|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Berikut saya lampirkan surat terbuka saya kepada YAB Perdana Menteri yang inshaAllah akan saya salinkan kepada mana-mana pihak agar surat ini sampai juga ke tangan Perdana Menteri.


---------------------------------------

YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Pejabat Perdana Menteri Malaysia
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502, Putrajaya
MALAYSIA

s.k
Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri
Ketua Audit Negara



Dato' Sri,

MENCADANGKAN SEMUA PINJAMAN SYARIKAT KERAJAAN DIAUDIT DAN DILAPORKAN DALAM LAPORAN TAHUNAN KETUA AUDIT NEGARA

Dengan segala hormatnya, perkara di atas dirujuk.

2. Bertepatan dengan apa yang dilaporkan oleh Bernama, ( capaian http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/po/newspolitics.php?id=1157521 dirujuk), Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata bahawa duit 1MDB dimiliki oleh rakyat dan tidak boleh diberi kepada parti politik. Atas kerana semua duit 1MDB dikatakan datang dari pinjaman daripada institusi kewangan diisytihar sebagai dimiliki oleh rakyat oleh jurucakap kerajaan sendiri, maka seharusnya semua pinjaman yang dibuat oleh semua syarikat-syarikat kerajaan juga tentulah dimiliki oleh rakyat (perkara 4.6.1 Pekeliling Perbendaharaan Bil.12 tahun 1993 dirujuk, kerajaan menyarankan lembaga pengarah syarikat induk milik kerajaan memperolehi pinjaman daripada institusi kewangan http://www.treasury.gov.my/pekeliling/pp/pp121993.pdf).

3. Sesuai dengan Perkara 5(d) Akta Audit 1957 menyebut:

akaun mana-mana badan lain, termasuk syarikat yang
didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125],
yang menerima pemberian atau pinjaman daripada
Persekutuan atau Negeri, dan termasuk juga sesuatu
syarikat yang lebih daripada separuh modal syer
berbayarnya dipegang oleh Persekutuan, sesuatu
Negeri atau sesuatu pihak berkuasa awam atau
dipegang sedemikian pada agregatnya oleh dua
daripada mereka atau lebih:
(http://www.agc.gov.my/Akta/Vol.%202/Akta%2062.pdf)

Maka saya mencadangkan setiap pinjaman syarikat-syarikat kerajaan diperincikan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara agar setiap pinjaman syarikat tersebut yang merupakan wang rakyat, diketahui oleh rakyat berapa jumlahnya dan ke mana ia dirancang atau telah dibelanjakan dan apakah risiko dan peluang yang akan atau sudah diperolehi daripada perbelanjaan itu kepada kepentingan rakyat Malaysia umumnya.

4. Saya juga mencadangkan agar beberapa pindaan kepada takrif "wang awam" dalam Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta berkaitan khususnya Akta Audit 1957 merujuk terus kepada makna yang jelas dan terang bahawa semua harta, aset, wang, termasuk nilai pinjaman, pelaburan dan apa saja yang bernilai dimiliki syarikat-syarikat kerajaan diisytiharkan sebagai dimilki rakyat 100% dan berhak diketahui oleh rakyat dalam bentuk laporan pengauditan yang terperinci.

5. Perhatian Dato' Sri ke atas cadangan ini amat dihargai. Sekiranya pemahaman saya sebagai rakyat Malaysia ke atas isu-isu yang dicadangkan ini mengelirukan, mohon pihak Dato' Sri membuat penjelasan agar saya dan seluruh rakyat Malaysia lebih memahami ruang lingkup peraturan pengurusan wang awam atau wang rakyat oleh kerajaan Malaysia seperti yang diamalkan dalam segala urusan pada masa kini di bawah pimpinan Dato' Sri.

6. Surat cadangan ini dibuat secara terbuka dan mohon sekiranya pihak Dato' Sri perlu memberi maklumbalas ke atas surat ini juga dibuat secara terbuka.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Muhammad Fakhrul Razi
Rakyat Marhaen Malaysia

http://alhikmah-diari.blogspot.com
http://mfrstudio.blogspot.com

0 komentar: