|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
TOYAMA JEPUN
Nak tahu apa yang kami pelajar Malaysia di bumi Toyama Jepun sejak tahun 2008 usahakan? Bukan menjadi pentaksub anime, manga atau game. Bukan pula tergila-gila drama, konsert, atau artis Jepun. Ini yang kami impi dan tanamkan di bumi Jepun sepanjang pembelajaran kami:
http://thevocket.com/kisah-adnin-pelajar-malaysia-bina-masjid-di-jepun/

Bagi mereka yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi apatah lagi jika di luar negara, biasanya misi utama adalah untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Namun berbeza bagi Mohd Adnin Bin Hamidi yang dikenali sebagai Adnin, pemergian beliau ke Jepun turut membawa bersama 4 cita-cita besar iaitu:

1. Belajar sampai tamat Phd.
2. Bina sebuah masjid di sekitar universiti beliau.
3. Menyebarkan dakwah kepada orang Jepun sehingga memeluk Islam.
4. Berdakwah di kalangan komuniti pelajar Malaysia.

Itulah cita-cita besar bagi pelajar tahun akhir (Tahun 3) PHD ThermoFluid System, New Energy Science, School of Engineering for Education, University of Toyama ini.

Menurut Adnin, antara faktor terbesar yang mendorong beliau untuk melaksanakan misi dakwah di Jepun adalah daripada Surah adz-zariyat, surah ke 51, ayat ke 55 yang bermaksud;

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Surah ini memberi kesan besar kepada beliau untuk sedar bahawa dunia ini adalah tempat persediaan ke arah akhirat yang kekal.

Faktor lain yang mendorong Adnin bersungguh-sungguh melaksanakan misi dakwah di Jepun adalah kerana keinginan kuat beliau untuk mewujudkan suasana yang lebih mesra dalam menjaga iman di bumi asing itu.

Adnin juga turut mengakui beliau terlalu terkejut dengan perbezaan budaya di Jepun berbanding di negara muslim seperti Malaysia sewaktu di awal ketibaan beliau di negara ini.

Ditanya tentang kejayaan beliau melaksanakan misi mendirikan sebuah masjid di Jepun, berikut adalah perkongsian Adnin;

Untuk berkongsi secara keseluruhan memang sangat panjang. Projek masjid tercetus bila saya sampai ke Toyama tempat pengajian saya yang tiada masjid di kawasan kampus meskipun komuniti pelajar muslim di universiti saya ini menghampiri seramai 100 orang.
“Komuniti pelajar Malaysia pula menghampiri 60 orang. Namun usaha ke arah pembinaan masjid atau surau tidak kelihatan. Solat Jumaat pun tiada di kampus kami pada ketika itu.

Solat Jumaat hanya dijalankan di kampus berlainan yang terletak hampir 5km. Ini menyebabkan para pelajar tidak sempat ke sana.

Itulah menyebabkan saya bersama seorang senior yang sedar akan keperluan ini bergerak ke arah permulaan solat jumaat, seterusnya kami menyewa sebuah rumah untuk dijadikan surau sementara bagi komuniti di sini.

Setelah surau berjaya kami mulakan, projek ke arah pembinaan masjid kekal telah dimulakan secara rasmi pada tahun 2008. Pelbagai mehnah dan tribulasi yang terpaksa kami tempuhi yang saya anggap satu didikan terus dari Allah kepada saya dalam usaha pembinaan masjid”.

Ketika melihat pemuda-pemuda datang menunaikan solat subuh berjemaah ke masjid dalam keadaan salju meliputi bumi, suhu bawah 0 degree celcius, buatkan aku tersentak dan sedar Allah masih sayangkan ummat ini. Ummat ini masih ada nadi.

Ya, ummat ini masih bernadi. Merekalah nadi bagi ummat ini. Merekalah contoh pemuda yang dijanji. Allah tetapkanlah iman mereka dan aku.
Adnin juga turut berkongsi cabaran yang telah beliau hadapi sepanjang usaha melaksanakan misi dan cita-citanya itu, antaranya:

1. Cabaran daripada diri beliau yang lemah dan banyak kekurangan malah masih baru dalam komuniti Islam di sini.

2. Cabaran apabila berhadapan dengan komuniti Melayu yang telah terbiasa dengan suasana Jepun tanpa suasana Islam.

3. Cabaran apabila perlu berhadapan dengan komuniti Muslim dari bermacam negara dengan kerenah masing-masing.

4. Cabaran berhadapan dengan komuniti Jepun yang sangat asing dengan Islam di kala Islamphobia menular ke seluruh dunia.

Antara yang sangat mencabar adalah apabila dihalau dari kejiranan yang menjadi target lokasi masjid, dibantah dengan petisyen dan juga oleh media Jepun berkenaan projek pembinaan masjid, dll.
5. Cabaran untuk bangun setelah jatuh dari ujian, dan usaha dalam terus mengejar impian. Ini kerana Adnin perlu memastikan pelajaran beliau tidak terganggu dek usaha murni ini dan agar ia boleh menjadi contoh kepada yang lain.

Namun, alhamdulillah benarlah firman Allah dalam surah Muhammad ayat ke 7 yang bermaksud;

Hai orang-orang mu’min, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.
Dan juga Surah At-Thalaq ayat ke 2 dan 3;

Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.

Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.
‘Saya sungguh percaya kejayaan menghadapi cabaran ini bukan kerana kekuatan diri. Tapi berkat percaya kepada firman Allah di atas’, ujar Adnin.

Adnin bersama rakan-rakan di hadapan bangunan masjid yang telah berjaya mereka bina bersama.

Alhamdulillah atas segala ujian yang dihadapi oleh kami sebagai komuniti muslim di sini, akhirnya Allah telah kurniakan keizinan untuk dibina rumahNya di lokasi yang tidak disangka-sangka iaitu hanya di sebelah kampus utama universiti kami.
Adnin juga turut memberitahu perkara yang mengejutkan beliau dan rakan-rakan adalah lokasi masjid ini yang boleh dikatakan sebagai lokasi idaman.

Sewaktu di awal pencarian lokasi yang sesuai untuk mendirikan masjid, lokasi ini tidak menjadi keutamaan mereka bagi mengelakkan kontroversi di kalangan masyarakat setempat dan juga kerana faktor harga yang tinggi.

Namun, takdir Allah mengatasi segalanya apabila tempat yang disangkakan bakal mencetuskan kontroversi berjaya dibeli pada 24 Disember 2013. Lokasi bangunan masjid ini adalah di 3367 Gofuku, Toyama-shi, Toyama-ken.

Berkenaan pengumpulan dana bagi membina masjid pula, menurut Adnin pengumpulan dana dibahagikan kepada usaha dalaman dan luaran.

Bagi dana dalaman, pengumpulan dana adalah melalui infaq wajib bulanan oleh setiap pelajar dalam komuniti mereka untuk projek masjid ini.

Manakala dana luaran pula dilakukan dengan menjelajah ke masjid-masjid, kedutaan, dan pusat islam yang terdapat di seluruh pelusuk Jepun bagi tujuan mengumpul dana projek. Bantuan dari tokoh-tokoh perniagaan Muslim di Jepun juga merupakan antara penyumbang tertinggi.

Selain daripada itu, bantuan dari Malaysia juga mencurah-curah setelah kehadiran tokoh-tokoh agama ke tempat mereka.

Ini kerana secara kebetulan persatuan pelajar Islam Malaysia, Ikatan Persaudaraan Islam Jepun (IPIJ) yang saya sertai sejak datang ke Jepun pada tahun 2007 telah menjemput Ustaz Ahmad Dusuki, dan Ustaz Dr. Riduan Md Nor yang merupakan wakil Muslim Care Malaysia Society sehari selepas kami membeli bangunan masjid.

Alhamdulillah berkat bantuan mereka, kami berjaya mengumpul lebih dari RM 150K dari Malaysia sahaja.
Bangunan masjid ini kini telah dijadikan sebagai pusat Islam bagi kawasan ini dengan nama Toyama Muslim Center (dengan singkatan nama TMC).

TMC terdiri dari daripada Masiid Al-Faruq di aras 2, bilik konferens dan ruang jemaah muslimat di aras 1, manakala di aras G terletaknya pejabat, halal shop, apartment Imam, dan kawasan servis (bilik wudhu’, tandas dan dapur awam).

Bagi ruang jemaah utama, Masjid Al-Faruq boleh menampung sehingga 100 orang jemaah dan di aras dua pula lebih kurang 50 orang jemaah perempuan.

Buat masa sekarang ini, Imam masjid merangkap penjaga bangunan adalah Adnin sendiri yang tinggal di aras G di apartment imam.

Setelah misi membina masjid berjaya direalisasikan, tercapailah hasrat Adnin untuk melihat syiar Islam berkembang dengan lebih mudah di sini.

Menyedari tempoh pengajian beliau akan berakhir pada bulan Mac ini, jauh di sudut hati Adnin masih berdoa dan berharap agar impian beliau yang satu lagi ini juga turut berjaya dilaksanakan – berdakwah kepada orang Jepun sehingga masuk Islam.

Dan akhirnya pada tanggal 16 Januari 2016, impian ini menjadi nyata.

Alhamdulillah wallahuakbar. Hari ini Allah telah maqbulkan impian terakhirku di Jepun walau diri sangat lemah. Seorang lelaki Jepun telah menerima syahadah sebentar tadi.

Buatkan diri ini terfikir sungguh niat itu penting dalam amal. Allah tahu kita lemah, kita sedar kita lemah. Pentingnya kita berniat dalam segala amal perbuatan kita.

Kenapa kita berada di sini? Kenapa kita belajar atau bekerja? Untuk apa dan kerana siapa?

Tetapkan target walaupun kita lemah kerana Allah itu Maha tahu hambanya lemah. Allah akan bantu, Allah berhak untuk bantu hambanya yg berjuang di jalanNya.

Targetku di Jepun alhamdulillah Allah tunaikan.

1. Belajar sampai Phd. (Sikit lagi insyaAllah bulan 3 ni)
2. Bina masjid.
3. Bina masjid sendiri.
4. Dakwah orang Jepun masuk Islam. Alhamdulillah malam ni baru sahaja tertunai.

Allahurabbi. Sahabat-sahabat, tetapkan niatmu, geraklah ke arah niatmu walau lemah macam mana sekalipun, walau lambat macam mana sekalipun.

Haraplah pada Pemilik Segala Kuasa. Haraplah pada Pemilik Masa.
Haraplah pada Pemilik Nyawa. Haraplah pada Pemilik Segalanya.

InsyaAllah akan selesai semuanya.
Bercerita tentang saudara baru yang baru sahaja memeluk Islam, menurut Adnin lelaki Jepun ini merupakan pekerja biasa di kawasan yang terletak 5km daripada masjid mereka.

Beliau yang mempunyai minat yang mendalam tentang isu-isu semasa dan konflik dunia telah terjumpa perempuan muslim bertudung di tepi jalan dan telah bertanyakan jika ada tempat untuk bertanya tentang Islam.

Dari penjelasan perempuan tersebut, beliau telah berjalan kaki selama 2 jam mencari masjid kami di malam yang sejuk dan akhirnya terjumpa masjid kami pada jam 11.30 malam.

Setelah berbincang dan bertanyakan bermacam-macam tentang Islam, alhamdulillah Allah telah menggerakkan saya untuk berani bertanyakan kesudian beliau jika ingin memeluk agama yang suci ini.

Sungguh hidayah itu milik Allah. Dengan mudah beliau terima dan perkara yang menyebabkan beliau terharu adalah apabila mendengar akan dirinya telah menjadi seperti bayi yang baru lahir dan segala dosa lampau beliau tidak akan dikira Allah.
Sejak itu sehingga sekarang saudara baru ini dengan penuh bersemangat datang ke masjid dan belajar pelbagai perkara asas tentang Islam di sini.

Memandangkan Adnin bakal menamatkan pengajiannya tidak lama lagi, kini Adnin dengan dibantu oleh komuniti pelajar Muslim yang lain bersama-sama mengajar saudara baru ini asas-asas Islam dengan mementingkan aspek aqidah yang utama dan perkara-perkara asas iaitu Rukun Iman dan Islam.

Masjid ini majoritinya adalah komuniti pelajar yang mana mempunyai limitasi dari segi kewangan untuk menampung kos selia dan kos dalam usaha dakwah.

Kami mengharapkan doa dan jika ada yang ingin membantu kami dalam apa jua bentuk bantuan untuk terus suburkan dakwah di sini amatlah dialu-alukan.
Mengakhiri perkongsian beliau, Adnin sempat menitipkan pesanan berikut buat anda yang membaca kisah beliau ini di Vocket.

“Pesanan saya kepada pembaca Vocket adalah tetap dengan impian kita walau macam mana pun ujian yang mendatang. Tetapkan niatmu, geraklah ke arah niatmu walau lemah macam mana sekalipun, walau lambat macam mana sekalipun”.

Haraplah pada Pemilik Segala Kuasa.
Haraplah pada Pemilik Masa.
Haraplah pada Pemilik Nyawa.
Haraplah pada Pemilik Segalanya.
InsyaAllah akan selesai semuanya.
Bagi yang berminat untuk menyumbangkan dana atau membantu dalam penyebaran dakwah di sekitar masjid ini, anda boleh hubungi Adnin di akaun Facebook beliau.

Buat Adnin, secara peribadi saya kagum dengan usaha dan semangat anda demi menegakkan syiar Islam di Jepun. Semoga ini menjadi satu lagi titik yang dapat menyuburkan nur Islam di negara samurai ini. Arigatōgozaimasu Adnin san!
Tahniah kouhai Adnin atas menjadi nadi usaha istiqamah di bumi Toyama sejak tahun pertama sehingga PhD membina biah solehah dan asas kukuh untuk pengembangan Islam di bumi Jepun.

Terima kasih TheVocket menyiarkan kisah kejayaan kami ini. Usaha awal kami, pernah saya rakamkan dalam nasihat saya dalam komik Ar Risalah sebelum saya bergraduasi tahun 2010:
http://contengmfr.blogspot.my/2010/02/ar-risalah.html

Moga semua yang menyumbang dan berkorban sepanjang perjalanan kejayaan ini dapat menumpang saham kejayaan ini, ameen.


KISAH-KISAH AWAL PROJEK MASJID DI TOYAMA JEPUN

Kisah-kisah awal ini cabarannya mungkin tak sebesar cabaran yang dihadapi Adnin dan sahabat-sahabat lain sesudah itu. Tapi bagi yang nak tahu kisah tercetusnya projek masjid ini, saya ada rakamkan dalam blog:
Nanti saya rajin, saya lukis komik panjang kisah perjuangan kami di Toyama Jepun ini, inshaAllah.

*Kronologi mesyuarat projek juga masih boleh dibaca di sini (hanya hingga April 2012):
http://toyamamasjid.blogspot.my/…/…/meeting-report-list.html