dua versi utama salafiyyah di al-ahkam.net. Pertama, adalah mengangkat manhaj yang dibawa oleh Dr Yusuf alQardawi. Mereka ini selalunya bersikap hati-hati dan tak mudah jatuh hukum. Sebahagian besar mereka menyambut baik MISI DAMAI yang saya bawa. Kedua, adalah mereka yang mengangkat manhaj arab saudi. Fatwa-fatwa arab saudi diambil sebagai rujukan utama berbanding fatwa kontemporari Dr Yusuf alQaradawi. Oleh sebab itu, bagi mengesan pendirian kumpulan yang mentakfir syiah itu adakah merujuk fatwa arab saudi, maka saya bangkitkan isu Mekah yang dibenarkan dikunjungi syiah termasuk melampirkan gambar Presiden Iran di kawasan tanah haram.

Saya masih memantau 4 individu yang mentakfir syiah dengan nyata. Adakah mereka khilaf sesama sendiri? Itu saya tak pasti kerana saya masih mengkaji pendirian mereka.

Bagaimana yang benci Pendamai

saya sedar diri saya bukan pendamai yang baik. pernah saya tulis suatu masa dahulu dalam blog ini mengenai "Entri Perasan" ,"Surat Cinta Yang Hilang", dan "Blogevolusi" yang masing-masing adalah entri bersiri mengisahkan diri saya. Saya berasa malu setiap kali membaca semula entri-entri tersebut, maka beberapa kali saya menutup blog ini, dan memindahkan entri-entri yang punya manfaat untuk muhasabah mengenai perjuangan sahaja ke arkib di forum saya. Kemudian saya membuka blog alhikmah-diari ini semula dengan "surat terbuka buat penyinggah blog ini" menjadi entri pertama dan utama.

Saya sedih apabila dihina. tapi saya sedar diri saya hina. Maka saya cuba berlatih memuliakan saudara saya yang menghina saya. Ini adalah apa yang saya belajar dari jamaat tabligh selama berkhuruj di bumi Jepun ini. Jika ada orang-orang yang kita ketuk pintu kemudian menghina kita hanya kerana kita mahu bercakap mengenai kebesaran Allah dan keutamaan dakwah, kita mesti membalas penghinaan itu dengan pujian.

Ini juga baik sebagai kaedah mengurus hati kita. Hati kita ini ada banyak penyakit dan penyakit itu kebanyakannya datang dari nafsu amarah yang jahat. Namun dengan kaedah memuji saudara yang menghina kita, dan menanamkan keyakinan husnuzon tahap tertinggi ke atas saudara kita, maka amarah itu akan hilang. Apatah lagi jika kita menambah dengan kehinaan diri di hadapan Allah, dengan kita yakin bahawa Allah sedang melihat kita dan hati kita. Dengan sifat tawadhuk dan berusaha menanam sifat hina di depan Allah, maka kita tak akan marah jika orang menghina kita. Malah kita setuju dengan mereka.

Ini mungkin kaedah yang salah bagi sesetengah orang yang yakin, kita tak wajar merendah diri sangat dan mesti yakin akan keupayaan dan kebolehan diri. Tapi ketahuilah, dengan cara yang saya amalkan ini, saya telah berjaya menghapuskan sifat benci pada orang, marah pada orang, dendam pada orang. Dan dengan mengingat setiap penghinaan yang pernah dipalit ke muka saya, saya telah berjaya menghapuskan sifat riyak, perasan bagus, bangga diri, angkuh, sombong,ketika diberikan pujian. Malah saya berjaya menanamkan sifat kehambaan pada Allah, ingat bahawa kita tak punya apa-apa melainkan meminjam dari Allah semata-mata, dan selalu insaf mengenai ajal yang bakal tiba.

Oleh itu, jika orang menyampah dengan cara saya membawa misi damai, saya mohon maaf. Saya tak mampu nak membawa misi damai dengan berdamai di satu pihak A yang benci B dengan pura-pura sokong A, kemudian berdamai dengan pihak B yang benci A dengan pura-pura sokong B. Apa yang saya bawa adalah misi damai yang menghapuskan kebencian A dan B. Maka sesiapa yang sukakan A dan B berdamai, akan menyokong misi damai. Tapi sesiapa yang bencikan A dan B berdamai, dan mahu terus bermusuh akan bencikan misi damai termasuk pendamainya sekali.

Saya tegas dengan misi damai saya. Saya seru damai dan saya berbuat damai. Berbuat damai ertinya saya tak membalas penghinaan orang terhadap saya kerana bawakan misi damai, malah saya balaskan dengan pujian melambung selayak kata-kata mereka yang bersaksi pada diri mereka sendiri. Bila mereka kata saya bodoh, maka saya puji diri mereka pandai sambil mengaku diri saya bodoh. Itu adalah cermin buat diri mereka. Mereka akan malu dan insaf jika mereka sebenarnya tidak pandai atau sama bodoh. Mereka akan syukur jika mereka benar-benar ada kepandaian yang saya ini bodoh tentangnya.Saya akan terus iktikad mereka adalah pandai berdasarkan penghinaan mereka itu.

Begitu juga jika puak yang bencikan misi damai memerangi saya, ertinya menjadikan saya musuh mereka, maka saya akan memerangi mereka juga tapi tidak melampaui batas. Jika mereka memerangi saya kerana perbuatan saya melanggar perjanjian DAMAI, maka saya akan memerangi diri saya sendiri (nafsu) untuk kembali di trek DAMAI.

Saya rasakan tulisan ini cukup. namun jika masih tak cukup lagi, saya akan karangkan siri kedualah pula, tapi ketahuilah hati saya amat benci untuk terangkan misi, tapi saya hanya mahu menjalankan misi. Saya rasa surat terbuka saya sudah menjelaskan segalanya.

NOTA

*Misi saya bukannya dalam alam maya, tapi alam realiti! Ada orang fikir misi yang saya jalankan adalah dengan masuk berforum.Berforum adalah sebahagian usaha saya mengkaji pendirian dan manusia. Dan misi damai ini bukannya semata-mata sunni-syiah. Sunni-syiah itu hanya sebahagian sahaja isu dalam misi damai yang panjang. Misi Damai adalah beban dakwah untuk menyebarkan islam dan menghadirkan rahmah dalam suasana setempat. Antara usaha misi yang sedang berjalan di Gofuku Toyama adalah dengan aktiviti di Gofuku Musolla yang telah berjaya diwujudkan pada tanggal 6 April 2008 lalu. Misi Damai itu sebahagian pula dari agenda Renassaice Hikmah yang merupakan point terakhir saya dalam surat terbuka. Hadirnya saya di Jepun menuntut ilmu kejuruteraan ini juga sebahagian rancangan saya dalam Renassaice Hikmah. Mereka yang langsung tak ambil tahu dari awal pembentangan cita-cita saya semasa saya tingkatan dua di SMKRP Klang dulu tak perlu nak bising-bising komen apa itu misi saya. Sekali kamu tak peduli , tak payah peduli langsung. Kamu tak terjejas dengan misi saya.

----------
di samping saya tegas dengan mereka yang berusaha mengkafirkan syiah, saya juga tegas dengan syiah yang mengkafirkan para sahabat. Misi Damai menghapuskan sikap kafir mengkafir sesama islam. antara video saya menentang usaha syiah mengkafirkan sahabat, baca description juga sambil menonton:

http://www.youtube.com/watch?v=EYG7eXDEKFA

http://www.youtube.com/watch?v=T9aBSqfRQCY

http://www.youtube.com/watch?v=HhXHI6IRjto

0 komentar: