|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
PENTINGNYA TUJUAN DALAM SEMUA HAL

Perkara ini menjadi asas dalam hidup aku. Aku jua lemah dan selalu tersilap. Aku jua pelupa dan perlu diingatkan. Sering aku tersesat, sering aku terkeliru atau terbabas. Namun untuk memperbetulkan semula, meletakkan kembali hidup di atas trek semula, menggerakkan usaha ke arah solusi tuntas pada permasalahan, ujian atau keperluan, aku mulakan semula proses "Mengenalpasti Tujuan".

"Mengenalpasti Tujuan" ini amat penting supaya usaha yang dilakukan selepasnya berbaloi, usaha yang mustahil dan tidak bermakna boleh diabaikan, usaha yang kecil, sampingan atau sekadar sokongan tak diperbesarkan atau disibukkan, usaha utama dapat terfokus, paling penting usaha yang dilakukan akan mencapai "Solusi Tuntas".

1. CONTOH DALAM BERBINCANG MENCARI SOLUSI

Contohnya jika seorang isteri berkata, "Rasa nak jumpa suamilah hujung minggu, kalau boleh nak pergi klinik untuk scanning sama-sama, tapi tak nak susahkan suami. Dia duduk jauh". 

Ayat di atas mungkin terlalu spesifik kepada kes suami-isteri yang tinggal berjauhan dan hanya bertemu pada hujung minggu. Kebetulan pada satu atau dua minggu setiap bulan, suaminya perlu bekerja tambahan pada satu hari di hujung minggu sama ada Sabtu atau Ahad. Isteri pula telah sarat mengandung yang sangat merindui suaminya dan tak sanggup menanti dua minggu untuk bertemu dengan suami. Dia terbayangkan, alangkah indah jika jadual ke klinik untuk scanning dapat dibuat bersama suami. Suami mungkin boleh usaha untuk memandu 200km pergi dan balik dalam satu hari untuk merealisasikan impiannya, tapi dia tak mahu menyusahkan suami. Sekarang, si isteri sangat keliru akan masalahnya. Apakah solusinya?

Baik, mengapa si isteri keliru untuk dapatkan solusi?

Kerana si isteri tidak pasti "Tujuan" bagi "Masalah"nya. Apa buktinya?

Dalam masalah yang terngiang di fikiran si isteri itu, terdapat tiga tujuan yang sama berat untuk dicapai iaitu:
a. Nak berjumpa dengan suami
b. Nak ke klinik bersama-sama
c. Tak nak menyusahkan suami

Prinsip untuk mengenalpasti tujuan adalah mengenali sifat "Tujuan", iaitu:
a. Tujuan itu satu.
b. Tujuan itu adalah matlamat akhir.
c. Tujuan itu solusi pada masalah. Ertinya, selepas mencapai tujuan, masalah lenyap terus.

Bagi sifat pertama, kita lihat si isteri tak dapat "Mengenalpasti Tujuan" kerana si isteri memiliki tiga tujuan dalam masalahnya, sedangkan sifat tujuan itu adalah satu. Maka besar kemungkinan "Tujuan sebenar" adalah salah satu dari ketiga-tiganya sebagai "Tujuan utama" yang ingin dicapai ATAU besar kemungkinan ketiga-tiga tujuan itu bukan "Tujuan sebenar" tapi hanyalah "Cara" untuk mencapai "Tujuan sebenar".

Bagi sifat kedua, apakah ketiga-tiga tujuan itu ada sifat matlamat akhir? Matlamat akhir mestilah "Tujuan tanpa ada tujuan selepasnya". Contohnya, jika "Nak berjumpa suami" itu untuk "Nak melepaskan rindu", maka "Nak berjumpa suami" bukan tujuan, kerana selepasnya ada tujuan "Nak melepaskan rindu" pula. Dalam kes itu, "Nak melepaskan rindu" adalah sebenarnya tujuan, dan "Nak berjumpa suami" hanyalah "Cara".

Atau, "Nak ke klinik bersama suami" itu sebenarnya untuk "Mahu suami melihat scanning baby bersama", maka "Nak ke klinik bersama suami" bukan tujuan, tapi adalah "Cara" dan "Mahu suami melihat scanning baby bersama" itulah tujuan.

Begitu juga, jika "Tak nak menyusahkan suami" itu kerana "Tidak mahu suami penat", maka "Tak nak menyusahkan suami" itu cara dan "Tidak mahu suami penat" itu tujuan sebenar.

Maka apa beza apabila "Cara" dianggap sebagai "Tujuan" berbanding "Tujuan sebenar" menjadi "Tujuan"?

Beza besarnya, apabila "Cara" menjadi "Tujuan" kita akan terikat dengan "1 cara" yang belum tentu boleh menjadi "solusi", berbanding jika "Tujuan sebenar" menjadi "Tujuan", kita mampu mengungkapkan "Pelbagai cara" dan kebarangkalian mencapai "solusi" lebih besar. Inilah yang akan memberikan kesan berbeza kepada "masalah", iaitu; apabila terikat dengan "1 cara" kita akan keliru, berasa masalah adalah kompleks seterusnya tidak menjumpai jalan untuk "solusi"; berbanding apabila kita ada "Pelbagai cara" maka kita akan dapat terfokus mencari solusi, masalah menjadi mudah dan ringan, dan jalan "solusi" menjadi terang dan lapang.

Seterusnya, sifat ketiga, tujuan itu mestilah solusi bagi masalah, maka mempunyai tiga tujuan di atas, adakah mampu melenyapkan masalah utama si isteri secara tuntas, atau hanya melunaskan hal-hal luaran masalah yang bukan akar bagi masalah. Sebab itu, "Mengenalpasti Tujuan" tak boleh lari dari "Mengenalpasti akar masalah". 

2. TUJUAN AGUNG SELURUH HIDUP INI UNTUK BERIBADAH PADA ALLAH DEMI MENCAPAI REDHA-NYA.

Kita hidup di dunia ini menghadapi pelbagai masalah, ujian dan keperluan yang perlu dilunaskan. Dalam mencari solusi kepada masalah, ujian atau keperluan itu, sebenarnya kita tak boleh terbabas, terkeluar, tersasar, dan lari dari tujuan agung keseluruhan hidup di dunia ini iaitu: beribadah pada Allah demi mencapai redha-Nya.

Ada orang tujuannya hanya beribadah, tetapi tidak meneliti ibadah yang dikerjakan diredhai Allah atau tidak. Ada orang tujuannya untuk capai redha Allah, tetapi tidak meneliti setiap yang dilakukannya adalah ibadah atau tidak. Di situ ibadah dan redha Allah tak boleh dipisahkan untuk menjadi tujuan agung. Lalu, setiap tujuan bagi usaha mencari solusi untuk pelbagai masalah, ujian, dan keperluan tadi mestilah tujuan-tujuan yang dikenalpasti mencapai tujuan agung yang satu itu.

Dalam pengajian Islam, dewasa ini pengkajian usul fiqh tak dapat lari dari berbicara soal Maqasid Syariah. Para ulama zaman ini, menekankan soal Maqasid kerana "Maqasid" itu bererti "maksud" dan "mengenalpasti maksud suatu syariat" itu adalah memberikan fokus fatwa atau hukum yang digariskan tidak tersasar kepada "Tujuan utama Syariat". Imam Syatibi menggariskan 5 perkara sebagai tujuan syariat iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

3. MASALAH UMAT TANPA MENJUMPAI SOLUSI

Merenung lebih jauh dalam permasalahan umat hari ini baik isu politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan agama semuanya mampu untuk diselesaikan apabila perbincangan fokus kepada "Mengenalpasti Tujuan" seterusnya mencapai "Solusi".

Kita bercakap mengenai matlamat Malaysia , "ingin menjadi negara maju menjelang 2020", tetapi sudahkah kita tuntaskan apakah "Tujuan" untuk "menjadi negara maju" itu? Jika "Tujuan agung" kita adalah "ibadah demi redha Allah", maka adakah bergerak menjadi "negara maju" itu "diredhai Allah"? Jika "negara maju" itu punya tujuan selepasnya, maka "negara maju" akan hanya menjadi "cara" dan tujuan selepasnya itulah "tujuan sebenar". Kemudian, kita perlu tuntaskan apakah "tujuan sebenar" menjadi "negara maju"? Di situlah yang akan menentukan sebenarnya "apa yang kita ingin Malaysia capai". Adakah akhirnya "pencapaian" itu bergerak ke arah "Tujuan agung"? atau sebenarnya kita lari dan tersasar dari "Tujuan agung" menuju "cinta dunia" atau "cinta nafsu".

Persoalan inilah jua memuktamadkan ke arah mana kita ingin capai dalam "kempen memboikot" untuk selamatkan Palestin. Adakah kita sudah kenalpasti "akar masalah" Palestin seterusnya "mengenalpasti tujuan" untuk selesaikan "akar masalah" itu? Kemudiannya adakah "memboikot" itu akhirnya akan mencapai "tujuan" tadi seterusnya masalah Palestin akan lenyap? Di situlah lorong-lorong yang kita cuba untuk lari yang akhirnya tak bawa kita kepada solusi, tapi hanya berlegar di ruang perdebatan dan pertikaian mengenai "apakah perlu boikot atau tidak", padahal tenaga fikir kita perlu memuktamadkan "akar masalah" seterusnya "mengenalpasti tujuan" yang kemudiannya barulah membawa kita kepada solusi seterusnya melenyapkan terus masalah Palestin.

Sebagai contoh, bagaimana sistem "mengenalpasti tujuan" dalam kes Palestin boleh bawa pada "solusi tuntas"? Saya mudahkan sebagai berikut:

Akar masalah: Umat Islam tidak digeruni musuh hingga musuh menzalimi, menceroboh, menjajah dan menindas.
Mengenalpasti Tujuan: Menggerunkan musuh hingga mampu menghalang musuh dari meneruskan kezaliman, pencerobohan, penjajahan dan penindasan.
Solusi: Pakatan Tentera Islam.
Dapatkah tujuan mencapai tujuan agung?: Menggerunkan musuh dan menghalang semua bentuk kezaliman adalah perintah Allah (rujuk al anfal: 60) maka ia adalah ibadah yang mendapat keredhaan Allah.

Jadi apabila sudah mencapai solusi, maka semua umat Islam bergerak menuju solusi tersebut dan tak membazir masa dengan solusi yang tak tentu tujuan.

Begitu juga halnya dalam usaha perbankan Islam. Adakah "mengadakan sistem tanpa riba" itu adalah "tujuan sebenar" atau "menghilangkan ketidakadilan, penindasan dan kezaliman dari sistem riba" itu adalah "tujuan sebenar"? Di sebabkan kita tak mengadakan proses "mengenalpasti tujuan", maka hari ini perbankan Islam selesa dalam bermuslihat secara kontrak, sistem riba hilang dalam akad, tapi masih tertinggal motif kapitalis perniagaan yang zalim dan menindas umat. Sekiranya "mengadakan sistem tanpa riba" bukan "tujuan" tetapi hanya "cara", maka usaha perbankan Islam tidak akan terus istiqamah dengan usaha sedia ada tetapi bergerak menuju "institusi pinjaman tanpa riba dan tanpa motif perniagaan" hingga "hilang semua penindasan dan kezaliman dari sistem riba total". Adakah perbankan Islam menuju ke arah itu? Dalam keadaan motif keuntungan berlipat ganda dipromosikan kepada bank konvensional untuk beralih pada perbankan Islam? Tujuan menentukan halatuju usaha.

Bercakap soal pilihanraya jua sama, adakah "Politik Kepartian" hari ini solusi bagi mencapai tujuan "Politik Umat"? Ke mana "Politik Islam" mahu capai? Dahulu kebanyakan pejuang sering menyebut perjuangan "Politik Islam" untuk mengembalikan "Khilafah memerintah dunia dengan mengangkat syariat sebagai hukum atau undang-undang", tapi hari ini sudah banyak pula yang menyebut "Negara Berkebajikan dan Tadbir urus Baik" sudah cukup dicapai sebagai tujuan, maka terbitlah suara menyebut "Sistem sekular lebih baik dari sistem Ayatullah atau Taliban" dan sebagainya. Kita masih tak tuntas apakah "tujuan sebenar" bagi "politik Islam", kemudiannya kita keliru akan "solusi" untuk politik kita. Kita tak tuntaskan apakah "akar masalah" untuk politik umat, kemudiannya kita langsung tak "mengenalpasti tujuan" kita berpolitik.

Sosial umat dalam hiburan jua sama. Kita masing-masing tak selesa dengan "hedonisme", tapi solusi "membina blok hiburan islami patuh syariat" tak ke mana. Kita buat filem dan drama dakwah, kita minta pelakon pakai niqab kemudian buka aurat bila babak di dalam rumah. Kita tulis skrip sebut "marilah taat pada Allah", lalu kita minta pelakon bersentuhan malah berpelukan. Apa ini? Selepas kita protes dan menegur, termasuk mengemukakan solusi lakonan islami, mereka sebut, "siapa yang nak tonton filem dan drama tanpa buka aurat, pelukan dan sentuhan itu?". Nah, sekarang kan bukti bahawa "berdakwah dengan filem dan drama" bukanlah tujuan untuk capai "tujuan agung"-ibadah demi redha Allah, bukankah "mendapat tontonan tertinggi" atau "keuntungan tayangan" yang menjadi "tujuan sebenar" yang sudah tersasar dari "tujuan agung"?

Mahu bebaskan "pendidikan" dari "berorientasikan peperiksaan" dengan menambah pelbagai bentuk dan sistem pemarkahan untuk pelajar, tetapi apabila mahu diterima ke universiti dan alam pekerjaan khususnya sektor awam, tetap jua dinilai berdasarkan "gred" dan "sijil" dari sistem peperiksaan. Kita tak mengerti tujuan sebenar pendidikan, tidak mengerti tujuan sebenar penilaian, tidak mengerti tujuan sebenar manusia dididik dan diberi kerja. Kita tersasar solusi dari tujuan sebenar. Akhirnya kita masih menjadi masyarakat pengguna dan bukan masyarakat pencipta. Jika ditakdirkan kita mencapai negara maju, namun adakah kita maju hingga memimpin dunia, memperbaiki dan mengubah kelemahan menjadi kekuatan, atau kita hanya maju sebagai pengikut dan dipimpin, diperbudakkan dan diubah dari lemah menjadi terus bergantung pada musuh.

Kita, ke mana kita nak tuju, solusi atau berbasa-basi, tujuan atau hanya tuju kekeliruan. Itu sahaja sudah atau belum kita kenalpasti?