Surat Terbuka buat pelayar maya yang punya jiwa manusia
muhammad fakhrul razi @ mfr ibn mukhtar
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
1.Cukup bertempur.
Cukuplah semua pertempuran dan perang yang tidak bermakna ini. Saya belum jumpa satu golongan yang benci akan "cinta", benci akan "kasih sayang". Jika kesepakatan kita sebagai manusia ini adalah sepakat kita kepada "cinta" dan "kasih sayang", maka saya sukacita membuka hembusan cinta dan kasih sayang buat semua orang untuk disebarluaskan hingga terbenam semua amarah dan akhlak buruk.
2.Saya sunni syafiiyun.
Saya seorang sunni. Saya mengiktiraf mazhab asyairah dan maturidiah untuk diajarkan pada saya untuk diiktikad dalam hati demi memahami akidah Islam seorang sunni. Saya mengiktiraf mazhab syafie untuk diajarkan pada saya untuk dijadikan panduan beribadat dalam Islam seorang sunni. Saya tidak alim. Saya masih muda walaupun hakikatnya saya sudah cukup tua bangka untuk bertindak jahil dan keanak-anakkan.
3.Saya iktikad bahawa sesat aliran selain sunni.
Saya beriktikad sesat aliran yang bercanggah dari sunni. Apatah lagi mereka menentang sunni. Apatah lagi mereka menentang Islam. Apatah lagi mereka menentang kemanusiaan dan alam jagat. Apatah lagi mereka menentang Tuhan.
4.Saya beriktikad bahawa syiah sesat.
Saya beriktikad bahawa syiah adalah sesat. Apabila sepakat mereka menolak para sahabat seperti Saidina Umar dan Saidina Abu Bakar. Sebahagian mereka mengkafirkan sahabat itu. Sebahagian yang lembut tidak mengkafirkannya, namun halal mencerca sahabat itu. Saya yakin keimanan untuk mencerca dua sahabat Nabi itu suatu yang sesat.
5.Saya menyeru dan menawarkan damai
Saya menyeru dan menawarkan damai. Atas keyakinan islam ini agama yang mempromosi kedamaian, maka saya dengan bersungguh-sungguh mempromosikan damai sebagai matlamat dan jalan. Kita menuju damai. Kita bertindak damai. Adakah suatu yang rancu fikiran saya bila menawarkan damai buat kelompok yang saya iktikad sebagai sesat? Bukan sekadar syiah, malah saya beriktikad kristian itu sesat, agama buddha dan hindu itu sesat. Saya juga menawarkan damai buat penganut kristian, buddha dan hindu. Apakah saya bersalah kerana menawarkan damai buat penganut syiah? Sebahagian mereka memahami. Sebahagian lagi tidak memahami akan erti "damai". Mungkin mereka fikir "damai" dunia hanya boleh dikecapi bila seluruh manusia beriman akan apa yang mereka imani. Walaupun hakikatnya Madinah itu damai walau bukan semuanya Islam.
6.Saya berperang dengan musuh tapi tidak melampaui batas
Saya berperang dengan siapa yang memerangi saya. Saya berperang dengan siapa yang memerangi agama saya. Saya berperang dengan siapa yang memerangi negara saya. Namun saya berperang untuk mempertahankan "damai". Supaya "huru-hara" dan "kacau-bilau" tidak mengganti "damai" yang ada, maka saya memerangi mereka yang berniat mencetuskannya. Saya tidak melampaui batas supaya nanti akan jelas kelihatan saya mahukan damai, sedang yang memerangi saya mengkehendaki huru hara dan kacau bilau. Jika mereka mendakwa mereka juga pejuang "damai", lalu "damai" dan "kasih sayang" yang saya tawarkan ditolak, mereka memilih juga "perang", maka sesungguhnya mereka memang mahukan "perang" dan bukan "damai".
7.Saya menyambut baik siapa yang mahu bersaudara dengan saya.
Saya menyambut baik sesiapa yang menganggap saya saudara mereka. Pastilah saya akan menganggap mereka saudara buat siapa yang menganggap saya saudara mereka. Saya akan menganggap orang yang mengaku Islam itu Islam. Saya akan menganggap orang yang mengaku beriman itu beriman. Saya akan menganggap orang yang mengaku sunni itu sunni. Saya akan menganggap setiap yang mengaku Allah itu Tuhan Yang Esa dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah itu haram dikafirkan. Tidak rugi saya beranggapan sedemikian, kerana sesungguhnya memang manusia itu tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia lain, maka menyerah kepada Allah itu jalan yang baik.
8.Saya menganggap wahabi itu sunni.
Begitu jugalah apabila wahabi itu mengaku sunni, maka saya akan menganggap mereka sunni. Walaupun sebahagian mereka tidak menganggap saya sunni kerana saya mengambil mazhab asyairah dan maturidiah dalam akidah. Walaupun sebahagian mereka mencela saya kerana tidak mahu bebas mazhab.Walaupun sebahagian mereka mengkafirkan saya kerana saya tidak beriktikad Allah duduk di langit dan bertangan. Saya beriktikad Allah tidak sama dengan makhluk, dan saya beriktikad saya tidak tahu dan haram untuk saya ambil tahu atau memperkatakan tentang zat Allah. Yang halal untuk saya bicarakan hanya nama Allah, sifat Allah, dan kebesaran Allah.
9.Saya non-partisan
Saya telah bersumpah untuk tidak menjadi ahli mana-mana parti atau pertubuhan. Atas kajian, pemerhatian dan perancangan hidup yang saya aturkan, maka saya komited untuk jadi non partisan. Namun saya mahu menjadi ahli sunnah wal jamaah. Saya mahu menjadi ahli kariah mana-mana masjid dan surau. Saya mahu menjadi ahli keluarga. Saya mahu menjadi ahli masyarakat. Saya mahu menjadi ahli kebajikan. Saya mahu menjadi ahli dalam ilmu dan zikir. Saya mahu jadi ahli syurga.
10.Hentikanlah mencarut, mencaci-maki, mengejek dan memanggil dengan nama yang buruk.
Saya menyeru supaya sesiapa yang masih punya jiwa manusia untuk bersama-sama saya kita sebarkan nasihat hentikan mencarut, mencaci-maki, mengejek dan memanggil dengan nama buruk. Tidak akan ada sebarang cahaya di dalam hati kita bila kita meneruskan amalan ini, walaupun kita tidak melafazkannya dan hanya menaip menggunakan keyboard. Kita hentikannya supaya kita dapat kesan siapa orang Islam yang cinta akan sunnah Rasulullah, dan siapa pula musuh Islam yang benci sunnah baginda.
Ini penting kerana di dalam internet kita sukar untuk memastikan identiti sesiapa. Boleh jadi orang yang puji dan puja tulisan kita di internet adalah sebenarnya syaitan yang bertopeng manusia. Maka salah satu cara untuk umat Islam dikenali adalah dengan akhlaknya. Jika nanti syaitan itu terpaksa berakhlak supaya identiti syaitannya tak dapat dikesan, maka damailah alam maya ini. Sekurang-kurangnya di dalam komuniti melayu dan Islam yang kecil dalam ruang maya yang luas ini dapat kita bentukkan komuniti berakhlak. Jika syaitan manusia pun terpaksa berakhlak untuk berkomuniti dengan kita, maka tercapailah kesempurnaan akhlak, dan tercegahlah huru-hara dan fitnah.
11.Hentikan penyamaran dan fitnah.
Hentikanlah juga penyamaran dan lakonan, juga penyebaran berita-berita palsu dan fitnah. Walaupun seruan ini susah untuk dilaksanakan oleh syaitan, saya menyeru juga moga-moga tiada manusia yang berjiwa suci dan ikhlas meniru gaya syaitan ini.InsyaAllah.
12.Saya menentang sesuatu dan saya tawarkan sesuatu
saya menentang semua fahaman dan tindakan liberalisme, sekularisme atau pluralisme. Saya menentang jika mana-mana pihak berjuang atau cuba mempromosikannya. Saya juga menentang demokrasi , sosialis, komunis, zionis, mahu apa saja ideologi utopia lain. Saya menawarkan Islam, Iman, Ihsan untuk meliputi itu semua. Saya menawarkan maqasid syariah sebagai ganti perjuangan itu. Saya menentang juga perjuangan "hak asasi manusia" seperti "kebebasan bersuara", "kebebasan berhimpun" atau "kebebasan beragama". Saya menawarkan "hudud Allah" sebagai ganti. Saya yakin segala hal dalam dunia ini perlu berbatas (berhudud) dan tidak wajar punya kebebasan tanpa had. Saya tak setuju penghinaan pada Nabi Muhammad atas nama kebebasan bersuara. Saya tak setuju perhimpunan gay dan lesbian berarak di jalan raya menuntut hak perkahwinan sejenis atas nama kebebasan berhimpun. Saya tak setuju umat Islam bebas keluar masuk Islam sesuka hati (murtad) atas nama kebebasan beragama.
Saya perjuangkan 4 idea untuk diserap dalam masyarakat di Malaysia jika diizinkan Allah sebelum saya mati:
1- Politik Penyatuan
2-Pendidikan Pejuang
3-Ekonomi Pejuang
4-renassaince Hikmah
[senarai ini akan ditambah selayak sebuah diari]
Label:
mfr
Subscribe to:
Posts (Atom)