|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

IDEA

Apa yang Dr Asri Zainul Abidin sebutkan dalam "Politik Kita Memerlukan Anjakan Baru" itu, merupakan hampir apa yang saya sendiri sejak dulu percaya dan bersetuju akannya. Dr Asri menyebut,

"Kita perlu politik idea iaitu politik yang berteraskan kebijaksanaan dan pemikiran yang bernas dalam memajukan masyarakat dan negara. Kita tidak mahu politik sekadar kutuk-mengutuk, maki-memaki dan hina menghina tanpa sebarang cadangan yang membina dan memajukan pemikiran rakyat."

Saya selalu menyebut mengenai kepentingan setiap orang mempunyai idea. Menurut Kamus Dewan Edisi 4, idea adalah buah fikiran atau gagasan. Manakala menurut kamus itu lagi, buah fikiran adalah pendapat; dan gagasan itu adalah buah fikiran yang dijadikan saranan.Saya punya definisi sedikit berbeza. Idea pada saya, adalah hasil cadangan dari asas prinsip dan matlamat diri untuk menyelesaikan suatu masalah atau memperbaiki apa yang sedia ada ke arah yang lebih baik.

Saya meletakkan ikatan idea itu pada asasnya:prinsip dan matlamat, dan meletakkan tujuannya: menyelesaikan masalah atau memperbaiki ke arah lebih baik.

Sebab itu, idea saya untuk pendidikan ke arah pendidikan bakat dan minat itu untuk merancakkan idea, dan sebab saya membantah pendidikan berorientasikan peperiksaan, malah menjadi pejuang anti-exam semuanya kerana nilai-nilai percambahan idea dicantas oleh sistem pendidikan sekarang.

Begitu juga halnya dalam arena politik. Kempen pilihanraya tidak dijadikan pentas percambahan idea, tapi hanya pujuk dan kutuk, hasut dan provokasi mirip apa yang saya lihat ada pada peminat bola sepak di dalam stadium. Lebih sadis, penyokong yang bersorak itu politikus, pemain bola sepak itu balaci dan pengikut, dan bola itu rakyat yakni kita semua ini, ditendang ke mana yang mereka suka.

PENTAS POLITIK IDEA

Benar, saya memang tidak setuju malah cenderung ke arah meninggalkan demokrasi. Demokrasi adalah jalan hanya jika darurat umpama babi yang halal dimakan ketika darurat bak kata Habib Rizieq Shihab murshid Front Pembela Islam di Indonesia, tokoh lantang yang sedikit sebanyak punya pengaruh besar ke atas diri saya. Persoalan lazim demokrasi dalam islam, pernah saya jawab dalam satu entri dahulu: Panduan Perbincangan Demokrasi Dalam Islam Untuk Dummies

Ketika saya menonton ucapan Ustaz Fathul Bari dalam Perhimpunan Agung UMNO 2010 tempoh hari, membuktikan apa yang saya percaya selama ini benar: Politik Demokrasi Kepartian Tidak Boleh Lari Dari Merendahkan Parti Lawan.

Ustaz Fathul Bari menurut Saudari NII, adalah orang yang tidak bersetuju dengan idea demokrasi. Namun ketika beliau melangkah dan berdiri dalam perhimpunan UMNO itu, beliau sendiri terikat dengan tradisi dan persepsi sehingga nasihat yang beliau utarakan perlu memperlihatkan kerendahan PAS, malah usaha beliau menggunakan perkataan dalam menafsirkan sifat PAS, memperlihatkan PAS itu parti lekeh dan jelik. Saya husnuzon ke atas intipati ucapan beliau, yang merupakan suatu nasihat yang mengena kesemua batang hidung baik UMNO, PAS mahupun PKR yang punya politikus muslim.Namun, impak penggunaan contoh, perkataan, label dan sifat dalam ucapannya adalah menjatuhkan PAS.

Mana tidaknya. Nasihat Ustaz Fathul Bari supaya orang politik menasihati pemerintah dengan menarik tangan pemerintah dan menasihati secara sembunyi tidak dilakukan baik UMNO, PAS, PKR, atau mana-mana parti politik di negara kita. Menghebahkan kesilapan parti lawan yang memerintah dan menegur secara terang-terangan mereka, adalah keuntungan percuma buat pembangkang, baik UMNO di beberapa negeri Pakatan Rakyat, mahupun PAS dan PKR di negeri Barisan Nasional.

Di sinilah saya merasakan sesi pilihanraya itu tidak salah, namun pengisian di dalamnya menjadi buruk kerana desakan kepada mengumpul majoriti sokongan yang menjadi teras prinsip demokrasi. Bagaimana anda menghadapi situasi hidup dan mati bergantung kepada sokongan manusia-manusia? Tentunya anda menggunakan apa saja cara untuk memujuk manusia menyokong anda dengan menawarkan apa yang disukai oleh manusia, atau anda mengapi-apikan nafsu manusia untuk membenci lawan anda supaya anda akan disokong sebagai signal mereka benci lawan anda.

Jadi, di mana Politik Idea boleh subur? Di manakah kita selalu mendengar idea-idea boleh bercambah dan dinilai dengan baik? Sesi mesyuarat ,brainstorming atau perbincangan mungkin terjelma di fikiran anda. Adakah kempen pilihanraya ada unsur mesyuarat, brainstorming atau perbincangan? Di situ, kita perlu menilai kembali pentas politik kita. Dan akhirnya anda akan mendapati Politik Idea hanya subur dalam Musyawarah. Dan sistem Syura yang memilih keputusan dengan idea dan panduan Quran-sunnah itu adalah jalan politik kepemimpinan sebenar, bukannya sistem undi majoriti berasaskan rasa, persepsi, dan nafsu manusia.

BAGAIMANA MAHU BERMULA?

Persoalan yang paling susah untuk dibuat oleh semua orang untuk melakukan perubahan adalah, "bagaimana mahu bermula?"

Dr. Asri ada menyebut dalam tulisan yang saya rujuk di awal penulisan ini,

MAKA, semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, berilah laluan kepada mereka yang baru demi untuk kebaikan rakyat. Samada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, hal yang sama mesti dilakukan. Ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi ‘hero’ dalam pentas baru politik hari ini.


Memang saya bersetuju saranan Dr Asri ini, malah itulah sekalian banyak keluhan saya ke atas politikus tua. Cukuplah, berhentilah, sangat jelas iklim politik Malaysia berasaskan nostalgia, dendam peribadi, ketaksuban individu, dan kem-kem pengaruh perseorangan. Jarang ada idea yang menjadi percambahan dalam pertarungan parti-parti politik ini. "Isu" lebih besar daripada "idea".

Sementara Dr Asri menyarankan orang tua berundur untuk beri laluan pada yang muda, saya pula melihat pentingnya orang muda kita dipersiapkan sebelum menggantikan yang tua. Saya tidak melihat kejayaannya Politik Idea jika semata-mata watak muda saja menjadi pengganti tetapi isi dan pentas politiknya masih sama, iaitu menjaja isu untuk raih populariti sokongan manusia.

Kita harus bermula bukan dengan penggantian orang tua kepada orang muda. Anjakan politik kita harus bermula dengan sistem pendidikan yang meraikan idea dan menghapuskan penilaian peperiksaan, seterusnya melapangkan pentas politik pada sistem musyawarah, kemudiannya barulah mengisi watak-watak muda yang penuh idea untuk dipandukan oleh orang tua dengan Al Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Saya selalu mengingatkan anak-anak muda bahawa mereka adalah "hero-hero" yang bakal mengubah dunia hari ini, bukannya orang-orang tua.

Saya tidak fikir sekadar penggantian orang tua kepada muda boleh merubah politik negara kita kepada politik idea, jika orang muda dalam medan politik pun menampakkan diri mereka mewarisi sifat-sifat memperlekeh pihak lawan, dan bertempur dengan menjaja kesilapan dan aib lawan, berbanding lebih suka mencambahkan idea untuk menyelesaikan masalah dan memperbaiki keadaan.

Hatta diadakan so called debat pun, apa yang dipamerkan cuma kehebatan bertutur, membidas dan menegak hujah, bukannya membentangkan idea-idea baru konkrit yang boleh sama-sama dinilai. Orang yang membentangkan idea, dia sendiri sepatutnya persiapkan pro dan kontra bagi ideanya serta memilih idea itu atas pertimbangan dirinya melihat kecenderungan pada kejayaan. Di situ bezanya debat dan musyawarah. Debat itu meletakkan dirinya betul segala, dan lawannya salah belaka. Musyawarah meletakkan ideanya mungkin betul dan salah, untuk sama-sama ditimbang dalam memilih pilihan terbaik.

Bersihkan prinsip dan asas pentas politik kepada konsep musyawarah, persiapkan sistem pendidikan ke arah meraikan idea dan hapus piawai dan penilaian peperiksaan, di situ kita boleh bermula politik idea. Dan dari situ,arah politik kita boleh menuju politik idaman seluruh umat islam yang pernah saya sebutkan sebagai politik akhlak, politik penyatuan, politik dakwah dan politik rahmah.