|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Orang berkata 'non partisan' itu ertinya 'tidak berparti'. Ya, mungkin benar. Orang berkata 'non partisan' itu 'tidak berpihak'. Ya, mungkin saja benar. Tapi jika semua orang berkata 'non partisan' adalah orang 'atas pagar' ertinya orang yang tidak mampu membuat keputusan untuk memilih , itu meleset sama sekali.

Saya mengambil diri saya sebagai contoh. Saya mempunyai pendirian jelas mengenai Politik. Pada saya, Politik wajar diterjemah kepada 'Kepemimpinan'. Hanya dengan terjemahan itulah nanti, perintah Allah s.w.t akan amanah manusia sebagai Khalifah di muka bumi akan tercapai. Hanya dengan kesedaran akan amanah, maka manusia akan bekerja dan bertindak melaksana atas tanggungjawab. Pusingan ini menepati segala jenis politik dari setiap lapisan dan sudut kehidupan manusia baik pemerintahan negara, organisasi, kemasyarakatan mahupun keluarga.

Masalahnya, apabila orang bertanya akan nama parti, atau jenama jemaah saya. Saya sedia menerima tafsiran sebagai 'non partisan' untuk soalan parti, saya suka menerima tafsiran 'ahlus sunnah wal jamaah' untuk soalan jemaah.

Di situ bermulanya kekeliruan dahsyat orang akan pendirian politik saya. Apabila disebut saya non partisan , 3 definisi akan terlintas di pemikiran mereka iaitu, "tidak berparti", "tidak berpihak", dan "atas pagar".

Saya mengakui akan definisi pertama buat masa kini bahawa saya tidak berparti sekarang. Ini kerana parti-parti yang sedia ada tidak punya pendirian dan tatacara yang menjadi pilihan saya. Mereka menyebut ini suatu kesalahan dan dosa. Pada mereka, perjuangan parti mereka cukup sempurna dan merupakan jalan yang lurus. Pengikut UMNO merasakan perjuangan mereka keramat, pengikut PAS merasakan perjuangan mereka suci, pengikut PKR merasakan perjuangan mereka kebenaran. Saya mengakui perjuangan mereka ada manfaatnya, tapi untuk bergabung bersama mereka ditakuti akan membuatkan saya kelihatan redha dengan kaedah mereka berPolitik.

Saya tidak setuju dengan kaedah berikut:

1) Memburukkan lawan untuk kita kelihatan hebat.
2) Menziarahi masyarakat hanya menjelang pilihanraya.
3) Berasa diri adalah layak untuk diangkat menjadi pemimpin dengan muka tak malu malah berkempen untuk itu.
4) Berasa gembira malah meraikan kemenangan apabila diangkat menjadi pemimpin.
5) Memilih isu popular untuk dibesar-besarkan tanpa terlintas amanah untuk mengajak manusia membesar-besarkan Allah pada setiap saat.
6) Menganggap kuasa rakyat kuasa tertinggi, dan mengampu rakyat dengan buat rakyat rasa diri seperti raja, padahal manusia semuanya hamba Allah yang kerdil dan lemah.
7) Tidak menegur rakyat atau pengikut yang banyak tersasar akhlak dan amalan, malah tidak mengajak mengimarahkan masjid tapi suka mengimarahkan jalanraya dan tapak ceramah semata-mata.
8) Tidak banyak menginsafkan diri sendiri, pengikut sendiri mahupun rakyat akan dosa-dosa dan banyak mengajak kepada taubat.
9) Tidak berasa tawaduk dan rendah diri dengan idea yang dikeluarkan, tapi suka membesarkan idea sendiri, pendapat sendiri sebagai idea agung dan hebat dan menekan manusia lain menerima idea kita.
10) Lebih suka dikenali dengan nama Parti dan perjuangannya, berbanding dikenali sebagai Muslim dan amanahnya.

Oleh sebab itu, saya tak segan silu untuk berparti jika ada Parti yang sekurang-kurangnya punya jalan dan tatacara bertentangan dari 10 perkara di atas yang merupakan sebahagian sifat-sifat buruk yang saya nampak dan merasai dari kalangan Parti-parti politik di Malaysia.

Saya juga tidak ada halangan untuk sedia menubuhkan Parti sendiri jika semua manusia enggan mengubah tatacara dan sifat di atas jika perlu untuk saya mempromosikan semula tatacara dan sifat baik yang sudah dilupai orang dewasa ini. Jika Allah berikan kekuatan, maka Parti saya perlulah:

1) Mengajak diri, kawan dan lawan akan kebaikan dan tinggalkan keburukan, dan hanya merasakan Yang Hebat itu Allah semata-mata.
2) Melakukan ziarah dari rumah ke rumah setiap hari, dan membawakan masalah penduduk ke mesyuarat harian yang diadakan selepas solat jemaah.
3) Memilih pemimpin melalui syura penduduk, dengan memberikan jawatan kepada orang yang berkebolehan melakukan kerja, tidak sama sekali memberikan jawatan kepada orang yang mencadangkan diri sendiri atau yang berkeinginan kepada jawatan.
4) Sesiapa yang terpilih memegang jawatan, berasa gentar malah menangisi akan tanggungjawab yang berat yang akan disoal oleh Allah di akhirat kelak.
5) Selalu mengajak orang membesar-besarkan Allah dan memilih isu itu sebagai yang utama sebelum isu-isu lain.
6) Menganggap dan menginsafi bahawa manusia, rakyat jelata, pemimpin semuanya kerdil dan lemah dan segala kekuatan datang daripada Allah s.w.t. Perbanyakkan doa dan pengharapan.
7) Selalu menegur rakyat mahupun sesiapa jua yang tidak berakhlak dan sesat amalan terutama muda mudi yang terjebak dengan keruntuhan akhlak dan gejala sosial dan menyelamatkan mereka untuk kembali ke jalan yang lurus. Berani turun ke lapangan.
8) Selalu bermuhasabah akan dosa-dosa diri, dan mengajak diri, pengikut dan rakyat untuk bertaubat dan meninggalkan dosa-dosa.
9) Sering mengeluarkan idea terbaik yang boleh difikirkan tapi tidak merasakan idea sendiri adalah yang terbaik berbanding idea orang lain, selalu menyebut "pada pandangan saya" atau "pada pendapat diri saya" supaya orang jelas bahawa idea yang datang itu adalah dari diri kita bukan suatu idea yang semua wajib mengikutinya.
10) Lebih suka dikenali sebagai Muslim supaya semua Muslim lain akan dianggap satu keluarga kerana orang beriman itu bersaudara, juga selalu mahu diingati akan amanah sebagai seorang Muslim berbanding dikenali dengan nama Parti yang hanya kulit pisang busuk yang laku di dunia saja bukan di akhirat.

Oleh sebab itu, saya tidak fikir definisi kedua ,"tidak berpihak" itu tepat jika semua sudah tahu saya berpihak kepada Parti yang mempunyai ciri-ciri di atas. Namun, masalahnya selagimana tiada parti yang berani untuk membersihkan diri mereka dan menonjolkan ciri-ciri di atas, selagi itulah saya tidak akan berpihak kepada mereka walaupun program atau pekerjaan kebaikan mereka saya akan bantu dan sokong atas niat bertolong-tolong dalam perkara kebaikan dan taqwa , tapi untuk sama-sama dikenali sebagai ahli mereka tidak sama sekali.

Adapun definisi ketiga "atas pagar" atau "tidak berpendirian" sama sekali meleset. Pendirian saya jelas, pelan tindakan sudah disusun, tatacara, kaedah dan jalan perjuangan sudah saya atur dan ukir untuk bergerak menuju kematian yang hampir ini. Benar, saya tidak mendaftar sebagai pengundi disebabkan saya memilih untuk tidak memilih. Jika ditanya mengapa, seharusnya yang bertanya refleksi diri mereka sendiri, adakah bila saya sudah mendaftar sebagai pengundi, saya boleh mengundi calon pemimpin pilihan saya sendiri? Atau saya dipaksa buat pilihan untuk mengundi calon-calon yang dipilih oleh Parti mereka? Tepuk dahi hentak kepala.


Dunia ini sementara dan hanya kebun untuk disemai benih amalan supaya nanti bila tiba masa ajal, segala buah-buah amalan akan dikutip dan akan ditinggalkan kebun yang lecak, busuk, yang hanya untuk dicucuk dan dipijak ini. Seterusnya generasi baru yang dilahir kelak juga akan diajar untuk menanam amalan di atas kebun dunia ini, bukannya untuk bergasak, berlumpur, bermandi dengan tanah-tanah kebun yang bila tiba ajal nanti, apa yang dibawa hanya diri yang kotor dan berdosa sedang kebun tidak ada tanaman mahupun buah untuk dibawa bersama.

Wallahua'lam.

Baca juga:
Pemimpin Politik Kepartian Pemimpin Pilihan Rakyat?
Demokrasi Yang Mengarut
Parti Mardhatillah Ganti UMNO dan PAS
Pilihanraya Dan Kemusykilan Minda Tua Muda
Perlu Ada Parti Islam Yang Benar-benar Islam
Pelan Tindakan Politik Islam
UMNO Hanya Boleh Kuat Dengan Idealisme Islam
Golongan Politikusarap- Musuh Yang Dikenalpasti
Ke mana Akhirnya Politik Kita
semua gambar dalam entri ini boleh nampak besar dengan klik atas gambar


Saya beri contoh mudah buat anda. Seorang aktivis alam sekitar datang ke rumah anda dan meminta anda menutup lampu sebagai tanda sokongan kepada "Bantahan Pemanasan Global".

Lalu anda bertanya, "Pukul berapa kamu mahu saya menutup lampu?"

Aktivis itu berkata,"Jam 8.30 malam hingga jam 9.30 malam".

Tamat satu situasi.

Sekarang adegan itu bersambung dengan dialog berikut pula,

Anda bertanya kepada aktivis tersebut,"Saudara orang Islam bukan? Tinggal di mana?"

Aktivis itu menjawab, "Ya, saya Islam.Tinggal dekat dengan masjid depan sana."

Anda lalu berkata, "Saya nak minta kamu buka lampu masjid pada jam 8.30 malam hingga 9.30 malam,boleh?"

Aktivis itu melenting,"Jika saya buka lampu bermakna saya UNDI PEMANASAN GLOBAL!"

Anda lalu berkata dengan tenang,"Jangan diperbodohkan dengan undi tersebut, kerana pada jam 8.30 malam hingga jam 9.30 malam ada solat jemaah dan talaqqi di Masjid berdekatan rumahmu. Tolonglah bukakan lampu masjid supaya kita boleh solat jemaah bersama-sama dan duduk dalam majlis ilmu InsyaAllah"

Aktivis itu lalu beredar.

Tamat satu lagi situasi.

Kemudian peristiwa itu tak berhenti. Aktivis itu datang semula dengan kawan-kawannya lalu mengutuk anda kerana telah menggunakan perkataan "diperbodohkan".

Lalu anda meminta maaf dan tetap merasakan jika masjid membuka lampu bermakna orang Islam dalam masjid mengundi pemanasan global pada jam 8.30 malam hingga 9.30 malam adalah satu iktikad yang bodoh.

Tamat semua situasi.

Situasi di atas suatu rekaan semata-mata. Tapi tahukah anda memang ada orang Islam yang merasakan jika masjid membuka lampu maka masjid akan mengundi pemanasan global. Atas ketakutan kononnya Islam akan dipandang serong maka orang tersebut telah mencadangkan supaya masjid turut berpartisipasi dalam kempen menutup lampu.

Kes merujuk kepada sebuah laman web di mana seorang lelaki muslim telah mencadangkan solat berjemaah di dalam gelap di dalam ruang komennya. Atas sebab cadangan yang dirasakan berbahaya itu kerana boleh buat orang Islam diperbodohkan dengan sanggup menutup lampu semasa solat jemaah hanya dengan alasan mahu menyertai kempen alam sekitar, maka saya menjelaskan kepadanya siapakah "orang Islam bijak" dan siapakah "orang Islam tidak bijak".

Niat saya satu, supaya masjid jangan tidak dipedulikan, dan supaya orang Islam lebih faham yang mana satu gimik, yang mana satu keutamaan. Menutup lampu pada satu jam sekali setahun adalah gimik, manakala mengamalkan sikap berjimat cermat (bersederhana) dalam menggunakan elektrik adalah keutamaan.

Malangnya, istilah "kebodohan kempen" yang saya gunakan dipertikai tapi tidak dipertikai cadangan manusia muslim yang meminta supaya solat berjemaah di dalam gelap.Mari kita lihat siapa yang tidak ada "common sense".

Satu.Gimik menutup lampu dianggap penting hingga perlu kita solat berjemaah di dalam gelap dianggap telah termakan kebodohan kempen.

Dua. Penggunaan frasa "telah termakan kebodohan kempen" kepada cadangan solat jemaah di dalam gelap dianggap kurang ajar.

Pada pendapat anda, antara kenyataan satu atau dua, yang manakah anda setuju?

Jika anda setuju kenyataan satu, maka anda juga setuju dengan tindakan saya menganggap cadangan bersolat jemaah dalam gelap adalah tindakan manusia yang telah termakan kebodohan kempen. Jika anda tidak setuju kenyataan satu, maka anda tidak bersetuju cadangan itu adalah cadangan orang yang telah termakan kebodohan kempen, tetapi anda beranggapan cadangan itu bijaklaksana. Anda suka lihat orang Islam solat jemaah dalam gelap sempena kempen alam sekitar.

Jika anda setuju kenyataan dua, maka anda merasakan orang yang menggunakan frasa "telah termakan kebodohan kempen" kepada cadangan solat jemaah dalam gelap adalah kurang ajar. Soalnya, adakah cadangan solat jemaah di dalam gelap sempena kempen alam sekitar tidak kurang ajar? Jika anda tidak setuju dengan kenyataan dua, maka memang semua orang Islam sepakat layak orang yang mencadangkan cadangan itu telah termakan kebodohan kempen.

Situasi berbeza pula pada manusia yang terganggu dengan istilah "kebodohan kempen". Fikirnya, "kebodohan kempen" dengan "kempen bodoh" adalah sama. Di mana letaknya "common sense" itu? Adakah sama "kelemahan orang Islam" dengan "orang Islam lemah"?

"Kebodohan kempen" ertinya salah satu unsur dalam kempen yang dianggap bodoh. Manakala "kempen bodoh" ertinya seluruh kempen itu sangat membodohkan. Lalu apakah unsur kebodohan dalam kempen tersebut? Kempen merujuk kempen Earth Hour, telah dijelaskan dalam entri sebelum ini,

Maka, apakah kebodohan kempen yang saya maksudkan? Kebodohan kempen itu meletakkan hukum , jika saya memasang lampu pada ketika itu, maka saya mengundi untuk pemanasan global dan menentang undi untuk bumi.


Adakah salah beranggapan suatu yang bodoh menghukum orang yang membuka lampu semasa Earth Hour mengundi pemanasan global? Lalu jika salah, bermakna anda setuju bahawa orang yang membuka lampu pada Earth Hour patut dianggap mengundi pemanasan global? Malangnya, 8.30 malam hingga 9.30 malam adalah jadual solat jemaah dan sesi majlis ilmu di masjid-masjid yang memerlukan kepada pencahayaan lampu.

Ada orang sibuk mengatakan sikap saya menyebut "kebodohan kempen" sebagai tidak membaca entri sepenuhnya dan hanya suka provokasi. Soalnya siapa yang memprovokasi ahli masjid seperti saya dengan mencadangkan supaya solat jemaah dalam gelap? Mengapa orang lain tidak tersentak dengan cadangan itu? Kerana mereka tidak ada common sense sebagai ahli masjid yang memerlukan aktiviti dibuat di masjid pada waktu tersebut. Mengapa common sense ini tak tercetus? Kerana mereka tak pernah terfikir pun mahu solat jemaah di masjid pada jam 8.30 malam.

Buktinya jelas seperti yang dilaporkan oleh Faisal Tehrani mengenai malam Earth Hour,

Mak Cik Musalmah Lebar, Belinda (anak bongsu Kak Sal), Kamarul (jiran seorang lagi) dan saya sendiri duduk bersidai di koridor menunggu bangunan berkembar Petronas memadam lampu satu persatu. Mak Cik Musalmah Lebar pot pet pot pet tentang perhimpunan agung UMNO kurang kami layani.

Tepat jam 8.30 malam, KLCC pun bergelap. Ada yang bertepuk tangan. Kami pun memadamkan lampu. Kemudian ada suara kanak-kanak berteriak keras, 'Oii padamkan lampulah.' Belinda ikut serta menjeritkan, 'pak cik angkasawan suruh tutup lampu lah!'

Mak Cik Musalmah Lebar merungut, "Dia orang ni tak ambil pot ke?."


Bagaimana boleh orang Islam duduk bersidai ketika waktu Isyak dan majlis ilmu sedang diadakan di masjid? Adakah bersidai dalam kegelapan menunggu menara Petronas memadam lampu begitu penting untuk dibawa ke akhirat berbanding solat jemaah dan duduk dalam majlis ilmu? Kita abaikan orang yang ada urusan penting yang tak membolehkan dia ke masjid, tapi orang bersidai ini tak ada "common sense"kah?

Cuba lihat pula makian dan cercaan orang kepada diri saya kerana menggunakan istilah "kebodohan kempen".

Pertama, ada orang menganggap saya tak membaca keseluruhan entri web tersebut, dan hanya suka komen provokasi. Anggapan mereka meleset, saya adalah pengomen pertama entri tersebut dan fokus saya adalah pada isu "keperluan wujudnya agenda membentuk generasi muda menjadi hero/khalifah bagi menyelamatkan bumi yang parah". Komen saya lebih menepati tajuk entri berbanding komen kedua yang dilayan oleh sang owner web tersebut. Malangnya komen kedua yang tersasar jauh dari topik langsung tidak dikecam sebagai "lari tajuk" atau "lari topik".

Kedua, apa kejadah dengan sang pengomen yang mencadangkan solat berjemaah dalam gelap? Tak ada common sense kah mahu mengecam dan mengkritik beliau kerana telah mencadangkan suatu yang lari tajuk malah terbabas topik?

Ketiga, apa kejadahnya orang yang mengatakan saya tidak beradab dengan "ustaz" web tersebut? Isunya pada komen "kebodohan kempen" yang ditujukan kepada manusia yang mencadangkan solat jemaah dalam gelap. Langsung hilang watak manusia yang mencadangkan itu, semuanya bertumpu kepada isu saya dan ustaz tersebut. Malangnya, isu saya dan ustaz itu hanya terjadi bila ustaz itu telah mengungkapkan ayat provokasi yang nyata. Mengapa ayat provokasi ustaz tersebut tak dikecam?

Isu ini nampak remeh untuk dibincangkan, namun isu remeh ini telah buat ramai telah menggunakan "common sense" yang tidak "common". Sudah hilang sensitiviti masyarakat terhadap cadangan-cadangan liberalisme yang mahu kita terbuka dengan propaganda bukan Islam sehingga sanggup mencadangkan solat berjemaah dalam gelap hanya untuk menyertai kempen alam sekitar. Memanglah diberi alasan dakwah. Puak Islam Liberal di Indonesia juga sering gunakan alasan "dakwah" bagi segala cadangan mereka yang mengarut.

Bagi yang tidak tahu menahu bahawa Masjid juga disasarkan untuk bergelap oleh WWF pada Earth Hour boleh lihat di link berikut:

http://wwf.org.au/publications/earth-hour-2009-mosques.pdf

http://www.earthhour.org/news/my:en/article?id=eh6857565919295767405

Soalnya orang yang suka menyindir akan membaca setiap ayat orang adalah sindiran padanya. Orang yang merasakan orang lain sakit kerana tidak memahami dirinya sebenarnya dirinya yang sakit. You need to get help.




Video ini adalah slot ke-2 saya di SMK Rantau Panjang sempena Bulan Sains & Matematik sekolah. Slot ke-2 ini bersama Tingkatan 4 & 5, sementara bahagian pertama bersama Tingkatan 3. Sebenarnya ada 5 slot saya pada hari itu (2 mac 2009), termasuk bersama Tingkatan 3 kumpulan kedua, Tingkatan 2 dan Tingkatan 1. Namun, 3 slot yang akhir tiada rakaman dibuat. Apa-apapun saya sangat bersyukur dan berterima kasih atas peluang julung-julung kali dalam hidup saya ini.












Apabila saya berbicara soal kebodohan kempen, tidak semestinya merujuk pencipta kempen mahupun penyokong kempen sebagai bodoh. Apa itu kebodohan kempen, soal itu perlu dijelas dahulu.

Kes merujuk kepada kempen Earth Hour 2009. Mari saya petikkan apa yang dimaksudkan seseorang itu sudah menyertai kempen ini atau tidak menerusi kata-kata yang dicatatkan dalam laman web kempen tersebut:

On March 28 you can VOTE EARTH by switching off your lights for one hour.
Or you can vote global warming by leaving your lights on.

terjemahan yang saya dapat faham akan kenyataan di atas:

Pada 28 Mac anda boleh untuk UNDI BUMI dengan memadamkan lampu anda untuk satu jam.
Atau, anda boleh undi pemanasan global dengan biarkan lampu anda terbuka.

Kempen ini tak ubah seperti kempen mengumpul tandatangan, satu percubaan WWF untuk mendapatkan sokongan seluruh manusia dunia agar dapat mendesak pemimpin dunia agar bertindak untuk menangani masalah pemanasan global di konferens Copenhagen 2009.

Saya pernah membaca akan kempen yang lebih kurang serupa berkenaan dengan krisis politik Malaysia dengan cadangan supaya masyarakat Malaysia membunyikan hon pada satu ketika tanda sokongan usaha membantah. Kalau di Jepun kempen membunyikan hon kereta akan diklasifikasikan sebagai kempen yang menyokong pencemaran bunyi. Ya, di Jepun bunyi juga suatu pencemaran jika berleluasa.

Ada orang menyebut kempen Earth Hour 2009 adalah kempen menjimatkan tenaga elektrik. Itu salah. Dalam kempen tersebut tidak disebutkan pun, seseorang yang mahu menyertai kempen tersebut boleh memilih untuk mengundi dengan memadamkan televisyen, komputer, sterika, peti ais, mesin basuh untuk mengganti undi dengan memadamkan lampu. Apa yang WWF mahu buktikan pada konferens di Copenhagen itu nanti adalah masyarakat dunia majoritinya bergelap selama satu jam pada tarikh tersebut maka desakan supaya pemimpin dunia tegas menangani isu pemanasan global mesti diambil serius kerana ia disokong majoriti masyarakat dunia.

Maka, apakah kebodohan kempen yang saya maksudkan? Kebodohan kempen itu meletakkan hukum , jika saya memasang lampu pada ketika itu, maka saya mengundi untuk pemanasan global dan menentang undi untuk bumi. Maka, orang Islam yang bijak tidak akan termakan dengan kebodohan kempen ini dengan iktikad bahawa menutup lampu 8.30 malam pada 28 mac nanti sehingga satu jam akan membuatkan dia menjadi manusia peduli.

Jika masjid-masjid mula bersolat Isyak pada jam 8.30 malam dan selepas itu dalam tempoh sejam ada pula sesi talaqqi ilmu, maka masjid-masjid memasang lampu, adakah orang-orang Islam yang duduk dalam masjid itu bukan orang peduli akan isu alam sekitar kerana disangkakan mengundi pemanasan global?

Orang Islam juga manusia yang peduli walaupun memasang lampu masjid pada pukul 8.30 malam itu. Orang Islam yang bijak akan tidak terpedaya dengan seruan kempen ini sehingga sanggup mencadangkan untuk solat dalam gelap seperti berikut:

tengah nak solat isyak tu,apa kata kita tunjukkan orang Islam pun tiada masalah untuk bersolat jemaah di dalam gelap?

Orang Islam yang bijak akan tahu menentang pemanasan global yang diakibatkan oleh peralatan elektrik memerlukan sikap berjimat cermat. Kempen berjimat cermat sudah disebut oleh Allah s.w.t sendiri dalam surah Al Isra ayat 27 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."

Maka, orang Islam yang bijak tidak obses untuk menutup lampu masjid semata-mata takut dilabel oleh WWF sebagai mengundi pemanasan global, tetapi orang islam yang bijak akan sentiasa menjimatkan penggunaan elektrik pada setiap masa dan menggunakan elektrik secara cukup untuk keperluan saja.bukan saja pada 28 mac tapi pada setiap masa dulu,kini dan selamanya.

Saya berharap orang Islam akan sentiasa bijak untuk memahami isu sebenar, dan tidak hanya terikut-ikut dengan arus yang kononnya sesiapa yang menentang arus itu adalah musuh dan pengkhianat dunia.

Saya juga mengambil kesempatan ini meminta maaf pada Ustaz Hasrizal secara terbuka, kerana membuatkan beliau beranggapan saya mengatakan beliau bodoh kerana 'termakan dengan kebodohan kempen' tersebut. Padahal saya sudah komen entrinya mengenai hal ini tanpa menyebutkan kebodohan sehinggalah muncul cadangan untuk solat jemaah dalam gelap itu. Yang mencadangkan itu bukan Ustaz Hasrizal kerana Ustaz Hasrizal menyokong kempen tersebut tanpa terkongkong dengan saranan kempen tersebut akan tetapi beliau menyebut:

"Saya menyeru para pembaca untuk menjayakan kempen EARTH HOUR 2009 dengan memadamkan semua alat elektrik sedaya mungkin selama satu jam pada 8:30 malam, Sabtu 28 Mac 2009. "

Maka, saya beranggapan Ustaz Hasrizal BIJAK kerana telah mengambil peluang akan nama kempen ini dengan mengubah terma partisipasi bukan saja pada lampu, tetapi semua alat elektrik.

Wallahua'lam.

nota:
untuk membaca tulisan ustaz Hasrizal akan kerisauan beliau mengenai alam sekitar boleh klik di link berikut:http://saifulislam.com/?p=5023



Jutaan terima kasih buat SMK Rantau Panjang Klang atas peluang dan ruang yang diberi ini buat saya.

BERSAMA TINGKATAN 3 SMKRP