|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH



Saya bersyukur atas dua tulisan yang menyentuh soal filem islamik oleh dua orang ilmuwan ini. Tulisan itu ditulis pertamanya oleh Ustaz Zaharuddin dan keduanya ditulis oleh Dr Hilmi Abdullah.

USTAZ ZAHARUDDIN

Ustaz Zaharuddin membangkitkan kemungkinan ada proses Tadarruj (usaha membaikpulih secara beransur-ansur) dalam produksi Filem Islamik yang mengandungi aksi haram seperti pembukaan aurat dan persentuhan bukan mahram dalam lakonannya. Proses itu diharuskan setelah menimbang besarnya maslahat dan kecilnya mudarat yang bakal dibawa oleh sebuah Filem Islamik itu. Ertinya jika kesan dan keuntungan pada dakwah Islam lebih besar dan perbuatan haram dalam filem itu hanya mendatangkan mudarat yang kecil, maka ia dimaafkan kerana masih dalam proses membaikpulih secara beransur-ansur(Tadarruj).

Kalau benar ia dalam adalah sebuah proses Tadarruj , maka pelanggaran hukum hakam tadi bukanlah diHALALkan. Apa yang haram tetap haram tetapi proses timbang tara ini, apabila dilihat secara 'big picture' penyertaan dalam industri perfileman tadi adalah ke arah memperbaikinya sedikit demi sedikit. Ia diteruskan atas maqasid umum itu.

Macam orang baru masuk Islam, kita tak wajar nak mengharap serta mengarah perubahan diri secara drastik, mewajib segala penunaian kewajiban agama dalam tempoh sehari. Justeru, perubahan kepada kebaikan itu berlaku dalam keadaan si muallaf masih membuat benda haram seperti tidak solat lima waktu contohnya, tidak tutup aurat dan sebagainya. Ketika itu, ia tidak bermakna kita halalkan yang haram tetapi ia adalah satu proses.
Namun Ustaz Zaharudin tetap berpandangan hujjah Tadarruj hanya layak jika sebuah filem islamik itu benar-benar menyasarkan dakwah sebagai matlamat utama dan bukannya keuntungan, sehingga pembikin filem tersebut mestilah sentiasa berusaha
memotong, meminimakan serta meniadakan unsur-unsur yang tidak menepati hukum Islam.

Namun kebimbangan saya, jika ada pengarah dan penerbit yang lebih memfokuskan kepada keuntungan berbanding membawakan mesej Islamik yang tulus. Tatkala itu, akan muncul banyak ciri-ciri haram di dalam filemnya kerana terlalu ingin mengikuti selera penonton.

Seseorang penulis skrip, penerbit dan pengarah filem Islamik yang sebenarnya sepatunya meletakkan mesej dan inti filem sebagai pokok dalam pembikinan mereka. Hanya dengan itu, mereka mungkin layak dianggap sedang bertadarruj.

Jika benar-benar hujjah tadarruj digunakan, mesej dakwah disasarkan, saya kira pihak pembikin filem Islam mesti sentiasa berusaha memotong, meminimakan serta meniadakan unsur-unsur yang tidak menepati hukum Islam. Itu penting bagi memastikan maslahat yang ditagih sentiasa melebihi mudarat yang terlahir dari prosesnya, contoh seperti lagu tema nyanyian wanita tentunya TIDAK DIPERLUKAN. Adegan peluk, cium atau bersentuh tidak semestinya sentiasa diperlukan bagi mendatangkan kesan kepada penonton.
Apa yang saya dapat faham Ustaz Zaharuddin melihat dari dua perspektif, sehingga membayangkan ada kemungkinan proses Tadarruj itu:

Perspektif Pertama: Seorang pendakwah cuba menyuntik dakwah dalam produksi yang dibikin oleh perosak.

Ini saya dapat lihat dari gaya jawapan Ustaz Zaharuddin sebenarnya beliau banyak menumpukan pada isu "ustaz yang menghalalkan" yang disebut saya dalam soalan. Namun soalan saya ada dua isu. Isu pertama berkenaan dengan hukum mengharuskan aksi haram oleh penggiat industri hiburan sendiri dengan alasan oleh mereka,

Ini kerana ada yang menganggap selok belok industri hiburan lebih diketahui oleh orang hiburan sendiri. Maka patut atau tidak patut, baik atau tidak baik mereka melakukan perkara haram itu sehingga boleh mereka mengHARUSkan pembukaan aurat dan persentuhan lelaki perempuan dalam nyanyian atau lakonan atas dua alasan:

1) menyampaikan mesej dan pengajaran dengan lebih berkesan

2) mencari rezeki, kerana itulah satu-satunya jalan mereka boleh cari makan

Sebenarnya hujah nombor 1, saya kutip dari hujah para pelakon dan para penyokong Drama "Nur Kasih" yang mendakwa drama itu telah mendatangkan manfaat yang besar sehingga boleh menenggelamkan segala kemungkaran yang dilakukan dalam drama itu. Jika benar drama Nur Kasih yang memaparkan aksi gomol dan peluk berpeluk yang luar biasa telah mendatangkan manfaat dan pengajaran yang cukup besar, maka apakah itu layak dikira Tadarruj?

Dari pandangan Ustaz Zaharuddin dari perspektif pertama, sekurang-kurangnya ada seorang pendakwah yang faham benar akan matlamat dakwah sedang cuba membaikpulih produksi dengan penyuntikan nilai dakwah untuk memberikan maslahat yang besar pada islam. Adalah mustahil proses Tadarruj sedang dijalankan tanpa seorang pun dalam produksi berniat untuk berTadarruj. Persoalannya, dalam kes drama Nur Kasih, siapakah pendakwah yang sedang membaikpulih itu?

Hujah yang kedua pula, saya petik dari kes pelakon Anne Ngasri yang sudah berhijab, mendakwa dia membuka hijab semasa penggambaran drama Mayang Mengurai bagi mencari rezeki. Saya tak nampak proses Tadarruj dapat menjawab hukum harus yang dipegang oleh Anne Ngasri. Saya tak fikir "mencari rezeki" antara kaedah atau proses "membaikpulih", apatah lagi drama Mayang Mengurai tak didakwa sebagai drama bermatlamat dakwah. Jika diri Anne Ngasri yang nak "dibaikpulih", beliau bukan di"baikpulih" tapi di"rosak"kan apabila hijab yang telah dipakai disuruh dibuka oleh produksi.

Perspektif Kedua: Produksi tidak dapat mengawal sepenuhnya tindakan dan aksi pelakon.

Saya kira Ustaz Zaharuddin menganggap pelakon berlakon dengan gaya dan aksi yang bertentangan dengan Islam adalah perbuatan di luar kawalan produksi. Ini dapat dilihat dari kenyataan Ustaz Zaharuddin,

Kita juga mengharapkan penglibatan penulis skrip, pengarah, penerbit dan pemilik idea Islamik dan pergaulan mereka dengan para pelakon akan mampu mengubah sang pelakon sedikit demi sedikit. Maklumlah, nasihat dan kata-kata dari seorang pengarah, penerbit dan penuli sskrip secara tidak langsung boleh mempengaruhi orang yang dibawahnya.
Sebenarnya isu kedua yang saya bawa dalam soalan berkenaan dengan hujah "ustaz" yang beralasankan "darurat" itu memang merujuk kepada produksi Drama Astro Oasis di bulan Ramadhan yang lepas bertajuk, Cinta Sempurna. Adapun hujah dari perspektif pertama mungkin boleh diterima jika dianggap produksi Cinta Sempurna adalah produksi rosak yang cuba disuntik elemen Islamik oleh Ustaz Hasrizal selaku pencerita asal.

Namun adakah benar produksi Cinta Sempurna diproduksi oleh perosak? Saya kira kes Drama Cinta Sempurna ini mesti dilihat dengan penuh teliti, merujuk kepada fakta berikut:

1) Cinta Sempurna diniatkan untuk menjadi bahan santapan rohani di bulan Ramadhan, dan diwar-warkan sebagai drama dakwah sejak sebelum pengggambaran lagi.

2) Ustaz Zabidi yang diakui sendiri oleh Ustaz Zaharuddin sebagai berfikrah dakwah, adalah penulis skrip drama ini dengan menjemput Ustaz Hasrizal untuk menyuntik lebih 'umph' lagi elemen dakwah dalam skrip beliau.

3) Ustaz Zabidi membantu dalam usaha mencari pelakon yang sesuai untuk watak skripnya.

4) Ustaz Zabidi menyaksikan juga beberapa aksi shooting drama tersebut.

5) Drama ini ada barisan panel syariah bagi memantau mesej dakwah yang disampaikan.

6) Drama ini dihasilkan setelah banyak perbincangan dibuat.

7) Pelakon Faezah Elai berjaya dihijabkan dalam produksi.

Poin nombor 7 bukti tidak wujud pelakon yang berlakon secara tak terkawal oleh produksi.Malah setiap pelakon yang professional mereka sanggup berlakon sehabis baik sehingga memenuhi apa yang dihajatkan oleh produksi. Faezah Elai berhijab dalam Cinta Sempurna bukti pelakon rela dikawal oleh produksi.

Berkenaan dengan isu "ustaz"

Saya kira "ustaz" yang saya ingin bangkitkan soal "menghalalkan" dalam soalan itu bukanlah Ustaz Hasrizal, tapi adalah Ustaz Zabidi. Saya pernah kritik Ustaz Zabidi dan karya Cinta Sempurnanya ini dalam entri bertajuk, "Sebenarnya wujudkah pejuang Islam sebenar dalam industri hiburan?".

Tapi saya juga meminjam hujah-hujah Ustaz Hasrizal berkenaan "darurat" ke dalam soalan kerana isteri dan penyokongnya yang komen di web beliau memperlihatkan ada usaha mengatakan keperluan untuk melanggar hukum supaya matlamat menyampaikan mesej dakwah tercapai [baca no 3].Di sinilah saya melihat tidak ada proses "Tadarruj" , kerana mereka bukannya mahu "membaikpulih" karakter kepada memenuhi keperluan Islam, tetapi kemahuan mereka sangat tinggi kepada "merosak" Islam untuk memenuhi keperluan karakter. Lebih-lebih lagi hujah supaya "face the reality".

Adakah benar dakwah dalam filem perlu tunjuk seumpama realiti? Saya kira pegangan saya dikongsi sama dengan Dr Hilmi Abdullah yang tulisannya tersiar dalam Utusan baru-baru ini.

DR HILMI ABDULLAH

Tulisan bertajuk "Kenapa Festival Filem Islam Menyepi?" itu dimuatkan dalam ruangan Bicara Agama Utusan. Pada perenggan awalnya menyebut akan usaha menganjurkan Festival Filem Islam oleh kerajaan negeri Kelantan telah terhenti. Saya fikir permainan ayat Dr Hilmi cukup membuatkan wartawan pro-UMNO dalam Utusan terasa bahagia kerana dapat "cah keting" kepimpinan PAS Kelantan dengan menyindir mereka menganjurkan Festival Filem Islam hanya sebagai gimik untuk meraih undi Pilihanraya ke-12 lepas.

Namun, saya lebih bahagia dengan perenggan-perenggan di tengah tulisan itu yang berbicara soal idea Filem Islamik yang sangat mirip dengan apa yang saya pernah sampaikan berbulan sebelum tulisan Dr Hilmi ini. Khususnya apa yang ditulis Dr Hilmi,

Setelah kata putus dicapai, rasanya tidak sukar bagi pengarah yang kreatif untuk menghasilkan filem-filem yang dimaksudkan. Bagi menghasilkan filem yang mengisah-kan tentang kehidupan junjungan Nabi Muhammad s.a.w. misalnya, pengarah filem tersebut mestilah mengambil kira dan menghormati pandangan jumhur ulama yang mengharamkan penonjolan watak Nabi Muhammad s.a.w. secara visual. Lalu bagaimanakah filem tersebut boleh dihasilkan?

Bagi pengarah yang tidak mahu berfikir panjang, mereka akan segera angkat tangan, tetapi tidak bagi pengarah yang betul-betul berjiwa seni. Bagi mereka, banyak kaedah yang boleh digunakan, dan kesannya kepada penonton masih tetap sama. Lalu terciptalah kaedah pergerakan kamera bagi menggambarkan pergerakan Nabi Muhammad s.a.w. Kisah hidup Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat dan isteri baginda pula diceritakan melalui perbualan orang ramai sesama mereka. Maka, di manakah susahnya?


Hujah yang hampir sama pernah saya gunakan dalam entri "Review Teledrama Musafir",

Saya tak faham, apabila agama menegah kita dari menonjolkan wajah Nabi, boleh pula kita berjaga-jaga dalam drama atau filem untuk tidak menonjolkan wajah Nabi. Bijak pula kita menjaga batas syarak, walaupun jika difikirkan oleh pengusaha tipikal drama dan filem tentunya mereka pening kepala bagaimana nak tonjolkan watak yang tidak boleh ditunjukkan wajah, jasad, malah suaranya pun? Tapi jelas, sudah banyak drama dan filem mengisahkan sirah Rasulullah s.a.w tidak satu pun menjadi bodoh dengan menunjukkan wajah Nabi, tapi tetap berjaya menghidupkan watak Rasulullah dalam drama dan filem mereka. Nah, kata kuncinya gunalah kreativiti.


Begitu juga apabila Dr Hilmi senada dengan saya dalam menafikan keperluan segala bentuk aksi-aksi yang bertentangan dengan hukum Islam dalam menafsirkan Filem Islamik,

Oleh itu, filem yang islamik seharusnya filem yang tidak mengandungi adegan-adegan yang tidak sepatutnya seperti berpelukan antara pelakon lelaki dan wanita, pendedahan aurat yang keterlaluan, penonjolan aktiviti-aktiviti maksiat secara terang-terangan, aksi-aksi ganas yang melampau, dan mengandungi elemen-elemen khurafat dan syirik. Termasuk dalam konteks ini juga ialah filem-filem yang mengandungi unsur-unsur komedi dan lawak jenaka yang kosong, mencarut, membodohkan, dan komedi yang kotor dan jijik.

Saya pernah memberikan takrif berkenaan filem dan drama orang-orang Islam lagi mukmin yang semuanya mestilah bersifat Islamik dalam entri bertajuk "Filem Lakonan Islami",

Filem dan drama orang-orang Islam lagi mukmin WAJIB meninggalkan segala perkara HARAM, mengunakan daya kreativiti tertinggi untuk memelihara syariat dalam lakonan, dan mestilah dibina berasaskan prinsip dakwah yang kuat. Kita buat filem bukan nak ikut kesukaan orang ramai, tapi nak dapat kesukaan Allah pada kita. Maka, hujah yang mengatakan nanti orang ramai tak suka menonton filem yang tak ada aksi haram dan ikut syariat 100% tertolak. Kita bukan nak dapatkan kesukaan orang.Celakalah siapa yang buat drama dan filem buat nak biar orang suka dan sanggup biar Allah murka. Celaka kau.


Dr Hilmi juga ada membangkitkan perihal orang yang curiga dan tidak yakin jika mematuhi akan batas hukum Islam dalam menghasilkan karya filem,

Lalu, ramai juga yang bertanya, kalau itu tidak boleh dan ini tidak boleh, macam mana nak buat filem? Takkan semua filem mesti berunsurkan dakwah seperti Syukur 21 dan Ayat-Ayat Cinta? Kalau begini, industri filem kita akan menjadi malap? Macam mana pelakon, pengarah, dan penggiat filem nak cari makan? Dan seribu satu lagi persoalan yang lebih bersifat pesimistik, curiga, dan menampakkan ketidakyakinan mereka untuk mengubah wajah filem kita sekarang ini. Malah, soalan-soalan yang dikemukakan kadang-kadang boleh membawa kepada keingkaran terhadap hukum Allah dan penolakan agama dalam filem.


Saya juga pernah menjelaskan ada orang yang akan berasa Filem Islamik itu boring (bosan kerana tidak ada aksi haram yang mengujakan) dalam entri yang sama,

Isu kemiskinan misalnya, boleh diangkat. Contohnya filem Children of Heaven mengangkat nilai dan dakwah akan semangat kekeluargaan dari seorang anak hanya berkisar akan masalah sepasang kasut yang dikongsi. Isu nampak remeh, tapi segala macam perasaan kita menerawang pula pemikiran kita mengaitkan akan soal kemiskinan, soal kejujuran, soal semangat yang boleh dikaitkan pula pada isu yang besar dengan kiasan-kiasan di minda. Itulah filem kreatif namanya! Menggunakan subjek yang kecil untuk menyentuh mesej yang besar! Saya tak fikir seluruh pengusaha filem drama di Malaysia terlalu bangang untuk fikirkan idea sebegini.

Children of Heaven tidak ada aksi letupan, tidak ada aksi perempuan seksi, tidak ada aksi ranjang, malah tidak diselang-selang dengan dialog panjang atau menjerit pekik, hanya bahasa biasa tetap tidak membosankan sekian ramai penontonnya di seluruh dunia. Ya, soal boring ini subjektif. Kawan saya menonton filem tembak-menembak penuh saspen dan aksi pun tertidur boring.

Dr Hilmi juga cukup kagum dengan Pengarah Majid Majidi yang mengarah Filem Children of Heaven, dan itulah antara hujah kuat beliau mengapa Festival Filem Islam sangat diperlukan,

Justeru itu, di sinilah peri pentingnya festival filem Islam dianjurkan dan dihidupkan kembali dalam bentuk yang lebih segar, meyakinkan, dan melibatkan lebih banyak pihak. Melalui festival filem ini, forum-forum dan seminar-seminar boleh diadakan dan semua pihak boleh memberikan pandangan bagi mencari dan merangka bentuk filem yang menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh Islam, termasuklah pandangan daripada pengarah Iran tersohor Majid Majidi.

Rata-rata apa yang dibicarakan oleh Dr Hilmi adalah apa yang pernah saya selalu bangkitkan ketika mengulas dunia Filem dan Drama dalam isu-isu Hedonisme atau Dakwah dalam blog ini. Benar, kemahuan saya untuk proses Tadarruj dilakukan dengan bersungguh dalam produksi Filem dan Drama di negara kita disokong dengan pembentangan idea saya untuk "membaikpulih" mana-mana babak atau aksi yang mungkin ingin dilakonkan dalam Filem atau Drama melalui entri saya bertajuk "Beberapa Idea Lakonan Islami". Di Iluvislam.com juga, sebelum saya meminta diBAN di sana, saya juga beberapa kali menghantar post dan berdiskusi perihal Filem Islamik, Lakonan Islami, atau Filem Dakwah. Lihat: Idea Lakonan Islami , Hukum Berlakon Bersentuhan Bukan Mahram Dalam Filem/Drama, Review Nur Kasih TV3, Review Ketika Cinta Bertasbih 1, Review Drama-drama Berunsur Dakwah dan lain-lain.

Jelas di sini, perbicaraan saya dalam isu Filem atau Drama bukan anti pada sesiapa secara personal, malah saya amat menyokong Puan Maizura Mohd Ederis (Nur Kasih) atau Ustaz Zabidi Mohamed (Cinta Sempurna) jika mereka benar-benar sudi dan sedia menggunakan bakat mereka menulis skrip untuk tujuan dakwah. Begitu juga dengan Ahmad Idham (Syurga Cinta) jika beliau benar-benar sedia untuk membaiki pengarahannya untuk manfaat dakwah islamiah. Saya tak pernah juga mengharamkan mana-mana Ustaz yang mahu membaiki dan membaikpulih samada secara Tadarruj atau Revolusi, seperti yang saya selama ini kuat menyokong misi "Memasjidkan Seni" yang dicetus oleh Faisal Tehrani.

Yang saya tentang, protes dan bantah adalah mereka yang menafikan batas Islam sehingga mengatakan batas dan hukum itu tak terpakai dalam penggambaran Filem dan Drama, malah menyindir usaha membaiki Filem atau Drama ke arah 100% mengikut syarak sebagai terlalu bermimpi, idealist, perfectionist, tak berpijak di bumi nyata, tak mahu terima realiti, malah menganggap usaha itu akan merendahkan taraf dan mutu filem atau drama.

Selepas ini, saya akan cuba karang berkenaan dengan TADARRUJ DALAM FILEM KETIKA CINTA BERTASBIH.

25 TAHUN

Malam ini malam yang sedikit lain buat aku kerana malam ini merupakan malam bagi tarikh 16 Januari 2010 , yang menandakan aku sudah berumur 25 tahun mengikut kalendar Gregory dan malam ini juga diadakan Majlis Perpisahan Tahunan bagi komuniti pelajar Malaysia di Toyama.

Rata-rata tiada siapa di kalangan ahli komuniti Toyama yang tahu atau ingat bahawa tarikh 16 Januari yang dipilih mereka untuk diadakan Majlis Perpisahan untuk sesi 2009/2010 itu bertepatan dengan tarikh umur aku genap 25 tahun. Aku sengaja tidak menghebahkannya dan aku juga tidak mahu ada yang menghebah atau mengingatinya. Lagipun, aku bukanlah orang yang meraikan "hari jadi", dan tak pernah aku diajar dalam keluarga aku tentang sambutan "hari jadi".

Namun ada yang istimewa dengan umur 25 tahun itu. Umur itu adalah umur yang pernah aku ucapkan sesuatu semasa memulakan misi "membina empayar MFR" pada tahun 1997 ketika aku di tahun 6, tahun akhir di sekolah rendah. Walaupun kata-kata itu aku sudah mansuhkannya setelah menukar misi tersebut dengan misi baru, "3 cita-cita" pada tahun 2000 ketika aku di tingkatan 3 tahun akhir bersekolah di Klang, namun aku seakan-akan terus mengingati akan janji dan ikrar di tahun 6 itu.

25 tahun adalah umur sasaran aku untuk empayar aku sudah mula terbina. Empayar yang aku maksudkan adalah usaha aku untuk menjajah dunia ini. Pada saat itu, aku sangat percaya bahawa hanya dengan penjajahan maka perubahan akan dapat dilakukan ke atas dunia yang sangat aku marah dan geram ketika itu. Aku merasakan banyak perkara perlu diubah, dan aku sangat yakin jika perubahan dilakukan maka tamadun manusia akan bertambah baik. Umur 25 tahun. Aku perlukan 13 tahun untuk itu, fikir aku ketika itu berumur 12 tahun. 13 tahun diambil dari kisah perjuangan dakwah Nabi di Mekah sebelum berjaya berhijrah ke Madinah selepas itu.

Malam ini, sewaktu Majlis Perpisahan, diberikan ruang buat semua pelajar senior yang akan bergraduasi bulan 3 nanti untuk memberikan sepatah dua kata.Kata-kata terakhir mungkin. Giliran aku agak hujung, kerana aku adalah senior yang lambat setahun bergraduasi. Rakan seangkatan aku sudah bergraduasi tahun lepas. Aku memulakan kata-kata aku dengan memetik Hadis pertama nukilan Imam Nawawi dalam kitab Hadis 40 beliau, yang ada menyentuh mengenai hijrah.



Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.



Aku mengarang tulisan ini kerana aku berasa kata-kata aku tadi ada yang tidak cukup dan tidak lengkap dengan apa yang aku sudah rancang untuk perkatakan. Jikalau nanti, ada pelajar Malaysia di Toyama yang terserempak tulisan aku ini, maka ini adalah isi lengkap sebenar apa yang aku ingin perkatakan.

TERIMA KASIH DAN MOHON MAAF

Aku sebenarnya sangat-sangat ingin berterima kasih pada orang-orang tertentu yang telah membantu aku.Aku merasakan kesusahan dan kesempitan yang aku sangat-sangat menanggung beban di bumi Toyama adalah 2 peristiwa kemalangan yang menimpa aku di Toyama ini.

Dalam peristiwa kemalangan pertama, aku benar-benar berasa hilang punca. Aku benar-benar kaget, cuak, tak tentu hala, hilang arah dan segala ribut kalut. Sebenarnya peristiwa kemalangan itu pernah aku ceritakan kisahnya di dalam entri aku tahun 2006 dahulu [Kelam Juangku 1][Kelam Juangku 2]. Ketika itu, ada ramai senior yang memberi aku semangat dan bantuan sebenarnya. Ada yang datang ke bilik aku menenangkan hati aku, memberikan aku nasihat, ada yang membantu aku mendapatkan kerja part-time untuk mengumpul wang bagi membayar denda, dan ada yang meminjamkan aku wang ketika aku sangat sulit untuk membeli makanan hingga aku susut berat badan hingga 45kg.Jasa kalian tidak ternilai oleh aku. Terlalu besar.

Dalam peristiwa kemalangan yang kedua pada tahun 2007 pula,[lihat pengumuman tentangnya] yang menyebabkan aku patah tangan, hilang 3 gigi di depan, terkoyak bawah bibir, juga merupakan peristiwa yang telah menyebabkan ramai pihak datang melawat aku di hospital, beri kata-kata semangat pada aku, ada yang siap mengirim buku untuk aku baca di wad, ada yang tolong bawakan pakaian untuk aku, ada yang sudi mengirim-ngirim sms untuk hiburkan hati aku, ada yang telah bersusah payah berjumpa dengan sensei hal ehwal pelajar asing untuk mendapat jaminan bagi pembedahan mulut dan tangan aku dijalankan,ada yang tolong mengemas bilik aku yang memang susah untuk dikemas, ada yang tolong masak dan bawakan bubur daging untuk aku. Aku terharu. Aku terharu dan aku sedih. Pertolongan kalian amat besar buat aku.


Aku tak mampu balas segala pertolongan itu, dan hanya Allah mampu membalas ganjaran besar buat kalian. Namun, jika aku memohon pada Allah untuk kurniakan kalian ganjaran besar, sedangkan hati dan diri aku bergelumang penuh dosa, noda, hitam, gelap, malap tanpa cahaya terang limpah hidayah dari iman yang bercahaya terang, masakan Allah memandang diri aku ini? Aku perlu berhijrah. Kali ini bukan kerana dunia untuk mendapat habuannya , seperti membeli kereta Galant yang menyebabkan aku kemalangan dulu, atau kerana perempuan yang aku ingin nikahi sebelum kemalangan kedua, tapi hijrah untuk menuju Allah dan Rasul. Persis Hadis yang diungkapkan sebelum ini.

Maafkan aku kerana telah menyulit dan menyusahkan kalian ketika aku hadapi masalah itu. Maafkan aku kerana tidak mampu membalas jasa dan budi baik kalian buat aku. Maafkan aku atas sikap dan perangai aku yang panas baran, cakap pedas, tak kenang budi, tak sopan, dingin, tidak mesra, berlagak hebat, tidak peduli hati dan perasaan orang, mengumpat, mengata, memandang rendah, membenci, dan sebagainya. Maafkan aku jika aku masih ada sisa sisa sifat mazmumah setelah cuba berhijrah. Maafkan aku atas kekhilafan diri aku ini. Maafkan aku jika banyak di antara kalian yang terluka atas sikap dan kata-kata aku.Maafkan aku. Maafkan aku.

HIJRAH DAN PERUBAHAN

Aku perlu berhijrah atas sebab keburukan yang ada dalam diri aku. Aku berusaha membaiki dan meningkatkan iman aku. Aku berusaha melipatgandakan pengorbanan diri, masa, tenaga, dan harta aku untuk agama Allah. Tapi aku bukanlah selalu berjaya capainya, malah kegagalan itu sering sangat terjadi.

Kemunculan Gofuku Mosalla pada tahun 2008 dahulu bukan usaha aku semata-mata. Janganlah mengatakan aku telah banyak berkorban untuk mosalla, janganlah mengatakan jika aku tiada lagi di Toyama maka usaha di sini akan terhenti, janganlah mengatakan orang seperti aku perlu muncul lagi di Toyama, sesungguhnya jika kalian tahu siapa aku sebenar seperti sejarah yang aku ceritakan di atas, maka kata-kata tadi amat bahaya sekali.

Cukuplah hanya aku sahaja yang telah buat kesilapan dan terpaksa bersusah payah untuk bangkit dan membina kembali trek perjuangan. Kalian tak perlu tempuh jalan-jalan mengarut itu semula. Apa yang kalian perlu ada dan pegang, adalah mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan ke jalan yang terbaik dapat kalian corak dan bentuk, jalan dan buat, baiki dan tingkat, maju dan kembang, sebar dan luas, kuat dan teguh, siap dan diredhai Allah.Istiqamah jalan mencapai keikhlasan. Dan sesungguhnya keikhlasan itu kunci segala amal akan diterima Allah s.w.t.

Ramai orang mengingatkan akan peri penting hidup di Toyama secara bersatu, peri penting hadirkan diri dalam aktiviti untuk memeriahkan, peri penting beraktiviti bersama dan bukan mengasingkan diri, peri penting untuk merapatkan ukhuwwah dan bukannya berpuak atau bermusuh. Alhamdulillah, nampaknya kita semua sepakat akan nilai berjemaah itu satu faktor penting untuk kekuatan. Tapi sering bayangan kita pada kekuatan dan meriah itu hanya pada aktiviti sukaneka atau pertandingan yang kita tandingi sebagai wakil Toyama. Bagaimana dengan kekuatan dan meriahnya kita pada asas dan tiang agama kita ini, solat berjemaah dan tempat yang paling disukai Allah, iaitu masjid kita Gofuku Mosalla?

Kita mampu lakukan yang terbaik dan tak perlu menjadi "Fakhrul Razi" yang hanya insan yang banyak kesilapan itu, tapi jadi diri kalian yang sangat segar dengan semangat dan idea untuk membina kerangka dan meneguh binaan perjuangan yang lebih kuat dan teguh di bumi Gofuku Toyama ini. Aku yakin, dengan individu-individu muda di Toyama yang aku lihat punya semangat untuk hadapi pengalaman baru, rajin untuk berkorban dan membaiki diri, sudi belajar dan mengajar apa saja ilmu dimiliki, menyayangi saudara semuslim dan sanggup membantu kesulitan dan kepayahan orang lain. Sikap dan nilai ini perlu saling kuat menguatkan, perlu saling kukuh mengukuhkan, perlu saling lengkap melengkapkan. Hanya dengan itu usaha akan jadi istiqamah, istiqamah akan bawa ikhlas, ikhlas menjayakan impian mencapai redha Allah dambaan kita semua.

Hari ini, isu kelemahan umat Islam tak dapat lari dari pengetahuan kita. Sejauh mana kita pergi, ke Barat kita mendengar tentang Islam, ke Timur kita lebih lagi mendengar tentang Islam. Islam akan terus diperkata, terus menjadi isu demi isu yang paling hangat, dan semua itu adalah peringatan akan tanggungjawab kita untuk memeluk erat-erat, rapat-rapat agama yang Allah telah sempurna dan redhai ini, Islam. Kita generasi muda mesti berani mengambil perjuangan Islam sebagai perjuangan asasi, tujuan, matlamat dan cita-cita akhir dan teragung dalam hidup kita. Kita mesti berani revolusi, reformasi, berani berubah dan lakukan perubahan, untuk tinggikan Islam setinggi yang boleh.

Aku teringatkan sebuah adegan dalam filem Ketika Cinta Bertasbih 2 yang memaparkan watak Khaerul Azzam mengulas kitab Al Hikam dari Ibn Athaillah berkata, "Barangsiapa yang yakin dirinya berasa tawadhuk, berasa rendah hati, maka dia benar-benar orang yang takabbur."

Aku amat-amat cuba menasihati diri aku akan bencana takabbur ini. Bukan soal aku akan berasa ingin takabbur, berikutan aku sudah bencikan sifat itu.Tapi soal adakah aku pernah terlintas yakin diri aku adalah orang yang benar-benar tawadhuk? Itu lebih bahaya kerana keyakinan itu kadang muncul tanpa disedari,dan itulah sifat orang yang benar-benar takabbur! Aku berlindung dengan Allah dari sifat itu. Itulah sebabnya kita ini saling memerlukan, ayuh satukan diri kita semua dalam saf solat jemaah, saf mesyuarat fikir risau umat, dan saf dakwah membaiki dan tingkat iman diri sendiri.

Wallahua'lam.


Dahulu saya pernah menulis tentang:
SURUHAN MEMBUKA AURAT: LEBIH KUFFAR DARI KAFIR

KAFIR

Saya tidak menjatuhkan hukum mana-mana orang Islam sebagai kafir (baca entri saya menjawab komen entri di atas), malah di saat para salafi di alam maya sibuk mengkafirkan syiah- saya tetap mempertahankan kita tidak boleh mengatakan Syiah kafir (klik) dan itu juga adalah pendapat Dr Asri Zainul Abidin dalam sebuah ceramah beliau, "Adakah dia (Syiah) kafir? kita kata, kita tidak mengkafirkan- sesat berbeza dengan kafir" katanya.[klik]

Namun, siapa yang boleh menafikan, tindakan menyuruh orang lain melanggar perintah Allah adalah suatu tindakan yang kufur? Kufur berpaling dari kebenaran, malah menghalang orang lain dari menjalankan ketaatan pada Allah. Kita memahami bahawa orang kafir ada dua jenis, yang disebut sebagai musuh Islam itu kafir Harbi, dan yang tunduk pada naungan Islam itu kafir zimmi. Lihat, siapa saja yang tidak memperakui kebenaran Islam tetap dipanggil kafir, ini juga pernah disebut oleh Dr Asri Zainul Abidin.[klik].

Begitu juga persoalan kufur, pernah disebut oleh Imam Nawawi berkenaan dengan orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, "Meninggalkan solat dengan ingkar kewajipannya maka ia adalah kafir dengan ijmak muslimin dan mengeluarkannya daripada agama Islam kecuali orang yang baru memeluk Islam.Sekiranya meninggalkannya kerana malas di samping tetap beriktiqad akan kewajipannya sebagaimana hal kebanyakan orang maka ulamak berbeza pendapat".

SURUHAN MENINGGAL SURUHAN

Sebab itu saya tidak berbicara soal kufur orang yang meninggalkan kewajipan menutup aurat, contohnya para artis yang tidak berhijab kerana mungkin mereka mengakui kewajipannya tetapi meninggalkannya kerana menurut hawa nafsu malas dan lemah iman. Namun, menyuruh orang lain meninggalkan kewajipan untuk memenuhi cita-cita kita tentu sekalilah suruhan itu kufur, malah saya letakkan lebih kuffar dari kafir. Hanya kaum syaitan sahaja yang mengerjakan perbuatan menyuruh orang meninggalkan kewajipan.

Mungkin sahaja orang itu jahil atau fasik, tetapi suruhannya tetap biadab dan tetap sangat memusuhi perintah Allah , lebih kuffar dari kafir. Apabila kita mengeji "tindakan menyuruh membuka aurat" itu sebagai "lebih kuffar dari kafir", bermakna janganlah adanya kiranya orang Islam yang mahu terus bersama Islam melakukan perbuatan itu dalam hidupnya khususnya kerjayanya sebagai pembikin drama atau filem. Jika sudah pernah melakukannya, jangan diulang lagi kerana peringatan akan kejinya perbuatan itu sudah sampai padamu.

Orang pernah bertanya pada saya, "betulkah ada pembikin drama atau filem yang menyuruh orang membuka aurat? Atau itu adalah kemahuan pelakon sendiri?"

Saya menjawab, "Pelakon sama sekali tidak berlakon menurut kemahuan sendiri. Jika mereka berlakon menurut kemahuan sendiri, maka mereka juga semestinya adalah penerbit, atau penulis skrip, atau pengarah dengan kata yang lebih mudah -mereka tentulah pembikin drama atau filem itu"

Jelas memang pelakon berlakon menurut kemahuan penerbit, pengarah dan berdasarkan apa yang ditulis dalam skrip, mungkin saja pelakon itu memang bukan orang yang menutup aurat, tetapi pembikin yang meletakkan diri pelakon itu supaya terus membuka aurat dalam filem atau drama merupakan tindakan "menyuruh membuka aurat". Jika benar "tiada suruhan membuka aurat" , adakah dibenarkan si pelakon untuk berhijab dalam wataknya yang ditetapkan sebagai watak perempuan membuka aurat misalnya? Tidak akan dibenarkan. Mereka memang mahu pelakon itu menunjukkan auratnya, maka mereka membikinnya, maka itulah suruhan yang saya protes selama ini.

ANNE NGASRI

Kes Anne Ngasri yang sudah berhijab, berlakon membuka aurat dalam drama Mayang Mengurai baru-baru ini adalah bukti memang gerakan "menyuruh muslimat membuka aurat" di dalam dunia lakonan oleh orang-orang Islam sangat membimbangkan. Adakah anda boleh berasa selesa dengan situasi yang melanda Anne Ngasri ini? Adakah anda tidak sedar apa yang sedang berkembang dalam masyarakat kita?

Dalam berita Utusan melaporkan,
Anne yang ditemui ketika penggambaran drama Mayang Mengurai di Carlton Holiday, Shah Alam, Selangor baru-baru ini mengakui, dia memang membuka tudung ketika berlakon baru-baru ini demi memenuhi kehendak produksi itu.

Ujar ibu anak dua ini, niatnya hanyalah untuk mencari rezeki kerana punca rezekinya dari dunia lakonan.

"Saya bukan sesuka hati pakai dan buka tudung saya. Di luar, saya sebagai Anne Ngasri memang sudah bertudung.

"Tetapi apabila berlakon, ada sesetengah drama memerlukan watak saya untuk tidak bertudung, jadi saya akan buka tudung ketika pengambaran.

"Namun ia masih ada batasnya kerana saya tak akan sesekali berpakaian seksi atau 'buka' sana sini malah dari dulu lagi saya bukanlah seorang yang seksi.

"Saya tahu ia merupakan isu sensitif dan banyak pendapat dalam Islam mengenai hal ini tetapi selagi saya tahu apa yang saya buat ini benda yang betul, saya rasa okey," ujar isteri kepada Abdul Wafi Hassan ini lagi. [klik sumber]
Banyak pendapat dalam Islam? Pendapat siapa yang membenarkan wanita membuka aurat? Siapa yang berpendapat "halal membuka aurat jika berniat mencari rezeki"? Apatah lagi hujah mengatakan "rezeki saya dalam dunia lakonan", padahal rezeki Allah ada di mana-mana. Dan semua rezeki yang diberkati dari usaha yang tidak melanggar perintah Allah termasuk membuka aurat.

Malah perenggan ini bukti yang lebih jelas,
Bahkan Anne tidak menolak kemungkinan apabila sampai masanya kelak, dia tidak akan berkompromi lagi dengan mana-mana penerbit atau pengarah yang mahukan dia menanggalkan tudungnya semata-mata untuk memenuhi tuntutan karakter.

Adakah masih ada yang tidak sedar memang ADA pihak yang "menyuruh membuka aurat" dengan alasan "memenuhi tuntutan karakter" di kalangan penerbit dan pengarah? Bukan itu saja, malah ada yang mengulas mengenai drama dakwah yang menampilkan muslimah membuka aurat juga berkata,

"kalau tgk filem ‘Dua Marhalah’ sekalipun, heroin dia tunjukkan zaman silamnya sebagai pelacur. Masa tu dia kena dressing as it is. Takkan jd pelacur, dressing pakai tudung kot." -ummu****

REVOLUSI

Jangan bersegan-segan dalam berjuang. Kalau kita boleh berjuang untuk menutup aurat para pelajar kedoktoran atau kejururawatan, mari kita berjuang juga menutup aurat para pelakon yang kita kasih lagi sayangi ini. Mereka juga saudara-saudara Islam kita yang wajar kita selamatkan. Adakah ada yang berfikir "doktor dan jururawat" muslimah sahaja patut dikasihani dengan diperjuangkan aurat mereka yang mesti dilindungi, tetapi "pelakon" muslimah kita tidak setaraf pula? Mereka bukan anak patung, jangan mainkan mereka dengan membuka dan menutup aurat mereka sesuka hati apatah lagi dengan alasan "untuk memenuhi karakter", lebih dahsyat lagi memberi alasan "untuk mesej dakwah berkesan". Gila.

Ini bahaya yang melanda dunia kita. Bolehkah kita meredhai hal ini? Atau kita cuba menyelamatkan umat dari kesusahan dan belenggu yang mereka sedang hadapi ini? Revolusi. Kita perlu sebuah revolusi karya yang menggegarkan hingga mereka ini boleh terbuka mata, boleh tahu dan sedar, kita bukan darurat, kita adalah orang yang tak bersyukur menggunakan nikmat di jalan yang halal. Shame on us a thousand times! (kalau tak faham Bahasa Melayu)




Dua orang junior aku sedang berjalan menuju Tokyo Mosque


Baca dulu bahagian pertama:
CITA-CITA MEMBINA MASJID DI GOFUKU TOYAMA I


Semalam 1 januari 2010, Nagih, saudara dari Mesir yang merupakan Presiden ke-2 bagi Projek Masjid di Toyama memaklumkan pada aku jumlah kutipan keseluruhan untuk Projek Masjid di Toyama mencecah angka 2 juta Yen (lebih kurang RM70 ribu). Sambil aku meng-update laman blog Projek Masjid itu, aku cuba mengimbas kembali beberapa detik-detik penting yang berlaku sesudah mesyuarat bersama Saudara Imtiaz (Pakistan) Oktober lalu.

Mungkin aku boleh mulakan dengan pemergian aku ke Tokyo seorang diri bagi mengutip derma di 3 masjid untuk Projek Masjid kami pada 29 Oktober 2009.

PATUH MESYUARAT

Benarnya, aku tidak akan melupakan saat sehari sebelum aku bertolak ke Tokyo itu. Malam itu satu mesyuarat tergempar diadakan hanya kerana Ketua bagi Kumpulan Pengutip Derma Ahli Perniagaan yang kami lantik, Dr Faisal (Pakistan) berkehendakkan resit dicetak bagi kegunaan mereka mengutip derma di kalangan ahli perniagaan yang rata-ratanya dari Pakistan di Jalan nombor 8, komuniti Toyama Mosque di bandar Imizu.

Bagi tujuan mencetak resit itu, maka ditimbulkan kembali isu yang telah lama kami selesaikan iaitu nama projek ini.

Baik, untuk makluman, projek kami pada mulanya dinamakan Toyama University Masjid Project. Ia sebenarnya adalah cadangan dari Saudara Imtiaz yang merupakan orang lama di Jepun. Dalam mesyuarat tidak kedengaran bantahan berkenaan dengan keputusan amir mesyuarat memilih nama itu.

Tidak lama selepas itu, kami adakan mesyuarat kecemasan kerana beberapa orang pelajar Fakulti Perubatan di Kampus Sugitani berkehendakkan amir Projek Masjid yang juga merangkap amir Gofuku Mosalla, saudara Zamir (pelajar Malaysia tahun 1) untuk melihat semula nama tersebut kerana sangat mengelirukan. Aku merasakan memang nama itu mengelirukan, kerana meletakkan Toyama University Masjid Project seolah-olah mengisytiharkan projek itu dibawah kelolaan pihak universiti,padahal tak ada kaitan pun.

Kemudiannya yang datang mesyuarat kecemasan tak sampai 6 orang. Ini kecemasan atau tidak? Tak ada satu batang hidung pelajar Mesir dan Pakistan yang menyuruh menukar nama hadir dalam mesyuarat kecemasan itu. Maka, hasil dari mesyuarat kecemasan itu kami yang sedikit dalam mesyuarat itu memutuskan nama Masjid Projek kami ditukar kepada Toyama Muslim Masjid Project. Maka nama itu akan membawa erti Projek Masjid ini dikelolakan oleh seluruh muslim di Toyama.

Hal itu selesai pada 16 Ogos 2009 tapi 28 Oktober ditimbulkan kembali hanya kerana takut ahli-ahli perniagaan Pakistan di bandar Imizu yang menguruskan Toyama Mosque di bandar Imizu itu menjadi keliru dengan nama itu. Alasannya pada tahun 1999 ketika mereka mahu membina Toyama Mosque, nama ahli jawatankuasa mereka adalah Toyama Muslim Association. Maka kononnya nama Toyama Muslim Masjid Project seolah-olah memberi erti projek membina Toyama Mosque yang sudah selesai tahun 1999 itu. Padahal hal itu hanya ketakutan dari Dr Faisal, kerana sejak bulan Ogos lagi beberapa kali kami telah ke Toyama Mosque di bandar Imizu memaklumkan akan projek membina masjid di Gofuku dengan nama Toyama Muslim Masjid Project.

Kononnya malam sebelum aku bertolak ke Tokyo itu, Nagih yang membawa cadangan Dr Faisal untuk mengubah nama projek hanya pada resit yang akan dicetak itu sahaja. Tapi rupanya sesudah aku bertolak ke Tokyo 29 Oktober, mereka mengadakan satu mesyuarat khas lain tanpa aku di Toyama untuk mengubah nama projek mengikut cadangan Dr Faisal, menjadi Toyama Muslim Students Masjid Project. Bukan itu sahaja, amir pun ditukar dengan Saudara Nagih diangkat menjadi Presiden ke-2 menggantikan Saudara Zamir, dan semua ahli jawatankuasa kembali dirombak.

Baik, pada asasnya menstruktur semula ahli jawatankuasa memang adalah suatu yang baik, tetapi yang aku tak selesa dengan sikap mereka adalah kepatuhan mereka pada keputusan mesyuarat.

Jika setiap keputusan mesyuarat dibincang dan dibincang lagi dan lagi sesudah mesyuarat selesai, sehingga hanya akan berhenti dibincang apabila menepati kehendak atau pendapat satu dua orang, maka lebih baik tak diadakan mesyuarat tetapi nantikan sahaja keputusan yang keluar dari mulut satu dua orang yang mahu buat keputusan itu.Baik, apa-apahal pun aku tetap berpegang pada ketaatan keputusan mesyuarat. Maka biarpun keputusan mesyuarat yang paling akhir di bulan oktober itu diadakan bagi memansuhkan segala keputusan mesyuarat yang lepas, maka aku memilih untuk taat. Jika aku boleh bersikap begini, mengapa mereka tak bersikap begini pada mesyuarat yang awal-awal? Sebenarnya masalah ini bukan membelenggu komuniti kecil kami di Toyama ini sahaja, malah di dunia Islam amnya pun, hal yang sama menjadi faktor utama mengapa banyak pelan tindakan tak dapat dilaksana secara berkesan- tak ada kepatuhan mesyuarat.

MENGGERAK USAHA

Berbekalkan pengalaman aku ke Tokyo seorang diri mengutip derma dari 3 masjid dan 1 mosalla di Tokyo (Makki Masjid, Otsuka Masjid, Ichinowari Masjid, dan Kamata Mosalla) pada 29 Oktober itu, kami bersetuju merencanakan satu misi bergerak ke 14 masjid meliputi kawasan Tokyo dan Aichi pada 25 Disember 2009. Setelah sesi pujuk memujuk diadakan, 24 orang pelajar Islam Toyama University bersedia untuk menyertai misi besar ini.Ya, 17 dari mereka adalah pelajar Malaysia.

Namun setelah tolak campur, ubah dan ubah berikutan ada masjid yang tak dapat dihubungi, masjid yang tak sudi menerima kunjungan, masalah kereta yang tak cukup,maka akhirnya jumlah masjid yang akan kami lawati pada 25 Disember 2009 menjadi 10 masjid jumlahnya.

5 Masjid di Aichi-ken (Nagoya Mosque, Nagoya Port Mosque, Toyota Mosque, Ichinomiya Mosque, Kasugai islami Center), 4 Masjid di Tokyo (Tokyo Mosque, Asakusa Mosque, Hachioji Mosque, Okachimachi Mosque) dan 1 Masjid di Niigata (Niigata Port Masjid atau Madani Mosque).

Aku dipertanggungjawabkan untuk mengetuai misi ke Tokyo bersama dengan 8 orang pelajar Malaysia lain. Sebelum bertolak, aku mengingatkan semua pelajar Malaysia yang akan ke Tokyo, Aichi atau Niigata untuk membersihkan niat kami. Hal yang sama aku peringatkan seperti yang pernah Saudara Imtiaz ingatkan sewaktu mesyuarat oktober itu, jangan risau berkenaan dengan duit derma. Apa tujuan sebenarnya kita melawat masjid-masjid itu memaklumkan perihal projek ini memerlukan derma dari saudara-saudara di sana, hanya semata-mata mahu menjemput saudara-saudara islam di kawasan lain di bumi Jepun ini mendapat peluang untuk menanam saham untuk akhirat.

Masjid, apakah asasnya? Tidak lain dan tidak bukan adalah TAQWA. Benar, dua kisah masjid yang punya dua sifat bertentangan telah dikisahkan dalam Al Quran dalam surah at Taubah yang kedua-dua masjid itu kisah masjid di zaman Nabi Muhammad s.a.w, iaitu Masjid Quba dan Masjid Dhirar.

Allah s.w.t berfirman dalam surah At Taubah ayat 107-108:


Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.

Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (at Taubah: 107-108)

Selanjutnya Allah s.w.t berfirman lagi,


Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (at Taubah: 109)


HASIL DARI HATI

Alhamdulillah, mesyuarat 1 Januari 2010 itu benar-benar buat aku sedikit lega. Derma yang berjaya dikumpul dari tiga rombongan 25 Disember 2009 itu lebih 500 ribu Yen. Dan setelah diupdate segala akaun yang lain, pungutan derma untuk kami membeli bangunan untuk dijadikan masjid di Gofuku Toyama sudah mencecah 2 juta Yen (seperti yang aku maklumkan di awal entri). Kami memulakan projek ini pada akhir Julai 2009, ini bermakna dalam 5 bulan mengumpul 2 juta Yen boleh dikatakan berbaloi, walaupun rekod saudara-saudara di Fukui mengumpul lebih 9 juta Yen hanya mengambil masa 6 bulan.

Kalau dibandingkan hasil kutipan ketiga-tiga rombongan itu, misi ke Tokyolah yang paling corot sekali. Walaupun melawat 4 masjid, kami cuma membawa pulang kutipan 35 ribuYen saja. Sedangkan trip ke Aichi-ken mengumpul kira-kira 300 ribu Yen, dan trip ke Niigata-ken mengumpul kira-kira 200 ribu Yen. Paling membanggakan tentulah trip ke Niigata, mereka hanya melawat satu masjid sahaja sudah mendapat 200 ribu Yen.

Aku memesan kepada semua yang menyertai trip-trip itu bahawa hasil kutipan yang akan kita bawa balik, adalah 100% bergantung kepada penilaian Allah samada kita layak membawa kutipan yang banyak atau tidak. Ini disebabkan, apabila kita menyeru orang lain menderma, yang hanya dapat membuka hati orang seterusnya menggerakkan tangan mereka mengeluarkan wang untuk menderma adalah semata-mata Allah s.w.t. Atas pertimbangan itu, dengan kutipan tercorot walaupun trip yang termahal kerana jarak Tokyo dari Toyama lebih jauh daripada jarak Toyama dengan Aichi-ken atau Niigata-ken, akulah orang paling utama untuk bermuhasabah diri.

Di satu sudut, aku mengaku merasai seakan-akan ada teguran yang Allah ingin aku sedari, mungkin ada niat terpesong yang wujud dalam hati aku sebelum, semasa atau selepas rombongan itu. Di satu sudut yang lain, satu kesedaran mengenai "masjid" dapat diambil iktibar pada semua peserta ke Tokyo yang rata-rata adalah junior aku.

Kami memilih tarikh 25 Disember kerana hari itu adalah hari Jumaat, dan tentulah untuk mengutip derma perlu diadakan ketika hari paling ramai orang hadir ke masjid, ya tentu sekali hari Jumaat ketika solat Jumaat diadakan di Masjid. Rata-rata 4 masjid yang aku pilih untuk dilawati adalah masjid yang terkenal di Tokyo yang memiliki bangunan yang boleh memuatkan lebih 100 orang.

Alhamdulillah, Tokyo Mosque yang dekat dengan stesen Yoyogiuehara itu membantu kami dengan cukup profesional. Cuma kadang-kala terlalu protokol juga tidak selesa buat kami. Tokyo Mosque yang diurus oleh warga Turki di Tokyo mengumumkan perihal kutipan derma kami dalam khutbah Jumaat mereka. Namun sangatlah ringkas pengumumannya yang hanya memakan masa 3-4 saat sahaja, "Today's donation for Toyama Muslim Students Masjid Project" dan habis. Tapi Saudara A.R Siddique yang baru saja aku berkenalan beberapa hari di internet sebelum trip, sangat membantu menggalakkan orang-orang Islam yang sudah selesai solat Jumaat untuk menderma bagi Projek Masjid kami.

Beliau mengetuk-ngetuk tangannya di atas tabung derma yang disediakan oleh pihak masjid, sambil meminta semua orang membantu Projek Masjid kami. Malah dia dengan selamba memekik nama aku, "Where's Fakhrul Razi? Where's Fakhrul Razi?" seperti yang diceritakan junior aku kepada aku setelah aku keluar dari masjid. Aku memeluknya erat seperti sudah lama kami berkenalan, dan aku mengucapkan banyak-banyak terima kasih dan penghargaan padanya atas segala bantuannya buat aku menjayakan trip ke Tokyo itu menghubungi pihak-pihak autoriti masjid.

Aku kemudiannya turun ke tingkat bawah di luar masjid, mengedarkan pamphlet projek masjid kami kepada hadirin solat Jumaat yang perlahan-lahan bergerak pulang. A.R Siddique berbual dengan aku ketika aku sibuk mengedarkan pamphlet, beliau lalu memegang pipi aku dan mendoakan agar masjid kami menjadi kenyataan. Ada terbit sedikit rasa terharu dengan kasih sayang yang beliau tunjukkan pada aku. Beliau lalu berjalan pergi sambil aku nampak langkahnya uzur seperti beliau tidak begitu sihat dengan dirinya yang sudah berusia.

Pihak Tokyo Mosque mengatakan kutipan derma itu akan mereka depositkan ke akaun masjid kami, yang aku harapkan segera dibuat. Oleh itu,aku meninggalkan Tokyo Mosque tanpa bawa apa-apa kutipan bersama dengan juniorku yang dua orang lagi.

Kisah berbeza di Hachioji Masjid. Di sana, polis Jepun bersama dengan perisikan Amerika sedang memantau aktiviti masjid dan setiap hari Jumaat, seorang ejen akan dihantar untuk mengumpul maklumat. Tapi perkara itu telah dimaklumkan oleh Saudara Shah (Pakistan) pada aku sehari sebelum kami bergerak ke Tokyo. Dua orang junior aku yang dihantar untuk mengutip derma di sana sudah bersedia sebarang kemungkinan. Langkah bijak junior aku untuk berlakon tidak memahami bahasa Jepun, betul-betul buat ejen polis Jepun yang berpakaian casual itu berputus asa untuk merisik lagi.

Kisah Hachioji Masjid memang rumit. Ringkasnya bangunan masjid itu siap tahun 2002. Tapi semasa dibeli, bangunan itu didaftarkan atas nama seorang perempuan Jepun. Kemudiannya pihak polis mendapati , duit pembelian masjid datang dari Arab Saudi, dan penderma wang itu adalah Raja Fahd! Maka pihak polis mensyaki bangunan itu ada misi-misi rahsia yang tersembunyi kerana pembeliannya seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu. Akhirnya pihak masjid bersama kedutaan Arab Saudi mengisytiharkan bangunan itu adalah dibeli oleh kedutaan dengan segala bil ditanggung oleh pihak Arab Saudi.

Namun, atas kerana mahu menjaga hubungan baik dengan kerajaan Jepun, akhirnya 2-3 tahun lalu Hachioji Masjid tidak lagi ditanggung bilnya oleh pihak Arab Saudi, dan kehadiran polis membuatkan bilangan pengunjung masjid juga berkurang. Namun pihak Hachioji Masjid tetap memberi peluang kepada pihak kami mengutip derma pada hari itu. Walaupun tidak sebanyak trip di aichi atau niigata, namun kemurahan hati pihak sana membantu di saat situasi mereka juga belum pulih dan reda buat kami sangat-sangat berterima kasih pada mereka.Mereka malah menyedekahkan dua pemanas (heater) dan satu gas stove pada kami.

Di Asakusa Masjid juga bilangan yang hadir solat Jumaat merosot. Asakusa Masjid antara masjid yang dikendalikan oleh Islamic Circle of Japan yang mengurus beberapa masjid lain di Jepun. Bilangan hadirin solat Jumaat berjumlah 13 orang seperti yang diceritakan oleh dua orang junior aku ke sana, memang mengejutkan aku. Pihak Asakusa Masjid juga melemparkan satu soalan buat kami, "Benar-benarkah kalian mahu membina masjid sedangkan kalian hanya pelajar universiti? Kalian boleh jamin masjid itu akan diimarahkan?"

Benar, soalan yang sama pernah Nagih tanyakan pada aku, "Apa cara kita mahu pastikan masjid yang akan kita beli akan terus diimarahkan dan terus dijaga? Kita tak boleh memberi jaminan sentiasa akan ada pelajar muslim belajar di Toyama Universiti, bukan?"

Benar, usaha dakwah kepada masyarakat Jepun amat mustahak. Hanya jika ada sekumpulan orang Jepun menjadi muslim seterusnya menjadi pengimarah masjid di Gofuku Toyama ini, maka ketika itu kebarangkalian masjid yang akan kami bina lebih relevan. Saat kepentingan dakwah masih berada di awang-awangan di hati para pelajar malaysia yang merupakan kelompok majoriti muslim di Toyama Universiti, adakah semua itu hanya akan jadi impian?

Masjid keempat yang kami lawati di Tokyo adalah Masjid Okachimachi atau Masjid as-Salam. Solat Jumaat pada hari itu dihadiri lebih 60 muslim yang rata-rata adalah warga ahli perniagaan kaya dari Sri Lanka. Namun atas kerana faktor presiden masjid mereka pulang bercuti di Sri Lanka, 2 orang junior aku ke sana tak dibenarkan mengutip derma dari kalangan hadirin Jumaat. Padahal seminggu sebelum trip, Saudara Faiq (Sri Lanka) yang merupakan presiden masjid itu sudah berikan lampu hijau pada aku untuk menghantar wakil ke sana. 0 Yen untuk kutipan dari masjid as-Salam.

KE MANA JALAN HIDUP AKU 2010?

Aku memang berniat untuk mengikuti kursus pembinaan iman dan islah diri 4 bulan dari sillabus syura Nizamuddin setelah aku bergraduasi nanti. Namun, memang istikharah aku membuahkan petanda lain. Aku hanya akan mencatatnya setelah aku bergraduasi nanti. Insha Allah jika aku masih hidup. Jika aku mati, biar niat itu saja terakam sebagai halatuju kematianku. Kisah diari ini masih panjang atau pendek, aku tidak ketahuan.




Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).(at Taubah:111-112)