|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Hari ini aku tertarik dengan fakta yang cuba dikemukakan oleh Zamir Mohyedin di laman Facebooknya.

Beliau menyebut,

"Legenda Hari Valentine ini pada asalnya mahu menolong tentera Rom berkahwin.
Masa kurun ke-3 dulu, Rom sudah menguasai banyak wilayah termasuk sebahagian Asia, Afrika dan sebahagian besar Eropah. Rom kaya sangat dah masa itu. Keadaan pun stabil dan aman, tak banyak peperangan.

Tentera Rom jadi selesa dan malas. Mereka mahu berehat dan tak mahu terlibat sangat dalam ketenteraan. Paling penting, mereka mahu berkahwin dan membina keluarga.
Maharaja Claudius II perasan benda-benda macam ini. Jadi, dia keluarkan perintah, tentera dilarang berkahwin. Maharaja rasa perkahwinan ini yang buatkan tentera lemah. Masa ini ajaran Kristian mudah diterima dan ramai juga yang tinggalkan fahaman Pagan.

Jadi, ramai jugalah tentera Rom yang beragama Kristian. Seorang paderi daripada salah satu gereja di Rom bernama Valentine tidak setuju dengan arahan Maharaja. Jadi, Valentine akan tolong mengahwinkan mana-mana tentera yang mahu berkahwin. Datang ke gereja Valentine, dan Valentine akan sahkan perkahwinan.

Maharaja dapat tahu, lalu Valentine dihukum mati.

Jadi, asasnya Valentine mahu tolong orang berkahwin. Tak ada peristiwa adegan-adegan maksiat ke, Valentine galakkan berzina ke, galakkan seks bebas ke, yada yada memang tak ada.

Masa Valentine dipenjarakan, Valentine jatuh cinta dengan seorang gadis buta. Dikatakan mata gadis itu sembuh sebab Valentine. Lalu, mereka jatuh cinta. Ironi kan, aku fikir Valentine patut diingati kerana membantu tentera Rom untuk berkahwin, bukan diingati kerana cinta dia dengan gadis itu.

Selepas ini kalau teringat Valentine, ingat dia pernah bantu dan memudahkan orang berkahwin. Tak salah kan bantu orang dan mudahkan orang berkahwin? Nak sambut sangat, pergi kahwin. Nanti tak ada dahlah slogan 'Say No To Valentine's Day' sampai nak buat baju bagai.

Pada 14 Februari, dia dihukum mati."

KISAH VALENTINE YANG DITOKOK TAMBAH

Maka aku pun mula membaca wikipedia.

Hakikatnya sumber sahih kisah Valentine tidak wujud. Jadi catatan beberapa gereja selepas beratus tahun kematiannya sahaja boleh dirujuk.

Dalam dunia saint kristian, Valentine ada tiga direkodkan mati dibunuh (sebenarnya ada lebih banyak jika ditelusuri hingga ke sejarah moden):

Valentine of Rome
Valentine of Terni
Valentine yang dibunuh di Afrika.

Dalam catatan Saint Bede (ilmuwan sejarah kristian) pada abad ke-8, menceritakan Valentine of Rome mati dibunuh oleh Raja Claudius II pada tahun 269 kerana Valentine enggan menukar agama kristian ke agama pagan Rom. Sebelum dihukum bunuh dia ada menyembuhkan mata Julia, anak pegawai penjaranya bernama Asterius. Kemudian dicatatkan Julia bersama 44 saudara mara terus memeluk Kristian. Kemudian kisah Valentine ditambah oleh Passio dan ditokok tambah lagi kisah Valentine oleh The Golden Legend yang dibukukan sekitar tahun 1260. Dalam The Golden Legend inilah mencanangkan kisah Valentine meninggalkan catatan untuk Julia dengan ayat "From Your Valentine".

Kisah Valentine mengusahakan program untuk tentera Rom berkahwin adalah sebahagian tokok tambah lagenda. George Monger menulis tak wujud pun acara perkahwinan anjuran Valentine ini malah disebut Claudius II anjurkan tenteranya berbini dua tiga setelah mengalahkan orang-orang Goths.


Dalam The Golden Legend hanya menyebut "Raja Claudius" yang bertanggungjawab membunuh Saint Valentine. Apabila disemak dalam sejarah, Claudius I tidak menzalimi penganut kristian Rom, maka orang gereja percaya Raja Claudius merujuk kepada Claudius II. Namun sejarah menunjukkan Claudius II terlalu banyak menghabiskan masa di medan perang di luar kawasan Rom terutama perang dengan Goth yang memberi ancaman besar pada Rom ketika itu.

Malah pada tahun 269 yang dikatakan tahun Saint Valentine mati dibunuh itu, Claudius II telah hijrah ke Sirmium dan sedang siapsiaga berperang dengan Vandal. Jadi kesimpulannya, kisah Valentine mengahwinkan tentera-tentera Rom di bawah Claudius II benar-benar tokok tambah yang dibuat kemudian selepas The Golden Legend, mungkin selepas tercetusnya puisi Geoffrey Chaucer.

Malah mengatakan Rom dalam keadaan stabil dan aman adalah terang-terang tokok tambah kerana sejarah mencatatkan Claudius II berhempas pulas berperang mempertahankan sempadan Rom dari diancam bangsa asing.


HARI VALENTINE OLEH GEREJA

Pope Glasius I yang pertama mengumumkan Hari Valentine pada tahun 496 pun tidak dapat memastikan mana satukah Saint Valentine yang dirujuknya. Hanya pada tahun 1400-an iaitu setelah tercetusnya puisi Chaucer pada tahun 1375, baru cerita Saint Valentine membantu perkahwinan orang Kristian ini timbul.

Ini betul-betul tersasar dari hasrat sebenar catatan lebih awal pada abad ke 8 iaitu catatan sejarawan Bede yang cuba membayangkan Saint Valentine dibunuh kerana mempertahankan agama Kristian yang dianutinya dan tiada langsung kisah dia membantu tentera Rom berkahwin. Begitu juga The Golden Legend pada tahun 1260 masih mempertahankan cerita Bede, cuma mencanang (membesar-besarkan) tentang kisah hubungan rapat Valentine dan Julia sahaja. Padahal awalnya Bede gunakan kisah itu nak menunjukkan Valentine ada mukjizat hingga berjaya mengkristiankan ramai orang walaupun sebelum dihukum bunuh.

Jelas sekali lagi kisah membantu perkahwinan adalah kisah tokok tambah tanpa ada sumber awal.


Hari Valentine disambut berbeza-beza mengikut gereja. Roman Katolik mungkin menyambut pada 14 Februari sempena Valentine of Rome. Gereja Eastern Orthodox menyambut dua tarikh lain, pada 6 dan 30 Julai. Dalam kristian, ada beberapa lagi saint valentine yang disambut seperti St. Valentine of Viterbo pada 3 November, St. Valentine of Raetia pada 7 January , St. Valentine (Valentina), yang mati di Palestine pada 25 July.

Maka kesimpulannya, Hari Valentine dalam amalan gereja adalah seperti Hari Hol (menyambut ulang tahun kematian) seperti yang sebahagian Muslim amalkan di Malaysia. Jika benar Muslim yang menyambut Hari Hol Valentine di Malaysia untuk mengenang jasa dan pengorbanan orang suci dalam Kristian bernama Valentine, adakah ianya berpahala di sisi Allah? Adakah muslim yang sama ini menyambut juga Hari Hol ulama-ulama islam, para sahabat dan Nabi? Sekadar bertanya.


DARI MANA DATANG TREND HARI KEKASIH?

Walaupun banyak pihak mendakwa unsur-unsur romantik dan cinta diserap pada tarikh 14 Februari asalnya dari tradisi kuno orang Rom yang dinamakan Lupercalia, tetapi tiada bukti menunjukkan tradisi itu berkait dengan Hari Valentine. Ini kerana amalan waktu Lupercalia benar-benar berbeza dengan hari Valentine hari ini, mereka mengorbankan kambing dan menyebat orang dan tanaman dengan kulit kambing di samping mencabut nama untuk lelaki mengahwini perempuan. Mungkin kerana ada unsur perkahwinan, maka Lupercalia dikaitkan dengan hari Valentine.

Lebih menghairankan adalah apabila pihak ini mendakwa Pope Glasius I pada tahun 496 yang mengumumkan 14 Februari sebagai Hari Valentine adalah untuk menggantikan perayaan pagan Lupercalia tadi. Jika sudah diganti mengapa pula unsur cinta Lupercalia dikekalkan pada Hari Valentine (walaupun Lupercalia bukan berkenaan cinta)? Apatahlagi Hari Valentine yang dianjur oleh pihak gereja adalah upacara mengenangkan orang suci, bukan soal cinta asmara apatah lagi mengenangkan kekasih hati masing-masing. Malah soal adab lelaki perempuan amat tegas oleh gereja di zaman awal dahulu.

Sebab itu pihak seperti Professor Jack B. Oruch dari University of Kansas, Henry Ansgar Kelly dari University of California, Los Angeles dan Associate Professor Michael Matthew Kaylor dari Masaryk University menolak teori Hari Valentine berasal dari Lupercalia.

Sejarah yang benar-benar tertulis dan berrekod adalah puisi Geoffrey Chaucer dalam karyanya Parlement of Foules pada tahun 1375 yang meletakkan Hari Valentine adalah hari untuk pasangan bercinta bermesra. Malah Chaucer mengaitkan bulan Februari sebagai bulan burung-burung mengawan, menambahkan lagi kecenderungan Hari Valentine menjadi hari kekasih berasmara.

Chaucer menulis,

For this was on seynt Volantynys day
Whan euery bryd comyth there to chese his make
Tapi menjejaki sumber inspirasi Chaucer, buku The Golden Legend pada tahun 1260 yang mencanang cerita Valentine meninggalkan nota kepada Julia bertulis "From Your Valentine" itu boleh difahami berkaitan.

Dan karya Hamlet oleh William Shakespeare pada tahun 1600 juga mengaitkan Hari Valentine sebagai hari untuk meluahkan rasa cinta, dipercayai terinspirasi dari karya Chaucer.

Dan atas asas inilah budaya menyambut Hari Valentine dikomersialkan sebagai hari kekasih, hari meraikan cinta, hari penghargaan persahabatan, dan pelbagai lagi yang semuanya dimulakan pada era lewat 1700 an di England iaitu ketika naiknya Revolusi Industri. Apabila meningkatnya permintaan untuk membeli hadiah maka perusahaan pembuatan hadiah pun meningkat dan menjadikan kapitalis-kapitalis ini kaya. Kesan sampingannya adalah apabila anak-anak muda yang menagih cinta menggunakan hari ini untuk bermesra dengan kekasih secara terbuka.

Apabila budaya ini sampai ke tanah air kita, kelompok anak muda di kalangan Muslim yang mudah terpengaruh dengan trend semasa dan jauh dari agama menjadikan Hari Valentine sebagai medan untuk penzinaan berleluasa.

APA KATA MUFTI?

Jadi apa kata mufti berkaitan Hari Valentine ini?

Sambutan Hari Kekasih ini adalah budaya masyarakat bukan Islam yang buruk dan kita sama sekali dilarang untuk menyambutnya. Sabda Nabi SAW:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Barangsiapa menyerupai suatu kaum maka ia termasuk sebahagian daripada mereka.”
(Riwayat Abu Daud, no. 4031)
Dalam masa yang sama, Islam sama sekali tidak melarang untuk menzahirkan kasih sayang namun tidak ada jalan yang terbaik untuk ia dimanifestasikan kecuali melalui perkahwinan. Bagi yang sudah berjumpa pasangan yang sesuai, segeralah dalam urusan pernikahan. Sabda Nabi SAW:
لَمْ  يُرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلُ النِّكَاحِ
Maksudnya: “Tidak pernah dilihat solusi untuk dua orang yang saling mencintai selain berkahwin.”
(Riwayat Ibn Majah, no. 1847)
Kasih sayang dalam Islam tidak mempunyai hari-hari tertentu. Setiap hari adalah hari kasih sayang buat sesama suami isteri, anak kepada ibu bapanya, ibu bapa kepada anaknya, saudara mara, jiran tetangga dan seluruh manusia amnya. Maka, tidak perlu lagi dikhususkan hari-hari tertentu, apatah lagi yang menggalakkan pula ke arah gejala sosial dalam kalangan anak muda.
Kami cenderung untuk menyatakan bahawa sambutan ini adalah diharamkan di dalam Islam berdasarkan data-data yang jelas menunjukkan bahawa ia memang membawa kepada budaya maksiat dan perzinaan disamping menyerupai budaya yang buruk yang luar daripada ajaran Islam. Bahkan, hubungan luar nikah yang menjadi fokus utama bagi anak muda tatkala Hari Kekasih turut ditegah oleh agama-agama lain yang wujud di Malaysia. Ia juga bercanggah dengan norma dan fitrah asal manusia berdasarkan data yang ditunjukkan oleh Pew Research Center . Ia membuktikan penduduk dunia secara umum dan majoritinya masih melihat hubungan luar nikah sebagai satu perkara yang tidak dapat diterima. Klik di sini
Kami nukilkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 November 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Semoga kita dapat menginsafi akan falsafah sebenar kasih sayang dan mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat. Malaysia memerlukan golongan anak muda yang berkualiti dan berhemah tinggi bagi meneruskan kepemimpinan pada masa akan datang. Usah bazirkan usia muda dengan 1001 gejala sosial yang bakal menggelapkan masa depan anda.

Akhukum fillah,


0 komentar: