PENDIRIAN SAYA
1. Apa kejadah perlunya pertunjukan fesyen Islamik di buat? Saya langsung tak nampak keperluannya.
2. Jika kita sudah terlalu terdesak sangat memerlukannya sehingga mudarat akan timbul jika tidak diadakan, maka majlis itu mestilah mematuhi asas apa saja pertunjukan dalam islam iaitu:
a. Tidak ada maksiat dan melalaikan tanggungjawab pada agama
b. Mematuhi semua batas-batas dalam syariat: aurat, ikhtilat, lagha, syirik, bermegah-megah dll
KISAH ISU FILEM/DRAMA ISLAMIK DULU
Dulu kan saya sudah mengulas panjang mengenai peri pentingnya Filem dan Drama Islamik berada dalam batas syariat. Orang sibuk memberikan alasan mengenai perkara yang menghalang untuk Filem dan Drama Islamik mematuhi batasan Islam sehingga mereka mengejek-ejek pendirian saya yang mengatakan saya tidak berpijak di bumi nyata. Ya, saya berasa marah kerana dipaksa untuk meredhai apa yang mereka mahukan, sedangkan hal itu tak diredhai Allah s.w.t. Ringkasnya mereka dakwa halangan Filem dan Drama Islamik duduk dalam batasan syariat adalah:
1. Jika semuanya mengikut syariat, maka tidak mencerminkan realiti sebenar.
Dialog biasa yang mereka tuturkan pada saya, " Bagaimana nak lakonkan kisah silam pelacur yang bertaubat? Pelacur kenalah pakai pakaian buka aurat"
2. Filem dan Drama Islamik dibuat mengikut selera orang ramai yang sudah biasa dengan genre bukan islamik, untuk menarik penonton.
Dialog biasa yang mereka tuturkan pada saya, "Kalau buat filem yang berceramah saja, siapa yang suka tengok? Dakwah pun tak sampai. Kalau lakonan boleh menyentuh emosi untuk insaf dan sampaikan mesej dakwah dengan berkesan, apa salah pelakon berlakon seperti realiti"
TADARRUJ DALAM PRODUK ISLAMIK YANG TAK SEMPURNA ISLAM
Memang saya mengenali istilah "Tadarruj" dari jawapan balas Ustaz Zaharuddin kepada persoalan yang saya tujukan pada beliau berkenaan Filem dakwah atau Filem islamik.
Ustaz Zaharuddin mengatakan saya boleh terus menegur produk dakwah atau islamik yang tidak sempurna "islam"nya itu, tapi mesti memikirkan juga kemungkinan adanya proses "Tadarruj". Tanpa menghalalkan atau mengharuskan suatu perbuatan melanggar syariat dalamnya, kita menyelitkan unsur-unsur dan nilai Islam untuk memperbaiki produk itu perlahan-lahan supaya mengikut syariat 100%. Maka dalam proses membaiki secara perlahan-lahan ini, semoga Allah ampunkan apa yang kurang atau lemah dalamnya yang masih belum menepati syariat.
Ustaz Zaharuddin menulis,
"Kalau benar ia dalam adalah sebuah proses Tadarruj , maka pelanggaran hukum hakam tadi bukanlah diHALALkan. Apa yang haram tetap haram tetapi proses timbang tara ini, apabila dilihat secara 'big picture' penyertaan dalam industri perfileman tadi adalah ke arah memperbaikinya sedikit demi sedikit. Ia diteruskan atas maqasid umum itu.
Macam orang baru masuk Islam, kita tak wajar nak mengharap serta mengarah perubahan diri secara drastik, mewajib segala penunaian kewajiban agama dalam tempoh sehari. Justeru, perubahan kepada kebaikan itu berlaku dalam keadaan si muallaf masih membuat benda haram seperti tidak solat lima waktu contohnya, tidak tutup aurat dan sebagainya. Ketika itu, ia tidak bermakna kita halalkan yang haram tetapi ia adalah satu proses."
Namun, apa yang menarik dalam komentar terbaru Ustaz Zaharuddin terhadap Festival Fesyen Islamik, beliau menyebut mengenai hukum aurat yang terdedah sebagai berikut,
"Ingin ditegaskan, jika mereka tidak suka hukum hakam berkaitan aurat, menuduhnya beku, ketinggalan zaman dan kuno serta lebih suka menyanggahinya dan membuka aurat. Biarlah dosa itu kekal di peringkat peribadi mereka, untuk ditanggung secara individu di alam barzakh dan akhirat. Jangan sesekali mempromosinya agar orang lain turut menjadi sepertinya."
Saya melihat di sini tiadanya pertimbangan kemungkinan proses Tadarruj berlaku, pada komentar Ustaz Zaharuddin kali ini. Beliau melihat sememangnya usaha mempromosi "Fesyen Islamik" ini suatu serangan ke atas fahaman Islam sebenar. Walaupun dalam laman web IFF menerangkan misi mereka mahu memperbetulkan persepsi non-muslim ke atas Islam. Saya kira Ustaz Zaharuddin tak melihat itu maqasid yang boleh dibenarkan dalam tadarruj, berikutan perlaksanaannya yang melampau.
ADAKAH FESYEN YANG DITONJOLKAN DALAM FILEM/DRAMA ISLAMIK TIDAK MELAMPAU?
Saya memang setuju siapa sahaja yang bergelar muslim yang beriman pastinya sensitif terhadap penonjolan imej-imej melanggar syariat yang dipamerkan dalam festival fesyen ini atas nama "Fesyen Islamik" padahal ia bertentangan dengan ajarn Islam yang suci dari Rasulullah s.a.w. Malah saya juga bersetuju, perlaksanaan promosi fesyen seperti ini adalah satu serangan yang jahat ke atas umat Islam yang mahu beriman dan berpegang teguh pada ajaran Islam.
Namun, adakah selain pertunjukan fesyen ini, fesyen-fesyen yang dipromosikan dalam komuniti umat Islam khususnya di Malaysia oleh orang-orang Islam sendiri yang saya pernah panggil mereka hedonis, sekularis artis dan sebagainya dipaparkan dalam majalah, surat khabar, iklan-iklan, internet, televisyen, drama dan filem tidak melampau dan tidak berbentuk serangan? Jika tidak berbentuk serangan dari manakah timbulnya "trend" kaum muslimah kita yang berfesyen tidak menurut syariat yang berleluasa di luar sana?
Anda boleh keluar rumah hari ini, pergi ke pasar raya, jalan-jalan raya, hari-hari raya, ke pejabat-pejabat, sekolah-sekolah, bandar-bandar, kampung-kampung, apakah anda dapat lihat fesyen pakaian umat mengikut syariat? Dari mana timbulnya idea mereka berfesyen jika bukan pengaruh media di sekeliling mereka?
Saya mengambil 3 contoh produk so-called islamik inipun, drama Nur Kasih, drama Cinta Sempurna, dan filem Syurga Cinta yang saya pernah komen dahulu, sudah kita jumpai aksi dan fesyen yang melampau yang ditonjolkan dalam sesetengah babak. Belum lagi produk yang memang diniatkan untuk merosak dan menjahanamkan umat Islam yang sedang giat dibuat oleh budak-budak liberal dalam dunia hiburan sana.
JADI, APA SOLUSINYA?
Ya, adalah sangat jelek jika kita menulis pelbagai kebobrokan yang berlaku dalam umat dewasa ini tanpa menyediakan solusi. Saya bersetuju dengan cadangan ketiga tokoh bermanhaj salaf ini:
Dr Asri: Mereka yang terlibat hendaklah memohon maaf kepada umat Islam dan mengisytiharkan kepada awam bahawa yang dianjurkan itu bukanlah ‘Islamik’.
Ustaz Zaharuddin: melantik mufti atau cendikiawan Islam sebagai pemantau kepada design yang dipamerkan.
Ustaz Fathul Bari: Menyiasat sedalam-dalamnya situasi sebenar dan menarik tangan pemerintah yang terlibat untuk dinasihati agar jangan mengulangi kesilapan sama.
Saya melihat kekeliruan penggunaan "islamik" pada produk-produk umat Islam yang tak menepati syariat ini, adalah disebabkan kita sendiri tidak tegas dengan pendirian agama kita. Disebabkan ketidaktegasan inilah maka wilayah kelabu atau samar-samar itu cuba-cuba dilangkahi dan diredahi oleh saudara-saudara kita. Anak-anak muda tinggalkan agama sebab mak ayah sendiri tak tunjuk ketegasan apa yang halal dan haram. Atau ketegasan mak ayah, mengelirukan kerana wilayah kelabu tadi tak diberikan jawapan yang membuka mata dan hati mereka?
Sepertimana hari ini, bukan sahaja orang bukan Islam berasa pelik dengan hukum aurat bagi muslimah kita; "jika betul wajib muslimah pakai tudung, kenapa masih ada yang tak bertudung?"; begitu jugalah muslimah kita sendiri tak berasa jelas mengenai aurat, sehingga bukan satu rahsia lagi, muslimah kita mendedahkan gambar bertudung dan tak bertudung di facebook atau blog. Begitu juga di dunia nyata, bertudung di tempat kerja, tapi tak bertudung ketika siram pokok di laman rumah.
Bagi, saya solusi terbaik adalah kita semua muslimin dan muslimat mengambil pendirian tegas, apakah fesyen sebenar bagi orang lelaki islam dan perempuan Islam yang diredhai oleh Allah s.w.t. Kemudiannya, kita ambil pendirian tegas nak jadi hamba Allah yang terbaik atau nak jadi hamba nafsu, kemahuan, keinginan, kesukaan, keduniaan, semata-mata? Kalau nak jadi hamba Allah yang terbaik, kita semua muslimin muslimat kena tegas, nak berusaha setiap masa untuk masuk Islam dan laksanakan syariat 100% atau kita memang tak nak lakukan usaha sebab selesa jadi islam 70%, 60%, 50%, 40% hingga 1% peratus atas nama saja.
Kita kena ambil pendirian tegas sekarang! Jawab pada diri sendiri, yang mana satu kita nak perjuangkan dalam hidup yang singkat ini. Jangan beralih ke skrin windows yang lain, jawab sekarang, sebelum kamu tutup tab, windows atau browser yang memaparkan tulisan ini. Jawab cepat!
Jika semua sudah ambil pendirian tegas untuk jadi hamba Allah terbaik, berusaha untuk laksanakan syariat 100%, maka kita semua orang Islam sudah pun bersatu teguh, sudah kuat dan menggerunkan musuh, masjid-masjid kita sudah pun imarah, esok juga kita bebaskan Palestin dan tubuh Khilafah di muka bumi ini!
Itulah solusinya. Pendirian tegas.