|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Jika konsep jemaah adalah berkenaan dengan kebenaran/haq dan kesalahan/bathil, maka itu bukan konsep jemaah perkumpulan manusia yang mahu melakukan kerja semata-mata tetapi konsep jemaah tauhid atau keimanan. Benarlah jika ditanya "kamu jemaah yang mana?", katalah " Aku jemaah orang islam".

http://puisi-hamba.blogspot.com/2011/03/aku-dari-jemaah-yang-mana.html

Apabila kita mahu menjadi jemaah orang Islam, syarat pertama adalah kita wajib beriman sebagaimana Allah wajibkan orang islam beriman. Menjadi mukmin bukan dengan sekali percaya. Tapi menjadi mukmin adalah sentiasa percaya dengan yakin dan bergerak bekerja atas apa yang dipercayai. Di situlah bukti nyata bahawa jemaah orang islam wajib bergerak sebagai satu pasukan.

Kata-kata seperti "kamu bergeraklah cara jemaah kamu, aku ada jemaah sendiri dengan cara sendiri" adalah bibit-bibit mula kebodohan menimpa jemaah orang islam untuk menjadi terpecah, bermusuh, dan akhirnya menjadi buah bidak musuh. Jemaah-jemaah itu dipermainkan musuh persis pasukan-pasukan bola sepak dalam liga, dan pengikut-pengikut jemaah laksana penyokong-penyokong yang bersorak dan provok antara satu sama lain dalam stadium. Padahal asalnya Rasulullah s.a.w mengharapkan umatnya yang berjuang menegakkan agama itu adalah satu pasukan bernama jemaah orang-orang islam.

Orang berkata, " biarlah masing-masing buat kerja kepakaran masing-masing, dan jangan kacau antara satu sama lain". Tidak, sesungguhnya tidak. Pastilah akan berlaku kekacauan, kerana hakikatnya jemaah-jemaah pelbagai itu buat kerja yang sama iaitu kerja-kerja islam, tapi tetap mahu berkelompok-kelompok dan membenci kesatuan membentuk satu pasukan. Paling kurang pun, kekacauan minda berlaku pada anak muda yang termangu-mangu, jemaah manakah yang betul atau setidak-tidaknya paling betul?

Mereka pastilah tidak akan bertemu dengan satu jemaah pun paling betul. Lalu sebahagian mereka akan berkata,"tak payahlah harapkan sangat jemaah jadi betul, kerana semuanya tiada yang sempurna". Padahal mereka lupa, rencana Rasulullah s.a.w mensaudarakan umat Islam jadi satu pasukan adalah untuk menyempurnakan gerakan manusia dengan aturan yang paling sempurna iaitulah ISLAM.

Jadi ketika anak-anak muda itu mencari-cari manakah jemaah yang sempurna dan paling sempurna, jawapannya tidak lain itulah jemaah orang Islam yang dah dirancang pembentukannya oleh Rasulullah dan diusahakan oleh para sahabat. Bagaimana mahu mengadakan umat islam menjadi satu pasukan supaya jemaah orang islam tadi muncul kembali? Jawapannya tidak lain, londehkanlah jenama kumpulan yang sempit,dan pakailah baju yang besar iaitu islam. Usahakanlah supaya minda setiap umat dan pejuang merasakan mereka adalah satu pasukan yang sama. Maka akan muncullah pasukan sempurna yang tiada siapa boleh nafikan kesempurnaannya. Kerana Islam tali Allah, pegang teguh dengannya adalah pegang teguh pada suatu yang sudah disempurnakan dan satu-satunya yang diredhai Allah.

Tatkala itu akan ada yang bersuara,"susah kalau jadi satu kumpulan orang islam saja. tak ada check and balance". Sungguh mereka tak faham apa itu islam. Dalam islam itu sendiri sudah ada aturan untuk check and balance. Katalah pada mereka, "ketika kau solat jemaah, dan imam telah tersalah perbuatan, maka makmum akan check and balance dengan menegur. Apakah mereka check and balance dalam jemaah solat berlainan atau jemaah solat yang sama?". Sungguh tidak akan mereka jumpai satu kecacatan pun pada jemaah orang islam sebagai satu pasukan ini, kerana ini rencana dan harapan Rasul, dan perintah Allah s.w.t sendiri.

Kemudian ada yang berkata lagi,"setiap orang ada cara berbeza menyelesaikan masalah, kalau jadi satu pasukan, semua masalah hanya akan diselesaikan oleh satu cara sahaja". Sungguh mereka belum mengerti. Ketika pasukan umat islam berperang di medan perang pada zaman Rasulullah s.a.w, apakah semuanya hanya menggunakan pedang untuk melawan musuh? Atau kau tidak pernah mendengar ada yang menggunakan panah, menggunakan tinju, atau strategi perangkap untuk musuh? Tidakkah mereka itu satu pasukan tapi mempelbagaikan kaedah untuk melawan musuh? Hebatnya kerja sebagai satu pasukan, kaedah pelbagai tadi direncanakan bersama. Berbanding jika pasukan pedang buat rencana sendiri, dan pasukan panah buat rencana sendiri, apakah itu suatu yang teratur dan tersusun?

Kemudiannya, idea kembalikan umat Islam menjadi satu pasukan ini akan ditolak jua walau semuanya tidak dapat dinafikan lagi kesempurnaannya. Tatkala itu akan ada yang berkata, "aku mahu ketua jemaah aku jadi ketua pasukan umat islam itu, jika tidak, maka kami tak akan bersama dengan pasukan umat Islam". Tidakkah itu ketaksuban pada makhluk bergelar ketua? Atau mereka berkata,"Pasukan orang islam mestilah duduk di bawah jenama kumpulan kami",tidakkah itu pula ketaksuban jenama dan label? Maka ada juga yang berkata,"kami tak akan bersama dengan orang-orang yang kafir, munafik atau fasik di kalangan orang islam sebagai satu pasukan". Padahal ungkapan mereka itu lebih dikhuatiri menjatuhkan mereka sebagai kafir, munafik atau fasik. Sunnguh, kita doakan hidayah buat semua orang Islam, tapi janganlah khuatir, si kafir, munafik dan fasik pastilah mereka itu sangat panas dan tak selesa menghidupkan umat islam sebagai satu pasukan ini. Allah s.w.t sendiri akan keluarkan mereka dari pasukan dan jemaah orang islam ini dengan mengelaknya mereka untuk bergerak dan bekerja. Bukankah sirah telah menyebutkannya?

Maka, siapa lagi boleh mengelak untuk bersetuju bahawa umat islam seluruhnya khususnya para pejuang agama perlu bersama sebagai satu pasukan? Bagaimana mahu bermula? Mulakan dengan ijtimak perjumpaan para ilmuwan/ulama yang kalian hormati dan dengari nasihat mereka. Kemudiannya merekalah akan bersepakat mewujudkan himpunan umat islam. Boleh bermula dengan sekecil-kecil kampung menyatukan umat. Kemudian, besar sedikit dalam wilayah negara. Tidak mustahil akan berjaya untuk himpunan sedunia. Benar, ini revolusi. Kau mahukan revolusi, ini revolusi. Revolusi iman, menyatukan hati-hati para mukmin. Kau takut, nanti musuh akan gerun dan memusuhi kita umat islam? Bukankah sememangnya musuh itu dijadikan Allah untuk memusuhi kita dan kegerunan mereka pada kita, ertinya kita ini masih belum cintakan dunia dan takutkan mati? Kau risau dengan dunia enjoy kau dan takut terkorban dibunuh musuh islam? Maknanya kau bukan pejuang agamalah.

Apa yang dibuat dalam ijtimak dan himpunan? Adakah mempamerkan amarah pada musuh supaya musuh gerun? Tidak. Kegerunan musuh adalah apabila himpunan tadi menghimpunkan hati-hati kita untuk musyawarah. Benar, percayalah musyawarahlah yang akan menyatukan hati kita. Musyawarahlah akan jadi titik mula munculnya satu pasukan umat islam. Musuh menjadi gerun tatkala kita bertenang, bersatu dan tersusun bergerak. Percayalah.