|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Ini adalah sambungan bagaimana pendidikan pejuang mampu digerakkan oleh entiti penggerak yang pertama iaitu ibu bapa atau penjaga.

Pendidikan Pejuang Awal.

Telah dimaklumkan bahawa pendidikan ini bermula dengan mengenal akan Allah dan berakhir dengan pengharapan kepada keredhaan Allah.Oleh itu tugas pertama atau sillabus pertama bagi pendidikan pejuang ialah "Mengenal Allah".

Anak yang dikandung sebelum lahir lagi perlu diperdengarkan dengan nama Allah, bermakna para ibu yang mengandungkan bayi mereka perlulah mengamalkan zikrullah.Zikrullah atau mengingati Allah ini termasuklah solat,membaca Al Quran dan berdoa.

Zikrullah perlu dilakukan oleh si ayah juga.Sentuhan dari si ayah adalah penting kerana sillabus sebelum kelahiran ini perlu dijalankan secara bersama antara ibu dan ayah dengan bayi dalam kandungan.Kasih sayang antara suami dan isteri mestilah dalam pemeliharaan yang baik sebagaimana yang ditekankan dalam entri sebelum ini yang menekankan ibu bapa memahami betapa pentingnya kasih sayang antara mereka demi menjamin keharmonian rumahtangga bagi mengelakkan perceraian yang ditekankan juga perlu diberi perhatian sejak kursus perkahwinan lagi.

Maka si ayah sebagai ketua dalam rumah tangga perlu memimpin keluarga ke arah kasih sayang antara dirinya,isterinya,dan anak dalam kandungan dalam keadaan yang utuh.

Apakah teras kasih sayang itu?

Teras kasih sayang itu adalah cintakan Allah.Bermakna di dalam zikrullah mesti ada penyesalan dosa,ada taubat,ada pengharapan redha Allah,yang dijalankan secara bersama samada antara ibu dan ayah atau ibu,ayah dan anak dalam kandungan.

Sekiranya kasih sayang yang berteraskan cintakan Allah ini bersemadi dalam diri si ibu dan si ayah,maka seharusnya mereka memelihara diri dari perbuatan dosa dan maksiat sepanjang mendidik anak dalam kandungan dengan zikrullah.

Sillabus ini berjalan bukan dalam masa-masa tertentu tetapi setiap saat sepanjang bayi membesar dalam kandungan si ibu.Di sini perlu ditekankan bahawa individu yang paling rapat dengan bayi ialah si ibu.Oleh itu dalam tempoh kandungan ,sillabus pengajian si anak untuk mengenal Allah mestilah dijalankan dengan diri si ibu sendiri dahulu.

Si ibu sebagai guru yang utama dalam menyampaikan sillabus pertama ini mestilah membekalkan diri dengan persediaan yang cukup terutamanya iman dan ilmu tentang Allah. Iman yang tepat dan ilmu yang sahih tentang Allah dan tauhid kepadaNya adalah bahan sillabus yang menjadi teras dalam tempoh mendidik ini.Dengan iman dan ilmu yang jelas maka zikrullah yang diperdengarkan ke dalam hati ibu dan anak dalam kandungan juga mestilah zikir-zikir yang datang jelas dari Rasulullah s.a.w dan bukannya zikir-zikir atau wirid-wirid yang direka-reka,supaya pendidikan ini mendapat barakah dan rahmat dari Allah s.w.t.

Penulis menyarankan agar zikir yang mudah dan dibuat dengan ikhlas dan ihsan sudah cukup memadai dalam menyampaikan sillabus zikrullah kepada bayi ini.

iaitu:

subhanallah

alhamdulillah

Allahu akbar

LailahaillAllah Muhammadar Rasulullah

Ibu dan bapa perlu menyedari bahawa berbuat sesuatu yang sedikit tetapi berterusan dan istiqamah itu lebih mendatangkan kesan daripada membuat dengan banyak kemudian meninggalkannya dengan lama.Ini adalah kerana pendidikan pejuang adalah pendidikan yang mengkehendaki entiti penggerak menggerakkan pendidikan ini secara berterusan dan tidak putus-putus, dan inilah beza pendidikan pejuang dengan pendidikan berorientasikan peperiksaan bahawa tempoh pengajian dan pembinaan diri dengan ilmu dilakukan secara istiqamah dalam keadaan yang tenang dan bersungguh-sungguh dan bukannya dilakukan secara mendadak sepertimana pendidikan berorientasikan peperiksaan memaksa pengikut sistem menghafal dan menanam kemahiran menjawab peperiksaan dalam tempoh mendekati peperiksaan yang sudah tentu dilakukan dalam keadaan yang tertekan dan menekan.

Pendidikan pejuang dilakukan dengan kasih sayang,dengan kelembutan, dengan penyesalan dosa,dengan kerendahan hati,dengan mencintai Allah,dengan mengharap keredhaan Allah,dengan ceria dan gembira mengharap rahmat Allah, yang semuanya dilakukan tulus ke dalam hati dan sanubari mendidik iman supaya lebih meningkat naik,dan dengan ini sahaja keikhlasan beribadah dapat diwujudkan.Dan dengan keikhlasan inilah zikrullah yang dijalankan untuk mendidik anak dalam kandungan dapat bersemadi dalam jiwa bayi yang sedang membesar dalam kandungan. Namun perlu diingat, kemungkinan bayi itu belum menjadi manusia maka tiada roh lagi dalam jiwanya,maka janganlah bimbang akan pendidikan ini tetap berguna dan bermanfaat kepada ibu dan ayah sebagai persediaan mendidik bayi yang telah lahir pula.

bersambung bahagian 7...



Mengelak masalah keluarga

Kursus perkahwinan yang mantap dapat membekalkan bukan sahaja ilmu di alam perkahwinan tetapi kesedaran akan tujuan dan matlamat perkahwinan. Dan sudah tentulah kita fahami bahawa perkahwinan itu sunnah rasulullah yang merupakan sebuah ibadah yang cukup mulia di sisi islam. Konsep ibadah perlulah difahami dengan jelas oleh bakal suami atau isteri di mana tidak lain tidak bukan niatnya cuma satu untuk menjadi hamba Allah yang diredhai oleh Allah.

Kita sering terlepas pandang ilmu yang disertai kesedaran untuk beribadah dan kesanggupan memikul tanggungjawab dan amanah itu adalah jauh lebih utama untuk ditanamkan dari menekankan kelebihan perkahwinan.Kita fahami semua ibadah-ibadah khusus di dalam islam punya kelebihan,hikmah malah fadhilat yang besar jika dikaji dari sudut bidang ilmu apapun,namun jangan ditekankan sangat sampai ia menjadi tujuan lebih-lebih lagi dalam konteks perbincangan kita ini iaitu ibadah perkahwinan.

Penulis cuma ingin menyatakan kebimbangan apabila sering disebut perkahwinan itu merupakan jalan ke arah menghalalkan hubungan,menjaga nafsu dan kesucian diri,seolah-olah pasangan hanya memikirkan soal kebahagiaan nafsu sebagai matlamat perkahwinan.Sememangnya perkara-perkara itu harus diketahui namun,banyak terjadi kes-kes perceraian suami isteri terutama dewasa ini yang kadang kala perkahwinan itu baru berusia setahun jagung,atas sebab suami tidak puas dengan isteri,isteri tidak puas dengan suami, tiada keserasian, tiada kefahaman, semua itu alasan-alasan parah yang menunjukkan mentaliti pasangan yang berkahwin mencari kebahagiaan nafsu dalam perkahwinan.Perceraian yang banyak boleh merosakkan sistem masyarakat,apatah lagi pastinya akan menjadi punca kegagalan sistem pendidikan pejuang!

Ketidakpuasan itu amat jelas merujuk kepada faktor nafsu yang mendambakan kemahuan diri dipenuhi,tidak kisahlah samada dalam konteks hubungan kelamin atau kasih sayang lahiriah atau hal-hal yang berkaitan dengannya.Walaupun keserasian itu agak penting dan mungkin boleh dipertimbangkan perceraiannya,namun jika sudah fahami faktor-faktor ini boleh membawa kepada perceraian,maka amat wajar faktor-faktor ini telah tersedia di dalam modul kursus perkahwinan untuk ditanamkan betul-betul di dalam sanubari pasangan agar sentiasa mengelakkan perceraian dengan langkah-langkah toleransi dan bertolak-ansur,jua sifat-sifat mahmudah seperti berlapang untuk memaaf dan meminta maaf,dan mengembalikan segala permasalahan kepada ajaran Allah dan redha dengan sifat penuh ketaqwaan.

Penulis menekankan perkara ini untuk diambilkira di dalam kursus perkahwinan kerana perceraian boleh merosakkan sistem pendidikan pejuang.Sudah tentu kita tidak mahu, segala usaha dan langkah yang mantap telah diambil akhirnya berkecai dan rosak atas faktor perceraian keluarga semata-mata. Penulis beranggapan perceraian keluarga mampu merosakkan jiwa anak-anak,malah membawa kesan ke atas masyarakat,dan suasananya, oleh itu faktor ini mestilah dijadikan sasaran untuk dielakkan bukan saja semasa di alam perkahwinan tetapi sejak dari awal sebelum berkahwin lagi.

Kita boleh lihat bagaimana sistem pendidikan sekarang tidak mampu mengawal permasalahan ini apabila perceraian keluarga terjadi.

Pelajar yang dirugikan

Mari kita renung masalah seorang pelajar A.

A adalah kanak-kanak yang berdisiplin dengan mengikut peraturan sekolah. Segala aturan dalam sistem berorientasikan peperiksaan diikuti dengan penuh sifat taat dan bersungguh-sungguh. Namun, satu hari,keluarganya bercerai. Katakanlah dia akhirnya dipelihara oleh ibunya sahaja,dan bapanya berkahwin lain cuma sebulan sekali menjenguknya.
Adakah anda fikir A boleh mengawal emosinya dengan baik ketika ini? pastinya sebagai seorang yang masih muda A pasti berasa tidak selesa dalam keadaan keluarganya bercerai. Sikapnya akan sedikit sebanyak berubah,dan mula berasa rendah diri kerana berada di dalam keluarga yang tidak sempurna.

Anggapkan A telah terjejas emosinya. Bolehkah A memberi perhatian yang baik di dalam kelas? Katakanlah kawan-kawan membantunya dan ada guru kaunseling di sekolah memberikan perhatian, tetapi kes-kes yang terjadi di malaysia, seorang pelajar yang punya masalah keluarga akan cenderung untuk keluar dari sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan dan mula bergaul dengan golongan liar dan mencari ketenangan dengan cara salah.

Masalah ponteng, gangsterisme, vandalisme, dadah, dan sebagainya terdedah kepada mereka. Kita anggaplah kes A tidak sampai kepada tahap itu, tetapi A juga cenderung untuk lari dari sistem berorientasikan peperiksaan. Sebab kenapa penulis katakan begitu? Kerana sistem ini memerlukan para pelajar duduk dalam keadaan waspada memastikan diri berada di posisi betul dalam piawai pendidikan.

Contohnya,di dalam kelas bukan sahaja nota di papan hitam perlu disalin malahan masih ada kerja rumah yang perlu disiapkan.Ini merupakan tahap pertama. Kemudiannya apabila sampai kepada ujian,pelajar-pelajar dikehendaki menghafal nota-nota atau berupaya membuat soalan-soalan latihan dengan baik sebagai persiapan untuk menjawab peperiksaan. Walaubagaimana awal dan rapinya persiapan seseorang pelajar itu,pastinya perasaan berdebar-debar menunggu hari peperiksaan akan dirasakan. Apatah lagi jika pelajar itu jenis yang lambat faham konsep,pastinya sukar untuk menghafal sesuatu ilmu atau mahir dalam ilmu subjek tertentu itu. Dan apa pula yang anda fikirkan akan terjadi kepada A? Pastinya A akan sedikit terjejas, jika tidak banyak pun sedikit.

Kita anggapakan sedikit sahaja A terjejas mungkin markah ujian bulanannya turun 10%. dan kita anggapkan juga A diberikan galakan oleh kawan-kawan,malah guru-guru memberikan pertolongan. A sendiri kita anggapkan seorang yang tenang dan berupaya mengurus emosi dengan baik. Mungkin dia menyertai kem-kem motivasi untuk menjana semangat dirinya.

Tetapi, apa yang terjadi pada dirinya selepas ini adalah bukti penulis yang amat jelas bahawa sistem berorientasi peperiksaan bukan menyediakan seorang pejuang tetapi penjawab soalan peperiksaan.A akan memfokuskan perjuangannya untuk mendapat gred yang baik di dalam peperiksaan. Nah,lihat! ini cuma anggapan jika A seorang pelajar berinisiatif tinggi. Tetapi bagaimana dengan pelajar yang menurut saja sistem ini?Mereka akan lebih menumpukan tujuan ke sekolah adalah untuk sekadar mendapat markah baik dalam peperiksaan.Dan jika pelajar itu bermasalah,pastinya kecenderungan untuk mengelak dari sistem ini amat besar kerana sistem ini menuntut pelajar berada dalam keadaan fokus markah yang dijadikan piawai untuk membeza-bezakan tahap kemampuan pelajar.

Pelajar yang telah terjebak dalam kancah masalah disiplin yang cuba menentang sistem atau lari dari sistem akan menerima hukuman dari pihak sekolah,dan langkah terakhir hukuman ialah buang sekolah!! Lihatlah!! sistem berorientasikan peperiksaan terpaksa menjalankan sistem hukuman sebegini kerana mereka menuntut pelajar berada dalam keadaan piawai dan tahap kemampuan pelajar dibeza-bezakan dengan piawai itu! Sejauh mana piawai itu membuktikan keintelektualan pelajar adalah amat samar-samar ,dan penulis telah buktikan dalam entri bahagian ketiga yang menyebut kes seorang pekerja yang dikehendaki menjawab soalan SPM bole mencapai piawai yang sama dengan pelajar bermasalah.

Tentunya pembaca sekalian akan tertanya-tanya, bagaimanakah perlaksanaan sistem pejuang yang tidak menekankan kepada kerja rumah,ujian bulanan,peperiksaan umum, kemudian tidak ada pula hukuman buang sekolah dan sebagainya mampu menyediakan pejuang malah pejuang yang dapat memanfaatkan bakat,kebolehan diri,dan kecenderungan menjadi suatu senjata yang digunakan untuk berjuang. Tetapi percayalah sistem ini punya jalan sebegitu.(akan diperincikan dalam bahagian yang lain).

Maka dapatlah kita fahami, masalah keluarga seperti perceraian merupakan faktor yang boleh mengganggu sistem pendidikan, maka sistem pendidikan pejuang menekankan kesedaran ibu bapa dari sebelum berkahwin lagi untuk mengelakkan diri dari bercerai malah memupukkan lebih banyak kasih sayang dan membina keutuhan keluarga kerana telah memahami dan sedar akan tujuan berkeluarga itu,dan tahu akan amanah dan tanggungjawab yang akan dipikul termasuklah tanggungjawab menjadi entiti penggerak yang sempurna bagi memulakan sistem pendidikan pejuang.

Sistem pendidikan pejuang bermula dari rumah

Apabila kursus perkahwinan mampu menyediakan bakal pasangan suami dan isteri maka berlangsunglah perkahwinan pasangan tersebut dengan aturan yang dikehendaki syarak. Dengan pertalian yang suci dan mulia itu telah terbina maka bermulalah peranan entiti penggerak ini untuk bertindak sebagai pemula sistem pendidikan pejuang.

bersambung bahagian 6...