|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH



SIFAT DAKWAH


Saya diajar tentang 3 sifat dakwah Rasulullah s.a.w iaitu:

1) Dakwah baginda mengajak manusia kepada membesarkan Allah s.w.t
2) Dakwah baginda mendatangi manusia, bukan menunggu manusia mendatangi baginda
3) Dakwah baginda digerakkan dengan korban dari diri sendiri, bukan mengharap orang berkorban untuk baginda

Saya mendapati berdakwah melalui blog punya 3 kelemahan sekurang-kurangnya iaitu:

1) Dakwah hanya dari tulisan maya yang lahir dari jari jemari, belum cukup mencabar lahir dari hati,lidah dan anggota yang beriman.

Buktinya, saya pernah bertemu dengan sang pelayar maya, yang berbicara sopan dan warak di satu forum maya, tapi berbicara lucah, keji dan biadab terhadap Allah s.w.t dan Rasul di forum yang lain.

Malah, ada juga daie maya yang menulis perihal sabar dan tawaduk dalam entri blognya, tetapi bersifat celaka dan keparat apabila mudah prejudis, termakan fitnah penyokong taksub blognya yang membatu api, sombong angkuh dan tak segan silu menghina pengomen blognya sebagai "sakit mental", "sick", "biadab", "kencing" atau menyindir-nyindir peribadi pengomen dan sebagainya hanya kerana pengomennya ada pendapat sendiri atau kurang memahami entri blognya.

2) Tulisan yang terpapar hanya terhidang menunggu pelayar maya membacanya, belum tentu dapat mendatangi manusia.

Walaupun ada manusia-manusia yang sudi berkhidmat dan sukarela untuk copy paste dan menyebarkan tulisannya dengan cara "forward" kepada orang lain, namun daie-daie maya tetap meminta agar sebarang sebaran disertakan sumber blognya, maka usaha penyebaran akhirnya mengharap orang mendatangi dirinya juga bukan mendatangi orang.

Kebanyakan orang yang mendatangi selalunya memang orang yang mencari agama atau yang sudah ingat kepada agama. Maka daie tetap tidak mendatangi orang yang lalai dan sesat yang jauh dari agama dari mengingati agama. Khususnya orang muda sesat yang malas membaca yang wajar diselamatkan kerana memang tidak terlintas untuk berfikir tentang agama.

3) Bukan semua orang ada internet atau depan monitor, apatah lagi manusia yang lalai dengan dunia.

Internet mungkin akses yang semakin global, tapi belum semua punya internet. Jikapun ada internet, belum semua duduk dalam ruang lingkup yang boleh diakses oleh tulisan dakwah. Jika seseorang itu hanya duduk dalam pelayaran internet dengan kata-kata kunci yang tak mungkin membawanya kepada tulisan dakwah. Apatah lagi jika seseorang itu menggunakan internet untuk chatting dan berhubung mesej dan kebetulan manusia yang dihubungi semuanya kepala-kepala syaitan.

Orang-orang yang sibuk dengan urusan dunia juga, ramai yang tak berminat dengan dunia maya kerana mereka sudah lazat dengan dunia realiti yang lebih mengasyikkan dan nyata jelas kelazatan kesyaitanannya. Kita juga boleh bayangkan pemuda pemudi yang menghisap dadah, seks bebas dan mabuk sentiasa tak akan ada kemahuan untuk duduk bertenang melayari internet yang hanya menggunakan otot jari menaip dan mengklik. Bukan semua juga manusia yang ada masa panjang untuk duduk depan monitor, malah bukan sifat manusia normal yang hanya hidup dengan monitor. Apatah lagi manusia normal perlukan mandi, makan, tidur, tandas dan keluarga.

SHARING IS CARING

Benar, tulisan di blog boleh dianggap perkongsian. Kita hanya berkongsi sesuatu yang kita ada untuk manfaat diri dan orang lain. Ada orang yang ada ilmu, maka mereka berkongsi ilmu mereka. Ada orang yang ada bakat, maka mereka kongsi bakat mereka. Ada orang yang ada pengalaman, maka mereka kongsi pengalaman mereka. Ada orang dapat kegembiraan, mereka kongsi kegembiraan mereka. Ada orang mendapat kesedihan, mereka kongsi kesedihan mereka. Ada orang mendapat pengajaran dan tauladan, mereka kongsi pengajaran dan tauladan itu. Ada orang mendapat hidayah, mereka kongsi hidayah itu.

Saya tak menafikan ada orang yang ada harta dan kemahuan,ada pula yang ada barang dan tawaran maka mereka kongsikan harta dan kemahuan mereka dengan berurusniaga bersama peniaga-peniaga maya. Saya tak menolak perniagaan internet sebagai suatu jalan yang menguntungkan, jimat, malah memudahkan. Saya juga membeli stok-stok barang halal untuk Halal Shop Gofuku Musolla dengan berurusniaga dalam internet. Apatah lagi jualan yang dilakukan adalah barang-barang keperluan umat dan ada pula barang dakwah seperti kitab agama mahupun bahan-bahan dakwah.

Saya lebih tertarik untuk menonjolkan internet sebagai zon perkongsian. Manusia berkongsi apa yang mereka ada, apatah lagi apabila perkongsian itu percuma. Benar, strategi menghapuskan kapitalis dunia adalah apabila dunia mula bergerak kepada zon perkongsian percuma. Kapitalis akan hancur, di mana dunia tidak lagi berurusan berteraskan wang ringgit tetapi berteraskan kasih sayang untuk berkongsi. Saya lihat kitab-kitab agama yang dulunya perlu dibeli dengan suatu harga kini hanya boleh didapati dengan mendownload. Apa yang mengujakan ialah perkongsian ini tak pernah mengurangkan 'stok' yang ada. Ia boleh tersebar dan ia boleh berganda jumlahnya tanpa kos yang mahal, hanya klik dan klik. Saya fikir medium internet peluang terbesar untuk cita-cita sejak kecil saya menghapuskan kapitalis suatu hari nanti.

Saya tertarik dengan laman Ireans yang diusahakan oleh sahabat saya. Walaupun laman itu bukanlah suatu laman yang tepat untuk mengingati Allah kerana laman web itu mengumpul lagu-lagu yang banyak boleh melalaikan jiwa, tetapi slogan Ireans "Sharing Is Caring" itu benar-benar menerjemahkan prinsipnya hanya untuk berkongsi apabila saya lihat tiada iklan internet atau permintaan derma yang diutarakan. Tidak tahulah jika di masa hadapan mereka juga terdesak dan memerlukan wang. Tapi saya terfikir kenapa sahabat saya dan gengnya sudi untuk berbelanja besar untuk server hanya untuk berkongsi lagu-lagu khususnya lagu melayu dan indonesia di situ. Jumlah ahli mereka meningkat mendadak, dan saya merasakan Ireans telah memenangi tempat teratas dalam mengumpul ahli teramai mengatasi laman Jiwang, Malaysiakini, Tranungkite, mahupun mana-mana laman malaysia lain.

Kisah Ireans yang low profile tapi masyhur mendadak itu akhirnya berhenti seketika operasi mereka disebabkan amaran saman oleh pemilik server dan amaran dari pengusaha industri hiburan Malaysia. Baguslah jika operasi mereka terhentipun, tak ada ruginya tak dapat lagu percuma. Tapi bagus juga adanya Ireans kerana industri hedonisme dah mula nak lingkup.

KORBAN

Sifat korbanlah ditekankan kepada saya apabila saya bermusafir dalam jemaah dakwah.

"Hanya apabila kita berkorban, barulah kita menghargai"

Saya tak akan lupa kebenaran kata-kata itu kerana saya merasainya dan melihat bukti nyata dan jelas di hadapan saya. Setiap manusia yang berkorban ke arah sesuatu akhirnya dia akan menghargai dan tahu menilai apa yang diusahakannya.

Seorang manusia yang berkorban untuk tidak makan dan pakai mewah untuk menyimpan wang demi membeli rumah atau kereta akan menghargai rumah dan keretanya apabila berjaya mendapatkannya. Dia tahu nilai rumah dan kereta itu bukan sekadar wang ringgit yang dia belanjakan tetapi usaha penat dan lelah dia menyimpan wang.

Seorang manusia yang berkorban apa sahaja untuk mengahwini kekasih hatinya, pastilah akan menghargai kekasihnya itu kerana dia tahu untuk mendapatkan kekasihnya itu bukan semudah petik jari dan kata-kata manis sahaja. Wang ringgit dan masa yang dia korbankan sahaja sudah begitu banyak, apatah lagi susah payah dalam menghadapi cabaran-cabaran memikat hati kekasihnya.

Tapi demi hidayah dan redha Allah, apalah sangat wang ringgit, masa, dan diri yang tak berharga ini untuk dikorbankan. Sebab itu sahabat-sahabat Nabi tak berkira untuk dihiris, ditoreh, dilibas dengan pedang dan panah musuh ketika berperang. Apalah sangat kulit yang terhiris dan luka perit untuk dapat kecintaan Allah, apatah lagi jika melayang nyawa di jalan Allah dijanjikan ganjaran besar tak terhingga oleh Allah sebagai syuhada.

Saya menghargai agama Islam yang saya anuti dan terasa kelazatan hidayah Allah apabila saya telah berkorban harta, masa dan diri saya untuk berdakwah di jalan Allah. Berdakwah di sini saya rujukkan kepada 3 sifat dakwah Nabi yang diajarkan kepada saya, mengajak manusia membesarkan Allah s.w.t, mendatangi manusia, dan berkorban dari diri sendiri bukan meminta orang korbankan untuk saya. Saya tak hairan bagaimana nabi yang bernikah dengan Khadijah yang kaya raya boleh wafat dalam keadaan tidak berharta kerana baginda telah korbankan semuanya untuk agama Allah. Benar, manusia tak sedar harta tak bawa mati, tapi iman dan amallah pendamping hingga mati dan ketika bertemu Allah di hari penghisaban.

Apa yang saya hairan, ada daie-daie blog yang sanggup berdakwah sambil mengumpul harta. Makin lama berdakwah, makin besar rumah. Makin lama berdakwah, makin besar perut. Makin lama berdakwah, makin kaya raya. Makin lama berdakwah, makin kurang ajar sikap angkuh sombong. Makin lama berdakwah, makin hilang seri wajah, makin komersial dan sial dakwah, makin kapitalis sifatnya. Sharing Is Caring bukan lagi tema untuk diri berkorban untuk orang, tapi meminta orang menanggung korban kerjanya. Hasilnya dia tak lagi berdakwah untuk kasih sayang, tapi untuk menunjukkan dirinya yang betul dan sempurna, memberi tetapi menghina. Saya tak akan lupa sifat terkutuk ini yang terjadi pada diri saya sendiri. Saya tak akan lupa bagaimana kejinya manusia yang kononnya memberi tapi mengherdik sesudah memberi. Malah yang paling keji, dia juga penerima kerana setiap yang klik webnya telah memberinya ongkos untuk dakwahnya secara tak langsung. Siapakah yang paling keji dari orang yang mengherdik sesudah menerima.

KASIH SAYANG

Saya tak akan lupa sifat-sifat orang yang menjual kasih sayang hanya dalam tulisan bukan peribadi dan jiwanya. Saya anggap mereka pendusta nyata dan kewujudan mereka dalam internet begitu berleluasa.

Mereka sebut mereka cinta Sunnah, tapi kejian dan makian mereka tak menunjukkan mereka cintakan Sunnah. Mereka dakwa diri saya ini memang sesuai untuk dikeji dan dimaki, padahal alasan mereka hanya kerana tidak bersetuju dengan idea dan pandangan diri saya. Padahal ada saja orang yang membenarkan pandangan dan idea saya di sudut yang lain. Jikapun memang hakikat pandangan dan idea saya sesat melarat, boleh sahaja mereka tunjukkan jalan sebenar. Bukankah sunnah Nabi itu mengajak dan mengajar , bukan mengeji dan memaki. Kecualilah saya ini musuh Islam yang menentang Allah dan Rasul.

Jiwa Rasulullah mencintai umatnya adalah pakej yang perlu ada pada daie. Saya tahu diri saya juga suka membenci manusia lain, terutama manusia yang menghina maruah dan peribadi saya. Tapi saya tak mahu sifat membenci itu menular dan memakan jiwa saya akhirnya kerana Nabi lebih banyak dihina dan dicerca peribadi baginda, tapi jelas baginda tetap berkelakuan baik pada umat yang mencerca dan menghina peribadi baginda.

Saya rasa pengalaman dakwah Toif sangat signifikan. Dulu saya berasa hairan kenapa mesti Nabi ke Toif untuk berdakwah, rupanya Allah menyusun pengajaran dan tauladan yang sangat berguna yang ditunjukkan Nabi untuk umat akhir zaman mewarisi kerja dakwah baginda. Penduduk Toif bukan saja mencerca, tapi menyakiti Nabi. Nabi ditawarkan untuk diberi balasan azab pada penduduk Toif, tapi Nabi menolak. Apa yang Nabi lakukan adalah doa memohon kekuatan. Nabi doa, mengadu perihal kelemahan diri bukan mengadudomba kejahatan orang. Nabi memohon ampun disebabkan kelemahan berdakwah, bukan memohon azab dan seksa buat kejahatan penduduk Toif. Saya tak akan lupa suritauladan Nabi yang terbaik ini untuk diserapkan dalam diri untuk benar-benar menjadi daie. Benar, saya tahu betapa seksanya dihina.

Tapi manusia yang menghina tak pernah tahu perkara ini. Mereka rasa diri mulia, hingga tak segan silu menghina peribadi orang dan menjatuh serta memalukan maruah diri orang. Apalagi jika daie blog yang menghina itu punya 3 sifat yang bertentangan dengan dakwah Nabi:

1) Dakwahnya membesarkan dirinya dengan suka bercerita hal pengalaman diri dan keluarganya yang maha sempurna yang langsung tak ada cacat cela hingga ramai akhirnya memilih memujanya selepas habis membaca dakwah blognya.

2) Dakwahnya menunggu orang mendatanginya samada menunggu orang ke blognya, dan bukan main lagi memberi amaran pada sesiapa yang menyebarkan tulisannya tanpa meletakkan link blognya kerana mahu kredit diberikan kepadanya. Sedang daie sebenar sering mengajak memberikan kredit kepada Allah dengan berkata "semua yang baik datang dari Allah". Walaupun daie blog juga kadangkala terlibat dengan aktiviti realiti seperti sesi ceramah, kuliah atau kem dakwah, tetapi dia meletakkan borang untuk diisi oleh orang. Dakwahnya meminta orang mengajaknya mendatangi tetap juga bukan mendatangi orang dalam erti kata sebenar.

3) Dakwahnya meminta derma dari orang. Ongkosnya berdakwah samada duit minyaknya, duit perjalanannya, duit tolnya kadangkala dibising-bisingkan dan meminta orang prihatin untuk meringankan bebannya berdakwah. Lalu dia bukan lagi berdakwah kerana dia perlukan dakwah untuk tunjuk pengorbanan, tetapi dia perlukan orang untuk tunjukkan pengorbanan untuk memerlukan dia berdakwah. Jika orang beri hadiah itu cerita lain, tapi jika dirinya pernah bising pasal ongkos malah mempersoalkan kelazatan berkorban duit minyak di jalan dakwah, bukanlah jiwa berdakwah namanya.

PENGALAMAN BERSAMA USTAZ KAMARUDIN KASSIM & PROF DR SIDEK BABA

Saya tak akan lupakan dua tokoh ini yang sangat-sangat meresap jiwa saya akan peribadi dan jiwa daie dan murabbi yang ada pada mereka. Mereka adalah antara dua orang dari enam tokoh yang saya datangi tahun 2008 untuk mengutip sedikit pengalaman dan ilmu mereka. Ya, daie itu mendatangi, penuntut ilmu juga wajar mendatangi guru.

Ustaz Kamarudin menawarkan saya pengalaman "Dakwah Lapangan" yang tidak ada bezanya dengan 3 sifat dakwah nabi yang diajarkan ketika saya mengikuti Safar bersama Jamaah Dakwah.

Malah Dakwah Lapangan Ustaz Kamarudin berjaya buat hati saya teresak akan tidak perihatinnya saya selama ini kepada adik-adik dan generasi muda yang terjebak dalam kancah gelap dan tak mampu keluar dari kawah dosa melaung-laung meminta diselamatkan walau tiada yang kisah.

kredit pada RausyanFikir

Ustaz Kamarudin mendatangi remaja-remaja seawal umur 13 tahun yang terbiar hidup dengan gam, dadah, seks dan arak di lorong-lorong kusam belakang bangunan yang langsung tidak dihiraukan masyarakat apatah lagi pemimpin politik kepartian yang gila. Bilangan remaja ini bertambah, tapi langsung tidak ada sesiapa untuk menyelamatkan mereka, bukan saja selamatkan untuk mereka hidup bersih dari kancah gelap itu, tapi aqidah dan aset umat yang berharga ini telah terkorban begitu saja. Ustaz Kamarudin mengajak kepada agama dan Allah, perjalanan dakwah lapangannya tak meminta derma dari orang tapi beliau mengorbankan hartanya sendiri walaupun hakikatnya beliau ada isteri dan anak-anak yang perlu diberi makan juga.

Saya tak nampak betapa perlu umat mencari harta yang banyak, bukan untuk dikumpul untuk tembolok isteri dan anak-anak yang besar mana sangat nak diisi tetapi harta yang banyak dapat menggerakkan kerja dakwah yang lebih kuat dan berterusan. Ustaz Kamarudin kelihatan di wajahnya betapa beliau punya kemahuan yang tinggi untuk berkorban lebih lagi, tetapi rezeki beliau tak banyak mana. Ertinya, harapan beliau agar lebih ramai lagi sedar betapa perlu berkorban harta dan diri untuk dakwah di jalan Allah ini. Beliau tak mahu wang jika hanya beliau saja yang bergerak, sedangkan di Malaysia ada ramai so called daie, mengapa tak turun ke lapangan. Apatah lagi daie yang mahu keselesaan saja, dakwah dengan pelajar-pelajar celik ilmu,dakwah ke oversea, naik kapal terbang dan duduk macam VIP sedangkan anak-anak muda di tanah sendiri di belakang-belakang bangunan minta diselamatkan tak dihirau.

Saya juga tak lupa pada sifat kasih sayang murabbi sejati yang ditunjukkan oleh Prof Dr Sidek Baba yang selesa dipanggil Cikgu Sidek saja. Bukan saja beliau tawaduk merendah diri ilmunya yang tinggi hanya suka dipanggil cikgu, malah beliau merendahkan dirinya di depan saya yang muda dari beliau berpuluh tahun, dan saya yang hingusan ilmunya, disambut dengan penuh kemesraan padahal baru bertemu saya buat kali pertama.
Cikgu Sidek(berdiri 2 dari kanan) ketika menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul tahun ini

Ketika saya ke rumah beliau, beliau hanya berbaju sederhana, cakapnya cukup sopan dan mesra buat saya jatuh hati pada peribadi beliau. Bukan saja ayat-ayat tulisannya menggugah jiwa, malah percakapannya juga konsisten seperti yang ditulisnya, maka saya tahu beliau menulis memang dari hati. Beliau melayan saya seperti saya ini tetamu besar, seperti setaraf dengan beliau padahal saya yang hina dan hingusan hanya seorang budak muda berdosa yang menagih ilmu dan jalan kebenaran.

Ketika saya memberi pandangan atau pendapat, beliau mendengar dan menghargai idea saya malah cukup santun hingga saya seolah-olah dilayan seperti pemikir besar, padahal saya sendiri tahu idea dan pendapat saya picisan yang boleh dikutip di tepi jalan saja. Hal itu buat saya rasa terharu dan rasa ingin menangis keinsafan, hanya layanan itu saja buat saya rasa betapa saya sudah didakwah beliau akan akhlak islam sebenar. Saya tak hairan bagaimana di zaman Rasulullah s.a.w boleh ada orang yang mengucap kalimah syahadah hanya apabila melihat wajah nabi atau dilayan nabi. Benar, akhlak islam dakwah paling agung. Saya benar-benar mahu mencontohi sifat Cikgu Sidek untuk belajar sifat Nabi s.a.w. Tapi saya tahu perjalanan saya jauh kerana hati saya kotor, keras dan hitam.

PENUTUP

Ustaz Kamarudin dan Cikgu Sidek dua tokoh yang mengajar saya erti sebenar korban dan cinta. Dua pakej yang ada dalam dakwah Nabi s.a.w. Kita perlu sedar umat akhir zaman ini wajib berdakwah. Kewajipannya sama seperti kewajipan solat 5 waktu. Haram ditinggalkan, dan mesti dilaksanakan semampu daya hingga mati. JIka solat 5 waktu wajib dilaksanakan juga walau hanya mampu berbaring atau mengelip mata, maka dakwah juga wajib dilaksanakan walau sesusah mana kita, walau sebodoh mana kita, sekurang-kurangnya kita ingatkan kepada Allah dengan menyebut kalimah La ilaha illAllah, atau dengan akhlak yang baik.

Nabi sudah tiada, nabi tak akan lagi diutuskan lagi selepas ini, kitalah mewarisi amanah dakwah untuk manusia. Jika semua berhenti kerja dakwah, apakah anda fikir manusia akan ingat pada Allah? Kalau dulu semasa Allah mengutuskan nabi berkali-kalipun, manusia mudah kembali lupa dan lupa. Sebab itu selalulah beri peringatan kerana kita akan selalu lupa, dan sesungguhnya peringatan itu benar-benar bermanfaat untuk orang beriman. Sebab orang beriman takut jadi orang lupa, maka ingatkanlah saya ini.

Wallahua'lam.