|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
oleh: mfr ibn mukhtar


Mendakwa diri sebagai pejuang politik islam atau pejuang agama Allah tidak lengkap sekadar menurut langkah ikut-ikutan rencah politik dramatik yang disogok oleh Barat sejak zaman-zaman reformasi dan revolusi yang melanda benua eropah dan Amerika.Apabila perjuangan islam bersebati dengan sogok-sogokan utopia demokrasi pada hari ini hanyalah satu lagi kebodohan yang melanda dunia ummah selepas di satu era,aktivis politik islam pernah cenderung pada idea-idea komunis dan sosialis dan memusuhi demokrasi dan kapitalisme. Demokrasi dan kapitalisme cuma asas yang telah berjaya mendominasi dunia apabila kalah dan runtuhnya soviet dan apabila komunisme di China mula ambil langkah agresif kepada keterbukaan ekonomi sehingga kini imej komunisme di china dilihat menerima konsep liberalisasi.Ya, asas itu akhirnya kini mengorak langkah pada fasa akhir membawa dunia kepada liberalisasi dan akhirnya globalisasi. Pada ketika itu saja dajjal akan berjaya masuk ke segala ceruk rantau kerana sifat dunia sudah tidak bersempadan kecuali dia tak akan berjaya masuk ke makkah dan madinah.

persiapan pejuang generasi baru

Fokus adalah satu konsep yang akhirnya telah berjaya membangunkan revolusi industri. Apabila teknik fokus dilakukan maka perjalanan barang di kilang lebih pantas, maka kadar produksi meningkat.Fokus di sini merujuk kepada tugasan pekerja kilang di setiap baris mesin melakukan tugas yang sama berulang kali, dan barisan yang seterusnya menambahbaik atau melengkapkan kitaran penghasilan produk.

Misalnya pekerja yang ditugaskan membotolkan produk hanya fokus pada tugas membotol, maka tugas yang terfokus ini secara natural mengakibatkan si pekerja mahir membotol malah kepantasannya meningkat dari sehari ke sehari.Begitu juga pekerja yang ditugaskan meletakkan botol dalam kotak akan dapat meningkatkan kepantasan kerjanya itu. Begitu jugalah tugas mengangkat kotak ke dalam lori, semuanya berjalan dengan lancar dan pantas.

Manusia juga telah terfokus setiap ciri dalam diri mereka.Tugas asas dan umumnya manusia dijadikan Allah untuk beribadat kepadaNya. Padahal kita tahu tugas ibadat itu luas. Makan juga ibadat, tidur juga ibadat, mandi juga ibadat seperti mana solat, zakat,puasa itu adalah ibadat, yang asasnya adalah niat melakukannya kerana Allah dan cara melaksanakannya tidak melanggar sunnah Rasulullah.

Oleh sebab manusia itu terfokus cirinya, maka tidak semua mukmin itu disuruh berperang ketika zaman Rasulullah lagi. Ada yang tinggal di madinah kerana dua tugasan. Pertama sebahagiannya ditugas melindungi mereka yang tidak mampu berperang yang masih berada di Madinah iaitu di kalangan wanita, kanak-kanak, orang tua, dan orang yang keuzuran, begitu juga ditugas melindungi harta umat islam dan madinah itu sendiri dari dicerobohi musuh. Kedua, sebahagian mereka tinggal untuk menuntut ilmu kerana ilmu dan perjuangan mesti terus diturunkan kepada generasi seterusnya. Dengan kata lain misi menyediakan pelapis, agar tidaklah nanti jika syahid semua ilmuwan di medan perang maka kelak generasi berikutnya jahil akan ilmu dan perjuangan. Dan sesungguhnya ilmu tertinggi dalam islam itu adalah ilmu alquran.

Fokus telah diadakan oleh Rasulullah sendiri ke atas umatnya sejak baginda masih hidup lagi.Ada yang keluar berperang, ada yang tinggal untuk melindungi, dan ada yang tinggal untuk turunkan ilmu.Yang keluar berperang juga, berlaku fokus iaitu ada yang bertempat di atas bukit dengan panah, ada yang berkuda gempur dengan pedang, dan ada juga yang berperanan untuk mengibar panji atau melaungkan semangat.

Perjuangan generasi baru juga perlu fokus. Bagaimana tugasan dan fokus dapat dikenalpasti, tentunya dua kaedah perlu dilaksanakan di peringkat awal lagi, iaitu mengenal Allah dan mengenal diri.Mengenal Allah akhirnya dapat mempersiapkan iman, dapat mempersiapkan niat, dapat mempersiapkan semangat dan dasar perjuangan. Mengenal diri membawa kepada persiapan menjalankan peranan atas fokus yang ada pada diri. seorang yang Allah kurniakan kelebihan bercakap, boleh fokus pada peranan bercakap. Kelebihan menulis, boleh fokus pada peranan menulis.Kelebihan berfikir, boleh fokus kepada peranan berfikir. Itu sebahagian contoh fokus yang umum dan rata-rata manusia memiliki kelebihan dan fokus itu dalam pakej yang luas seperti seorang yang boleh bercakap itu juga punya kelebihan menulis dan berfikir.Akan tetapi, fokus yang lebih teliti jika berjaya digali dalam diri, maka manusia itu dapat meletakkan dirinya pada perjuangan yang lebih jelas. Seperti atas semua pakej fokus yang dikenalpasti, akhirnya seoarng manusia itu cenderung menjadi doktor, maka profession doktor diambil sebagai fokus dan medan perjuangan hidupnya. Begitu juga fokus yang akhirnya dikenalpasti membawa seseorang menjadi seorang jurutera, maka berjuruteralah semampu daya. Begitu juga pada kecenderungan peniaga, petukang, petani, nelayan, guru, polis mahupun bomba.

Generasi baru wajar diajar, diasuh, dan dididik untuk memiliki kebolehan mengenal.Dalam kes yang istimewa memang ada kanak-kanak yang tidak punya daya pemikiran tinggi atau lambat. Namun dalam kes normal, kanak-kanak perlu dipersiapkan kekuatan mengenal itu yang akhirnya membawa mereka kepada mumaiyiz, iaitu mengenal mana yang baik dan buruk. Ciri mumaiyiz yang lahir secara fitrah buat setiap insan sejak kecil perlu didorong ke arah perjuangan yang disebutkan di atas iaitu mengenal Allah dan mengenal diri. Dengan kekuatan dan persiapan itu, akan mempersiapkan generasi baru yang sudah bersedia menerima tugasan sebagai pelapis perjuangan. Malah bukan sekadar menggantikan generasi tua dan lama akan tetapi membaiki dan memperkemaskan perjuangan mereka.

Realiti generasi yang lahir kini

Untuk merintih atau berdukacita akan generasi baru yang lahir kini yang ramai hampas dan kualiti rendah merupakan perbuatan yang tak bererti. Generasi yang lahir kini adalah cermin didikan dan asuhan generasi yang lepas. Mungkin segelintir punya rencah terbaik dalam perjuangan, namun yang banyaknya tidak punya rencah yang kita harapkan. Mereka bukan sekadar tiada fokus dan tidak kenal nak berjuang bagaimana dan ke mana, malah atas asuhan dan didikan generasi tua yang bobrok rakus mengejar imej, generasi baru hanya tempelan atau budak-budak yang dipergunakan semata-mata.

Kononnya generasi muda ini sukakan hiburan. Maka berebut-rebut generasi tua yang masing-masing mendakwa pejuang agama dan bangsa tersohorlah sangat, untuk menghadiahkan hiburan dan rekreasi kepada generasi baru. Mereka adakan konsert, mereka adakan pertandingan futsal,melukis dan mewarna, itu semua adalah tempelan untuk tunjukkan mereka mesra orang muda. Islami tak islami, semua boleh diimejkan. Mereka berikan kata-kata umum buat orang muda, mengingatkan untuk mengikut quran dan sunnah, tapi akhirnya generasi tua itulah yang akan menentukan hala tuju strategi perjuangan walaupun menjadi pengikut sogokan demokrasi dramatik barat.

Kerana kagum betapa hebatnya usaha membanjiri jalan-jalan raya yang dilakukan di sesetengah negara seperti di Indonesia yang menjatuhkan Suharto, di Thailand yang menjatuhkan Thaksin, di Myanmar usaha menjatuhkan junta tentera, atau di Pakistan usaha menjatuhkan Pervez Musharraf, semua itu dilihat sebagai kelazatan berjuang.Walaupun rata-rata pejuang gerakan Islam kenal benar siapakah yang menggalakkan kesemua rapat umum mahupun demonstrasi jalanan yang mendapat liputan meluas media massa dunia jika tidak Amerika dan Yahudi yang akan bersorak-sorak 'berikan demokrasi,pulihkan demokrasi'.Sepertimana Megawati Sukarno Putri mahupun Gusdur gagal menjayakan zaman pasca reformasi di Indonesia, begitu juga Anwar Ibrahim gagal menghidupkan reformasi demi menumbangkan Mahathir apabila Mahathir turun takhta dengan keamanan dalam proses peralihankuasa pada tahun 2003. Jangan dikira peristiwa pergulingan Thaksin kerana Thaksin diguling oleh tentera sepertimana Musharraf sebagai ketua tentera pernah mengguling Nawar Sharif dulu.

Ide kebebasan untuk Zionis

Malah catatan sejarah mencatatkan revolusi Iran yang mengguling shah iran ketika kumpulan Khomeini bergabung tenaga dengan kumpulan sosialis, komunis, malah pro demokrasi, seakan-akan memberikan jalan mudah gerakan islam untuk bekerjasama dengan sesiapa saja asalkan usaha menjatuh dan mengguling pemerintah dapat dilaksanakan. Mereka lupa, tak tahu atau sengaja buat-buat malas nak fikir dalam-dalam bahawa demokrasi, 'human rights', sosialis, komunisme,liberalisasi, feminisme, dan bermacam lagi ide-ide yang tersebar di dunia kini didokong dan dicetus oleh kaum yahudi untuk menjayakan survival kaum mereka dan misi zionisme secara terurus dan sistematik.

Lihat betapa Israel sehingga kini tak berjaya diusir malah tak diperangi oleh mana-mana negara Islam kecuali ancaman-ancaman dari Iran dan kumpulan bersenjata rakyat palestin mahupun Hizbullah di lubnan. Konsepnya mudah, jika memerangi Israel atau bertindak secara bersenjata bererti melanggar konsep kebebasan, melanggar hak asasi Israel, melanggar demokrasi yang berteraskan kepada suara majoriti.

Jika kita berfikir secara normal, hak asasi rakyat Palestin sudah lama dipersetankan oleh zionis, maka Israel telahpun mencabul hak asasi manusia. Jika pilihanraya lalu telah mengangkat Hamas sebagai kerajaan rakyat Palestin menerusi suara demokrasi rakyat Palestin, Hamas telah diabaikan kewibawaannya dengan Amerika dan Israel tidak mengiktiraf Hamas kerana Hamas bertekad mahu menghapuskan Israel.Konsep hak asasi manusia, demokrasi mahupun liberalisasi memang mengarut kerana hujah di atas telah dipersetankan kembali oleh konsep-konsep itu dengan memandangnya dari sudut mata Israel bersama proksinya.

Hak asasi manusia rakyat Israel dilihat perlu dilindungi.Rakyat Palestin yang bertindak sebagai pengebom berani mati mahupun melancar peluru roket dari Gaza dilihat sebagai mencabul hak asasi israel untuk menikmati ketenteraman.Lebih dari itu, Israel sudah lama mencanangkan mereka punya hak ke atas tanah-tanah 'israel' itu, maka berkonfrantasi ke atas cubaan mereka memiliki dan mendiami tanah-tanah bumi 'israel' adalah mencabul hak asasi mereka.Tindakan militan dan bersenjata oleh rakyat palestin mahupun kumpulan bawah tanah dilihat melanggar demokrasi kerana suara perwakilan-perwakilan di PBB iaitu suara dunia dikatakan menentang usaha militan tetapi mengkehendaki jalan perbincangan. Israel memberi alasan jika tentera zionis menyerang penduduk, mengebom rumah, atau menghalau penduduk rakyat palestin adalah demi menjaga ketenteraman dan demi mencari pejuang militan islam.Atas sebab militan islam dicop sebagai pencabul demokrasi, maka militan zionis dilihat sebagai pembela demokrasi jika menentang militan islam.

Konsep yang sama juga digunakan oleh Amerika dalam menceroboh Afghanistan dan Iraq. Disebabkan Al Qaeda pencabul demokrasi,dan Saddam diktator musuh demokrasi, maka usaha Amerika dilihat sebagai pembela demokrasi.Maka negara-negara dunia yang semuanya sudah menyangkut leher atas taring-taring ekonomis kapitalis dikuasai oleh Yahudi dan Amerika demi menjaga kemakmuran ekonomi, diberikan kata dua oleh Amerika, "bersama kami atau menjadi musuh kami".Kesimpulannya, idea membebaskan dunia dari terorisme, autokrasi, penentang hak bersuara, atau kerajaan yang mengawal, atas nama hak asasi manusia, demokrasi,liberalisasi dan sebagainya adalah sistem untuk memberikan kebebasan buat Yahudi menguasai dunia dan tiada yang mencabar.

Gerakan Islam dijadikan tunggangan mencelaru

Dua jenis pelan untuk menjayakan misi menyebarkan demokrasi dan liberalisasi yang menyokong dunia dajjal globalisasi adalah dengan pertama membuktikan gerakan Islam yang diberi tekanan bertindak di luar lunas demokrasi supaya nanti gerakan Islam itu boleh dilabel sebagai penentang demokrasi,dan kedua menjadikan gerakan Islam sebagai gerakan yang tunduk dan bersetuju dengan ide demokrasi.

Bagi pelan pertama, mana-mana gerakan Islam yang sudah ditekan atau disogok dengan idea bahawa dunia ini sudah tiada pilihan lain selain menghancurkan semua kelompok musuh secara senjata, akan membolehkan Yahudi dan Amerika mengalih dunia memandang gerakan Islam sebagai Gerakan Satan dan jika mereka menghapus dan membunuh semua gerakan Islam itu, mereka dilihat mulia dan pembela ketenteraman yang akan dicatat oleh sejarah.Manakala gerakan Islam itu semua akan dikecam zaman berzaman yang akhirnya memberi imej buruk pada Islam dan menyukarkan dakwah Islam. itu yang dirancang mereka.

Untuk menjayakan pelan ini, mereka lakukan dua perkara.Pertama, menindas ekonomi umat Islam hingga mereka itu bodoh dalam berekonomi, hingga tak mampu keluarkan produk makanan sendiri, hingga semua mereka meletakkan diri sebagai peserta ekonomi kapitalis.Padahal jika umat Islam berpadu gigit dengan geraham pada tali-tali ukhuwwah dan hidup secara Islam dengan muamalah sesama umat di tahap yang optimum, Yahudi dan Amerika dan seluruh dunia yang akan terpaksa menjadi peserta ekonomi Islam. Muamalah Islam meletakkan umat Islam tidak boleh terlibat dengan riba,maka semua bank kapitalis tidak disertai umat Islam, akan tetapi umat Islam mempunyai bank sendiri. Umat Islam juga disuruh berjual beli dengan adil, maka siapakah yang paling adil timbangan harga barangan selain peniaga islam yang bertaqwa? Maka jual-beli, penghasilan produk umat Islam akan berlaku dengan cergas malah akan turut ditambah dengan kemasukan penyertaan kaum bukan Islam. Islam mengajar akan halal dan haram makanan dan produk yang digunakan umat, maka ini memberikan jaminan semua umat Islam adalah peserta ekonomi umat. Keuntungan perniagaan Islam hasil dari muamalah tadi tidak berhenti setakat itu. Mereka dikenakan zakat oleh Islam, dan ini menjadikan ekonomi Islam itu tidak berlegar-legar di kalangan peniaga semata-mata tetapi disebarkan dan dinikmati semula oleh pengguna terutama fakir dan miskin, dan umat-umat yang berjuang.

Namun umat Islam tak mahu semua itu. Mereka rela menjadi peserta ekonomi kapitalis, lalu ketika kenaikan harga sesuatu barangan dan keperluan, umat Islam lah dilihat paling menderita, lalu mereka berteriak bagai nak gila kerana ditindas, padahal tiada lain penindasan dan kezaliman itu dilakukan oleh umat Islam sendiri kerana mereka telahpun menjadi ahli peserta ekonomi kapitalis. Petroleum adalah contoh terbaik untuk direnungi umat Islam betapa kita kini adalah tikus dan tapir yang bodoh buat kaum kafir kerana lazat menikmati pulangan sementara dari ekonomi kapitalis yang dirancang secara sistematik ke atas umat Islam. Penggalian petroleum yang ada di bumi umat Islam adalah dirintis oleh kaum kafir. Umat Islam lengah-lengah untuk mengejar ilmu menggali kerana beranggapan orang kafir boleh jadi kuli menggali dan menjual lalu umat Islam akan dapat pulangan keuntungannya. Sudahlah produk menggunakan petroleum juga dihasilkan oleh kaum kafir seperti motokar, jentera, kapal dan lain-lain barangan untuk memperlihatkan akhirnya umat Islam jadi pak turut saja dari turun bangun ekonomi dunia.Hari ini harga minyak menaik mencanak, hasil sistem pengagihan kapitalis dan tindakan-tindakan Amerika dalam beberapa perang.Umat Islam hari ini mengimpikan harga minyak rendah. Mengimpikan harga motokar rendah. Semua umat Islam yang hanya minta-meminta harga itu adalah pengemis yang bodoh dalam sistem kapitalis selagi mereka tak sedar Islam terbuka untuk dianut sebagai perjuangan hidup.

Dengan umat Islam yang terjerut ekonomi, akhirnya negara-negara umat Islam terdedah kepada pelan kedua Yahudi dan Amerika.

Kemasukan kapitalis sebagai penentu dasar politik negara umat Islam.Dengan keadaan umat Islam mahu bangkit ekonominya tanpa teraju apa-apa sistem baru yang sebenarnya sudah tersedia ada dalam sistem ekonomi islam, atas sebab kebingungan umat akhirnya mereka mengorak langkah menarik pelabur-pelabur kapitalis untuk membangunkan ekonomi mereka. Mereka sangkakan pelaburan itu sekadar pelaburan. Tidak, wahai kawan sekalian, pelaburan itu disertai oleh syarat-syarat dan kehendak-kehendak. Akhirnya demi memenuhi kehendak dan syarat kapitalis, bumi-bumi umat islam menjadi tapak-tapak kek ekonomi untuk dibahagikan sesama kapitalis dan untuk mencampuri dasar politik juga bukan lagi perkara yang susah buat mereka.

Dengan dua langkah inilah akhirnya tekanan buat gerakan Islam yang memerhati dan memantau kezaliman ini meningkat mencanak. Akhirnya idea kesyaitanan mula meresap dalam minda gerakan Islam. "Kita sudah tak mampu lakukan apa-apa lagi, melainkan bunuh!bunuh! kill!kill! die!die!!" Maka mereka menjadi tikus eksperimen yang berjaya diperbudakkan oleh satu rencana panjang kaum kafir.Mereka menjadi teroris anti demokrasi, maka pembela demokrasi Yahudi dan Amerika pun tanpa segan silu lagi menghapuskan mereka dengan buruan dan penyeksaan. Bukan sekadar mereka, tetapi mana-mana saja gerakan Islam yang Yahudi dan Amerika suka asal saja gerakan Islam itu menentang 'demokrasi'(yahudi, Amerika, kapitalis).

Maka dengan kejayaan membentuk teroris islam dengan rencana dan provokasi penindasan, maka terbentuklah secara natural kelompok Islam yang lain sebagai pro demokrasi demi menyelamatkan diri supaya tak dilabel sebagai teroris.

Lebih malang buat umat, jika sudahlah gerakan Islam dan pimpinannya jahil untuk merangka strategi dengan akhirnya mengikat tengkuk pada rencana musuh menjadi tukang sorak 'hak asasi manusia', tukang sorak 'demokrasi' dan tak kurang juga tukang sorak 'liberalisasi', malah umat Islam yang tukang sokong gerakan Islam ditipu bulat-bulat dan dilatih serta diasuh menyokong gerakan Islam itu wajib, padahal kewajipan meletakkan perjuangan Islam atas landasan yang lebih selamat itu lebih wajib!

Anak Muda sahaja harapan

Orang-orang tua di atas sudah kelat, sudah pekat, sudah tebal keangkuhan rencana perjuangan mereka. walaupun ada ramai lagi orang-orang tua dari barisan ulama yang punya rencana cukup bijak, atau sekurang-kurangnya boleh membimbing perjuangan anak muda, namun kelompoknya amat sedikit dan halus.Ramainya ulama yang turut tak tahu menahu akan rencana musuh, hingga mereka tak tahu ais krim yang mereka jilat itu adalah dari tangan yahudi.Saya percaya para ulama yang diperbodoh atau digelapkan mereka akan persekitaran yang tertutup agar tak nampak jelas gerakan musuh yang bergerak masih punya manfaat dan kedudukan mulia kerana mereka adalah seperti para sahabat yang disuruh tinggal untuk tidak keluar berperang demi menurunkan ilmu pada generasi muda.memanglah sahabat yang tingal tak keluar berperang itu tak tahu menahu apa yang terjadi di medan perang, melainkan mendengar cerita dari mereka yang balik dengan selamat.

Orang-orang muda mesti manfaatkan ilmu para ulama ini.Apatah lagi ulama yang jujur mendapat ilmu secara sanad, keberkatan ilmu itu lebih lagi kerana mereka menghafal ilmu secara turun temurun secara cukup dijaga hingga ke Rasul junjungan Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w.Ilmu para ulama inilah yang dapat menjayakan misi fokus pada mengenal Allah samada ilmu quran, ilmu hadis, fiqh, tasawwuf dan sebagainya.

Namun orang muda tak harus lupa pada fokus kedua yang dibicarakan di awal tadi, iaitu mengenal diri. Kita perlu tahu kita ini adakah pemanah di atas bukit, penunggang kuda yang berpedang,atau pengibar panji-panji dan pesorak semangat.

Fokus mengenal diri ini wajib untuk melihat persekitaran dan pemahaman kita kepada keperluan dunia yang berlaku di zaman kita. Jika ramai yang sakit kerana penyebaran virus, pastilah kita kenal keperluan umat untuk memiliki doktor mengubat.Allah tidak menzalimi kita, malah Allah telah merancang semuanya untuk kita bertindak dengan memberikan kita kurniaan bakat dan kebolehan, juga menempatkan kita di satu kawasan yang memerlukan kita. Takdir Allah itu berjalan dengan penuh rancangan hebat dan tersusun oleh Allah. Cuma manusia itu saja yang jarang berfikir, maka mereka menzalimi diri mereka sendiri.Oleh itu jika ada keperluan seorang doktor, sudah ada manusia di kalangan umat yang Allah berikan kekuatan untuk menjadi doktor. Syaratnya mereka perlu kenal diri, perlu kenal situasi, perlu cekap mengaitkan peranan dan tugas mereka, barulah kaum pemuda pemudi menjadi generasi khaira ummah, khalifah di dunia, yang memakmurkan bumi Allah ini, membaiki kerosakan-kerosakan yang dibuat oleh tangan-tangan manusia penzalim!

Fokus dan bergerak berjemaah

Apabila pemuda pemudi telah berjaya mengenali Allah dan diri, maka persiapan membina rangka kerja bersepadu perlu disusun. Berbeza dengan bergerak secara berjemaah tanpa persiapan menyiapkan diri dengan peranan dari langkah mengenal Allah dan fokus diri, hanya semata-mata mengikut arahan orang-orang tua yang sudah menjerat leher pada rencana Yahudi dan Amerika, pemuda pemudi dengan terang-terang hanya budak-budak suruhan.

Jika kalian tidak percaya, tidak ada satu usaha bersepadu yang diberikan buat anak-anak muda untuk melapisi umat dengan tugas dan peranan buat menyelamatkan umat yang bermasalah dalam segenap bidang, akan tetapi semata-mata ditarbiyah dan didakwah anak-anak muda supaya taat dan wala pada pimpinan jemaah, dan menyemaikan kebencian dan permusuhan menggila pada segala musuh yang di labelkan jemaah. Yang anehnya, label musuh dan kawan itu langsung samar-samar. Menyebut sekularisme itu musuh jemaah, tetapi mengambil sekutu yang sekular itu tidak apa pula. Kerana jemaah ini adalah jemaah yang berjuang dalam mengisi kerusi di parlimen, maka begitulah akhirnya fokus perjuangan jemaah yang celaru dan haru biru. Tidak lagi perlu untuk fikirkan tanggungjawab gerakan Islam itu bukan sekadar berkerajaan dengan akhirnya umat Islam terus terkontang kanting tanpa pimpinan.

Yang anehnya, bila harga barang naik, mereka yang dulu terjah bangkit dan mendakwa diri sebagai pembela rakyat teraniaya. Akan tetapi, di mana peniaga yang harga rendahnya di kalangan pejuang islam? bila harga gula naik, di mana gula milik umat Islam? bila harga ayam naik, di mana ayam milik umat Islam?Bila harga minyak naik, di mana minyak milik umat Islam?

Hakikatnya, bukan tiada pejuang islam berniaga gula, ayam atau minyak. Tetapi peniaga islam itu pun ahli peserta ekonomi kapitalis. Lalu bila ditanya, mengapa kamu pejuang Islam turut menjual gula, ayam atau minyak dengan harga mahal? Dijawabnya, kerana pembekal-pembekal semua meletak harga mahal, kerana semua peniaga juga sudah menjual dengan harga mahal. Jika benar ayam-ayam milik pejuang Islam cukup untuk keperluan umat Islam, masih lagi penternak-penternak ayam dari kalangan pejuang mengikat leher pada kapitalis kerana pengeluar makanan ayam pula tidak ada di kalangan pejuang Islam. Dan begitulah seterusnya. hakikatnya, penternak ayam di Malaysia yang menternak ayam dengan skala besar bukan dari pejuang Islam yang bermuamalah dengan ekonomi Islam akan tetapi dikuasai oleh penternak-penternak kapitalis.

Andai pejuang Islam sedar bahawa ekonomi umat boleh diselamatkan bila umat merintis jalan dan berpadu untuk duduk dalam kek ekonomi islam semata-mata, dengan teori ekonomi bagaimanapun, umat Islam kekal selamat kerana umat islamlah penternak,pengeluar,pemproses,pemasar dan juga pembeli. Agenda Industri Halal bukan semata-mata nak hasilkan produk untuk menembusi pasaran, tapi sewajarnya menjadi agenda untuk pejuang Islam membina dunia ekonomi baru yang terasing dari dunia ekonomi kapitalis. Ada yang menyebut itu suatu yang mustahil. Tidak, Jepun dan China pernah suatu masa dulu hidup dengan dasar tutup pintu. Adakah Jepun dan China mati sepanjang menjalankan dasar itu? Kita tak perlu tutup pintu sebegitu, tetapi kita perlu ada dunia ekonomi sendiri, kerana dunia ekonomi kapitalis itu sudah terang-terang bersuluh menindas dan menganiaya.

Kita tak perlu tutup pintu sebegitu kerana Rasulullah sendiri memberikan pilihan buat tebusan perang dari kalangan musuh islam untuk mengajarkan ilmu buat anak-anak umat seperti ilmu membaca dan mengira untuk mereka dibebaskan. Mengambil kelebihan dunia luar atau bangsa luar dari segi ilmu juga diamalkan oleh ramai ulama dengan mengumpul keilmuan sains dan matematik bangsa parsi dan yunani yang akhirnya membuatkan para ulama muncul cendikiawan terbilang yang akhirnya dirujuk oleh bangsa lain pula terutama eropah. Dengan keterbukaan dasar ilmu dan penutupan ekonomi dari dimasuki unsur zalim seperti konsep ekonomi kapitalis, umat islam bukan sekadar mampu bangkitkan sebuah tamadun, malah menjadi pemimpin dunia dan menyebarkan rahmat dakwah islam bukan lagi suatu yang sukar dan terhalang.

Syaratnya pejuang-pejuang muda yang telah mengeluarkan fokus dan kecenderungan masing-masing yang dikurniakan Allah untuk muncul sebagai watak-watak hero dalam segenap bidang perlu bersemuka untuk menyusun dan membahagi tugas. Menyusun dan membahagi tugas juga adalah tugas memfokus, cuma kali ini bukan fokus individu, tetapi fokus gerak kerja jemaah. Hanya pejuang-pejuang biol sahaja yang menentang konsep kesepaduan ummah untuk bekerja bersama-sama memenuhi keperluan dan membaiki masalah umat. Mereka itu tidak lain hanya rasa perjuangannya dah cukup jihad, sudah cukup membela umat. Menjerit-jerit harga gula naik tanpa ada perbincangan pun untuk wujud pengeluaran gula sendiri, yang menggunakan segala macam modal yang terasing dari ekonomi kapitalis. Jangan kata orang melayu tak ada teknologi buat gula pula, padahal gula melaka itu antara gula tersedap dalam dunia.

Fokus Pembahagian Tugas

Merintis dan membina kek ekonomi Islam yang terasing dan tertutup dari unsur kapitalis itu cuma salah satu contoh keperluan mendesak umat dewasa ini. Jangan pula ada orang memikirkan perjuangan ekonomi adalah segalanya. Perjuangan hidup ini bukan nak kumpul wang berjuta-juta untuk jadi kaya, bukan nak hidup bergaya, hidup berfoya-foya. Kita nak cari Imam al ghazali, imam syafie, ibn khaldun, al khawarizmi, dan bermacam lagi tokoh, ulama, cendikiawan , mahupun para sahabat Rasulullah yang kita bangga-banggakan selama ini sebagai bangsa glokal,bangsa angkasa, bangsa cemerlang, gemilang dan terbilang yang disebut oleh Allah s.w.t sebagai khaira ummah itu, dengan cara para pemuda pemudilah sendiri membentuk semula kehebatan itu dalam diri mereka.

Perjuangan mengangkat hukum hudud sebagai hukum di Malaysia bukan suatu yang mustahil, bukan satu perjuangan jahat. Seperti mana hukum faraid dalam membahagikan harta pusaka sudah berjaya bertapak di Malaysia , atau hukum muamalat secara Islam di bank-bank Islam, atau hukum nikah kahwin di mahkamah syariah, atau hukum pengutipan dan pembahagian zakat,hukum hudud adalah salah satu hukum dan pengurusan penghakiman yang relevan juga penuh dengan rahsia-rahsia kitab suci yang perlu kita bongkarkan. Hukum hudud adalah dalam bidang jenayah itu saja bezanya. Jangan jadi bodoh dengan menyebut hukum hudud itu hukum potong tangan, bukan itu fokus hukum hudud. Jika potong tangan itu zalim, maka sebat, gantung dan sebagainya itu apa pula tarafnya? Hudud Islam punya syarat dan kaedah yang cukup teliti yang pernah dibongkar oleh sekalian ulama, maka sekali lagi keperluan pembongkar dan peneliti di kalangan umat perlu dibentuk.

Nak harapkan orang tua? mereka sudah tak larat. Di pentas-pentas ceramah sajalah dapat mereka sorak-sorakkan agar Malaysia mengamal hudud. Nak susun hudud secara teliti dan jelas dalam konteks negara Malaysia belum ada yang tersohor melakukannya.Lihatlah betapa barisan peguam-peguam dan hakim-hakim muda yang berjuang untuk mengangkat hudud sangat diperlukan umat. Adakah Allah zalim hingga tidak mengurniakan walau seorang manusia di kalangan umat untuk menjadi peguam atau hakim? Tidak, Allah sudahpun melengkapkan manusia itu dengan keperluan, bakat dan kelebihan untuk disatukan menjayakan perjuangan membela agama Allah di muka dunia ini.

Sepertimana perjuangan ekonomi islam tadi kita perlukan barisan pejuang yang ramai untuk menjadi pelapis dan perintis peniaga Islam, begitu juga perjuangan mengangkat hudud diperlukan oleh umat. Bukan sekadar 2 perjuangan itu saja. Kita perlukan barisan pendakwah untuk berdakwah islam, barisan pemantau dan penyelamat untuk melindungi umat dari penjenayah dan bencana alam, barisan doktor untuk merawat dan mengubati sakit umat, barisan jurutera untuk pembinaan infrastruktur, mesin dan jentera bagi menampung medan ilmu, ekonomi, sosial dan dakwah. Lihat betapa tugas umat itu sangat luas dan meruncing. Memang betul, kita perlukan sebuah parti untuk memenangi pilihanraya supaya wakil umat ada di parlimen, dan keperluan itu adalah secara bersama dengan keperluan-keperluan yang lain. Dan jangan pula kita menjadi seperti mana kaum Yahudi dahulu yang hanya meminta-minta perlindungan dan rezeki, namun nak berjuang sendiri paling dibenci. jangan kita jadi pejuang pengomen atau pengkomplen semata-mata. Di Malaysia bukan haram nak jadi peniaga,peguam, sukarelawan, doktor mahupun jurutera. Kita sudah boleh bergerak. Kita sudah boleh menguatkan umat sejak dulu lagi, tapi kita jenis malas-malas, bising-bising tentang penindasan dan penganiayaan, tetapi diri sendiri sukarela menjadi peserta sistem kezaliman dan penindasan itu.

Inilah yang perlu difahami oleh pejuang-pejuang muda. Jangan jadi bodoh dengan bangga bertempur dengan FRU atau menjerit-jerit terlolong dalam semburan water cannon, dan sudah rasa cukup berjuang dan berjihad. Nak hudud kita pergi ke lapangan mengangkat hudud, sudahlah penggalian dan penelitian hudud belum sempurna, dan bila ditegur mengapa belum sempurna dijawab pula nak fokus jadi kerajaan dulu. Fokus itu yang telah salah difahami oleh pejuang gerakan Islam. Fokus kita yang utama untuk raih redha Allah (redha Allah centric). Lalu bermulalah usaha fokus pada dua usaha mengenal iaitu mengenal Allah dan mengenal diri. Nikmat Allah itu sudah tersedia dalam diri kita masing-masing, tinggal lagi kita yang nak keluarkannya, dengan fokus pada kelebihan yang telah Allah kurniakan itu. Memanfaatkan nikmat Allah itu satu bentuk kesyukuran. Jangan kita sebut kafir-kafir pada orang dengan diri kita sendiri kufur nikmat. Sesiapa yang bersyukur Allah tambah lagi nikmatNya, sesiapa yang kufur sesungguhnya azab Allah amatlah pedih! Lalu orang tua tak ajar orang muda untuk berusaha membentuk barisan-barisan yang terfokus pada pembahagian tugasnya ini, maka sewajarnya orang-orang muda berhentilah jadi pemalas-pemalas, pemuja artis, pemboros duit dengan aktiviti lagha, awek, cintan tahi hidung,dan sebagainya, dan bermulalah fokus pada perjuangan hidup. Masa dah suntuk. Ini zaman orang muda bangkit, sebelum bangkit jangan jadi bodoh dan sengal dengan sekadar bangkit menjerit, tapi siapkan peranan, watak, dan fokus kekuatan untuk kita tonjolkan dalam perjuangan. Bila bunyi semboyan telah berbunyi, maka bangkitlah kita menuju medan bakti!

Zulkaedah 1428 Hijrah.