|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Mfrstudio Ibnmukhtar·Friday, 18 November 2016

Keputusan UPSR dengan standard baharu KSSR dan KBAT baru sahaja diumumkan.

Pada tahun 2010, Timbalan Perdana Menteri ketika itu telah menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan. Saya orang yang paling bersyukur mendengar pengakuan ini dari mulut Menteri.
“Di Malaysia, kita terlalu berorientasikan peperiksaan. Umumnya sepanjang 11 tahun murid masuk ke sekolah ada tiga peperiksaan awam. Ada pihak berpendapat ini menyebabkan cara pembelajaran lebih menjurus usaha mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan awam. “Maka sebab itu di Malaysia selain di sekolah, ibu bapa hantar anak ke tuisyen sebab hendak keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM. “Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti di peringkat SPM sahaja,”-Tan Sri Muhyiddin Yassin, tahun 2010.

Saya lalu menulis artikel panjang lebar meraikan berita ini di blog dengan tajuk “ UPSR, PMR MANSUH , SATU KEJAYAAN BUAT PEJUANG ANTI-EXAM “ https://alhikmah-diari.blogspot.my/2010/06/upsr-pmr-mansuh-satu-kejayaan-buat.html

Persoalannya, setelah Pelan Pendidikan melaksanakan KSSR dan KBAT, adakah cara pembelajaran kita tidak menjurus usaha mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan awam, sedangkan saya lihat komen-komen guru-guru, murid-murid, dan ibu bapa apabila keluar keputusan UPSR baru-baru ini masih menjurus kepada KEPUTUSAN YANG BAIK DALAM PEPERIKSAAN!

Izinkan saya cerita sikit kisah ketika saya berumur 12 tahun merangkap calon UPSR tahun 1997.

Ketika itu, saya adalah seorang Ketua Murid/Ketua Pengawas, dan saya berasa diri saya amat sibuk sampai tak menang tangan segala hal. Saya diberikan Anugerah Pelajar Harapan sebelum UPSR bermula, kononnya untuk merangsang saya mencapai straight As dalam UPSR. Saya gagal dapat straight As, Bahasa Melayu Penulisan saya B, padahal penulisan saya sering dipuji guru. Saya sudah jangka hal itu. Saya menulis idea di luar kotak yang tak memenuhi KEHENDAK soalan.

Mari saya cerita sikit bagaimana saya mendapat idea bahawa saya perlu berfikir di luar kotak mengenai segala hal bermula ketika saya sebagai Ketua Murid perlu mengawal sekolah dengan beratus-ratus murid setiap kali guru-guru bermesyuarat.

Memang saya meletakkan setiap pengawas di bawah saya menjaga setiap kelas, tetapi saya amat sedar sebahagian besar para pengawas tak berjaya mengawal kebisingan dan tingkah laku pelajar. Memang boleh dicatatkan nama siapa yang bising atau yang mengganggu gugat keamanan kelas, tetapi ada sebahagian samseng sekolah yang tidak makan saman dengan semua itu.

Jadi, saya akan meronda bertubi-tubi pada setiap kelas dari kelas murid tahun 4 hingga 6, menghentak pintu kelas dengan begitu garang, dan berkata “SEMUA SENYAP!”.

Lalu waktu itu, saya terfikir mengapa pada situasi itu pelajar lain perlu senyap sedangkan Ketua Muridnya tidak senyap malah paling lantang memekak ke setiap kelas? Suara saya bergema ke seluruh sekolah agaknya.

Apa idea dan produk yang dapat dihasilkan apabila semua pelajar senyap?

Adakah mereka akan membaca mengulangkaji pelajaran sendiri-sendiri walhal jika diadakan perbincangan lebih membantu pemikiran kritis dan kefahaman mereka dalam subjek yang mereka baca. Perbincangan tak boleh senyap. Perbincangan akan jadi bising. Idea akan melimpah ruah.

Atau hakikatnya pelajar yang stress dengan suasana perlawanan antara pelajar bising dan pengawas yang menyuruh senyap akan memilih untuk tidur. Tidakkah itu melahirkan tidakpedulisme di kalangan pelajar, jadi malas, melayan emosi, terdedah kepada kemurungan dan sebagainya? Mereka sepatutnya dibenarkan bermain game atau kuiz yang dikendali oleh kelompok sendiri, bukan setakat mereka akan jadi aktif daripada pasif, malah sifat kepimpinan, muhibbah di kalangan mereka, dan daya kreativiti dapat ditingkatkan?

Tapi sekolah memilih untuk mengadakan sistem kawal yang mendiamkan para pelajar dan merasakan itu lebih baik.

Saya menyuarakan IDEA tersebut pada seorang guru yang rapat dengan saya, tetapi maklum balas guru mencabar saya, “Adakah kamu mampu jamin apa yang kamu harapkan akan berlaku sedangkan kawan-kawan kamu tak berfikir seperti kamu?”

Maka apabila saya bincang dengan teman-teman rapat saya berkaitan IDEA ini, mereka setuju tetapi mereka tidak faham. Mereka tidak faham apa yang perlu dibincangkan jika diadakan perbincangan semasa guru bermesyuarat. Mereka tidak faham bagaimana mahu mengadakan game atau kuiz dalam kelas. Mereka tidak faham kaedahnya. Mereka tidak dapat fikirkan IDEA. Tiada KREATIVITI. Berfikir di luar kotak baru kita mampu ada IDEA dan KREATIVITI.

IDEA dan KREATIVITI. Itulah sepatutnya diajar dan diasuh dalam dunia pendidikan.

Dan apabila Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dirangka untuk mencapai murid yang boleh berfikir IDEA dan punya daya KREATIVITI, pihak kerajaan memilih untuk dibuat penilaian ke atas perkara itu menerusi PEPERIKSAAN! Dan inilah silapnya.

Tonton filem “PAY IT FORWARD” selepas dibicarakan di blog Hamka Kereta Mayat pada tahun 2008, saya lalu menulis artikel di blog berkaitan persoalan IDEA ini, “SUMBANG IDEA YANG TIDAK SUMBANG” -https://alhikmah-diari.blogspot.my/2008/02/sumbang-idea-yang-tidak-sumbang.html

Baru-baru ini saya tonton video yang dipost di FB berkaitan konsep sama dengan idea Pay It Forward ini: https://www.facebook.com/Upworthy/videos/1476865982354255/

Apa yang saya nak tekankan, semua orang sebenarnya ada IDEA untuk memperbaiki dunia ini. Walaupun idea itu kecil, semua IDEA adalah sebuah sumbangan kepada kemanusiaan dan tamadun dunia asalkan idea itu menjurus kepada memperbaiki dunia ini. Kita tak perlukan IQ setinggi langit untuk keluarkan idea Pay It Forward ini. Ia datang dari HATI yang berkehendakkan solusi kepada permasalahan.

Kita nak tanam IDEA dan KREATIVITI pada anak-anak sepatutnya bermula dengan kita meluruskan HATI mereka untuk merasakan mereka LAHIR KE DUNIA UNTUK SELESAIKAN MASALAH (JADI HERO) DAN BUKAN BUAT MASALAH. Dari situ, kita KENA JUJUR MENYATAKAN APA MASALAH YANG DIHADAPI DI DUNIA MASA KINI. Kita tak jujur pada anak-anak. Kita tak cerita permasalahan pada mereka.

Saya lihat buktinya apabila anak-anak orang miskin yang kecil seumur 8-10 tahun mampu berdikari mencari wang menggunakan IDEA dan KREATIVITI yang kadang kala tak terfikir oleh kita. Mengapa mereka mampu menjana IDEA dan KREATIVI? Adakah mereka dilatih Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dan mengambil peperiksaan IQ? Tidak. Kerana HATI mereka mahu SELESAIKAN PERMASALAHAN yang melanda hidup mereka.

Kita masih terbelenggu pada PERMASALAHAN “Bagaimana mahu MENILAI anak-anak kita?”, padahal persoalan sebenar adalah “Bagaimana anak-anak kita MENILAI permasalahan dunia dan MENYUMBANG IDEA SOLUSI untuknya?” Kita tak mahu tahu dan tak mahu kenal pemikiran anak-anak kita, bakat-bakat yang Allah kurniakan pada mereka sebagai Hero Masa Depan Tamadun Manusia. Kita tak anggap anak-anak kita penyelesai masalah.

Dengan menimbang hal ini, barulah para guru dan cikgu dapat membimbing pelajar-pelajarnya, mengasah bakat anak-anak untuk mencapai IDEA SOLUSI yang diutarakan sendiri oleh anak-anak. Dan kita tak perlukan peperiksaan untuk itu. Apa yang kita perlu buat adalah BUATKAN ANAK-ANAK KITA BERCAKAP IDEA MEREKA.
BERCAKAP BERDASARKAN SKEMA PEMIKIRAN MEREKA UNTUK KITA NILAI BUKAN SENYAP DALAM PEPERIKSAAN YANG PENILAIAN SUDAH DITETAP PADA SKEMA KITA.

Jika ditakdirkan semua peperiksaan dimansuhkan, dan anak-anak dilatih untuk menyuarakan IDEA sejak kecil semasa sesi penilaian, barulah input, panduan, ilmu, teknik, asah bakat dapat dibuat oleh guru-guru secara tepat pada setiap diri anak-anak yang mempunyai standard berbeza dan UNIK pada diri masing-masing. Kita semua dilahirkan UNIK. APA YANG KITA AKAN DAPAT DI MALAYSIA SELEPAS ANAK-ANAK INI DIDIDIK UNTUK MATANG IDEANYA?

MEREKA AKAN JADI:
PARA HERO YANG KREATIF, PEREKACIPTA, INOVATOR, PEMIMPIN DUNIA, PEMBINA PERADABAN DAN PEMBAIKI-PEMBAIKI KEROSAKAN YANG ADA.

Kita tak mahu hal ini? Kerana kita sendiri tak fikir dunia ini perlu diselamatkan dan dibaiki, kita sendiri tak rasa peradaban baharu perlu dibina, malah kita tak berani pun nak berubah kepada sebuah SISTEM DUNIA di luar kotak yang langsung tak sama dengan apa yang ada depan mata kita sekarang, kerana kita agaknya selesa dengan semua ini.

Itu sebabnya saya terus menjadi Pejuang Anti-Exam dan mereka masih tak faham tujuan pendidikan wajar melahirkan MANUSIA YANG MENYUMBANG IDEA SOLUSI bukan MANUSIA PENJAWAB PEPERIKSAAN semata-mata.

mfr studio

1 komentar:

Unknown said...

Kita belajar  sebenarnya bukan sebab perasaan ingin tahu dan juga bukan ingin membuang kejahilan. Kita belajar sebab dorongannya duit.Yang kita yakin hasil belajar membentuk sijil dan sijil itu boleh digunakan untuk mendapatkan duit dgn jalan pekerjaan.

Atas dasar kita takut tidak ada pekerjaan yang menjurus kepada ketiadaan pendapatan lalu kita pun keluarlah keseluruh pelusuk alam untuk menuntut ilmu.

Akan tetapi ada kalangan yang tercicir akademik menggunakan kreativiti utk "dijual" bagi mendapatkan duit. Hakikatnya bodoh dan pandai itu juga takdir Allah.

Walau apa pun, nampaknya kita dah terikat dengan belenggu material. Kita cuma pandang semua benda menggunakan mata zahir yang akibatnya mata hati kita tertutup.

Betul ke semua ini tujuan kita dihidupkan?

Di mana perginya tuhan dalam hala tuju ujian dunia kita ini.

Andai nak cari tuhan pun, untuk tuhan beri duit..

Betul atau salah, bukan untuk kita menilai. Tetapi untuk bertanya kembali agar kita tidak jauh tersasar.

Jika diteliti sesetengah negara ada undang-undang di mana homeschool/unschool adalah  illegal bukan kerana meraka sangat mengambil berat pendidikan anak-anak. Tetapi kerajaan cuba untuk menjauhkan anak dari ibubapa... dan sekolah mengambil peranan membentuk suatu pemikiran yg telah diprogramkan.

Contohnya.. ibubapa mempunyai suatu pemikiran yang tersendiri/hebat/"terrorist".. dia akan membentuk jati diri pada anak-anak. Kerajaan tidak berpeluang untuk campur tangan. Ini menakutkan pihak pemerintah.

Mana tau anak ini membesar, ada falsafah tersendiri. Lantang memberi pandangan, akhirnya bawa pengaruh dan melawan pihak pemerintah.

Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia kerana mana-mana homeschooler/unschooler tidak akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana tiada dalam undang-undang pendidikan. Ibubapa di Malaysia bebas membentuk acuan anaknya sendiri. Sedihnya pihak pemerintah tidak perlu wujudkan undang-undang pun ibubapa di Malaysia dengan rela hati menghantar anak-anak mereka ke penjara yang di namakan SEKOLAH.

Atas alasan, sekali lagi "dah besar nanti nak kerja apa? Atau esok nanti nak bagi anak bini makan apa". Anak-anak di momok. Ayuh semua kita ke sekolah. Sekolah itu jaminan masa depan!

 Capitalisme

Kita kerja untuk mereka, dan mereka kutip cukai.