|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Sudah lama sebahagian orang memanggil ilmu syariat itu ilmu hukum hakam, lalu mendakwa ahli syariat adalah ustaz-ustaz fiqh yang belajar fekah hukum halal haram makruh harus saja. Lalu dikatakan untuk beragama rasa diri berTuhan itu perlu jalan tariqat agar boleh capai ilmu kesempurnaan kepada syariat tadi iaitu ilmu hakikat dan makrifat.
Ada orang keliru ulama-ulama fiqh dan hadis hanya berbicara soal fiqh hukum hakam dan mengabaikan pentingnya hakikat dan makrifat, hingga akhirnya para pengikut fiqh ini tidak faham makna iman sebenar, penyucian jiwa, dan tidak membuahkan akhlak yang cantik dalam agama.

Sebenarnya, syariat itu bukan hukum fiqh semata-mata. SYARIAT secara umum terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu AKIDAH, AKHLAK dan HUKUM HAKAM (FIQH). Istilah FIQH itu sendiri tidak khusus kepada hukum hakam amal, seperti Imam Abu Hanifah mujtahid ilmu fiqh, menulis perihal TAUHID/AKIDAH dengan tajuk kitabnya, al-Fiqh al Akbar. Dan banyak sekali ulama Hadis seperti Imam Bukhari bukan sekadar menulis dan meriwayatkan hadis, tetapi juga ada memfokuskan berkaitan ADAB/AKHLAK seperti dalam kitab beliau, Adab al-Mufrad.

Sebahagian ulama mengkelaskan ilmu berkaitan HATI (IMAN) yang mengukuhkan AKIDAH dan AKHLAK lalu teguh taat menjaga HUKUM HAKAM (FIQH IBADAT, MUAMALAT, MUNAKAHAT, JENAYAH),sebagai ILMU TASAWUF. ILMU TASAWUF ini tak lain tak bukan, bersumber kepada ILMU AL QURAN dan HADIS juga.

Soal tawadhuk, zuhud, qanaah, akhlak yang baik, hati yang sentiasa bertaubat, sabar, hikmah, mujahadah, uzlah, ahli zikir, amal soleh, ikhlas, ihsan sehingga mencapai pertolongan Allah (maqam wali Allah) dan lain-lain dalam ILMU TASAWUF semuanya bagi memenuhi kesempurnaan AKIDAH, AKHLAK dan HUKUM HAKAM AMAL dan itulah keseluruhan SYARIAT ISLAM.

Para ulama mengkelas-kelaskan ilmu ini dengan nama-nama kerana mahu menyusun ilmu ini secara sistematik agar mudah dipelajari dan mendatangkan FAHAM dan FAQIH di kalangan umat yang menuntut ilmu. Jika HAKIKAT dan MAKRIFAT itu juga suatu ilmu Islam, maka sewajarnya HAKIKAT dan MAKRIFAT itu terkandung dalam TASAWUF, dan TASAWUF itu terkandung dalam SYARIAT. Dan semuanya itu asasnya AL QURAN dan HADIS.

NAK JADI AHLI SUFI, AHLI FIQH, MESTI JADI AHLI QURAN DAN AHLI HADIS.

Islam tak dipelajari dengan rasa-rasa, common sense ikut paradigma dogma dunia teras falsafah-falsafah kemanusiaan yang tak kehambaan, rasa macam baik, rasa macam kool, rasa indie, rasa aktivis, rasa cukup bagus, rasa macam lawan kezaliman, rasa reformis atau rasa revolusioner, rasa-rasa yang tak teras pada ilmu Quran dan Hadis, rasa-rasa yang buat diri lebih melulu membantah, marah-marah, takut hidup susah, takut mati, cinta dunia, tamak dan rasa nak berebut, tak puas hati sana sini, tak ada usaha bangun idea, tak ada usaha nak berbantu-bantu, hari-hari bising sebab perut belum cukup diisi buncit, rumah belum dibina megah, kenderaan belum cukup laju dan handal, nafsu belum puas-puas, saban waktu rasa tak cukup-cukup nak rakus-rakusan. Bukan begitu.

Oleh itu sebahagian ulama mewajibkan ILMU TASAWUF yang bercerita soal tawadhuk, zuhud, qanaah, akhlak yang baik, hati yang sentiasa bertaubat, sabar, hikmah, mujahadah, uzlah, ahli zikir, amal soleh, ikhlas, ihsan sehingga mencapai pertolongan Allah (maqam wali Allah) dan lain-lain, kerana semua itu MEMATIKAN NAFSU UNTUK RASA-RASA tadi.
Semua kerana kita mahu jadi orang Islam. Dan sesungguhnya jadi orang Islam yang faham SYARIAT adalah jadi orang yang baik.

Sebelum dapat kemahuan untuk jadi orang baik, kita semak diri adakah kita menangisi dosa-dosa kita hingga timbul penyesalan, timbul sebak di dada, mengalir berderai-derai air mata saat kita hadap diri pada Allah tiap kali SOLAT. Atau kita hanya mahu terus jadi umat islam yang begini, solat lapan, solat dua puluh, tetap pesta berbazar-bazar dosa?

mfr
Setelah khatam semua ceramah, tulisan, analisa akhbar, komen-komen, tulisan-tulisan, maka saya simpulkan persoalan 1MDB sebagai berikut:

1. Jika forensik audit telah dijalankan dan didapati ada salah laku, perlu ada pendakwaan, dan yang bersalah perlu dihukum. Jika tiada salah laku,maka penyebar fitnah perlu dihukum sekurang-kurangnya mengaku telah bersalah dan memohon maaf kerana menyebarkan fitnah dan menawarkan diri menjalani khidmat sosial. Sekurang-kurangnya 2 dakwaan perlu disahkan iaitu RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB telah lesap masuk poket kroni, dan sekurang-kurangnya RM2.3 bilion wang pinjaman 1MDB masuk ke poket Jho Low tanpa ada apa-apa pulangan keuntungan kepada 1MDB.

2. Jika 1MDB ditutup pada akhir nanti tanpa mampu menjana keuntungan, maka sahih seluruh pihak yang terlibat dalam mengurus 1MDB perlu didakwa dan dihukum. Jika 1MDB pada akhir nanti ditutup tetapi setelah menjana keuntungan, maka sahih, orang-orang yang dengan yakinnya mendakwa 1MDB akan gagal, perlu dimasukkan dalam senarai orang yang tidak tsiqah (yang tak boleh dipercayai), mereka tak boleh dilantik sebagai saksi apatahlagi menjadi pemimpin.

3. Jika tanah TRX dan Bandar Malaysia gagal dibangunkan, maka 1MDB telah gagal. Jika tanah TRX dan Bandar Malaysia berjaya dibangunkan, maka 1MDB berjaya.

4. Jika semua aset 1MDB dijual tetapi masih tak mampu melangsaikan hutang bersama faedahnya, maka 1MDB gagal. Jika semua aset 1MDB dijual dan hutang berjaya dilangsaikan tetapi 1MDB tidak bawa apa-apa untung, maka 1MDB masih juga gagal. Hanya jika semua aset 1MDB dijual, hutangnya langsai dengan ditambah pulangan keuntungan kepada kerajaan/rakyat, maka barulah 1MDB berjaya.

5. Jika 1MDB gagal membangunkan kem-kem tentera dan memindahkan aset tentera yang diamanahkan, maka 1MDB gagal. Jika semua pembangunan kem tentera dan aset tentera yang perlu dipindahkan berjaya dipindahkan, maka 1MDB berjaya.

6. Jika ada dana awam yang digunakan untuk membayar hutang 1MDB, maka 1MDB gagal. Jika tiada dana awam digunakan untuk membayar hutang 1MDB dan hutang dibayar oleh pendapatan 1MDB sendiri, maka 1MDB berjaya.

7. Jika 1MDB gagal, kita rakyat wajib berterima kasih pada YB Rafizi, YB Tony Pua, Tun Mahathir dan lain-lain pihak yang menentang dan mahu 1MDB segera ditutup. Jika 1MDB berjaya, kita rakyat wajib berterima kasih pada PM Najib Razak dan semua pihak yang terlibat menguruskan 1MDB.

8. Sama ada 1MDB gagal atau berjaya, kita umat Islam tetap masih gagal mengangkat kewangan Islam sebagai sumber pendapatan negara dan masih bermuamalat dan hidup atas asas riba dalam sistem kapitalisme sebagai teras ekonomi negara. Allah tidak akan redha negara kita selagi kita tidak berstrategi dan berusaha ke arah menukar asas ekonomi negara daripada riba kepada kewangan islam patuh syariah.

Saya harap idea TRX benar-benar akan berjaya dan menukar teras kewangan negara kepada kewangan islam patuh syariah.Jika ekonomi dan undang-undang negara boleh bawa tuju ke arah syariah, saya cukup yakin politik Malaysia juga akan bergerak ke arah syariah inshaAllah.

Sekian.
mfr

Semua yang terjadi di dunia ini datang dari Allah S.W.T, Pencipta kita semua dan alam seluruhnya. Semuanya mempunyai hikmah yang sama iaitu UJIAN dan PERINGATAN agar manusia KEMBALI TAAT KEPADA ALLAH S.W.T. Begitu jugalah apabila terjadinya bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tsunami, kemarau, dan lain-lain.

1. Pada mereka yang berdosa, bencana alam adalah sebagai UJIAN dan PERINGATAN agar mereka segera bertaubat, sedar bahawa yang menguasai alam ini bukan manusia tetapi ALLAH, maka TAATLAH PADA ALLAH.

2. Pada mereka yang sudah beriman dan beramal soleh, bencana alam adalah sebagai UJIAN dan PERINGATAN, bahawa keimanan mereka perlu diuji dan bukan sekadar hanya berkata "kami sudah beriman".Maka mereka perlu buktikan keimanan mereka pada ALLAH dengan bersabar pada ujian, memohon ampun dan petunjuk agar memperbaiki lagi iman mereka, menambah lagi amal soleh terutama berbuat kebajikan kepada mangsa bencana, dan tetap TAAT KEPADA ALLAH.

3. Pada mereka yang terkorban atas bencana ini, ia sebagai UJIAN dan PERINGATAN buat yang masih hidup, bahawa kita semua akan kembali jua kepada Allah. Apabila kita kembali kepada Allah, sama ada kerana bencana atau mati di atas katil pun, apa yang kita bawa adalah bekal iman dan amal soleh kita di saat nyawa kita diambil itu semata-mata, dan bukannya rupa, harta, pangkat, nama, kemasyhuran, sejarah dan apa saja yang bakal luput di dunia ini. Dengan bekal iman dan amal soleh itulah, kita akan tagih redha Allah di akhirat. Maka bagi yang telah pergi, tamatlah sudah peluang untuk berusaha mengumpul bekalan, jika baik bekalan, maka beruntunglah mereka berbangga meraih redha Allah, jika buruk bekalan, maka rugilah mereka serugi-ruginya.

Bagi kita yang masih diberi kesempatan ini, peluang kita baiki bekalan kita masih ada, walaupun hayat kita hanya berbaki beberapa minit, sungguh, berimanlah sungguh-sungguh, dan taubatlah dengan sebenar-benar taubat untuk TAAT PADA ALLAH SEMATA-MATA tanpa ada sikitpun kebesaran makhluk ada di hati kita, dunia hanya permainan, kurnia dan nikmat hanya pinjaman.Moga apabila kita dicabut nyawa, bekalan iman kita putih sinar, amal soleh kita walaupun kecil, tapi dibuat ikhlas dengan sungguh-sungguh menjauhi dosa dan kelalaian, ia jadi besar dan agung di sisi Allah. Moga Allah perkenan.

Tulusly,
mfr