|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Hari ini 26 Ramadhan, malam ini 27 Ramadhan antara malam ganjil yang dicari LailatulQadr. Begitulah, makin hampir kepada hari terakhir Ramadhan, makin "desperate" kita untuk dapatkan ganjaran besar dari Allah s.w.t berikutan masa yang makin suntuk dan ajal yang makin mendekati kita bila-bila sahaja. Mungkin ada yang menemui ajal sebelum sempat menghabiskan bacaan ini. Inna lillah wa inna ilaihi roji'un.

Namun, tidak semua orang berfikir begitu. Apakah kita tidak menyedari, makin mendekati penutup Ramadhan, makin banyak pula iklan-iklan Hari Raya yang akan muncul di kaca-kaca televisyen untuk merangsang kemahuan berpesta di hari raya, kemahuan kepada juadah-juadah Hari Raya, kemahuan memperaga barang baru, kemahuan kepada duit raya, yang semuanya menjurus kepada nafsu-nafsu dunia yang melemahkan iman.

IKLAN RAYA SESAT TV3

Tahun ini iklan raya semakin pelik dan membimbangkan. Mungkin ada yang sudah menonton iklan hari raya TV3 tahun ini yang dibantah dan diprotes sekalian orang di alam maya sebagai Iklan Hari Raya Paling Menyesat. Akhi Fairuz Al-Jengkari menulis di dalam entrinya berjudul "Bukti bergambar kesesatan iklan promo Aidilfitri oleh TV3" (dia mengutip hujah dari facebook Yusrizal Usop) membongkar serba serbi babak demi babak di dalam iklan itu yang ditafsir menyesatkan. Kesimpulan tulisan itu, iklan itu berunsurkan propaganda Illuminati dalam menghina Islam dan Allah.

Namun, saya fikirkan tulisan itu tidak cermat dalam mengaitkan sesuatu kesesatan itu. Illuminati yang saya tahu adalah gerakan anti-kristian yang mengangkat nilai humanisme dan intelek manusia dan menolak segala doktrin kristian yang tidak masuk akal (termasuk Santa Claus). Era kemunculannya pun dipanggil Enlightment-era (Era Pencerahan) yang merujuk usaha mencerahkan akal manusia untuk menolak agama yang dirasakan mereka sebagai penghalang ketamadunan. Sebab itu Illuminati disebut diasaskan oleh free thinkers (pemikir bebas).[Baca Wiki]

Sehingga akhirnya gerakan ini dikaitkan sebagai usaha menyatukan manusia untuk meninggalkan semua agama dan bernaung di bawah pencerahan yang satu bernama The New World Order. Itu teori konspirasi yang popular ditulis oleh penulis-penulis awal yang membangkitkan adanya "secret society" dalam menyemarakkan permusuhan Kristian-Freemason,Illuminati. Kemudiannya diadaptasi pula oleh penulis muslim sehingga menjadi kelakar dalam usaha membongkar rahsia Dajjal dan Imam Mahdi (contohnya Ibnuyaacob.com). Akhi Fairuz atau Yusrizal Usop juga menjadi mangsa adaptasi ini.

Saya merasakan iklan ini diusahakan oleh kaum pluralisme atau mereka yang terpengaruh yang beriktikad semua agama adalah sama yang dewasa ini sudah berkembang dengan pesat di kalangan rakyat Malaysia. Apatah lagi kempen 1Malaysia dirasakan satu peluang yang baik untuk kaum pluralisme mengangkat fahaman mereka sebagai teras dasar PM Malaysia ke-6 itu. Saya tidak terkejut TV3 meluluskan iklan yang menyesat dan mengelirukan berkenaan dengan makna Aidilfitri, kerana sememangnya Aidilfitri telah dikeliru dan disesatkan puluhan tahun yang lampau oleh industri hiburan dan penyiaran tanah air.

Beca merah terbang yang dipandu oleh orang tua ini memang jelas ada usaha untuk menonjolkan unsur Santa Claus yang popular dalam Krismas oleh Kristian moden. Sukar untuk kita kaitkan Illuminati yang mempersenda Santa Claus dengan usaha promosi unsur Santa Claus dalam iklan ini. Kaum Pluralisme adalah kaum yang paling hampir membawa idea sebegini.



Bunga teratai bersama pelita dan manisan, sangat kita memahami ada usaha untuk menggabungkan tema buddha dan sambutan deepavalli oleh kaum Hindu.


Aksi biasa sambutan raya kaum Melayu yang kelihatan seolah mengacau dodol dan ketupat, cuma dijalin dengan bunga teratai yang popular dari penganut Buddha dan manik-manik cahaya yang popular dengan iklan Krismas oleh penganut Kristian, mentuntaskan lagi bahawa ini semua usaha pluralisme yang mahu menafsirkan 1Malaysia dalam sambutan Aidilfitri.

Pihak kerajaan bertanggungjawab membersihkan kempen 1Malaysia dari elemen pluralisme agama. Pluralisme agama sememangnya sesat, dan sememangnya sedang berkembang biak dalam masyarakat moden hari ini. Maka TV3 wajar menarik semula iklan raya sesat mereka ini. Namun adakah program lain di TV3 dalam menyambut hari raya tak sesat? Padahal kita tahu dalam tv3 bukan sedikit pluralis dan liberalis.


Pluralisme agama dibimbangi sudah menunjangi para pemimpin politik tertinggi negara


IKLAN RAYA SEBELUM INI TAK SESAT?

Mari kita renung sebentar pemahaman orang kita tentang Raya sebelum iklan sesat di atas diterbitkan. Adakah selama ini, unsur-unsur pluralisme dan kesesatan itu tak kelihatan?

Pernah anda dengar istilah "Kongsi Raya" atau "Deepa Raya"? Tahukah anda betapa mulianya Hari Raya umat Islam yang bernama Aidil Fitri itu, adakah anda fikir Allah redha kita menyambut Hari Kemenangan Umat Islam itu bersama dengan sambutan lain berteraskan kesyirikan dan kekufuran? Adakah anda tidak menghayati maksud takbir raya yang anda selalu alunkan di pagi raya itu?

الله أكبر الله أكبر لا إله إلاالله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد

Kita membesarkan Allah dan mengEsakannya juga bersyukur kepadaNya.

Adakah Allah dibesar dan diagungkan di dalam Kongsi Raya? Tidak, anda telah memuliakan juga 'singa' yang menari-nari menghiburkan manusia yang menyambung tradisi asal kaum yang tak beriman kepada Allah dari tanah besar China. Adakah anda mengEsakan Allah dalam Deepa Raya? Tidak, kerana anda juga memuliakan cahaya-cahaya dari pelita yang disambut oleh kaum Hindu. Bagaimana boleh sanggup dan tergamak anda menggabungkan perayaan yang tak berteraskan kepada mengagung, membesar, mengEsa dan bersyukur kepada Allah dengan hari yang Allah kurniakan untuk menambah keimanan, ketaqwaan dan kembalinya anda pada fitrah kesucian?



Bagaimana sebelum wujudnya istilah Kongsi Raya dan Deepa Raya yang masing-masing kebetulan jatuh Aidilfitri bersama dengan perayaan lain? Adakah pemahaman kita betul pada sambutan Aidilfitri sebenar?

Mari renung salah satu lagu popular Hari Raya oleh Saloma ini:

Selamat aidil fitri
Kepada saudara serta saudari
Setahun hanya sekali
Merayakan hari yang mulia ini

( 2 )
Di masa bulan Ramdan
Kita berpuasa hingga sebulan
Pabila Syawal menjelma
Hari raya disambut dengan gembira


( korus )
Miskin kaya memakai baju baru warna-warni
Mengunjungi sanak-saudara kaum famili
Sungguh hebat pemandangan di hari raya ini
Tua muda wajah berseri-seri

Marilah bergembira
Bersama menikmati hari raya
Mintak mak kuih sepotong
Saya mahu makan kerna perut kosong

( ulang 1 & 2 )

Maafkanlah jika ada terlanjur perkataan
Diharap supaya jangan disimpan
Kuberdoa selamat panjang umur murah rezeki
Semoga Tuhan akan memberkati

Selamat hari raya
Hari untuk kita bersuka ria

Selamat kami ucapkan
Untuk kita hingga sampai tahun depan

Selamat hari raya

Tafsir Hari Raya dalam lagu Saloma yang sudah berdekad dialunkan itu telah menafsirkan Hari Raya sebagai Hari Bersuka Ria? Mari kita lihat hari ini, apakah terjadi kepada fahaman masyarakat kita pada Hari raya? Suka Ria apa yang mereka lakukan?


Suka Ria itu adalah HIBURAN DAN PESTA! Anda lebih tahu hiburan dan pesta apakah yang diperbanyakkan pada 1 syawal itu. Dalam kaca televisyen anda sudah banyak bukti dan anda sekali lagi akan melihat hal itu syawal nanti. tidakkah itu bukti, sudah lama kita DIIKLANKAN Hari Raya yang sesat? Tahukah anda, Berhibur dan Berpesta di Hari Raya bukanlah suruhan sebenar Rasulullah s.a.w kepada kita.

Beberapa hadis menyebut,

Daripada Umamah r.a.
Maksudnya: barangsiapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.

Diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a.
Maksudnya: Barangsiapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir.

(Kedua-dua hadith di atas berstatuskan dhaif, dan ada ulama yang mengatakan maudhu (palsu), namun Imam Syafie dan Imam Nawawi ada menyebutkan akan kebaikan menghidupkan malam hari raya dengan amal ibadat: boleh baca perbahasannya di SINI)

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.
Maksudnya : Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.

Daripada Anas r.a.
Maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.

klik atas gambar untuk saiz besar

Betapa banyaknya kesesatan, terbabas dan terpesongnya sambutan Aidil Fitri kita hari ini. Kita disuruh memperbanyakkan MENGINGATI ALLAH tapi kita berhibur dan berpesta yang MELALAIKAN DAN MEMATIKAN HATI KITA (malah ada yang melakukan maksiat dan dosa). Tidak "tersesat"kah kita?

Allah s.w.t berfirman,



"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur."(Al Baqarah:185)