|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Setelah khatam semua ceramah, tulisan, analisa akhbar, komen-komen, tulisan-tulisan, maka saya simpulkan persoalan 1MDB sebagai berikut:

1. Jika forensik audit telah dijalankan dan didapati ada salah laku, perlu ada pendakwaan, dan yang bersalah perlu dihukum. Jika tiada salah laku,maka penyebar fitnah perlu dihukum sekurang-kurangnya mengaku telah bersalah dan memohon maaf kerana menyebarkan fitnah dan menawarkan diri menjalani khidmat sosial. Sekurang-kurangnya 2 dakwaan perlu disahkan iaitu RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB telah lesap masuk poket kroni, dan sekurang-kurangnya RM2.3 bilion wang pinjaman 1MDB masuk ke poket Jho Low tanpa ada apa-apa pulangan keuntungan kepada 1MDB.

2. Jika 1MDB ditutup pada akhir nanti tanpa mampu menjana keuntungan, maka sahih seluruh pihak yang terlibat dalam mengurus 1MDB perlu didakwa dan dihukum. Jika 1MDB pada akhir nanti ditutup tetapi setelah menjana keuntungan, maka sahih, orang-orang yang dengan yakinnya mendakwa 1MDB akan gagal, perlu dimasukkan dalam senarai orang yang tidak tsiqah (yang tak boleh dipercayai), mereka tak boleh dilantik sebagai saksi apatahlagi menjadi pemimpin.

3. Jika tanah TRX dan Bandar Malaysia gagal dibangunkan, maka 1MDB telah gagal. Jika tanah TRX dan Bandar Malaysia berjaya dibangunkan, maka 1MDB berjaya.

4. Jika semua aset 1MDB dijual tetapi masih tak mampu melangsaikan hutang bersama faedahnya, maka 1MDB gagal. Jika semua aset 1MDB dijual dan hutang berjaya dilangsaikan tetapi 1MDB tidak bawa apa-apa untung, maka 1MDB masih juga gagal. Hanya jika semua aset 1MDB dijual, hutangnya langsai dengan ditambah pulangan keuntungan kepada kerajaan/rakyat, maka barulah 1MDB berjaya.

5. Jika 1MDB gagal membangunkan kem-kem tentera dan memindahkan aset tentera yang diamanahkan, maka 1MDB gagal. Jika semua pembangunan kem tentera dan aset tentera yang perlu dipindahkan berjaya dipindahkan, maka 1MDB berjaya.

6. Jika ada dana awam yang digunakan untuk membayar hutang 1MDB, maka 1MDB gagal. Jika tiada dana awam digunakan untuk membayar hutang 1MDB dan hutang dibayar oleh pendapatan 1MDB sendiri, maka 1MDB berjaya.

7. Jika 1MDB gagal, kita rakyat wajib berterima kasih pada YB Rafizi, YB Tony Pua, Tun Mahathir dan lain-lain pihak yang menentang dan mahu 1MDB segera ditutup. Jika 1MDB berjaya, kita rakyat wajib berterima kasih pada PM Najib Razak dan semua pihak yang terlibat menguruskan 1MDB.

8. Sama ada 1MDB gagal atau berjaya, kita umat Islam tetap masih gagal mengangkat kewangan Islam sebagai sumber pendapatan negara dan masih bermuamalat dan hidup atas asas riba dalam sistem kapitalisme sebagai teras ekonomi negara. Allah tidak akan redha negara kita selagi kita tidak berstrategi dan berusaha ke arah menukar asas ekonomi negara daripada riba kepada kewangan islam patuh syariah.

Saya harap idea TRX benar-benar akan berjaya dan menukar teras kewangan negara kepada kewangan islam patuh syariah.Jika ekonomi dan undang-undang negara boleh bawa tuju ke arah syariah, saya cukup yakin politik Malaysia juga akan bergerak ke arah syariah inshaAllah.

Sekian.
mfr

0 komentar: