|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Alhamdulillah, saya telah menghantar e-mel kepada felo fatwa Jakim berkaitan komik dan animasi. Ini merupakan langkah susulan dan terakhir bagi mendapatkan garis panduan syar'ie kepada semua generasi muda dalam berkarya. Saya harap akan terima jawapan kepada semua soalan yang ditanya.

from: mfr studio
to: felofatwa@gmail.com
date: Mon, Oct 13, 2014 at 11:59 AM
subject: Garis Panduan Buat Pengkarya Komik dan Animator
mailed-by: gmail.com


Assalamualaikum.

Tuan,

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Adakah harus bagi seorang pengkarya komik dan animator melukis makhluk bernyawa dalam karya mereka bagi menyampaikan mesej-mesej dakwah islam sedangkan terdapat hadis-hadis larangan dan prinsip dakwah tidak disampaikan dengan cara yang haram?

3. Sekiranya harus, bolehkah dalam menyampaikan mesej-mesej dakwah islam, karya tersebut diselit watak-watak yang tidak syar'ie seperti watak tidak menutup aurat, watak haiwan boleh bercakap, watak makhluk fantasi berbentuk ganjil dan pelik yang tidak wujud di dunia nyata, watak-watak manusia yang mempunyai kuasa ajaib yang bertentangan dengan sunnatullah, dan cerita-cerita rekaan yang mengandungi unsur tahyul dan khurafat seperti kisah hantu, jin dan syaitan berteraskan imaginasi pengkarya semata-mata?

4. Apakah hukum rezeki yang diperolehi dari penjualan karya komik dan animasi yang bukan saja tidak mengandungi dakwah islam malah mengandungi watak dan cerita yang tidak syar'ie seperti di atas?

Jawapan-jawapan pihak tuan dalam permasalahan ini moga-moga dapat menjadi garis panduan kepada semua pengkarya komik dan animator muslim di Malaysia yang sekarang sedang giat membangunkan industri kreatif tanah air.

Sekian, terima kasih.

Muhammad Fakhrul Razi
mfr studio
Bismillah.

Ok lah tu orang tak faham kenapa saya deactivate akaun facebook. Tak ada masalah besar. Biasalah kadang-kadang orang tak faham apa sebab suatu tindakan yang kita ambil. Tak faham orang, tak ada masalah. Memahami orang, satu kurnia dan anugerah istimewa. Tak semua kita dapat kurnia dan anugerah itu.

Banyak sahaja tindakan orang yang buat saya berasa hairan, tak faham, termangu-mangu, terpinga-pinga semua. Admin Comichat kata "boleh lukis free hair, tapi tak digalakkan", itu memang saya langsung tak faham! Tapi saya dah berlepas diri. Jadi tak ada keperluan saya nak memahami lagi. Tapi bagaimana dengan anak muda dan anak tua Muslim yang lain? Mereka juga pernah kata, "biarlah kami free hair, asalkan kami tak ganggu orang". Biarkan? Saya langsung tak faham!

Secara prinsipnya, memahami kenapa orang itu membuat suatu tindakan tertentu, adalah suatu kurnia dari Allah kerana tak semua orang dapat kurnia itu. Tapi tak ada masalah pun jika kita tak memahami manusia. Yang jadi masalah besar dalam dunia ini adalah KITA TAK MEMAHAMI AGAMA KITA ISLAM DAN KITA TAK MEMAHAMI DIRI KITA YANG SANGAT MEMERLUKAN KEFAHAMAN ISLAM YANG JITU. Fahamkah? Kalau tak faham prinsip ini, kita bermasalah.

JADI KENAPA SAYA DEACTIVATE FACEBOOK SAYA YANG TAK ADA FRIEND DAN HANYA LONGGOK KOMIK SAYA LUKIS ITU?

Sebab ringkasnya, saya nak menyelamatkan umat dari kemudaratan diri saya. Kita tak tahu adakah diri kita ini memberi manfaat atau mudarat pada orang. Saya sangat tegas dalam hal ini, kerana Islam bertegas dalam hal ini. Dalam Islam, semua Muslim WAJIB berusaha bawa manfaat pada umat dan seluruh manusia. Jika ada kemudaratan yang datang dari diri Muslim itu, maka WAJIB ia dicegah dari terus menular.

Pernah baca kisah Abu Dzi'b yang dipindahkan oleh Saidina Umar ke Basrah?

Kisah ini diceritakan oleh Ibnu Saad dalam kitabnya Al Tabaqat Al Kubro.

Dari Abdulah bin Buraidah al Aslami, beliau bercerita, “Suatu malam Umar bin al Khattab keluar dari rumahnya. Di jalan beliau menjumpai beberapa wanita yang sedang bersembang. Ternyata beberapa diantara mereka ada yang bertanya, ‘Siapakah penduduk Madinah yang paling tampan?”. Salah seorang wanita diantara mereka mengatakan, “Abu Dzi’b-lah orangnya”.
Ketika pagi tiba Umar bertanya-tanya tentang siapakah gerangan lelaki yang bernama Abu Dzi’b, ternyata dia adalah seorang lelaki dari Bani Sulaim. Ketika Khalifah Umar melihat rupanya ternyata dia adalah lelaki yang sangat tampan. Umar pun berkata kepadanya, “Demi Allah, kamulah yang menggoda mereka para perempuan”. Demikian beliau katakan dua atau tiga kali. Lantas beliau mengatakan, “Demi Allah, zat yang jiwaku ada di tangan-Nya aku tidak mahu satu daerah dengan orang tersebut”.
Orang tersebut mengatakan kepada Khalifah Umar, “Jika engkau hendak membuangku maka buanglah aku ke tempat engkau membuang anak saudaraku yaitu Nasr bin Hajaj al Sulami”. Khalifah Umar lantas memerintahkannya agar memperbaiki diri lalu membuangnya ke Basrah”.

Jadi pengajaran yang saya dapat dari kisah ini, jika kita mempunyai kemudaratan pada umat, wajiblah kita menghindari umat dan memperbaiki diri kita hingga hilang semua kemudaratan itu. Begini tegasnya akhlak seorang Muslim bagi memastikan di dunia ini hanya bertebaran manfaat pada umat semata-mata dan menghindarkan segala kemudaratan dan kemungkaran.

Berbalik kepada soalan kenapa deactivate facebook tadi, lama sebelum deactivate, saya telah berusaha memaparkan pesanan merayu dan memohon agar sesiapa yang merasakan komik saya ada mudarat supaya maklumkan di ruang komen dan jika berpeluang untuk report pada Mark Zuckerberg sangat dialu-alukan. Saya minta orang tinggalkan saya, unfollow, unlike, unshare, block akaun saya. Saya jadikan ia sebagai satu wasiat di bawah description pada cover photo. Pada cover photo sendiri, saya dah paparkan permohonan maaf jika mereka terklik akaun itu.

Bulan demi bulan, hari demi hari, saya tak menerima apa-apa respon yang mengatakan komik saya memudaratkan umat. Di waktu dulu, adalah orang komen komik saya panjang sangat dialog, dan ada juga yang komen saya kurang bagus meletakkan dialog-dialog logik hanya suka memaparkan ayat Quran dan hadis kerana kata mereka tidak berkesan pada non muslim yang membaca. Bagi saya komen seperti ini hanya berkisar tentang mutu dan kualiti, iaitu jika saya menurut komen-komen mereka itu, maka komik saya menjadi lebih berkualiti dari yang ada sekarang. Tapi saya sudah pernah jelaskan, saya lukis komik itu paling habis kualiti terbaik yang saya dapat fikirkan.

Bila sudah siap dan publish, maka komik itu tak berapa bagus pada pandangan mereka. Saya kata, susah saya nak perbetulkan, karang saya perbetul ikut kehendak mereka, ada pula yang lain pula berkehendak yang lain pula. Jenuhlah aihh nak perbetul komik je setiap hari bagi memenuhi kehendak manusiawi yang membaca. Maka lebih baik saya fokus pada memenuhi redha Allah. Adakah komik saya itu selari dengan redha Allah dalam Quran dan Hadis, atau hanya menjemput kemurkaan Allah. Maka dengan cara itu, saya boleh terus lukis komik yang baru dan baru.

Namun, baru-baru ini saya mendapat respon bahawa komik saya ini langsung tak ada nilai positif untuk umat dan hanya memperbodohkan pembaca, dan hanya memaparkan kesombongan! Maka ini adalah respon yang perlu diambil berat. Langsung tak ada nilai positif bermakna komik saya sangat negatif. Komik yang bernilai negatif sangat membahayakan umat! Pembaca merasakan bodoh bila baca komik saya, sangat memudaratkan. Kita mahu pembaca bertambah ilmu dan kefahaman, bukan menjadikan pembaca kita rasa bodoh. Komik saya memaparkan kesombongan? Itu sangat bahaya, kerana Allah sangat murka akan orang-orang yang sombong. Apa saya akan jawab depan Allah jika betul komik saya sebegitu? Tentunya saya menjadi sangat takut jika Allah murka pada saya kerana membiarkan komik yang memudaratkan umat terus dibaca.

Makanya, setelah duduk bertenang, bertafakur, dan istikharah, saya tekad dengan satu keputusan. Saya perlu deactivate facebook, hide semua foto komik di G+ dan privatekan blog komik saya. Jadi, objektif menghindar komik saya dari umat telah selesai. Maka bagaimana dengan orang yang merasakan manfaat dari komik saya? Ya, sebagai Muslim yang berprinsip saya mesti meneruskan apa saja manfaat pada umat. Jadi langkahnya mudah, siapa saja yang rasa manfaat, boleh lihat di katalog komik di: http://contengmfr.blogspot.com/p/katalog-komik-di-g.html, dan boleh terus memanfaatkan komik saya 200% gratis.

Persoalannya, bagaimana jika mereka juga termudarat dengan komik saya? Mudah, mereka maklumkan kemudaratan itu, saya akan perbaiki diri dari makluman itu.

Persoalan seterusnya, bagaimana jika mereka yang rasa manfaat itu menyebarkan komik saya pada umat yang lain, tidakkah itu akan membawa mudarat kembali pada umat? Tidak. Kerana jika mereka yang telah bermanfaat dengan komik saya itu sudah terbukti rasa manfaat, maka mengapa tidak umat yang lain juga rasa manfaat? Tentunya ada lagi umat yang lain yang boleh rasa manfaat. Tapi kalau ada yang bermanfaat, ada pula yang bermudarat, di situ kita akan timbang, berapa ramai yang rasa manfaat dan berapa ramai pula yang rasa mudarat. Di situ baru kita boleh timbang dengan adil, komik saya banyak manfaat atau banyak mudarat.

Dengan kaedah ini, analisa lebih mudah dibuat. Berbanding cara dulu, saya hanya tayangkan komik tanpa ketahui betulkah ada yang rasa manfaat dan betulkah ada yang rasa mudarat.

Kesimpulannya, saya deactivate facebook, hide foto G+ dan private blog komik untuk mengelakkan mudarat dan menganalisa dengan lebih baik manfaatnya. Itu yang saya fikir terbaik setakat ini.

BAGAIMANA PULA YANG MENDAKWA SAYA MERAJUK, SAYA PUTUS ASA, SAYA SANGAT MUDAH BERHENTI BERBANDING BERHADAPAN KRITIKAN DENGAN SABAR, SAYA LOSER, SAYA TERUK, SAYA HINA, SAYA PENGECUT, SAYA TERASA, SAYA TAK WAJAR DIHORMATI DLL?

Pulak dah. Setelah berikan penjelasan, tapi ada yang mendakwa di sebalik penjelasan itu, maka lantaklah. Kita tak pernah bermasalah dengan apa yang orang kata tentang kita di dunia ini. Tapi kita akan bermasalah dengan apa yang Allah akan katakan pada kita di akhirat kelak.

Saya wajib bertindak setelah mendapat maklum respon bahawa komik saya memudaratkan umat, lantaklah orang nak cakap apa, tapi saya bertindak sebab saya sangat takut dengan kemurkaan Allah jika saya tak buat apa-apa dari respon yang saya dapat itu.

Jadi semua orang bebas mendakwa apa-apa, nak fitnah ke, nak mengumpat ke, nak cakap belakang ke, dipersilakan dengan tanggungjawab sendiri. Saya hanya fikir tanggungjawab saya bila berhadapan dengan Allah nanti. Saya sangat takut saya tak mampu jawab depan Allah atas apa yang saya buat. InshaAllah setalah berusaha dan bertindak dengan penuh teliti, saya harap saya boleh jawab segala hal ini telah diusahakan bersungguh-sungguh, moga Allah ampuni saya jika saya lemah dan salah, moga Allah redha saya walaupun saya sedar tak banyak usaha yang boleh menjemput redha Allah atas buruknya diri saya ini yang penuh dosa.

Sekian.

mfr



Bismillah.

Alhamdulillah, saya telah cuba e-mel pihak editorial PTS akan masalah Syariah Compliant. Saya cukup yakin Syariah Compliant Comichat hanyalah salinan dari Syariah Compliant PTS. PTS wajar membetulkan dahulu apa yang tak betul, baru boleh menjadi contoh pada generasi muda seperti Comichat.

Berikut saya paparkan e-mel yang dihantar.

from: mfr studio <mfakhrulrazi@gmail.com>
to: editorial@pts.com.my
date: Mon, Oct 6, 2014 at 10:59 AM
subject: SYARIAH COMPLIANT DALAM KOMIK-M

Assalamualaikum.

Tuan,

Dengan segala hormatnya saya merujuk perkara di atas.

2. Saya mendapati beberapa buah produk Komik-M tidak menepati syariat baik dari segi lukisan mahupun isi cerita. Saya bimbang tafsiran syariah compliant yang menjadi polisi PTS longgar dan tidak menepati sepertimana garis panduan para alim ulama.

3. Beberapa contoh Komik-M yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

i. Watak perempuan yang dilukis dalam Komik Reda #2 jelas ketat menampakkan bentuk tubuh walaupun dilukis bertudung:
http://pts.com.my/buku/reda-2-pintu-hati/

ii. Cerita yang memaparkan kuasa ajaib dan makhluk ganjil dalam Ultra Qalif #5 jelas bertentangan sunnatullah dan tidak mempunyai asas dalil aqli mahupun naqli.

4. Saya menyedari Tuan Wanzu (Wan Zuhairi) yang dipertanggungjawabkan membangunkan produk Komik Malaysia PTS dengan polisi Syariah Compliant berpegang kepada fatwa Dr Yusuf AlQaradhawi dalam Fatawa Muasarah dan Malamihu AlMujtama' Al Muslim Allazi Nasyuduh dalam hal melukis tetapi bukankah fatwa Dr Yusuf AlQaradhawi dalam hal pengharaman animasi Pokemon ada menyebut pentingnya animasi kartun dibuat melambangkan akidah, nilai akhlak, syariat, serta tamadun Islam. Dan antara sebab Pokemon difatwa haram juga kerana kandungan ceritanya yang bertentangan dengan sunnatullah dan tidak mempunyai asas dalil aqli mahupun naqli. (Rujuk Fiqh Hiburan dan Rekreasi oleh dr Yusuf AlQaradhawi terbitan PTS, muka surat 218,219,222).

5. Saya berharap pihak PTS dapat membina polisi sesuai dengan nama yang digunakan iaitu Syariah Compliant yang mengikut Syariat Islam sebagaimana yang digariskan oleh para alim ulama muktabar tanpa melonggarkan atau membina peraturan yang bertentangan syariat agar salah tafsir ini tidak mengelirukan terutama generasi muda yang kita sayangi yang bakal mengikut jejak langkah PTS dalam hal penerbitan ini.

6. Semoga Allah sentiasa memelihara niat baik para penggerak PTS agar berada di jalan lurus yang benar-benar lurus sesuai dengan petunjuk Al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.

Perhatian pihak tuan dalam hal ini amat dihargai dan moga dirahmati Allah s.w.t.

Sekian, terima kasih.

Muhammad Fakhrul Razi
mfr studio
Bismillah.

Dengan merasakan tanggungjawab ke atas generasi muda, saya cuba mengusahakan sebuah komik bertajuk "Apa Erti Aku Melukis Komik?" dengan harapan dapat menyampaikan seluruh prinsip dan dasar komik bagi seorang pengkarya Muslim. Namun kerana keterbatasan diri saya, saya masih belum menyiapkan komik tersebut.

Maka di sini, saya ingin menyampaikan sebahagian nota penting komik tersebut yang saya rasa sangat kritikal untuk dipaparkan segera, apabila membaca apa yang ditulis oleh Comichat dengan projek Supreme mereka. ( Rujuk:https://www.facebook.com/comichatconsultancy/photos/a.733601893317726.1073741828.733590983318817/855738774437370/ )

"Syariah compliant bukan bermaksud melukis komik dakwah"-satu kenyataan yang terpapar pada description photo itu jelas membuka perbahasan yang sepatutnya dituntaskan oleh semua pengkarya muslim.
Saya melihat antara yang disenaraikan sebagai "tidak melanggar arahan agama" itu adalah tidak melukis perkara-perkara lagha yang membawa kepada dosa. Komik jenis apa yang bukan bertujuan dakwah tapi dalam masa yang sama juga tidak lagha?

Kajilah komik yang bagaimana yang diharuskan oleh agama, akhirnya semua pengkarya muslim akan sedar hanya komik dakwah sahaja diharuskan agama.

Kemudian marilah kita kenali dalam-dalam apa itu dakwah, kemuliaan perjuangannya, objektif dan matlamatnya, pengisian dan halatujunya.

Suka untuk saya selitkan di komen ini juga tentang apa yang dihuraikan oleh sheikh yusuf al qaradhawi ketika komen tentang fatwa pengharaman anime pokemon (saya rujuk terjemahan Fiqh Hiburan dan Rekreasi terbitan PTS):

"Perkara yang wajib kita lakukan sebagai umat Islam adalah menghasilkan produk yang khusus buat umat Islam yang melambangkan akidah, nilai akhlak, syariat, serta tamadun Islam. Kerjasama perlu diwujudkan antara pakar-pakar daripada golongan sasterawan, cerdik pandai, ahli-ahli seni, para hartawan dan kerajaan bagi menghasilkan filem ataupun kartun animasi yang membawa mesej, keperibadian, identiti, serta tamadun yang BERSANDARKAN KEPADA AGAMA ISLAM dengan kaedah penyampaian yang mudah difahami".
(muka surat 222)

Itu pandangan al Qaradhawi dalam hal kartun animasi yang saya kira merangkumi jua aspek komik. Jadi, agak-agak komik apa yang membawa mesej, keperibadian, identiti, serta tamadun yang BERSANDARKAN KEPADA AGAMA ISLAM dengan kaedah penyampaian yang mudah difahami, yang bukan bernama KOMIK DAKWAH?

Dan apabila mereka (admin Comichat) setuju dengan karya fantasi yang tak berkaitan dengan dakwah, saya ingin jelaskan kekeliruan ini.

Secara asasnya komik berdiri atas imaginasi dan imaginasi itu satu fantasi. Tapi serupa dengan kisah-kisah tauladan yang dicipta oleh para alim untuk pemahaman orang awam, semuanya atas tujuan dakwah.
Bagi memahami batasan fantasi yang dilarang, mari kita selami apa yang disebut Dr Yusuf AlQaradhawi yang saya petik dari terjemahan Fiqh Hiburan dan Rekreasi terbitan PTS, mengenai hujah kedua kenapa pokemon diharamkan:

"Rancangan ini juga boleh memberikan kesan negatif kepada kanak-kanak dari segi pertumbuhan pemikiran mereka. Ini kerana, rancangan ini menanamkan KHAYALAN yang TIDAK BERASAS dan perkara-perkara PELIK YANG BERTENTANGAN DENGAN SUNNATULLAH ke dalam akal kanak-kanak. Binatang-binatang dalam rancangan ini digambarkan mempunyai keajaiban yang SAMA SEKALI TIDAK MEMPUNYAI ASAS, sama ada MENURUT DALIL AQLI MAHUPUN DALIL NAQLI...."
"...Alangkah baiknya kita menyarankan kepada pelajar-pelajar kita supaya mereka mempelajari dan mengkaji haiwan, burung-burung, dan serangga yang berada di sekeliling mereka daripada binatang-binatang yang dizahirkan dengan rupa bentuk yang PELIK dan GANJIL yang sama sekali TIDAK PERNAH WUJUD."
(muka surat 218-219)

Melihat pada hujah alQaradhawi di atas, fantasi atau khayalan yang dilarang itu adalah:
1. Tidak mempunyai asas menurut dalil aqli mahupun naqli.
2. Rupabentuk pelik dan ganjil bertentangan dengan sunnatullah.
3. Tidak pernah wujud di dunia nyata.

Maka tentulah jika fantasi, imaginasi dan khayalan yang ingin diterap dalam komik kita perlu:
1. Ada asas menurut dalil aqli dan naqli.
2. Tidak pelik dan ganjil dan tak bertentangan dengan sunnatullah.
3. Pernah wujud di dunia nyata.

Seterusnya bagi memenuhi syariah compliant, tentunya semua fantasi, imaginasi dan khayalan itu TIDAK LAGHA YANG MEMBAWA DOSA. Maka apa lagi dalam dunia ini yang tidak lagha malah bermanfaat beri pahala kalau bukan BERKAITAN DENGAN DAKWAH?

Maka hujah fantasi yang tak berkaitan dengan dakwah sangat-sangat tidak berhujah syariah compliant.
Saya bimbang Syariah itu dikelirukan. Saya bimbang apa yang sudah terjadi hari ini, orang sudah berkata, "Sekular itu juga syariah compliant asalkan adil", "Semua agama adalah syariah compliant asalkan menyeru manusia sembah Tuhan", "Tak masuk Islam asal buat baik itu sudah cukup syariah compliant", maka syariah itu syariat agama mana?

Perjuangan Komik Dakwah rupanya masih panjang.

Tuntas.

mfr

ATAS RASA INTEGRITI: SAYA PAPARKAN PM BALASAN SAYA PADA SALAH SEORANG AHLI COMICHAT YANG MESEJ SAYA (DENGAN PINDAAN NAMA AHLI ITU DIRAHSIAKAN)

Waalaikumussalam.

Saya telah berlepas diri dari menasihati Comichat atau ahlinya. Saya telah cuba menyampaikan sekadar mahu melepaskan tanggungjawab sekiranya ditanya oleh Allah di akhirat kelak, telah bersungguh-sungguh memberikan teguran atau tidak, ya, saya telah bersungguh-sungguh hingga berjela-jela panjangnya.

Saya harap Allah ampunkan saya kerana tidak lagi mampu meneruskan nasihat khususnya orang dalam Comichat yang saya telah perhatikan setiap satu perkembangannya, karyanya, tulisannya, komen-komen dan perbincangannya yang saya kira sangat berpotensi menjadi teraju komik dakwah di Malaysia. Saya doakan dia terus dipelihara Allah, tingkatkan sensitiviti imannya kepada sebarang ajaran islam yang cuba diberikan penafsiran lain dari apa yang diajar oleh para alim ulama muktabar. Saya sayang dia kerana Allah, bimbang dia kerana Allah, sayangkan agamanya, potensi dirinya, usaha usrah dan tarbiyah yang dia sedang jalani kerana Allah. Sekarang, saya sudah melepaskan diri saya dari dia, maka buatlah apa saja, moga Allah berinya petunjuk.

Saya cukup anti dengan orang yang berkata, "pembaca tidak suka membaca komik yang mempunyai ayat yang penuh seperti karangan."

Jika diri dia tak suka, atau kawan-kawan dia tak suka, adakah dia betul-betul pasti langsung tiada seorang pembaca pun yang suka? Dia tak pasti, kerana dia tak pernah bergaul dengan pembaca-pembaca tegar yang boleh baca apa saja ayat berjela baik dalam komik hatta dalam status facebook jua. Dulu ada orang kata, status facebook yang tulis panjang berjela tak akan ada orang baca, sebab kononnya orang melayari facebook bukan niat nak baca surat khabar. Tapi bila kawan saya tulis cerpen dan siri novel di status facebook, beribu orang baca, apa nak dikata? Kata kuncinya, kita tak habis kaji, kita fikir kita dah tahu semua dalam dunia ini.

Adapun bila orang komplen saya lukis komik dialog penuh panel, saya terfikir apa standard minimum jumlah perkataan dalam satu panel? Memang ada komik saya berjela dialog, ada yang nampak crowded sebab font saya guna, kalau saya guna arial atau times new roman, ok je tak crowded. Saya tengok juga ikon comichat punya komik Hyperman, adakah tidak crowded dialog dalam beberapa page komik itu? Apa standardnya? Jawapannya tidak ada standard. Penipuan besar dalam medan kreativiti apabila ada orang mengatakan jangan buat begitu, jangan buat begini, padahal bila ada orang buat yang lain yang kononnya dilarang itu, tup tup hasil dialah paling kreatif. Bergelumanglah dengan semua karya komik dunia, anda akan faham rupanya komik ini pelbagai bukan citarasa ala manga saja. Hatta manga pun banyak yang crowded dialognya setelah diterjemah! Itupun bukan orang ambil kira. Kata kuncinya kita tak cukup kaji dan hanya duduk dalam komuniti sendiri.

Kemudian, bila saya mula lukis komik dialog pendek. Ada orang rujuk komik itu sebagai karya yang mewakili diri saya? Tidak ada. Sebab kalau mereka rujuk itu komik mewakili diri saya, maka macam mana mereka nak komplen dialog penuh satu panel, sebab 4-7 perkataan saja satu page! Manusia. Mereka nak komplen tak mampu mengkaji seluruh.

Jika sudah karya saya itu pelbagai, maka jika ada karya yang tak suka, tinggalkan. Jika tak suka semua pun, tinggallah semua. Kita tak baca, ada orang lain baca. Kalau tak ada orang baca langsung pun, saya tak nampak sebesar zarah masalah dunia melanda umat pun. Pelik sungguh.

Saya pernah tulis dulu kenapa ada komik saya dialog panjang. Saya malas nak ulang semula. Ringkasnya saya hidup dah tak lama. Saya risau sangat jika saya meringkaskan dialog, kemudian saya mati, maka mesej sebenar komik saya tak sempat disimpulkan. Orang bahas isinya lepas saya mati terus buat kesimpulan salah. Jadi lantaklah saya nak tulis dialog panjang dalam komik yang dibenci orang pun. Memang tujuan saya melukis bukan nak tunjuk kat orang, saya nak Allah tengok saya dah berusaha menyampaikan. Allah tak pernah syaratkan kejayaan dakwah adalah mengumpul banyak pengikut. Kesianlah Nabi-nabi yang dikisahkan dalam isra mikraj, ada yang langsung tak ada pengikut adakah usaha dakwah mereka gagal? Pengertian perjuangan Dakwah tak difahami. Dakwah adalah usaha, bukan melihat hasil usaha. Ya, dalam dakwah kena kekal akhlak. Tapi berdialog panjang itu tak berakhlakkah? kalau begitu matilah semua kitab karangan ulama.

Ada orang kata, komik bukan novel, bukan kitab. Siapa yang tetapkan definisi komik? Kasihan. Ini medan kreatif, satu masa komik tak serupa komik sekarang pun tak ada masalah. Tak nak disebut nama komik pun tak ada masalah. Kreativiti tak ada standard. Kreativiti islami hanya ada batas, dan itulah hududullah, hukum Allah, syariah.

Bila guna nama syariah, tapi tak nak berhukum syariah macam yang ditetapkan Allah, apa akibatnya? ini basic bila kita baca quran. Takkan tak pernah jumpa ayat keras dari Tuhan kita sendiri berkaitan betapa sensitifnya hukum Allah ini. Bolehkah kita guna nama syariah, kemudian kita tetapkan rules yang lain? Beranikah kita buat begitu bila dah khatam quran yang kita baca jumpa macam-macam ketegasan Allah dalam soal hukum Allah dan menjaga batas-batas yang ditetapkan? Jangan dik, jangan.
Walau apa pun, saya dah berlepas diri dengan Comichat. Buatlah sesuka hati kalian.

Sebagai tambahan kepada pemerhatian dan soal selidik *kalian ke atas pembaca, nah ambil sampel komik saya bertajuk Kahwin Awal yang berjela, crowded gila dialog penuh panel ini dibaca juga oleh 1000 orang dan dishare oleh 700 orang. Tanyalah mereka semua itu. Apa masalah mental mereka ini, gila atau sewel? Apa pasai sebagai pembaca yang tak suka baca komik penuh dialog pergi baca juga komik Kahwin Awal ini?

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=250428425060298&set=a.249749441794863.37057.100002794267166

(Saya paparkan ini supaya saya tak dilihat oleh Allah cuba berbahasa lain di public dan berbahasa lain pula di dalam PM.)