|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Tujuan

Tujuan tulisan panjang lebar ini ditulis untuk menceritakan semula hal-hal penting dan melihat kekurangan dalam isi perbincangan yang perlu diperbaiki pada sesi pembentangan saya di USIM pada 29 November 2015, jam 3.30 hingga 5.30 petang yang lalu untuk sahabat-sahabat yang tidak hadir semasa kejadian.

Kisahnya begini:

1. Saya hadir jam 3.15 petang dan mendengar suara Tuan Irfan Foner di dalam bilik seminar, tapi suara dalam perut yang memulas memaksa soalan pertama saya kepada urus setia dan Tuan Saiful Amri dari Genku yang berada di luar bilik berbunyi, "Kat mana tandas?". Setelah diberikan arah, saya pun menuju tandas melepaskan hajat.

2. Ini suatu yang sangat dikesalkan. Saya tak dapat memperkenalkan diri dengan baik dan menyapa dengan sopan kepada pihak penganjur, maka saya sangat-sangat memohon kemaafan atas sebab itu.

3. Saya ada menjenguk ruang bilik seminar yang sebesar bilik tutorial saya di UM semasa zaman belajar dahulu. Tuan Saiful Amri ada menjemput saya untuk duduk di dalam, sementara menunggu sesi pembentangan saya, namun saya berfikir saya akan mengganggu fokus para peserta pada pembentangan Tuan Irfan Foner jika tiba-tiba berjalan masuk bilik tersebut kerana pintu masuk berada di hadapan bilik. Maka saya berikan alasan saya nak dapatkan akses internet di luar. Saya mohon maaf telah menipu, tapi saya memang cuba akses internet selepas itu.

4. Beberapa minit setelah itu, saya nampak Tuan Nazry muncul keluar dewan seperti sedang mencari sesuatu. Setelah menyapa dan kemudiannya berbasa basi antara saya, Tuan Nazry dan Tuan Saiful Amri, saya telah bercakap tentang pentingnya kita menggunakan nafsu dengan panduan iman dalam berusaha kemudiannya meleret ke tajuk poligami. Saya pun tak faham kenapa tiba-tiba muncul targhib tentang hal itu pula, maka saya meminta maaf pada Tuan Nazry dan Tuan Saiful Amri jika telah membebel hal di luar skop.

5. Saya kemudiannya dijemput masuk oleh Tuan Nazry dan para peserta bertepuk tangan menyambut kehadiran saya. Saya sangat menghargai kepada semua yang menerima dan meraikan kehadiran saya dengan penuh mesra, sopan dan rasa bersaudara. Cuma dapatlah juga saya menangkap wajah-wajah mengantuk, letih, masam mencuka, dan menunduk maka saya rekodkan mereka ini sebagai indikator penerimaan pembentangan saya selepas itu.

6. Saya lalu memulakan intro dengan beraksi memadam papan putih sebagai mengingatkan diri saya dengan aksi-aksi lecturer kuliah di Universiti Toyama yang selalu memulakan kuliah dengan memadam papan hijau. Sambil saya memerhati sekeliling mencari apa saja peralatan yang dapat saya gunakan semasa sesi pembentangan itu, selain laptop, projektor yang telah memaparkan slide saya, ada juga marker pen, cawan kosong dan mineral water. Kononnya untuk menarik perhatian peserta mengantuk, saya terfikir untuk adakan faktor "wow" yang tak terjangkau dek akal, dan saya ada terfikir nak lemparkan gelas kosong itu ke dinding tapi cepat-cepat membatalkan niat tersebut.

7. Kemudiannya saya pun terus membebel tentang tiga hal seperti yang diiklankan oleh Genku iaitu definisi komik dakwah, panduan melukis komik dan komik patuh syariah 100%. Ringkasnya, poin saya akan ketiga-tiga hal ini adalah apa yang menjadi pegangan saya semata-mata namun saya terbuka jika ada definisi, panduan dan maksud yang lebih tepat dari para peserta untuk saya perbetulkan pegangan saya kemudiannya. Hingga ke akhir sesi tidak ada peserta yang bangun membantah apa yang saya bentangkan.

8. Definisi komik dakwah yang saya rangkumkan subjek, tujuan, batas dan niat dengan definisi komik dakwah adalah apa saja lukisan yang memaparkan situasi untuk menyampaikan mesej menuju ketaatan kepada Allah tanpa melanggar sunnatullah, dalil aqli dan naqli semata-mata untuk meraih redha Allah.

9. Bagi panduan melukis pula bagi saya, panduan dalam hidup muslim tetap sama dalam apa jua bidang iaitu quran, hadis, ijmak dan qias. Dan sekiranya telah terdapat fatwa dan komentar ulama muktabar akan hal itu, ia juga patut dijadikan panduan. Namun dalam melukis, semua itu bergantung pada rasa taqwa dalam diri kita. Taqwa inilah yang dapat buat kita ikut atau tidak panduan yang tersedia.

10. Bagi isu komik patuh syariah 100% pula, saya merasakan tiada siapa dapat claim komik yang mereka hasilkan itu patuh syariah 100%. Kita boleh berusaha 100% melukis dengan mematuhi syariah, namun produk akhir komik tetap mempunyai peratusan ijtihad diri sendiri terhadap lukisan yang lahir dari imaginasi yang boleh jadi silap dan salah. Saya rasakan saya kurang menjelaskan bab ini dengan baik semasa pembentangan. Antara poin yang tertinggal adalah persoalan adakah komik bukan dakwah boleh menjadi komik patuh syariah? Di sini pentingnya mengetahui kaitan rapat antara syariah dan dakwah. Ringkasnya, syariah adalah semua hukum dan batas untuk kita taat kepada Allah, termasuk hukum kewajipan berdakwah. Manakala dakwah adalah mengajak manusia untuk taat kepada Allah. Jika kita kata komik kita patuh syariah tapi bukan komik dakwah, bermakna kita kata komik kita mengikut hukum untuk kita taat kepada Allah tapi komik kita tak ajak orang untuk taat kepada Allah yang merupakan hukum wajib dalam syariah. Bukankah itu kontradik?

11. Kemudiannya, saya bentangkan fatwa melukis dari Dr Yusuf al Qaradhawi dalam kitab al halal wal haram, fatwa pengharaman pokemon, komentar Dr Wahbah Az Zuhaily mengenai program animasi barat, harapan Al Qaradhawi dan Al Munajjid mengenai pentingnya wujud produksi islam dalam animasi dan halatuju komik dakwah. Di akhir pembentangan ada saya tunjukkan pelbagai bentuk karya komik dalam sejarah yang saya ekstrak daripada wikipedia, dan kemudian memulangkan persoalan apakah bentuk komik dakwah Malaysia yang patut kita wujudkan kepada para peserta. Salinan slide boleh lihat di sini: https://drive.google.com/file/d/0B4SVICzJ883gUFRJQ0habDctT28/view?usp=sharing

12. Sebelum sesi tamat, panjang lebar lagilah saya membebel apabila beberapa soalan diajukan, rata-rata saya meletakkan jawapan adalah pada taqwa kita untuk taat kepada suruhan dan hukum Allah yang terdapat dalam quran, hadis, ijmak, qias dan betapa kita sebagai muslim ini ada tanggungjawab ke atas dakwah dengan kekuatan masing-masing dengan sifat unik dalam diri, kemahiran, bakat dan sebagainya, apa yang penting kita terus berusaha, terus belajar, terus menyumbang tanpa rasa sudah cukup hinggalah kita mati.

13. Saya ada memberikan jawapan dan idea spesifik pada soalan-soalan yang spesifik, namun saya anggap itu hanya idea ringkas saya yang pasti ada kelemahan, maka perlunya para peserta berbincang dengan para alim muktabar khususnya pelajar USIM yang mempunyai tenaga pengajar berwibawa di sana dalam menggariskan panduan bidang kreatif ini. Saya rasa persoalan apa itu kreatif juga saya tertinggal untuk terangkan. Kreatif bagi saya adalah usaha menyelesaikan masalah dengan sumber yang terbatas. Hanya disebabkan wujudnya batas, maka kreatif menjadi wujud. Maka umat Islam yang dibataskan oleh Allah dalam segenap perkara adalah umat manusia yang perlu kreatif dalam segenap perkara. Malanglah mereka yang mahu melanggar batas ini apatah lagi berkata mereka mahu kreatif maka mereka melanggar batas, malang sungguh!

14. Saya terpaksa mengundurkan diri setelah sesi penyampaian cenderahati, dan tidak berkesempatan untuk sesi bergambar kerana kekangan di pihak saya khususnya saya perlu ke beberapa destinasi selepas itu dan masa sangat terhad buat saya. Saya mohon maaf atas segala kekurangan, dan saya merasakan perbincangan komik dakwah ini tak dapat dituntaskan dalam 1 jam yang diberikan kerana pemberat bagi komik dakwah adalah "dakwah" yang merupakan isu yang sangat luas dan berat.

15. Sekian saja dulu, kerana nampaknya dah panjang lebar sangat, nanti jadi thesis pula.
mfr studio