|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
RINGKASAN GARIS PANDUAN DARI MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN, SS DATUK DR ZULKIFLI AL BAKRI BERKAITAN KARYA KOMIK DAN ANIMASI PATUH SYARIAH


Saya cuba mencari masa mengarang dengan baik tetapi nampaknya peluang itu tak kunjung tiba. Maka saya dahulukan ringkasan ini. Nanti saya akan perbaiki dan kemaskan dari semasa ke semasa.

Pada 13 Jun 2016, saya telah ke pejabat mufti untuk menyerahkan permohonan garis panduan berkaitan karya komik dan animasi patuh syariah dengan lampiran soalan-soalan spesifik yang dikumpul daripada ruang komen di facebook dan daripada beberapa pihak. Datuk mufti memohon untuk beri beliau masa menekuni dalil dan meminta saya datang semula pada 14 Julai 2016.

Pada 14 Julai 2016, saya bersama Nazry Salam dan Nazr Syaff bertemu mufti, Abeben tak dapat sertai kerana sedikit terlewat tetapi kami kongsikan apa yang kami dapat padanya selepas itu.


 
Ringkasnya ada 3 garis panduan yang diberikan Datuk Mufti Dr Zul kepada kami. Draf hujah tersebut masih dalam proses yang bakal dikeluarkan secara rasmi oleh pejabat mufti, oleh itu saya nukilkan ringkasannya saja seperti di bawah:

1. Hadaf atau tujuan jelas karya komik atau animasi dilukis adalah untuk kebaikan agama (pengajaran atau pendidikan).
2. Tiada unsur tidak senonoh, maksiat termasuk buka aurat, bahasa kotor dan sebagainya.
3. Pengisian agama yang dimuatkan telah disemak sahih dan benar menurut autoriti agama.

Saya ada tanyakan beberapa soalan yang saya kira antara yang utama dalam senarai soalan:

1. Bolehkah watak yang memiliki superpower dilukis dalam komik dan animasi?

Jawapannya, tidak boleh kerana khurafat.

2. Bolehkah melukis tokoh seperti para sahabat r.anhum atau melukis tokoh yang zalim untuk diperlihatkan kezalimannya?

Lukis tokoh yang soleh ditakuti tidak tepat dengan kesolehannya, kecuali dilukis sifat yang pasti seperti bajunya, atau serbannya.
Lukis tokoh yang zalim, pastikah kita dengan kezalimannya? Adakah yang kita lukis memberikan gambaran yang tepat atau dilebih-lebihkan? Apakah akan datang keinsafan daripada tokoh yang zalim itu atau hanya membangkitkan rasa marah?
Ringkasnya, nilai ketepatan lukisan kita dalam menggambarkan soleh atau zalim seseorang. Fikirkan impak lukisan kita, sekadar memberitahu atau memberikan solusi.

3. Bolehkah lukis jin, syaitan atau hantu?

Hal-hal ghaib yang kita tak pasti, tak perlu lukis.

4. Bolehkah lukis haiwan untuk pendidikan?

Elakkan lukis sempurna tubuh badannya untuk lari dari khilaf. Contohnya lukis sekerat badan sahaja seperti harimau di balik semak supaya badan harimau itu tak sempurna.

Nazry Salam ada meminta nasihat tentang projek komik terbarunya, Datuk Mufti menasihatkan jangan sekadar bercerita tetapi menyiasat permasalahan sebenar di lapangan dan berikan solusi dalam komik.

Ketika membentangkan dapatan kami kepada Abeben, beliau ada menimbulkan persoalan melukis realiti masa hadapan. Saya hanya berikan pandangan saya, bahawa itu termasuk perkara ghaib.

Sebenarnya Datuk Mufti sudah berikan panduan berkaitan hal ghaib masa hadapan ini di sini:
http://muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/390-irsyad-fatwa-ke-55-pengarah-filem-muslim-mengarah-filem-mengenai-perkara-ghaib-yang-akan-datang

Datuk Mufti nampaknya memilih untuk tidak jawab spesifik setiap soalan dalam surat permohonan saya dan saya merasakan 3 garis panduan yang diberikan di atas sebenarnya sudah cukup untuk kita sebagai pengkarya Muslim mengatur karya kita bagaimana.

Jika dibuat bentuk soalan, mungkin garis panduannya berbentuk begini:

1. Adakah kita ada tujuan agama dalam kita berkarya?
2. Adakah kita telah pastikan segala perkara buruk dan maksiat dan bertentangan agama yang boleh beri kesan tak baik dibuang daripada karya?
3. Adakah kita telah kaji, teliti dalil-dalil, bertanyakan autoriti agama, semak, pasti, sahkan hal yang sahih, tepat dengan agama kita segala inci karya kita?

Apa-apa pun sepanjang perkongsian tersebut, saya mendapat mesej jelas daripada Datuk Mufti bahawa, selesaikan segera bab hukum hakam ini dalam berpendirian, dan mulakan segera karya yang boleh membangkitkan agama dengan haq mengalahkan batil dan kuasai bidang ini hingga mesej Islam menguasai industri ini.

Maka saya berfikir-fikir semula adakah patut saya meneruskan misi bertemu 10 orang mufti dan ke hulu ke hilir dengan persoalan hukum lagi.

Saya lega, perkongsian saya di USIM tempoh hari tak bercanggah, iaitu garis panduan sebenar bagi seorang Muslim berkarya adalah TAQWAnya.

Ada masa saya tulis lebih panjang lebar hurai satu persatu soalan dengan berpandukan garis panduan yang dah diberikan.

Sekian.
mfr studio