|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Hidup bersendirian bukan merupakan sunnah Rasulullah. Namun, ada waktu dan tempohnya manusia perlu bersendiri untuk mencari dan mendalami akan diri dan hati sendiri. Kisah Imam Al Ghazali berpergian bersendirian mencari makna diri dan jiwanya terhadap hakikat kehidupan seorang manusia dan keTuhanan, benar-benar memberikan kesan pada jiwa aku. Aku menjunjung usaha Imam al Ghazali dalam bermuhasabah diri, dan aku benar-benar mahu menjadi sepertinya untuk sama-sama menjumpai apa yang dikatakan sebagai HIDAYAH ALLAH itu. Hati dan jiwa aku sakit. Memang benar, ia sakit atas konflik jiwa, perasaan, diri dan pemikiran aku sejak aku kecil lagi. Pertembungan diri aku dengan suasana masyarakat dan negara benar-benar memberi kesan pada diri aku. Tatkala itu aku menetapkan usaha uzlah bagi mencari kebenaran selama 5 tahun (2005-2010) itu sering saja disalahfahami orang.

Siapa pula yang mengatakan aku menolak hidup berjamaah? Aku menolak untuk menggabungkan diri dengan organisasi atau gerakan jamaah tertentu atas kerana menggabungkan diri pada mereka mengikat aku pada komitmen dan suasana berfikir mereka, lalu bagaimana dengan jiwa aku yang sakit ini? Apa mereka benar-benar sering memberikan aku ruang untuk memulihkannya atau mereka menyesakkan aku lagi?

Aku telah menimbang banyak perkara, dan aku sukakan dakwah menjadi perjuangan aku sehingga menemui kematian nanti yang sudah tidak lama lagi kan muncul, namun sering saja jiwa aku yang menagihkan hikmah berdakwah itu meronta-ronta dan sering bertentangan dengan sikap dan pegangan sesetengah ahli jamaah dalam beberapa organisasi yang ada.

Mengapa aku tolak UMNO

aku mengaku, orang UMNO (bukan semua) punya citarasa untuk maju berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain di dunia. Mereka mahukan anak-anak melayu miskin seperti aku menjadi orang yang dihormati dan tidak dihina apabila berhadapan dengan bangsa lain yang sudah maju di dunia. Soalnya, mereka tidak mahu aku dan bangsaku diperlekehkan. Sejarah ketika British menduduki tanah melayu , dan bagaimana melayu dilayan oleh bangsa Inggeris benar-benar memberikan pengajaran pada mereka. Mereka mahukan ketuanan melayu, atas sebab sakitnya jiwa mereka melihat diri mereka menjadi kuli dan hamba di negara mereka sendiri.

aku bukan asing dari kesedaran itu malah, orang-orang tua di kampung aku juga banyak bercerita soal itu, soal kisah lalu. Aku memang suka mengikuti bicara mereka. Mereka bercerita, jika ada tuan Inggeris mengupah si melayu menjadi drebar pun, melayu dah terasa banggga. Dapat mengelap kereta si tuan Inggeris pun dah rasa glamor. Melayu mula rasa berpakaian kampung itu kolot. melayu mula merasakan berpemikiran akan jin dan hantu itu kampung. Malangnya, mereka tolak terus segala yang baik dari tradisi budaya melayu.

apatah lagi imam-imam di kampung itu tidak tahu berbahasa inggeris atau mahir akan ilmu sains atau mampu berbisnes membina harta, fikir mereka. Mereka pandang kekayaan itu satu kemuliaan. Sehingga timbul satu zaman, melayu juga punya kasta. si miskin di kampung tidak setaraf dengan si kaya di bandar. Apa yang ada pada si miskin? siapa itu kassim selamat? majistret, loyar, doktor, enjinia? lalu ada melayu mula memberontak pada zaman itu dengan menjadi ahli muzik. seni dijadikan jalan buat mereka tunjuk mereka juga mampu glamor.

Glamor dan imej luaran jadi ukuran. di satu pihak melayu memikirkan imej maju itu adalah mampu berbahasa inggeris, kuasai ilmu sains, dan berbisnes menjadi kaya raya. golongan ini menjadi golongan liberal, politikusarap, dan kapitalis keparatis. pada pihak yang satu lagi, imej maju adalah dengan mengubah dan menyerapkan budaya popular barat, yang mudah untuk dibina tanpa perlu bersusah payah bekerja dan menuntut ilmu, hanya bermodalkan sedikit bakat dan rupa, mereka ketengahkan pop yeh yeh, jazz, rock dan sebagainya. Golongan ini akhirnya berkembang menjadi sekularisme artis.

Ketika kesedaran untuk merdeka muncul, para pemimpin yang lahir timbul dari ceruk ceruk dan celah-celah budaya pemikiran imej moden dua golongan di atas sedang berkembang. UMNO juga telah diserapi dan ditunjangi oleh kedua-dua golongan ini, walaupun hakikatnya ada ulama, ada patriot, ada perwira bangsa yang wujud dalam UMNO. Namun dari setahun ke setahun, generasi ke generasi, dua golongan ini segar tumbuh dan diraikan perkembangannya.

Sehinggalah segalanya berkecamuk apabila pertembungan barat dan timur, moden dan islam, menyebabkan pemikiran islam dipecah sebagai "melampau dan sederhana" berakar kukuh dalam UMNO. Pemikiran inilah yang telah meraikan golongan liberal, politikusarap, kapitalis keparatis, dan sekularisme artis terus mendapat tempat mulia di dalam negara. Aku menolak untuk menggabungkan diri dalam UMNO kerana aku tak mampu mengubah dan melawan UMNO dari kepompong pemikiran ini dari dalam, dan aku menganggap strategi yang lebih berkesan aku lawan kelompok ini tanpa diri aku terikat dengan disiplin dan perlembagaan UMNO.

Mengapa aku tolak PAS

Ia soal cinta pada Islam, maka golongan yang menolak proses kebaratan merasakan perlunya menentang dengan berjuang dengan ideologi Islam itu sendiri. PAS pada asalnya dirancang untuk menjadi agen islah atau proses islamisasi UMNO, namun akhirnya keluar berdiri sebagai entiti tersendiri bagi menjadikan Malaysia sebagai Daulah Islam buat orang melayu dan islam.

Walaupun PAS bergerak berdasarkan rentak pemimpin berpengaruh yang datang dan pergi mereka, namun PAS menjadi lambang akan kewujudan satu lagi kelompok dalam masyarakat melayu dalam melihat proses penjajahan dan kemerdekaan di tanah melayu. Mereka mungkin satu kelompok yang kuat menentang penjajahan atas perjuangan mempertahankan akidah dan jihad menegakkan ajaran Allah di muka bumi malaysia.

Namun, atas sebab kelompok mereka terhimpun dari golongan yang punya kemahiran sehala iaitu berdasarkan ilmu islam semata-mata, maka PAS gagal memperlihatkan imej sebuah kumpulan pemimpin yang mampu memandu pelbagai bidang di malaysia yang diketahui bukan dalam soal syariah semata-mata tetapi turut melibatkan ekonomi, perancangan bandar, diplomasi luar negara dan sebagainya. Namun hal itu ditampung sejak kebelakangan ini apabila wujudnya krisis dan kebobrokan UMNO sehingga ada ahlinya yang punya kemahiran moden menyerap dalam PAS.

Akan tetapi dalam proses penyerapan itu, PAS terlepas pandang apabila unsur politikusarap juga turut dibawa masuk dalam PAS. Politikusarap mungkin seakan fenomena natural yang melanda pada sesebuah organisasi politik yang menyertai sistem demokrasi berpilihanraya, atas sebab prinsip dan aturan sistem itu meraikan pertumbuhan pemikiran politikusarap maka PAS juga turut tidak terkecuali dari unsur ini. Sifat paling ketara adalah apabila PAS membiarkan ahli menjadi taksub pada perjuangan menentang musuh politik hingga sering saja melanggar aspek adab dan akhlak islamiyah. Perkara ini telah memberikan imej agak buruk pada PAS atas sebab sikap ahli penyokong yang hanya terdidik untuk berjuang dalam islam akan tetapi mengabaikan aspek syumulnya islam yang indah dalam membentuk keperibadian muslim.

Ahli yang terbiar dengan imej itu sebenarnya dibela oleh golongan politikusarap dalam PAS. Mereka membiarkan ahli tidak terdidik dengan aturan didikan islam mirip sepertimana Rasulullah mendidik para sahabat hingga membentuk jamaah islam yang syumul dan indah. Politikusarap bertanggungjawab dalam kelemahan ini.Dan atas sebab lompang ini maka unsur khawarij, wahhabi, salafi,eksklusivisme melebar dalam jamaah ini.

aku menolak untuk menggabungkan diri dalam PAS kerana unsur inilah, dan perkara ini bukan teori lagi apabila aku dihina apabila tidak bersama PAS, dan apabila aku menegur atau mengajak pada hikmah golongan politikusarap tidak malu-malu menonjolkan sifat mereka dengan kata-kata makian yang hina hingga mengkafir aku yang sebenarnya tidak pernah diajar oleh dakwah rasulullah dan para sahabat. Islam tidak akan tersebar di seluruh dunia dengan sikap politikusarap tidak beradab ini.aku tidak mampu mengubah PAS dan berlawan dengan unsur ini dari dalam dan aku lebih merasakan strategi dari luar mampu membawa perjuangan lebih suci dan bermakna.

Mengapa aku tolak PKR-Anwarisme

parti ini asalnya parti keadilan yang ditubuh atas faktor Anwar. Anwar Ibrahim satu ikon yang aku kagum pada asalnya. perjuangannya dalam Abim tiada siapa dapat menyanggah bahawa telah mencatatkan satu fenomena islamisasi masyarakat dengan perjuangan dakwah yang unggul. Walaupun sudah menyertai UMNO, seruannya pada islamisasi seperti wacananya mengenai masyarakat madani itu masih lagi aku persetujui.

Namun, apabila parti ini mengambil kaedah demonstrasi jalanan, aku telah mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena.Apatah lagi istilah 'reformasi' mula menggema. Aku mengakui, zaman timbulnya parti keadilan inilah merupakan titik tolak buat aku mengkaji politik tempatan dengan lebih mendalam iaitu sekitar tahun 1998.

Reformasi yang pada asalnya ditimbulkan di indonesia oleh mahasiswa kristian yang disokong pope dan melebar hingga menjadi pergerakan mahasiswa secara menyeluruh menjadi titik tolak berjayanya suharto ditumbangkan, seolah-olah menjadi rujukan parti ini. Apatah lagi keahliannya dibuka kepada semua aktivis penegak demokrasi liberal, pejuang hak asasi manusia yang hujah-hujah mereka berkiblatkan barat atau amerika, buat aku lebih curiga.

Strategi perang saraf melalui risalah-risalah propaganda yang mengutuk peribadi pemimpin atau musuh politik mereka dalam UMNO yang dijalankan semasa zaman reformasi 1998/1999 itu turut tidak selari dengan jiwa aku yang mendambakan hikmahnya dakwah seperti mana dakwah rasulullah yang mendidik jiwa.Ia bertentangan dengan banyak prinsip dakwah termasuk yang diperjuangkan Anwar dalam Abim sendiri.

Apatah lagi parti ini akhirnya menerima pergabungan dengan parti rakyat yang rata-rata unsur sosialis yang punya agenda tersendiri itu aku fikirkan banyak menghalang kebangkitan islamisasi syumul.

akhirnya aku tolak bulat-bulat PKR atau Anwarisme untuk menjadi wadah perjuangan aku.

mengapa aku tolak Hizbut Tahrir

Aku sukakan impian dan cita-cita parti ini. Malah aku pernah punya impian itu,aku merasakan seluruh umat islam punya impian yang sama juga. Konsep merobohkan sempadan semua negara islam menjadi suatu empayar besar dengan diketuai seorang khalifah sememangnya amat dicita-citakan oleh seluruh umat islam apatah lagi di zaman ini umat islam tertindas dan tidak terbela.

Konsep intelektualisme yang menghuraikan kepimpinan islam secara ilmiah juga kadang kala memikat hati aku pada jamaah politik ini. Namun, penumpuan kepada usaha mengambil alih kepimpinan sahaja, membuatkan aku tertanya-tanya, apakah konsep mengislah masyarakat itu atau dakwah islamiyah itu hanya selepas tertegaknya daulah islamiyah atau empayar islam ini? Dan bagaimana khalifah yang seorang itu bakal dilantik, atas kategori apa dan siapa?

Mungkin atas sebab aku tidak begitu mendalami kelompok ini, maka aku masih keliru dan begitu banyak sekali tanda tanya. InsyaAllah, aku akan cuba memahami mereka, namun setakat ini aku menolak untuk terus menggabungkan diri tanpa tahu konsepnya bagaimana.

Mengapa aku tolak Rufaqa

Bagi sesiapa yang tidak mendalami kumpulan ini mungkin berpendapat Rufaqa benar-benar hanya sebuah kompeni yang menjalankan perniagaan. Atau jika ada yang mendalami pun, setakat menganggap cuma satu kumpulan ajaran sesat yang sudah tidak bermaya.

Bagi diri aku yang punya sejarah tersendiri dengan kumpulan asal rufaqa iaitu al arqam, pastinya punya perspektif berbeza melihat mereka.

Aku sukakan konsep dakwah al arqam, yang rata-rata teorinya menepati jiwa aku yang mengkehendakikan dakwah hikmah dan renassaince islam. Konsepnya mudah iaitu dalam diri manusia ada hati dan hati ini mengawal segala tingkah laku manusia. Mendidik hati ke arah jalan islam mampu membina keperibadian unggul seorang manusia bergelar muslim. Dari pada manusia ini nanti mereka membentuk keluarga. Pastinya sesiapa yang mengikuti perkembangan al arqam pasti mengingati imej al arqam suatu masa dahulu yang dipandang sebagai jamaah poligami kerana asaari menggalakkan poligami di kalangan ahlinya.

Dari keluarga ini akan dibinakan setiap insan di dalamnya ke arah suasana islam. Dan antara keluarga akan membentuk jiran tetangga yang akhirnya membentuk sebuah kampung atau bandar. Asaari bercita-cita untuk membawa konsep ini dalam membawa malaysia ke arah daulah islamiyah. Dari bandar itu akan membentuk entiti negeri dan seterusnya negara. Konsep dakwah yang mengajar dari hati kepada manusia kepada keluarga kepada jiran kepada kampung kepada bandar kepada negeri seterusnya negara ini benar-benar aku rasakan sebuah konsep yang hikmah.

NAMUN, hal itu tidak berlegar kepada konsep itu semata-mata di dalam arqam dalam hayatnya yang terakhir. Ada konsep daulah kepimpinan imam mahdi dan pemuda bani tamim telah menjadi lebih ulung daripada konsep yang asalnya. Dari konsep itu maka timbulnya pemujaan ke atas asaari dan gelincirnya iktikad dan kepercayaan ahli dalam perjuangan hingga membuatkan aku merasakan jamaah ini tidak akan diredhai oleh Allah s.w.t.

Oleh itu jiwa aku bukan saja mengkehendaki hikmah, tapi yang lebih penting adalah redha Allah. suatu konsep yang dipandang hikmah tetapi melalui jalan yang tidak diredhai akan membuahkan satu perjuangan yang tidak bermakna. Maka aku menolak mereka, menolak asaari, seterusnya apabila sedikit demi sedikit dakyah asaari dan para pemimpinnya kini memperlihatkan pada aku mereka benar-benar bukan jamaah kebenaran malah mungkin membawa kepada kesesatan.

Aku amat percaya asaari masih lagi menjulang impian daulah, apabila rufaqadaily sering saja mempropagandakan konsep mendapatkan daulah yang pernah ditekankan dalam arqam dahulu. Rufaqa mungkin dari luar adalah sebuah entiti perniagaan namun hakikatnya mereka punya cita-cita politik tersendiri.

Mengapa aku tolak tabligh

jamaah tabligh bukan gerakan politik. konsep daulah juga jarang diperkatakan sesama mereka. Mereka adalah kumpulan yang cuba membaiki diri supaya nanti menjadi asbab suasana umat islam berubah. Dari perubahan itu nanti bukan saja daulah malah kekuatan umat akan tersedia kuat dan perkasa kerana teras perjuangan mereka adalah meningkatkan iman. Iman diyakini oleh mereka menjadi modal terpenting buat manusia muslim.

Konsep ini juga amat menepati jiwa aku yang mahukan hikmah. Hikmah juga berteraskan iman. Allah s.w.t tidak mengurniakan hikmah melainkan kepada yang beriman kepada Allah s.w.t. Aku bersetuju bahawa iman merupakan modal utama perjuangan. Aku yakin setiap pejuang jamaah lain juga meyakini perkara sama atas sebab Rasulullah sendiri diutuskan untuk menyebarkan keimanan kepada Allah s.w.t dan hal-hal ghaib yang lain. Berjuang atas nama islam semata-mata tanpa usaha iman juga adalah perjuangan yang kosong.

Namun, sesetengah ahli tabligh yang benar-benar menggabungkan diri dalam jamaah ini secara aktif rata-rata meyakini bahawa tiada usaha dakwah lain yang lebih berkesan melainkan dengan cara dan kaedah jamaah tabligh semata-mata. Atas konsep inilah maka ia tidak menepati jiwa aku yang lebih merasakan konsep renassaince iaitu penyerapan dan kebangkitan dakwah islam dari segenap sudut kehidupan perlu diwujudkan.

Ertinya dakwah terlaksana oleh seorang pelukis yang melukis, seorang doktor yang merawat, seorang guru yang mengajar, seorang penyanyi yang menyanyi, seorang pensyarah yang bersyarah, seorang blogger yang berblog, seorang petani dan nelayan yang bekerja. Dakwah disampaikan dalam segenap cara dalam setiap masa. Bukan mesti keluar 3 hari atau 40 hari dengan metod jamaah tabligh , walaupun aku menyetujui metod mereka amat penting dan berkesan.

aku menolak untuk menggabungkan diri namun, beberapa kali juga aku mengikuti dakwah mereka dan menyertai mereka atas sebab aku menyetujui ada kesannya pada jiwa dan hati aku dengan tarbiyah mereka. Namun untuk mengatakan semata-mata kaedah itu yang dipanggil sebagai dakwah islam, adalah tidak wajar, dan aku tolaknya untuk tidak menghalang usaha penyerapan dakwah renassaince hikmah.

Mengapa aku tolak wahhabi, salafi, arisme

aku tidak berbicara hal ini kerana telah banyak di dalam entri sebelum ini.


Mengapa aku tidak berpersatuan

Begitu jugalah dalam jamaah-jamaah yang lain yang ada di malaysia sama ada tareqat seperti naqsyabandi yang sibuk dipromosi secara senyap-senyap melalui emel, atau jamaah islah malaysia yang diserapi unsur salafiyyah tidak dapat untuk aku bersama atau menggabungkan diri.

Aku tidak berpersatuan kerana persatuan memerlukan komitmen dan aku mempunyai komitmen dalam misi aku memulihkan jiwa dan pencarian aku kepada HIDAYAH ALLAH dalam tempoh ini. Apatah lagi, aku merasakan banyak kebaikan yang timbul apabila aku tidak berpersatuan kerana ini memudahkan aku untuk bebas mempunyai pendirian dan gerak kerja tersendiri.

aku menolak persatuan buat masa ini hanya kerana ada faktor yang menghalang, dan faktor itu sedikit demi sedikit akan hilang jua. Aku merasakan pengalaman di sekolah dahulu cukup menjadi bekal buat aku dalam membina idealisme dan jatidiri.

Fitrah Perkasa

Konsep gerak kerja dan dakwah jamaah ini lebih aku senangi. Rata-rata penggerak Fitrah Perkasa adalah ahli-ahli bekas arqam, tentunya gerak kerja mereka amat menepati jiwa aku dengan konsep arqam yang aku terangkan sebelum ini. Mereka menyerap masuk dalam segenap pertubuhan untuk memimpin modal insan. Aku menyokong usaha jamaah ini walaupun tidak menggabungkan diri dalam jamaah mereka, kerana mereka sendiri bukanlah gerakan yang terbuka keahliannya tetapi sebagai kumpulan consultant perniagaan yang menawarkan perkhidmatan dakwah.

Apatah lagi ikon dalam Fitrah Perkasa iaitu ustaz hasrizal sendiri mempunyai pengaruh tersendiri dalam jiwa generasi muda yang mahukan jalan perjuangan yang sederhana. Namun aku tidak menolak serba sedikit ada konsep salafiyyah dalam Fitrah Perkasa, namun bukanlah hal itu begitu penting untuk tidak menyokong usaha dakwah mereka yang hikmah.

Konsep jamaah aku seterusnya?

Aku memilih jamaah terbesar umat islam yang mampu menyatukan semua jamaah di atas iaitu firqah ahlus sunnah wal jamaah. Aku masih belum punya ilmu yang cukup mengenainya namun aku akan terus berusaha menguasai ilmu dan pegangan firqah ini kerana aku yakin firqah inilah mampu membawa ke syurga dan diredhai Allah s.w.t.

Konsep jamaah aku seterusnya dapat dilihat pada peranan masjid dan hari jumaat. Masjid tempat yang menyatukan kerana di dalam masjid orang islam dari pelbagai jamaah akan solat berjamaah.Apabila solat berjamaah mereka mestilah merapatkan barisan , bahu membahu seterusnya rukuk dan sujud pada kiblat yang sama.

Pada hari jumaat pula, mereka akan mendengar satu dakwah yang sama dari seorang khatib, dan akan mengikuti dengan taat seorang imam menunaikan solat fardu jumaat.

Inilah konsep jamaah yang rata-rata telah terlaksana dan bukan teori atau retorik. Konsep ini terlaksana dengan jayanya di serata dunia islam apabila setiap hari jumaat umat islam dari pelbagai jamaah akan meraikan konsep jamaah masjid dan solat fardu jumaat.

Cuma ada segelintir menolak konsep ini dengan berpuak-puak bersolat dalam jamaah sendiri dan masjid sendiri. Mereka yang menolak konsep ini, aku memandang sebagai orang yang cuba memisahkan diri dari kesatuan umat islam.

Daripada konsep inilah maka timbulnya idea redha Allah centric dan politik penyatuan dan perpaduan itu. Adakah benar konsep dan idea aku ini cuma retorik dan teori semata-mata, ia akan menjadi teori apabila semua jamaah menolak untuk bermuhasabah dan bersungguh-sungguh dalam menjayakan kesatuan umat islam yang berpadu. Banyak sekali faedah yang akan diperolehi termasuklah dapat menjayakan renassaince hikmah islam dengan lebih lancar.

Akhirnya aku tidak menggabungkan diri dalam mana-mana jamaah namun menyokong usaha jamaah masjid dan penyatuan kesatuan umat islam. Lalu konsep "bertolong-tolonganlah dalam kerja kebajikan" membuatkan aku menyokong setiap seruan dan cadangan dari pelbagai jamaah yang mengarahkan kepada kebajikan dan sanggup bekerjasama dan bahu membahu bersama mereka tidak kira dari UMNO, PAS, PKR, dan lain-lain bagi merancakkan renassaince hikmah islam.

Aku percaya rakan-rakanku yang rata-rata meraikan pemikiran aku ini, yang berada dalam UMNO, PAS, PKR, HT, dan lain-lain akan merancakkan renassaince hikmah islam dalam dunia politik tanah air dan dalam parti masing-masing. Mereka dapat berbuat perubahan yang aku tidak mampu melakukannya.

Manakala aku menumpukan pada golongan yang melarikan diri dari perjuangan iaitu mereka yang hidup hanya untuk hidup, mereka ini bilangannya tidak kurang ramainya dan tenaga mereka perlu dibersamakan dalam usaha ini, dalam perjuangan ini. Akhirnya akan bertemulah kita pada titik kesatuan umat islam iaitu jamaah terbesar yang menyatukan.

Dan aku benar-benar berharap ini bukan suatu teori mahupun retorik dan aku tidak akan tenggelam dalam dunia fantasi, tetapi aku benar-benar sedang menyiapkan pelan gerak kerja bukan untuk setahun dua tapi satu perancangan panjang yang jika diizinkan Allah akan terlaksana insyaAllah. Cuma aku perlukan kekuatan dan istiqamah. dan itu hanya dari Allah sahaja dapat ku harapkan. ameen.

13 komentar:

Sayyed Al-Khiyyath said...

Salam....

Ana bersimpati pada MFR. Moga ALLAH beri anda Hikmah dan Redho-Nya untuk menerima apa yang berlaku pada zaman Arqam sebagai ujian untuk teruskan perjalanan. sebagai manusia, kita sering tersilap dan tersalah dalam memahami sesuatu isu. apatah lagi bila digembar-gemburgan akan keburukan seseorang itu dan jemaahnya.

Ana tak tau apa yang "SEBENAR-nya" terjadi pada diri anta sendiri waktu zaman Arqam. Mungkin apa yang dihasratkan itu tidak tercapai. mngkin anta rasa kecewa dng 'outcome' yang berlaku pada Jemaah Darul Arqam. Sehingga ia terkubur oleh kerajaan MAlaysia.

Pada penilitian ringkas. Anta tidak boleh menerima sesuatu yang 'jadid' atau konsep baru. mungkin its take time to adjust. but isu Imam Mahdi dan Pemuda Bani Tamim termaktub dalam text sahaja. Terpulang untuk terima atau tidak. Tapi memusuhi apa yang kita tidak tahu itu adalah merbahaya.

Mungkin pada pendirian anta, jemaah Darul Arqam dah "menyeleweng" kerana 'mengagung'kan ustaz Ashaari. kerana he's the main figure dalam jemaah. oleh kerana perasaan itu, anda mula menolak cara Arqam berdakwah. Matlamat hidup ialah mendapat keredaan Illahi. mungkin dng memperjuangkan keperingkat National Level, Ia mungkin dapat menyemarakkan lagi usaha menghidupkan budaya Islam yang ketika itu agak janggal dng masyarakat umum. oleh kerana penukanran kepada bidang Qulub agak drastik, masyarakat tidak faham sangat dan mudah tuduh menuduh.

oleh kerana Ulama' rasmi kerajaan tidak faham dan tidak 'merestui' jemaah Arqam. Maka ia diharamkan dan di persalahkan dan "didedah" 'kesesatan' mereka.

Dengan Isu Rufaqa yng "cuba" menghidupkan ajaran "sesat" adalah outragious! tapi, media plays important role. tapi apakan daya, it spurn out of control. kalau kita faham dng JELAS dan put aside prejudist kita, mungkin kita boleh faham dan teliti Rufaqa. Tapi jangan sampai menuduh MENYESATKAN kerana kita dibutakan dng prejudist kita terhadap sesuatu isu. maxam tak boleh "angkat"! oleh itu, mari kita mhasabah diri.

Dari pengalaman ana di Mekah al-mukaramah dulu, apa yang ana hajatkan dikabulkan Tuhan. Alhamdulillah. Apa yang ana hajatkan ialah Sirr(Rahsia) antara ana dan Al-Khaliq! Moga ALLAH beri kita Hidayah!!

mfrstudio said...

tuan sayyed tahukah berapa umur saya pada ketika arqam diharamkan?

saya tidak ada agenda mahupun hasrat apa-apa untuk dicapai dalam arqam.

keluarga saya keluar arqam pada tahun 1991 ketika umur saya 6 tahun. Dan arqam diharamkan pada tahun 1994 dan 1995, iaitu ketika saya berumur 9 dan 10 tahun.

tuan sayyed pergilah bersemuka dengan jais dan bawa tuan abu zar yg jd pemimpin rufaqa sekarang. tuan sayyed dengar sendiri apa yg akan disebut oleh abu zar depan jais.

apa abu zar akan mengaku rufaqa memperjuangkan doktrin sama dalam arqam? dia tak kan berani.

lalu di mana kebenaran ketaatan dan kepatuhan tuan sayyed dalam iktikad tuan?

jika pemimpin kanan asaari sekarang sendiri turut tidak mengakui beriktikad akan iktikad tuan sayyed.

sila jelaskan dan perbuatkan sendiri.

jika boleh... tuan sayyed pergi ke balai polis, dan buatlah pengakuan bahawa sememangnya rufaqa beriktikad kuat dengan doktrin lama arqam.

insyaAllah, pihak polis boleh bertindak.

sama-sama kita berjuang.

Abu S.H said...

MFR...
joinlah jamaah tu buat satu jangkamasa secara istiqamah.
Dah kenalkah dengan ulamak mereka?
Dah kenalkah dengan syura mereka?
Secara dekat?
Secara peribadi?

Kalau secara tulisan atau pandangan seseorang penulis.....kita akan 'dibawa' oleh penulis itu untuk benda yang dia nak kita faham.

Ada byk jamaah yang anta tolak, dan umur anta baru awal/pertengahan 20an...

Sudahkah anda 'merasa' semuanya secara mendalam dan istiqamah?
Baru boleh buat perbandingan...

Kalau orang kata makan durian itu sedap....
Kalau kita tak makan, kita tak tau kesedapan durian tu..
Kalau kita makan secalit atau seulas dengan pandangan nak carik ketidaksedapan atau keteramatsedapan durian tu dek pandangan orang lain sebelum ini..(sebab kita dah ada prejudis sebelum makan - tak kira lah perjudis yg positif atau negatif) maka, apa2 experience kita akan dipengaruhi oleh rasa prejudis itu..

paham ke apa aku tulis...agak tergesa2 ni...

aku hanya mencetuskan utk kau berfikir, kalau kau pun dah fikir cam tu, baguslah...

InsyaAllah akan ditunjukkan jalan

mfrstudio said...

sebelum saya memberi respon pada tulisan kamu abu harraz,saya nak bgtau dulu pada pembaca blog ni kot-kot ada yg tak tau, istilah jamaah yg abu harraz guna itu merujuk pada jamaah tabligh. dan istilah ulama dan syura juga merujuk pada jamaah tabligh. dalam jamaah tabligh, istilah jamaah merujuk pada satu-satu tabligh yg bergerak selalunya org tabligh tak dakwah dalam kwsan mereka, tp join kumpulan dan pegi ke kawasan luar. kdg2 mereka akan bergabung dgn jamaah tabligh dari kwsn lain, dan adakan mesyuarat (istilah merujuk pd perbincangan sesama mereka dlm mengatur org utk bergerak dakwah dari rumah ke rumah).kemudian mereka akan ajak org awam utk join solat berjamaah di masjid tempat mereka berkumpul,dan jika org awam itu sudi bolehlah mengikuti sesi taklim mereka dan jika ceramah panjang akan dipanggil bayan.

--------------------

jgn terkeliru dgn istilah tolak di situ abu harraz. saya dah tulis di awal perenggan yg saya tolak bukan tolak dakwah jamaah, tapi tolak menggabungkan diri dgn organisasi jamaah itu.

ia berkenaan dgn soal iktikad. iktikad ini ada kaitan dgn iman. istilah ulama dalam jamaah tabligh juga amat mengelirukan, kerana istilah ulama hanya merujuk pada ulama tabligh semata-mata.

bagaimana anda ingin jelaskan pada saya akan sheikh tareqat pula? adakah mereka bukan ulama bagi anda dan jamaah?

dan bagaimana anda ingin jelaskan misalnya mufti perak ustaz harussani yg tak join tabligh, adakah ustaz harussani bukan ulama bagi diri anda? atau bagaimana dgn dr uthman el muhammady?

saya meraikan dakwah dan perkara baik, dan saya dah nyatakan dalam penutup entri ini. cuma saya tidak mahu iman, hati dan jiwa saya dikongkong dgn iktikad dan kepercayaan satu-satu jamaah termasuklah jamaah tabligh. saya dah terangkan kenapa saya tidak dapat menggabungkan diri dgn org tabligh walaupun saya meraikan mereka dgn berdakwah bersama-sama mereka.

apa-apa pun saya dah nyatakan, kita sebenarnya satu tubuh atas sebab kita punya iman yg sama, ingatlah sesungguhnya org mukmin itu bersaudara. =)

Anonymous said...

ulama'2 tabligh, ulama'2 tarekat yang betul atau ulama2 yang bebas berjemaah kebanyakkannya saya tengok adalah berdiri di atas konsep akidah ahlussunnah wal jama'ah dan mereka merupakan ulama2 tradisionalis.

tidak perlu untuk kita tidak menyukai mana2 jemaah oleh kerana amalan2 yang mereka lakukan. selagi mana amalan2 mereka tidak melanggari syara' maka kita tidak patut mengutuk atau mengata mereka.

dan jangan juga terlalu taksub akan satu2 jemaah sahaja dan menganggap jemaah yang diikutinya sahaja yang betul. masing2 jemaah ada kelemahan dan keelokkannya.

dan hendaklah kita ambil manfaat daripada keelokkan yang terdapat pada jemaah tersebut.

bebas jemaah tidak bermaksud tidak mengikuti perintah Allah dan RasulNya. kebanyakkan mereka yang berjemaah akan berpegang dengan hadis nabi ' yadullahi 'alaljama'ah' pertolongan Allah itu pada berjemaah.

tapi adalah silap untuk mengatakan bahawa jemaah yang diikutinya itu sahaja yang betul dan yang lain tak betul, atau kurang betul dsb.

yang penting, betulkan kembali niat kita join satu2 jemaah itu.

wallahu a'lam

mfrstudio said...

ya..ruqi... kalau kalian baca setiap perenggan mengenai jamaah yg saya tulis, saya mulakan dgn kebaikan jamaah itu, dan kemudian, saya sertakan SEBAB SAYA (orang lain tak perlu ikut saya, sbb situasi saya berlainan dari anda) menolak untuk MENGGABUNGKAN DIRI dalam jamaah-jamaah itu.

firqah ahlus sunnah wal jamaah yg menyatukan kesemua jamaahlah yg menjadi jamaah besar saya. jika kalian teliti maksud saya baik-baik, sebenarnya apa yg saya harapkan ialah kita BERGABUNG! lalu nanti saya dan anda semua akan menjadi satu jamaah besar! dan itulah yg saya cuba buktikan praktikal dan tidak mustahilnya untuk bergabung dgn menulis akan konsep jamaah masjid dan iktibar solat jumaat.

ulama tradisional mendekati jiwa saya, dan jika kalian melihat sidebar blog dan melihat senarai blog2 yg saya hasilkan, saya cuba bernaung di bawah traditional islam, dan sbb itu saya cukup kuat menyokong usaha ustaz wan soghir menulis perihal ulama nusantara.

akhirnya nanti kalian akan faham, selepas tempoh pencarian HIDAYAH ini, jika dipanjangkan umur, jamaah manakah yg akan saya gabungkan diri.

org yg meneliti benar2 tulisan saya akan cepat menangkap maksud hati saya.

sekian wasalam.

Abu S.H said...

alhamdulillah...
traditionalist.......

InsyaAllah..tak silap..

Anonymous said...

anda boleh tolak semua..tp jgn tolak Islam

mfrstudio said...

beza diri saya dgn jamaah siasah yang tindakan mereka dikuasai politikusarap ialah, apabila saya kata tolak untuk gabungkan diri, tidak bererti bermusuh. sebab itu saya menulis dalam perenggan terakhir, saya akan bahu membahu dalam seruan dan idea menuju kebajikan. konsep saya "bertolong tolonganlah dalam kerja kebajikan"

sebab itu saya sanggup berdakwah dgn tabligh utk melatih diri solat berjamaah, dan sahut serta sokong seruan TPM najib (UMNO) untuk masjid diimarahkan.

apa yg saya lawan adalah kemungkaran, seperti politikusarap (politik-centric), liberal plural bebas kebaratan, kapitalis keparat,dan sekularisme artis.

sedangkan dlm sesetengah jamaah siasah, mereka suka melawan kemungkaran musuh, tapi mereka meraikan kemungkaran sendiri.

kdg2 yg pelik, benda baik mereka takut nak kerjasama (takut musuh politik mereka dapat nama), apatah lagi nak puji kebaikan yg dibuat oleh musuh politik mereka, yg mereka suka semaikan adalah prejudis, sangka buruk, bermusuhan dan bersengketa sepanjang zaman seolah-olah menafikan seruan Allah dalam quran supaya jgn bercerai berai.

tanpa bergabung dgn jamaah siasah seperti ini, saya berupaya meraikan semua kebaikan jamaah, dan melawan semua kemungkaran jamaah secara bebas dan terang terangan tanpa gentar.takde sir jamaah.

Syabab Musafir Kasih said...

salam..

ini sbhgn dr ilmu falsafah..poinnya satu, tuju Allah, cinta Rasul, mau Islam, tolak mungkar.
Wamakhtalafu filkitaa bi lafi syiqoqin ba'id...

( hormati org2 berilmu )

wsalam..

mfrstudio said...

yer hormati org org berilmu, dan jgn hormati aku psl aku bukan org berilmu...

dan blog ini hanya ilmu falsampah aku.

hehe..

kaulah yang memahami aku rusydee

Anonymous said...

salam...
teruskn pencarian saudara MFR. Semoga ALLAH menunjukkan jalan untuk saudara.
Tak apalah tak join jamaah pun kerana ISLAM wujud sebelum jamaah-jamaah ni wujud lagi... =)

mfrstudio said...

yaa betul lamka.. tapi jgn biasakan bersendirian sbb syaitan suka kacau org yang bersendiri.(ingatan pada diri aku) kadang2, bila dok ramai-ramai (konsert) setan lg byk.

betul, islam dah ada sebelum jamaah ni ada lg. tak join jamaah takpe, tak join solat jamaah,parah.